TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA PENIAGA-PENIAGA PASAR BESAR SITI KHADIJAH

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA PENIAGA-PENIAGA

PASAR BESAR SITI KHADIJAH

 

1 OKTOBER 2024 (SELASA) | 4.30 PETANG

 

LAMAN SITI KHADIJAH,

PASAR BESAR SITI KHADIJAH

KOTA BHARU, KELANTAN

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

 

Alhamdullihilladzi Anzala ‘Ala’abdihil Kitaaba Wa Lam Yai’al Lahuu’iwajaa

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een

 

YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad,

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Kelestarian Alam;

 

YB Tuan Helmi,

Pengerusi JK Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri Tempatan;

 

YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib,

Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KSU Perumahan;

 

YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Bin Mohd Zawawi,

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU);

 

YB Datuk Seri Haji Takiyuddin bin Hassan;

Ahli Parlimen Kota Bharu;

 

YB Dr Hafidzah Mustakim,

ADUN Kota Lama;

 

Samsul Ahmad Nazri,

Pengerusi Persatuan Perniaga; dan

 

Rakan-rakan peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

 

  1. Alhamdulillah saya dapat bersama-sama, patutnya makan ini santai sahaja di warung-warung, tetapi itulah masalah bila Perdana Menteri datang dia bagi meja khas dengan lapik semua, saya tak minta itu, mulanya nak ikut macam biasa. Saya kalau hari Jumaat, sebelum sembahyang Jumaat, saya ke warung, makan di meja yang sama, pinggan yang sama, kerusi yang sama tetapi Majlis Perbandaran, Kerajaan Negeri dan rakan-rakan di sini rasa sesekali datang dia layan baik sikit. Jadi tak apalah, saya ucap terima kasih.

 

  1. Saya datang ini sebenarnya seperti mana saudara tahu selain daripada ke Istana bersama Tuanku Sultan sebentar tadi, saya minta maaf tidak sempat menyalin pakaian. Tetapi saya juga berhasrat untuk meninjau pelaksanaan projek-projek di Negeri Kelantan, sama ada tebatan banjir, bekalan air dan juga projek-projek pembangunan yang lain.

 

  1. Sempat tadi saya berbincang dengan Tuanku Sultan Kelantan, dengan Dato’ Menteri Besar sebentar tadi dan pada kesempatan ini dengan KSU Kementerian dan juga Ketua Pengarah ICU dan saudara Nik Nazmi, kita dapat pantau lagi beberapa pelaksanaan projek. Tentunya tidak dapat saya lihat semua dalam kunjungan yang lalu saya lihat tebatan banjir kerana projek tebatan banjir ini kosnya tinggi dan perlu disegerakan.

 

  1. Hari ini saya akan lihat juga berkaitan loji air dan bekalan air bersih di negeri Kelantan, kerana kita tahu bahawa ada keputusan saya dahulu saya lulus RM20 juta untuk beli pam, tetapi pam yang sedia ada yang boleh dibeli itu tidak dapat sampai ke permukaan air kerana masa itu kemarau, dan sekarang nampak sudah dapat diadakan dan kita sedang bincang dengan Kerajaan Negeri dan Kerajan Negeri setuju baru-baru ini meluluskan laluan tanah itu dan saya ucap terima kasih cuma minta disegerakan kerana ini projek ini projek rakyat dan dalam musim kemarau, pam itu mesti masuk untuk kegunaan sawah padi dan kebun sayur.

 

  1. Jadi ada yang tanya kenapa peruntukan lama tetapi tidak dapat dilaksanakan itu kerana pam yang sedia ada itu tidak cukup dalam untuk bawa keluar air untuk kawasan sawah. Tetapi nampaknya sudah selesai walaupun kadar di stesen pam Kemubu itu perlukan kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri telah luluskan pada 18 September yang lalu dan saya percaya KP ICU dan Kementerian akan teliti supaya dapat disegerakan pelaksanaan itu. Saya hendak tegaskan peruntukan RM 20 juta itu telah lama diluluskan tapi mengambil masa untuk pelaksanaan.

