
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
PERSIDANGAN CUKAI KEBANGSAAN 2024
22 JULAI 2024
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdu lillaahil Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem
YB Lim Hui Ying,
Timbalan Menteri Kewangan;
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan & Pengerusi Anggota Lembaga, Lembaga Hasil Dalam Negeri;
YBhg. Datuk. Dr. Abu Tariq Jamaluddin,
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri;
Saudara Soh Lian Seng,
Pengerusi Chartered Tax Institute of Malaysia;
Seluruh keluarga HASiL; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan sekalian.
- Saya ucap terima kasih atas kesempatan yang hadir atas program yang dianjur bersama oleh HASiL dan juga Chartered Tax Institute of Malaysia.
- Saya percaya sidang ini akan memberikan ruang untuk membahas dan menilai kaedah pendekatan dan perkasa baharu bagi meningkat keupayaan tahap kecekapan dalam menyempurnakan tugas kita sebagai pemungut hasil yang tentunya tidak popular. Tetapi, sangat berjasa kepada negara.
- Saudara saudari saya tekankan ini kerana sering kali saya sebut bahawa Malaysia ini warisi satu sistem di mana asas cukai itu sangat rendah, di antara paling rendah atau terendah di Asia. Asas cukai malaysia ini 11.7% di KDNK, Vietnam 17%, Filipina 18% malah Singapura 13.8%. Jadi, rakan-rakan dalam keluarga HASiL harus tahu, tugas saudara saudari itu hanya melibatkan segelintir yang terlalu kecil, inilah asas percukaian. Maka, tahap kecekapan itu lebih mencabar ketimbang negara-negara di mana asasnya lebih luas dan melibatkan kelompok yang lebih ramai. Sebab itu cabaran, amanah yang dipikul itu tentunya bertambah.
- Apa yang kita tuntut sekarang adalah suatu usaha menegakkan keadilan. Cukai itu tidak harus dikutip daripada kalangan yang bukan haknya dan bukan untuk mendera tetapi mengikut peraturan yang telah disepakati, dipersetujui bersama. Jadi, tidak harus timbul cara atau kaedah yang dianggap menekan atau menzalimi dan apa yang dilakukan adalah suatu dasar yang hanya menyempurnakan tugas dan itu sahaja yang kita minta.
- Apa lain masalah kita? Masalah kita ialah negara tertanggung dengan hutang. Saya tahu ramai rakan rakan saya terutama kalangan pembangkang yang cukup bosan kalau dengar soal warisi hutang, tetapi itu kenyataannya kita mewarisi hutang yang tinggi dan defisit yang membengkak dari lebih 6.4% tahun 2020-2021 kemudian turun 5.6% pada 2022 dan apabila kita ambil alih pentadbiran ini, kita katakan tidak boleh kita pertahankan defisit yang sedemikian.
- Semua ini kalau lihat dalam kerangka ekonomi makro, mengurangkan defisit kemudian hasil tidak bertambah akan bermasalah atau mengurangkan hutang tetapi hasil kekal ditahap yang lama. Maka tidak juga mungkin, sebab itu apabila kita ambil keputusan pada tahun 2023, daripada 5.6% defisit turun jadi 5%. Ini suatu usaha yang mencabar, tidak mudah kerana harapan rakyat itu menggunung terutama apabila pemimpin-nya itu dikatakan pejuang reformasi.
- Jadi orang kata reformasi apa kata belum dapat hasilnya. Hasilnya tidak mungkin dalam 1-2 tahun kerana hasil itu dalam keadaan defisit yang membengkak. Jadi, turun mengikut keupayaan, mengikut kadar, dan kemampuan kita agar tidak membebankan rakyat terutama golongan rentan dan miskin, dan terpinggir sama ada miskin bandar, desa, atau pedalaman.
- Jadi untuk tahun 2024, kita mengunjurkan penurunan defisit itu daripada 5% tahun lalu kepada 4.3% kerana negara mesti diurus secara baik dan saya tahu ini bukan sesuatu yang dapat difaham, di mengerti, atau didukung oleh seluruh rakyat kerana umumnya rakyat itu mengharapkan habuan yang langsung pada mereka. Dia tidak peduli sama ada secara hutang besar atau tidak ataupun defisit membengkak atau tidak.
