TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : SIMPOSIUM KEBANGSAAN 2024 – MENOKTAHKAN KEMISKINAN

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

SIMPOSIUM KEBANGSAAN 2024:

MENOKTAH KEMISKINAN

 

 

30 SEPTEMBER 2024 (ISNIN) | 9.30 PAGI  

 

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam sejahtera.

Alhamdullihilladzi Anzala ‘Ala’abdihil Kitaaba Wa Lam Yai’al Lahuu’iwajaa

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een

YB Tuan Rafizi Ramli,

Menteri Ekonomi;

YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi;

 

Timbalan Menteri Ekonomi; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah kita dapat menyempurnakan simposium ini dan saya ucap terima kasih kepada YB Rafizi dan inisiatif Kementerian Ekonomi kerana menyemarakkan lagi perbahasan, kesedaran, pencerahan dalam isu yang sangat penting bagi negara kita. Dalam keadaan negara memacu pertumbuhan, bicarakan soal kekuatan ekonomi dan kekuatan ringgit, kadang-kadang kita alpa tentang maksud pembangunan dan keutuhan negara itu harus melibatkan seluruh rakyat. Kerana ada rakyat yang tentunya ketinggalan kerana tidak mempunyai peluang.
  1. Memang seperti mana disebut oleh saudara Rafizi sebentar tadi, inisiatif ini berterusan, bukan baru. Tapi yang dipertikaikan ialah keberkesanannya dan keperluan menjadikannya suatu imperatif ekonomi dan moral. It’s a moral and economic imperative, soal pembasmian kemiskinan ini. Umpamanya tatkala Almarhum Tun Razak meluncurkan Dasar Ekonomi Baru tahun 1971, rakyat itu menyambut dengan begitu semangat sekali. Ada usaha dan inisiatif yang secara langsung untuk membasmi kemiskinan dan menstruktur masyarakat. Tapi jangan lupa, tiga tahun selepas itu tercetus peristiwa Baling di mana kelompok termiskin dalam negara bangun membantah kerana dianggap apa yang dibicarakan itu tidak sampai pada maksud. Mungkin terlalu awal untuk menilai, tapi ia harus menjadi satu kejutan menyedarkan golongan elit penguasa, elit ekonomi, penjawat awam, masyarakat sivil, dan peniaga bahawa apa-apa dasar yang kita putuskan itu mesti mampu menyantuni, menyelesaikan masalah rakyat di akar umbi.
  1. Sebab itu ikhtiar yang dibuat oleh Kementerian untuk mengundang semua pihak, penjawat awam, civil society, pakar-pakar ekonomi itu saya rasa sesuai. Kerana kalau kita lihat dan pengalaman saya, banyak kegiatan dan seminar simposium ekonomi, bicarakan soal ekonomi termasuk ekonomi bumiputera. Tetapi perbicaraan serius tentang permasalahan rakyat miskin itu sedikit sekali. Sebab itu ada kewajaran bagi Kementerian fokus hanya soal kemiskinan. Tentunya kalau kategori kita yang segera kemiskinan tegar dan kemudian membicarakan soal kemiskinan secara menyeluruh yang dianggap kemiskinan relatif.
  1. Saya pernah umpamanya menyergah golongan elit dalam negara kita dalam membicarakan soal ekonomi. Itu termasuk dalam simposium dan seminar kebangsaan dan antarabangsa. Masalah kemiskinan itu disinggung sepintas lalu kerana tidak mengesankan kepada mereka, tetapi mengesankan kepada negara dan kepada golongan rentan dan golongan yang dianggap tercicir, terpinggir dari arus pertumbuhan perdana dan kita harus jadikan ini sebagai satu pengajaran. Kerana tidak cukup dengan resolusi, tak cukup dengan dasar, tak cukup dengan hebahan, tapi mesti program dilaksanakan.