 

  1. Yang kedua tentang pusat dialisis. Di Kelantan ini juga rekod kencing manis tinggi, kerana gula lebih. Jadi saya harap di pasar ini kalau jual kuih tolong kurangkan gula sedikit, kerana buat apa kita minta penyakit, jadi tolonglah sebab Malaysia ini di antara negara yang paling tinggi penyakit diabetik. Di Asia kita nombor satu berlawan dengan Filipina, bukan menang Oscar ke atau menang emas di Olimpik tetapi menang penyakit diabetik, penyakit kencing manis. Jadi saya harap kita mulakanlah di sini. Kalau saya di Pejabat Perdana Menteri, di Jabatan Perdana Menteri, makan minum semua turun gula, tinggal 20 peratus taruh gula, ataupun makanan yang langsung tidak bergula, untuk kurangkan. Jadi kalau Kelantan kalau tidak boleh ada gula, tidak bolehlah, peranglah mereka kerana semua gula. Kalau saya di Universiti Malaya dulu ajak kawan-kawan makan roti canai, roti canaipun dibubuh gula. Kalau di negeri-negeri lain satu Malaysia ini tidak ada orang makan roti canai dengan gula. Tak apalah kalau nak ada gula juga tapi saya minta supaya dikurangkan kerana penyakit ini sudah menjadi masalah besar, terutama Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah, ini tiga (3) negeri yang bersaing siapa dapat penyakit siapa lebih banyak. Jadi mudah-mudahan kita bersaing untuk kurangkan, insya-Allah.

 

  1. Saya nak lihat sendiri kerana permohonan ada. Tahun lalu kita lulus RM500 ribu ringgit untuk repair sedikit-sedikit bumbung ini. Dr Hafizah, dia bantah dia kata tak cukup, jadi tahun ini kita tambah RM1 juta ringgit, tak cukup sebab masalah pendawaian sahaja cecah lebih dari RM2 juta ringgit. Jadi saya tanya Kerajaan Negeri berapa sebenarnya peniaga seluruh di kawasan Pasar Siti Khadijah? Ada rekodnya sekitar 1,300 tetapi peniaga sebenarnya lebih daripada itu sehingga mencecah sehingga 1,900.

 

  1. Mengikut saudara Nik Nazmi ia jadi tarikan pelancong, ada dua sebab, satu pasarnya besar, keduanya banyak wanita-wanita cantik berniaga di sini, itu saya tak tengok tetapi diberitahu oleh Nik Nazmi. Tapi kenyataannya memang jadi tarikan pelancong di sini. Jadi oleh itu, saya bincang dengan pegawai-pegawai dai Kementerian Kewangan, KPKT dan juga ICU, kalau belanja bumbung tetapi masih bocor. Saya tanya, bumbung dah repair tetapi masa lalu tadi tak masih ada bocor. Dia saja, Perdana Menteri nak melawat dia bagi bocor (nada seloroh).

 

  1. Wiring ini sudah terlalu lama dan kalau kita tak baiki segera takut bahaya dari segi kebakaran dan sebagainya. Kemudian ada yang kata oleh kerana ia menjadi tarikan pelancong maka elok kita cat sedikit sebanyak supaya bagi cantik sedikit dan kebersihan mesti jaga betul-betul.

 

  1. Jadi untuk itu saya bagi nombor satu kebersihan, yang kedua baiki tandas-tandas sedia ada, ketiga bumbung, dan yang keempat, Itu Kerajaan Persekutuan tolong juga, janganlah kata kita tidak ambil berat, kita ambil berat. Saya boleh baca ini yang pegawai bagi senarai projek-projek di Kelantan kita bagi perhatian saudara-saudara. Saya beritahu kepada Tuanku Sultan dan Menteri Besar tadi memang tak benar kalau kata kita tak bagi perhatian, kita bagi cuma keupayaan kita terbatas dan kita minta hubungan itu baik supaya boleh kita kemukakan ikut salurannya.

 

  1. Jadi, RM1.5 juta telah kita luluskan sejak tahun lalu, jadi saya dok fikir berapa lagi diperlukan? Ada yang nak cadang? Baik-baik, kita dah lulus satu setengah, yang minta tadi 7, oklah saya lulus RM5.5 juta ringgit supaya jadi tujuh. Ini besar saudara-saudara, betul. Saya kenangkan keperluan 1,500 peniaga-peniaga di sini. Bila saya lulus saya tidak mahu jadi macam cerita pam tadi, pam tadi memang ada masalah, jadi kalau lulus minggu ini, minggu hadapan, Dr Hafizah ya, Majlis Perbandaran, persatuan untuk berbincang dan saya minta ICU, KPT pantau supaya minggu depan sudah siap di mana nak mula dulu. Yang saya tahu mula kebersihan, kemudian tandas, ketiga bumbung, keempat, wiring. Untuk itu cukup dulu.