- Jadi kalau mahu popular sahaja, saya apa salahnya saya ambil sahaja hutang, beri. Hutang lagi, beri, nampak popular. Tetapi apakah ini sikap seorang pemimpin yang bertanggungjawab? Bapa yang kelola kebajikan anak-anaknya berhutang sebanyak mungkin, apabila dia meninggal dunia, isteri dan anak-anaknya terbeban. Samalah dalam keadaan kita, saya boleh hutang yang akan tanggung anak cucu saya.
- Sebab itu hutang mesti dibatasi dengan keupayaan kita melunaskan pada waktu yang ditetapkan. Saya bagi contoh kerana sekarang ini ada kekeliruan saya dikutuk dan diserang terutamanya di media sosial yang diketuai oleh rakan-rakan pembangkang yang mengatakan Anwar tidak memberikan jawapan yang tepat kerana hutangnya bertambah. Hutang negara bertambah kata dia, berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.
- Tetapi dia tidak melihat, kadang-kadang tidak ada kebenaran, tidak ada keadilan, tidak ada kesediaan untuk memberikan angka yang betul. Jadi orang keliru dia tengok jumlah hutang bertambah, memang betul lah hutang itu bertambah tetapi kita tidak berhutang. Angka itu bertambah kerana ikut kadar tahunnya. Saya bagi contoh umpamanya, kerajaan tiap tahun pinjam, pinjam nak bayar hutang, pinjam untuk pembangunan dan yang paling membebankan ialah pinjam bayar hutang.
- Sebab itu pengurusan ekonomi negara itu penting, tidak boleh kita serah daripada Perdana Menteri-nya ke Menteri-nya kepada Ketua Setiausaha-nya kepada Pemungut Hasil-nya, tidak boleh ada ketirisan, dan rasuah, dan penyelewengan kerana yang tanggung itu negara dan rakyat. Umpamanya bila saya sebut hutang, berapa jumlah? Hutang yang kita bayar untuk membayar hutang 1MDB sehingga tahun lalu hutang 1MDB itu RM48 bilion.
- Bayangkan jikalau kita dapat belanja RM48 bilion itu untuk pembangunan sekolah, klinik, universiti dan termasuk pelarasan gaji. Jadi apakah boleh saya kata “Oh tidak saya tidak peduli ini pentadbiran lama, saya tidak peduli saya tidak mahu bayar”? Tidak boleh.
- Jadi walaupun saya adalah Perdana Menteri sekarang, saya juga terikat dengan beberapa keputusan lampau. Sebab itu bila saya nak buat keputusan bersama rakan-rakan saya, saya kena fikir bukan sahaja sekarang tetapi tanggungan bagi pentadbiran dan generasi akan datang. Saya bagi contoh, tahap pinjaman kita kata mesti kurang, tahap pinjaman kita kurangkan walaupun, hutang masih membengkak. Jadi kena faham orang yang nak kritik dan serang ini jangan semberono kerana itu kamu bawa erti kezaliman. Jadi apabila dia tidak dapat fakta pula nanti dia buat qunut nazilah pula, lagi kacau bilau kita. Sebab itu kena mula dengan fakta dan data.
- Umpamanya tahun 2021, berapa banyak hutang? RM100 bilion. Tahun 2022 berapa hutang? RM100 bilion? Maka, saya kata kita tidak boleh lagi pertahankan. Maka, pada tahun 2023 kita kurangkan kepada R 93 bilion. Pada 2024 kena kurang lagi kepada RM86 bilion. Maknanya daripada RM100 bilion pada pentadbiran lalu, pentadbiran baharu ini dapat turunkan kepada RM86 bilion dan ini perlu dikurangkan.
- Kalau dikurangkan cara mendadak maka tidak dapat kita teruskan dengan agenda pembangunan kita. Universiti harus dikembangkan kepada beberapa disiplin baharu artificial intelligence, dan digitalisation harus diperkenalkan. Sekolah-sekolah harus dibekalkan dengan kemudahan baharu dan kita pula kadang-kadang kerana kecuaian, sampai tandas pun kena baiki pada tahun lalu. Tandas sekolah sejumlah 8600 yang rosak. Bayangkan Malaysia, negara hebat dan gagah tetapi tandas anak kita dan cucu kita, tidak boleh di pakai.