  1. Kadang-kadang pelaksanaan itu seperti mana juga disinggung tadi, meminjam pandangan pemikir dan ahli ekonomi, Samir Amin tentang dependency syndrome. Iya kita bantu, tapi tidak bantu memerdekakan mereka dari segi ekonomi. Bantu supaya mereka boleh sekadar hidup, kemudian kekal bergantung kepada penguasa. Jadi penguasa dari segi faedah politiknya ada kerana orang ini akan hanya survive dengan bergantung kepada kita. Ini yang disebut sindrom kebergantungan. Menyelesaikan masalah ekonomi ini, membebaskan bukan terus bergantung. Walaupun dia umpamanya layak melepaskan dari tahap kemiskinan tegar, tapi masih bergantung. Dan program bantuan itu harus berterusan dan akhirnya sindrom kebergantungan kekal. Ini hal-hal yang kita harus bicarakan dengan bebas.
  1. Kerana saudara-saudara umpamanya lihat sahaja majalah, jurnal, media yang bicara soal ekonomi. Paling sedikit membicarakan soal kelompok yang ratusan ribu, mencecah juta kalau kemiskinan keseluruhan dan hanya dibicarakan apa yang menguntungkan elit termasuk elit peniaga. Sebab itu bila berlaku umpamanya kesenjangan yang melebar di Amerika Syarikat, the 1% yang selalu dijadikan gimik dalam perbicaraan Joseph Stiglitz. Itu berlaku kerana kesedaran awam itu sangat terbatas. Sebab itu saya harap Malaysia ini, kita lakukan anjakan yang serius untuk membicarakan soal ini.
  1. Ada beberapa langkah dan ikhtiar yang diminta saya sampaikan. Saya tidak berhajat melakukan itu. Saya beritahu saudara Rafizi, kita akan edarkan ada lima (5) ikhtiar yang Dato’ Nor Azmie susah payah merangka bersama. Sebab bagi pandangan saya meminjam Amartya Sen, poverty is not just about the lack of money, it is about not having the capability to realise one’s full potential as human being. Maknanya suatu keupayaan yang diberikan untuk melepaskan (diri dari kancah kemiskinan). Sebab tu kalau program-program yang dikemukakan termasuk IPR, itu bukan soal bantuan dana. Itu memberikan ruang mereka bekerja membebaskan dan kemudian tidak lagi bergantung. Ini baru bagi kita petanda kejayaan.
  1. Jadi walaupun kita katakan angka yang kita capai dalam hampir 2 tahun ini, Alhamdulillah kemiskinan tegar kerana saya minta ICU fokus semata-mata jumlah yang ada berdasarkan angka tahun 2022 dulu dan selesaikan. Jadi peringkat itu kita berjaya. Tapi tidak berjaya melepaskan, membebaskan mereka dari sudut kemerdekaan ekonomi. Sebab itu, perkara ini juga terkait kadang-kadang perbicaraan elit ini, minta maaf saya nak hujah apa yang terbuku di kalbu ini. Seperti mana kita bicara kalau soal pendidikan, soal ekonomi, katanya harus ada justice. Ada pula katakan tidak harus ada kuota ataupun mesti ada peluang bagi yang terbaik yang mempunyai merit. Merit segi perniagaan, merit dari segi pendidikan.

