TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS RAMAH TAMAH MESRA PEMIMPIN KOMUNITI MASYARAKAT KAPIT

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS RAMAH TAMAH MESRA PEMIMPIN KOMUNITI MASYARAKAT KAPIT

 

 

29 SEPTEMBER 2024 (AHAD) | 10:30 PAGI

 

 

DEWAN SUARAH

KAPIT, SARAWAK

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Salam segulai sejalai.                 

 

Terima kasih kepada semua terutama kepada saudara saya,

 

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi,

Ahli Parlimen Kapit;

 

Tan Sri Datuk Patinggi Haji Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Haji Abang Openg,

Premier Sarawak;

 

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi,

Ahli Parlimen Kapit; dan

 

Sabahat lama saya Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Anak Jugah.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Seperti yang disebut oleh Premier tadi dan rakan saya, Datuk Seri Alex, kita tidak harus lupa bahawa apa yang kita capai sekarang aman, negara kian maju itu kerana wawasan kebijaksaan pemimpin-pemimpin silam. Bila saya ke Kapit saya tahu rantau ini, rantau pemimpin besar bukan sahaja Sarawak tapi pendiri Malaysia, Tun Temenggung Jugah. Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, di depan keluarga beliau saya ingin menyatakan bahawa negara bertuah kerana kita mempunyai pemimpin besar yang berwawasan, Tun Temenggung Jugah. Dan kebetulan Abang Jo anak kepada Tun Abang Haji Openg yang juga pendiri, seorang pemikir bangsa dan negara.
  1. Kita lihat Tun Temenggung, dia tidak ada pendidikan formal, dia bukan professor, dia tidak belajar di universiti atau sekolah menengah tapi dia punyai jiwa, dia punyai kesedaran dia punyai kefahaman kemanusiaan, kasih pada budaya tradisi Ibannya dan tahu perlu kerjasama semua suku-suku kaum di sarawak untuk merdeka dan bebas, faham politik rantau ada Brunei, Indonesia dan Filipina. Kemudian disamping itu seperti disebut tadi ada pertarungan dahsyat ketika itu, perang dingin. Barat diketuai oleh Amerika Syarikat dan pada masa itu Timur diketuai oleh USSR-Russia.

 

  1. Kadang-kadang saya terfikir dari kita terdedah dengan pelbagai ilmu, tadi pun saya ada bawa kepada sahabat saya buku “History of Ideas” yang pernah terdedah dengan pelajaran di sini, di Oxford dan Amerika, tetapi bagaimana kita lahirkan seorang seperti Tun Temenggung Jugah yang tidak pernah jejak ke universiti tetapi punyai pemikiran wawasan untuk jaga dan jamin masa depan negeri dan negaranya.

Saudara,

 