- Disebabkan itu, kadang-kadang bagi profesional di bandar termasuk Chartered Accountants, I want to also share and appreciate the stark reality that we have to face. Can we just ignore? We cannot, but it requires funds, but we start with the basic necessity and requirements of our people which includes lavatory, which includes public housing. Jadi saya harap ini harus dimengerti, yang penting apakah kita harus terus berhutang? Tidak boleh, kita mesti kurangkan jumlah hutang.
- Kalau dahulu tahap pinjaman itu 64% daripada KDNK, itu terlalu tinggi sehingga sudah melepasi had yang sepatutnya kita pertahankan bagi sebuah negara. Kalau diteruskan dasar yang tidak bertanggungjawab, tidak dapat pelaburan macam kita dapat sekarang.
- Tadi saudara Soh bercakap tentang pertumbuhan kita untuk suku tahun kedua yang sangat membanggakan, 5.8% pertumbuhan. Tidak dapat kita capai itu kalau orang lihat umpamanya tidak ada dasar yang bertanggungjawab, hasil tidak bertambah, kecekapan hasil dipertikai, kecekapan kastam dipertikai umpamanya, negara dan kerajaan terus boros, rasuah terus menular dan isu tatakelola dan governance diremehkan, orang tidak akan ada keyakinan.
- Seperti mana saudara mahu melabur perlu melihat apakah dasarnya jelas. Pertama, soal governance keduanya, ada atau tidak kejelasan dasar-dasar, policies clarity sama ada energy transition, digital transformation atau food security. Termasuk apakah negara ini yang terbeban dengan hutang yang banyak bersedia untuk mengurangkan. Apakah negara ini yang terbeban dengan defisit yang tinggi, yang membengkak, dapat kurangkan dan kalau ini dilihat kerangka ekonomi makro begitu rupa, maka orang akan tambah keyakinan, dan Alhamdulillah setakat suku tahun ini sangat membangga dan meyakinkan kita. Mudah-mudahan insya-Allah kita pertahankan sehingga akhir tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.
Saudara saudari yang saya hormati sekalian,
- Berbalik kepada keluarga HASiL, saya tegaskan dalam beberapa pertemuan termasuk di akhirnya dengan saudara Doktor Abu Tariq di Pulau Pinang, kita mengharapkan dengan asas cukai Malaysia yang paling rendah, kecekapan keluarga HASiL itu harus paling tinggi. Dan saya tegaskan, tidak membebankan pembayar cukai tetapi mesti melunaskan.
- Dan saya bercakap ini berdasarkan pengalaman yang real kerana saya lah di antara orang yang membawa dan mengangkat kedudukan Jabatan HASiL itu menjadi Lembaga HASiL Dalam Negeri, itu saya yang lakukan dahulu. Kerana saya yakin kita beri tugas yang besar, kadang-kadang menghadapi risiko, ada yang menerima ugutan kerana orang-orang yang kaya ini mahu gunakan cara lama.
- Sebab itu saya sebut kadang-kadang rasuah juga menjadi sistemik, maknanya dah menular dengan begitu kukuh. Dia dah biasa dengan cara itu, berapa cukai RM 2 juta runding-runding jadi RM 500,000, bocor sana, bocor sini. Sudah jadi kebiasaan jadi bila kita nak ubah, kalau patut bayar RM3 juta, dia patut bayar RM 3 juta tapi dia bagi alasan yang munasabah dan kita kena kurangkan sedikit.
- Saya percaya kepada kepakaran, kejujuran saudara melaksanakan tetapi saya nak tegaskan ini kerana ada di kalangan segelintir keluarga HASiL ada yang berlaku dan saya beritahu kepada Doktor Tariq untuk pastikan gelombang kecil ini betul-betul dihenti dan kalau mereka terus lakukan kita akan dakwa dan humban mereka dalam penjara kerana mereka khianat amanah negara. Tetapi ini kumpulan kecil, namun kumpulan kecil kalau kita biarkan dia akan memberikan persepsi dan menjejaskan nama baik lembaga yang telah berjasa dan berkhidmat dengan baik.