Saudara,

  1. Tidak ada perbicaraan tentang keadilan semata-mata berdasarkan merit. Sebab itu saya popularkan karya Michael Sandel dari Harvard tentang Tyranny of Merit. Marit itu penting. Kalau saudara nak tanya seorang doktor pakar, saudara pilih yang terbaik, maknanya meritorkrasi. Kalau nak tanya hujah seorang alim dalam menafsir satu ayat, cari mufassir yang layak, bukan yang kita dengar hari-hari kadang-kadang itu. Maknanya merit itu penting. Tetapi merit itu ada keterbatasannya kerana merit itu setelah dipilih di kalangan yang paling berjaya. Sebab itu saya juga sering singkap pandangan John Rawls bila dia sebut, “justice is fairness”. Betul kita mahu justice tapi justice itu harus fairness. Apa yang fair nya?
  1. Semalam saya satu hari di Kapit termasuk rumah panjang, perumahan dan masyarakat. Kita nak harap sekolah di Kapit bersaing dengan sekolah terbaik di Kuala Lumpur dan perkiraan merit yang dianggap just atau adil. Tapi apakah ia fair? Ia tidak adil sebenarnya. Sebab itu ada beberapa pertimbangan yang harus diberikan. Merit sebahagiannya dan keadilan sosial supaya berlaku kesamarataan, kesaksamaan. Sebab itu ada kebijaksanaan pemikir-pemikir dan leluhur bangsa. Bila selalu disebut keadilan dan kesaksamaan, itu ada saya rasa kebijaksanaan hujah itu bahawa peluang harus diperluaskan. Itu suatu prinsip justice as fairness. Kerana saya boleh bicara dengan golongan elit ni berbeda sama sekali.
  1. Jadi kalau kita tekan begitu, kadang-kadang sekolah-sekolah terbaik, universiti berdasarkan merit itu dipenuhi bukan sahaja di kalangan beberapa merit yang cemerlang di kalangan bukan Melayu tetapi juga orang Melayu yang paling kaya. Anehnya diberi subsidi. Jadi kos di fakulti kejuruteraan, perubatan yang tinggi itu supaya menguntungkan golongan yang kaya dalam masyarakat termasuk anak-anak sebahagian daripada kita. Apakah cara atau kaedah untuk memastikan dana itu diagih dengan adil? Maknanya yang kaya harus bayar. Mana mungkin bila subsidi untuk IPR kita heboh, atau untuk program ICU? Tetapi subsidi besar kepada golongan kaya itu tidak dihebahkan. Ya dari segi industri disebut insentif. Untuk orang kaya, insentif. Orang miskin, subsidi. Untuk penyakau ratusan juta dikatakan komisyen. Untuk korporal dikatakan corruption. Jadi kita harus fikir hal-hal yang sedemikian bahawa istilah itu tidak harus memukau dan mengelirukan.
  1. Jadi hal-hal ini yang disebut tadi all of government approach dari segi makro harus dibicarakan. Dana yang diperuntukkan dari dulu, semua Kerajaan-kerajaan terdahulu. Kita boleh berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi dari segi dana diperuntukkan untuk orang miskin itu tinggi, RM20-22 bilion. Saya hadir dalam salah satu seminar anjuran Khazanah di mana seorang sarjana itu memberitahu kalau dana itu tidak diberi peruntukan melalui agensi dan jabatan, diberi langsung kepada tiap orang miskin, selesai masalah kemiskinan kita. Dana RM22 bilion satu tahun diberi kepada setiap orang miskin, tutup semua agensi dan jabatan. Iya tidak praktikal tetapi sekadar memaksa kita dan satu kejutan yang harus menyebabkan atau harus mengakibatkan kita memikir semula pendekatan kita. Terlalu banyak, ada agensi umpamanya untuk rakyat miskin, 80% untuk pengurusan dan jabatan. 20% untuk yang paling miskin.
  1. Ada agensi baru-baru ini yang tumpuannya untuk golongan rentan dan miskin, tapi puluhan setiap kali ada acara di luar negara dibelanjakan. Sebab itu kita mulai keras hal ini kerana sudah jadi budaya. Tak salah ikut peraturan, ikut prosedur. But the procedure is blatantly bias and unjust. Sebab kita salah guna dana itu. Sebab itu pemantauan itu keras. Saya harap dalam seminar atau simposium seperti ini, hal-hal ini dibicarakan. Kalau tidak yang diminta tiap kali jumpa, peruntukan. Mana negara yang mampu berikan peruntukan lebih daripada ini? Tetapi yang tak dibicarakan ialah peruntukan kepada jabatan, agensi yang bocor dan tiris. Sebab itu memerangi rasuah dan penyelewengan itu jangan dipandang remeh.