 

  1. Dan yang lebih sikit kita cat supaya nampak cantik, boleh begitu ya. Saya minta pekerja bagi kerjasama minta seperti mana kita dah ambil tindakan di beberapa tempat di Pulau Pinang, di Kuala Lumpur, kotor saja terus disaman dan ditarik balik lesen, jadi minta maaf kalau saya ada kuasa. Ini tentunya soal kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran tapi kalau di Kuala Lumpur saya jaga, kita bagi dia wang, kebersihan, kita buat gerai-gerai baru, sekarang dalam perancangan ratusan gerai-gerai. Kuala Lumpur diperindahkan, dicantikkan dan juga dibersih, diberi kemudahan air dan sebagainya. Tetapi kalau dia bagi lesen itu kepada orang asing, kita rampas lesen itu. Dia bagi pekerja-pekerja asing orang Bangla atau orang Rohingya dia boleh berniaga, tapi dia tak boleh ambil lesen kita. Jadi lesen diberikan, kalau diberi yang kepada orang lain kita rampas.

 

  1. Keduanya, kalau di tempat itu tempat sangat kotor tak jaga kebersihan dan ada kesan kepada penghuni, maka sepatutnyalah ini sudah YB Hilmi putuskan, kalau boleh biar kita keras. Betul, supaya seluruh negara ini kita dapat menjamin kebersihan. Saudara tahu pelancong juga datang, bukan daripada Siam tetapi banyak negara. Tahun ini penambahan pelancong masuk Malaysia hampir 100%. Saya minta supaya soal kebersihan dan keselamatan pelanggan diberi keutamaan. Tadi satu setengah juta telah diluluskan, kita tambah 5.5 juta.

 

  1. Dan saya tegaskan sekali lagi, kita minggu depan mesti mula kerja, peruntukan awal, saya minta Kementerian Kewangan dan KPKT luluskan segera. KSU ya. Sebelum projek pembangunan termasuk Pasar Binjai telah diluluskan RM4 juta sudah selesai, kemudian juga tak salah saya Pasar Pasir Putih RM4 juta juga telah diluluskan. Selain Projek Perumahan Kadok 140 unit dan yang lain tak payah saya baca, saudara boleh baca dalam surat khabar esok nanti bila baca banyak dia kata propaganda pula (nada berseloroh).

 

  1. Tapi yang penting hari ini, soal Pasar Besar Siti Khadijah saya minta sangat-sangat, saya tidak mahu tertangguh, kita tidak mahu orang kata kita umum, kemudian empat (4) tahun lagi, baru nampak bergerak, jadi minggu depan tindakan, dan Ketua Pengarah ICU akan bagi laporan kepada saya akhir minggu depan. Kemudian pelaksanaan itu dalam kadar segera, kalau perlu tender pun kita bincang dengan Majlis Perbandaran Kerajaan Negeri supaya tender itu dipercepatkan, dia tidak tender biasa, dia harus dikatakan ‘tender cepat’ maknanya ikut tender.

 

  1. Tak ikut tender ni bahaya, saya ada pengalaman ambil alih kerajaan ini, tak tender ini runding-runding ini tak boleh, ini dia sakau banyak. Jadi, lebih baik kita tender, kita ikut peraturan syarikat yang berupaya kos yang rendah dan laksanakan. Saya nak ambil kesempatan hanya bincang soal itu sahaja, yang lain doakan kepada Allah SWT supaya negeri ini kekal aman, kerajaan kuat dan pembangunan berjalan dengan baik, pelaburan datang.

 

  1. Tadi pagi Google, saya lambat datang ini sebab Google umum datang untuk pelaksanaan 10 bilion ringgit di Malaysia. Dan dulu paling kuat kita dikecam kerana ringgit lemah, sekarang, Alhamdulillah ringgit telah meningkat tinggi. Jadi sebab itu saya terkejut tanya tadi dengan YB Hafizah ada YB Takiyuddin, bila ditanya sayur lebih murah, ini banyak item yang lebih murah daripada dulu sebab ringgit kita tak kuat. Bila kalau ambil daripada Siam harganya turun.

 

  1. Saya ucap terima kasih kerana di Kota Bharu ini beda dengan pasar-pasar di banyak tempat lain termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor. Beli barang murah, dia tak mahu turunkan. Tapi di Pasar Besar Siti Khadijah ini, orang lebih lurus dan ikhlas. Bila harga turun, diturunkan, tadi saya tanya sayur, buah-buahan, banyak item yang turun harga dan saya harap perkara ini akan disiarkan. Saya nak pasar-pasar lain belajar daripada pengalaman dan sikap peniaga-peniaga di Pasar Siti Khadijah.

 

Terima kasih banyak.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.