  1. Kerana keyakinan, semangat kemanusiaan yang disebut tadi humane dan kerana cinta kepada suku kaum, adat resam, negeri dan negaranya. Adalah satu kebijakan dan indah sekiranya generasi baharu di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri semanjung mempunyai semangat dan kefahaman dan kesedaran yang sama.
  1. Apa persamaan diantara Tun Temenggung Jugah dan Tun Abang Haji Openg? agama lain, bahasa lain, budaya lain dan suku kaum lain. Tapi persamaannya ialah kemanusiaan, kecintaan kepada negeri dan negaranya dan jamin suapaya anak-anak, cucu mereka itu terjamin di bawah sebuah negara merdeka. Sebab itu bagi generasi saya dan saya percaya anak-anak dan cucu kita, kita harus perlihara.
  1. Saya tak ambil sikap defensive untuk pertahankan Perjanjian Malaysia 1963. Itu arahan awal saya sejak jadi Perdana Menteri walaupun di kritik. Saudara Datuk Seri Alex tahu di Parlimen kadang-kadang pembangkang kritik kerana saya takut hilang dukungan, kerana saya takut ada ugutan. Saya katakan tidak pernah ada ugutan, tidak pernah ada cadangan, tidak pernah saya rasa gentar tetapi kita dalam politik, dalam hidup belajar apa yang disebut ciri kemanusiaan harus melaksanakan janji sebahagiannya janji kita, sebahagiannya janji bapa-bapa kita. Kita harus laksanakan amanah supaya mereka boleh disemadi dengan aman, bahawa keputusan yang dilakukan mereka itu adalah keputusan yang bijak dan wajar. Sebab itu kita laksanakan, Pelabuhan Bintulu dan lain-lain yang saya tidak perlu sebut di sini.
  1. Tentunya juga dalam menhadapi ini, kita kadang-kadang terus terang ada keupayaan. Pan-Borneo walaupun kosnya tinggi tetap diteruskan dan Sarawak catatkan kemajuan jauh lebih baik daripada kemajuan di Sabah kerana pengurusan Sarawak. Sarawak 30 ke 40 tahun yang lalu di anggap negeri yang paling miskin. Sekarang Sarawak dianggap sebagai sebuah negeri yang berpotensi dengan kekuatan terutamanya dalam bidang tenaga di antara terpenting di rantau ini, bukan lagi di Malaysia, di rantau ini dan seperti mana yang disebut berulang kali oleh Premier Abang Zohari “kejayaan Sarawak itu kejayaan kita semua” kerana apa yang sudah capai itu akan dinikmati oleh semua.
  1. Saya nak sebut di sini kawan-kawan di Kapit harus tahu bila kita sebut 16 billion untuk Pan-Borneo terdapat kritikan mengatakan “Anwar ini lebih-lebih sangat Pan-Borneo tak payah tol, di semenanjung semua lebuh raya kena bayar tol”, itu benar, tetapi ada faktor-faktor lain di Sabah dan Sarawak, antaranya jalan raya nya teruk yang ada pun tidak begitu sempurna.
  1. Jadi hari ini, saya kata Alex, boleh mula persiapan untuk tahun ini mula segera, JKR harus mula. Tahun depan kita peruntukan mula fasa satu (1) permulaan saya percaya akhir tahun depan atau 2026 jalan itu ikut jadual. Kalau lambat jangan tanya PMX, tanya Alex. Yang lain klinik, sekolah daif dan sebagainya tentu kita patut beri perhatian, tidak sempat Alex nak terangkan semua. Tetapi saya bangga kalau saudara ikuti ucapan saya di seluruh negara, jumpa diaspora Malaysia di Jerman, di New York saya selalu sebut bila sebut Malaysia ini negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Manik Urai saya tidak pernah tinggal, Kapit pun begitu juga. Betul ya. Itu bagaimana saya tidak tahu apa jampi Alex, sebab saya tidak tahu. Tapi pergi mana-mana Kapit, Kapit, jadi bila dia sebut saya bagi tahu Premier Abang Jo, saya kata banyak kali di Kuching, kena keluar pergi luar daripada Kuching. Terus saya teringat Kapit.
  1. Jadi inilah sebabnya saya sampai ke Kapit hari ni. Dan masa itu bila dipakai pakaian panglima Iban ini, saya kata tak apa, saya nak pakai sampai habis program sebagai tanda hormat. Kerana Abang Jo dah biasa dah, dah banyak kali pakai Iban ni, saya jarang-jarang sekali. Nak tunjuk dekat Azizah, Anwar Panglima Iban hari ini. Saya minta televisyen tayang betul-betul supaya Azizah pun rasa kagum abang dia sudah jadi Panglima Iban hari ini.
  1. Jadi saudara-saudara, sebenarnya dalam ucapan ini seperti mana juga ucapan Alex, ada juga beberapa hal yang diumumkan termasuk jalan pintas dari Kompleks Kerajaan Bahagian Kapit ke jalan airport. Itu beberapa projek yang telah diluluskan. Saya difahamkan ada 60% daripada 2.3 juta hektar kawasan hutan di Sarawak terletak di Bahagian Kapit oleh itu pembangunan Ekonomi Baharu yang disebut menjadi tonggak dan fokus negeri Sarawak ini tentang Carbon Storage/ Carbon Capture itu saya percaya kita patut rangka bagaimana jika ada kesan sampingannya macam kata cascading, kalau perlu selain daripada peruntukan Kerajaan Sarawak, insya-Allah saya akan beri perhatian.
  1. Kerana saudara Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi ini, Menteri kanan di Kementerian dan dalam Kerajaan, dia jumpa saya setiap minggu di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya percaya kita tidak akan lupakan Kapit, mustahil saya akan lupakan Kapit. Tiap kali cakap, Kapit, jadi kita sudahlah datang kerap ke Sarawak, akhirnya sampai juga ke Kapit. I am quite excited, frankly. I was here in 1994-1995, using that rostrum in this hall and then, Alex has said ups and down in my life, more downs than ups but finally only I am here with my old friends and this is the great experience.
  1. Jadi sekali lagi terima kasih, kita ada lagi acara-acara termasuk di Long Robert kemudian memulakan IPD baharu di Kapit, itu yang agak besar, projek besar dan sekali lagi terima kasih.

                   Hati gembira berbarengan teman,

                   Bergembira ria di Kapit Lily Pon,

                   Seandainya kita diizinkan Tuhan,

                   Tentu bersua lagi dihari kemudian.

 

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.