  1. Saudara prihatin tentang apa dia nilai dan akhlak, saudara prihatin tentang masalah kemiskinan dan kesenjangan, dan saudara nampak agak remehkan soal tata kelola, kita tidak akan dapat memberikan penyelesaian yang baik. Sebab itu masalah kemiskinan ini harus diteliti. Saya masih ingat karya awal Peter Drucker, “what gets measured, gets managed”. Maknanya pengurusan itu juga pengukuran dan penilaian. Ada cadangan sekarang untuk menggabungkan beberapa agensi yang kadang-kadang bertindih. Fuh, perang kita. Siapa mahu lepaskan sudah ada jabatan? Jadi kerana obsession nya kepada jabatan, bukan kepada matlamat asalnya. Kan dulu ada sindrom yang kita kata Parkinson’s Law, iaitu ada masalah, ada agensi. Ikan? Kemajuan ikan yang kemudian jadi LKIM. Pemasaran? FAMA. Kemudian mungkinlah peladang, maka Pertubuhan Peladang yang kemudiannya menjadi NAFAS. Sebut sahaja masalah, ada agensi. Betul, tapi masalahnya tak selesai dengan agensi.
  1. Jadi sebab itu saya sekadar mengajak saudara untuk memikir apa kaedah. Ikhtiar yang dibuat oleh Kementerian Ekonomi ini kita sambut. Sebab apa? Dia tidak berikan secara muktamad yang ini penyelesaiannya. Tetapi mengemukakan ini pandangan kita, ini sedikit anjakan peralihan daripada pendekatan lama tetapi memohon saudara menyergah, mengkritik, memperbaiki. Tetapi ada kesediaan untuk melihat lebih daripada sekadar tempelan, perbaiki kecil-kecil. Apakah perlu ada suatu perubahan besar? Sila kemukakan. Kalau kita berani dalam Kerajaan lah kita lakukan. Kalau kita tak berani kita lakukan perlahan.
  1. Jadi saudara-saudara, ini yang saya nak tekankan kerana kalau sekadar memahami masalah kemiskinan, itu dibicara lama. Apa yang diungkapkan oleh Pendeta Za’ba tentang kemiskinan. Itu bila orang Melayu pada peringkat awal zaman penjajah, sebaik bicara soal Melayu turut bicara soal kemiskinan. Tetapi kekuatan Pendeta Za’ba itu berbeza dengan pakar ekonomi biasa. Dia memikirkan soal kemiskinan harta, kemiskinan ilmu dan kemiskinan budi pekerti yang juga terkait dengan soal sikap dan budaya. Kelompok yang terbiar, tersisih itu juga terperangkap dengan satu jenis budaya yang harus didekati, kemudian diberikan rangsangan supaya ada juga anjakan.
  1. Dalam teguran saya ini tidak bermakna saya hendak nafikan kejayaan yang besar. Bagi saya Dasar Ekonomi Baru kejayaan yang terhebat adalah mobiliti sosialnya. Maknanya ratusan ribu anak-anak miskin yang dapat kemudahan untuk pengajian tinggi dan kursus-kursus. Cuma masalah harus kita fikir sekarang ialah bagaimana kalau katakan buat penilaian peratusan anak miskin, yang ke Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Melayu ketimbang golongan yang mewakili golongan elit. Sekadar yang saya dapat faham, majoriti memberi manfaat kepada golongan yang elit. Orang-orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha-pengusaha terkenal itu semua dia hantar ke sekolah-sekolah terbaik yang dibiaya oleh Kerajaan dengan kadar yang tinggi yang sebenarnya meletakkan kita dalam keadaan paling tidak munasabah dan tidak adil. Sepatutnya kalau anak orang kaya itu dihantar ke fakulti kejuruteraan, Melayu atau Cina atau Iban, dia bayar lah. Dengan cara itu kita boleh menampung kekurangan dan kalau tidak, subsidi ini berterusan. Hasil ini akan digunakan untuk membantu tambahan kepada rakyat yang miskin.
  1. Saya tegaskan sekali, mengapa saya sepanjang hari semalam di Kapit. Kerana Kapit kebetulan di antara daerah yang terpencil dan juga kadar kemiskinannya di antara tertinggi. Kalau negara ini memaknai kemerdekaan dan kebebasan serta keadilan, maka fokus harus ke situ. Sekolah menengah di situ tidak mungkin setimpal, tetapi sekurang-kurangnya harus ada usaha berterusan langsung untuk meningkat kemudahan, keupayaan dan mutu. Bagaimana harus kita lakukan? Dengan memastikan dana diagihkan. Bagaimana boleh dapat diagihkan dana? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya, yang ke sekolah menengah sains yang dibantu dan diberi subsidi tinggi oleh Kerajaan harus dihentikan. Ini saya hanya berikan imbauan awal sebelum umum Belanjawan bulan depan. Negara kalau benar mahu adil, harus adil bagi golongan yang memerlukan termasuk golongan rentan, anak-anak autism yang harus diberikan perhatian. Kalau tidak, tidak ada makna ihsan dalam Ekonomi MADANI.