- Tugas saudara besar, saya tegaskan semula asas percukaian negara sangat kecil, kalau hasil pun kecil negara akan terjerumus dalam menghadapi masalah kewangan yang besar. Sebentar tadi, Datuk. Dr. Abu Tariq sebut tentang keperluan digitalisation dan sebagainya. Itu langkah-langkah baharu yang saya fikir memenuhi keperluan semasa supaya lebih cekap, lebih murni dan boleh mengelakkan ketirisan ataupun kecurigaan. Dan saya harap seluruh keluarga HASiL beri kerjasama penuh untuk mengangkat bukan sahaja keupayaan tetapi juga tahap kecekapan lembaga HASiL supaya kita dapat hasil yang baik.
- Saya pernah sebut dahulu pengalaman saya semasa di Jabatan Hasil Dalam Negeri, saya kebetulan pergi melawat jabatan dan diberikan taklimat. Pada masa itu, kebetulan Ketua Pengarah Jabatan HASiL beritahu saya, katanya ada 10 billionaire Malaysia yang sukar nak bayar cukai. Bayarnya hanya sedikit yang lain semua tertunggak. Jadi saya kata aneh kalau yang billionaire juga tidak mahu bayar cukai. Jadi yang guru dengan pegawai kerajaan nak suruh bayar macam mana?
- Rupa-rupanya disebabkan sistem itu berubah, dia takut dengan tekanan dan pengaruh yang begitu kuat. Jadi saya keluar sahaja daripada jabatan kepada media, saya sebut saya nak ingatkan semua 10 bilionaire itu bayar cukai mengikut jadual. Kalau tidak, Jabatan HASiL Dalam negeri akan terpaksa mengambil tindakan yang wajar.
Saudara saudari yang dikasihi sekalian,
- Itu bukan perkara yang mudah tetapi itu juga kenyataan seorang Menteri Kewangan ketika itu yang akan tentu mengundang masalah dan tekanan. Tetapi saya lakukan kerana saya fikir itu yang terbaik, kalau menterinya itu pun dianggap lemah, jabatan tidak akan berani. Disebabkan itu Perdana Menteri saudara saudari sekarang ini memberi saudara saudari dukungan dan sokongan penuh dan akan mempertahankan setiap orang keluarga HASiL dalam menjalankan tugas saudara dengan baik.
- Segala apa yang diperlukan keperluan, kemudahan, ganjaran apa yang munasabah, saya beri jaminan kita akan berikan kerana kita mahu saudara bekerja sebagai satu pasukan dan menukar wajah penjawat awam dan Lembaga HASiL dengan wajah baharu yang boleh dipercayai, diyakini menjalankan tugas dengan lebih sempurna.
- Saya sering juga panggil Datuk. Dr. Abu Tariq dan rakan-rakan untuk mendengar juga pandangan mereka tentunya bagi beberapa cadangan dan leteran kepada mereka. Tetapi juga memberi ruang supaya mereka juga beri pandangan dan cadangan tentang apa sahaja yang perlu untuk memperkukuh institusi dan dengan kerjasama Chartered Institute tentunya kerana kemahiran dan kepakaran ada pada mereka. Jadi kerjasama dan jaringan ini akan membantu.
- Jadi melalui forum NTC 2024 ini saya percaya kita akan cari jalan dan kaedah dan memberikan semangat baru buat saudara. Saya mahu lihat hasil bertambah lebih daripada unjuran, saya juga mahu lihat setiap sen, setiap ringgit yang perlu dibayar itu dibayar tanpa kecuali. Tetapi saya juga mahu lihat seperti mana saudara tahu tidak membebankan orang atau syarikat lebih daripada had yang ditetapkan.
- Tetapi kalau tanya saya dalam keadaan negara begini dan harapan rakyat yang menggunung saya juga meminta dan memberikan harapan yang menggunung kepada rakan-rakan HASiL. Jadi, tengoklah akhir tahun ini saya nak hasil itu mesti melonjak. Kalau tidak Datuk. Dr. Abu Tariq kena berbaris di hadapan office saya.
- Tetapi saya percaya, saya sebut begini kerana saya tahu semangat keluarga HASiL seperti mana kita saksikan juga itu di Pulau Pinang dan saya menaruh harapan yang tinggi agar kita bawa satu tradisi dan budaya baharu dalam negara kita kerana ini sahaja yang boleh membantu menyelamatkan bangsa dan negara kita.
Terima kasih. wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021