  1. Saya tahu sesetengah tindakan ni tidak popular. Saya pun aneh, malah saya rasa bingung. Saya fikir bagi Kerajaan, kalau kita kenaikan cukai bagi golongan maha kaya, bantu orang miskin, baiklah. Tapi rupa-rupanya bila kita naikkan kadar elektrik bagi 15% terkaya dan tidak kena langsung kepada rakyat, fuh berdegar-degar di Parlimen. “Ini tidak adil”, “ini satu kezaliman”. Aneh pejuang-pejuang Melayu Islam ini. Ini yang berlaku saudara-saudara. Tapi apakah harus satu Kerajaan terus membantu rakyat termasuk golongan paling kaya dengan subsidinya dan orang-orang asing? Orang asing tak bayar cukai dan dana yang diperoleh itu dikirim ke negara mereka. Tetapi kita berikan subsidi elektrik kepada mereka. Bila? Puluhan tahun sudah dan kita mesti teruskan. Kalau kita cuba langgar ini, maka timbul keretakannya.
  1. Seperti mana subsidi diesel. Yang bayar siapa? 15% teratas dan orang asing. Yang marah siapa? Orang Sungai Bakap (nada seloroh). Jadi sebab itu saudara-saudara, pencerahan yang disebut oleh saudara Rafizi tadi penting dan melihat secara menyeluruh, secara makro. Bagaimana pendapatan? Dari mana kita harus kumpul dana? Bagaimana kita agihkan? Apakah melalui agensi-agensi yang sedia ada? Berapa upah bagi pengurusan? Apakah munasabah satu badan yang ditubuh untuk membantu orang miskin memberi upah dan elaun kepada pengurusan begitu tinggi? Dan perjalanan first kelas merata dunia. Hal itu sudah dibicarakan.
  1. Ada seminar di Sri Lanka 10-15 tahun yang lalu di antara agensi-agensi badan-badan Kerajaan yang non-government, tapi termasuk government companies and the civil society. Bila kita berbicara kebocoran dan ketirisan termasuk dalam di kalangan badan-badan yang sepatutnya membantu orang miskin, itu termasuk badan-badan ini. Kerajaan dan bukan Kerajaan. Belanjanya, pengurusannya, elaunnya. Jadi obsession nya itu seperti saya katakan Parkinson’s Law. Bila meeting apa agenda pertama? “Pejabat pengurusannya? Bagaimana karpet harus tukar atau tidak? Apakah elaun dia harus ditingkatkan ketimbang tahun lalu? Kerana tanggungjawab dia lebih banyak, dana lebih tinggi”. Dana ni dari Kerajaan.
  1. Jadi saya harap yang saya bicarakan ini, sebab itu teks ini saya minta KSU untuk mengedarkan sebab saya ingat pandangan itu penting. Tapi saya nak lontarkan pandangan supaya satu harapan agar rakan-rakan memikirkan hal ini. Ke mana hala tuju kita? Berapa keseluruhan dana? Saya harap YB Rafizi atau KSU terangkan keseluruhan dana untuk membasmi kemiskinan. Itu saudara-saudara, di antara tertinggi di dunia. Pastinya tertinggi di Asia. Tapi adakah ia betul-betul berkesan? Berapa banyak tirisnya? Berapa banyak belanja untuk pengurusannya? Apakah ini boleh dielakkan? Bagaimana kita harus tentukan bahawa bantuan itu untuk memerdekakan mereka, membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan? Hal ini yang saya harap saudara boleh bicarakan. Tak mengapa, boleh tegur, boleh kritik asalkan jangan memberontak. Ini dan 3R dalam konteks ini tidak ada masalah. Nak bercakap pasal Melayu miskin dan Cina, India, Iban atau Kadazan, tak ada masalah. Yang tak boleh itu ialah ajak bertempur di antara satu sama lain.
  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada saudara-saudara. Saya mohon maaf KSU kerana tidak senaraikan nota yang disampaikan. Saya terlihat semalam tadi agak baik dan saya harap dapat diedarkan sekurang-kurangnya tentang 5 ikhtiar yang disebutkan itu yang boleh jadi bahan perbincangan. Tetapi itulah lontaran idea tentang masalah kemiskinan ini. Kerana saya walaupun tak pandai dalam banyak bidang, tetapi sedikit pengalaman daripada Baling 1974 di Kemunting sehinggalah perbicaraan itu.
  1. Saya fikir tidak ada kemunasabahan, alasan sama sekali untuk Malaysia tidak mampu membebaskan dalam masa sesingkat mungkin kemiskinan tegar dan kemiskinan yang agak di bawah peringkat terbawah. Saudara-saudara pikul amanah besar. Bukan sekadar menunjukkan kehebatan dan kepintaran, tetapi untuk mengemukakan pandangan idea supaya puluhan Kementerian dan ratusan agensi dapat melihat dan saya hanya boleh beri jaminan kalau ini disiapkan, Jemaah Menteri akan mengambil kira pandangan ini cara yang paling serius. Kalau sempat hari Rabu, YB Rafizi boleh rumuskan peringkat awal notanya supaya kita ambil perhatian serius dari apa yang dipandang dan menjadikan ini soal keutamaan dalam yang disebut Fiqh al-Waliyyat dalam fekah keutamaan ini dia yang harus kita tumpukan.

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.