TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK) BERSEMPENA DENGAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN (DBK) 2024 “SAYANGI BAHASA, SAYANGI NEGARA”

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

SAMBUTAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN (BBK)

BERSEMPENA DENGAN

DEKAD BAHASA KEBANGSAAN (DBK) 2024

“SAYANGI BAHASA, SAYANGI NEGARA”

 

 

6 OKTOBER 2024 (AHAD)

10:30 PAGI

PUSAT KONVENSYEN IPOH,

PERAK DARUL RIDZUAN

Alhamdullihilladzi Anzala ‘Ala’abdihil Kitaaba Wa Lam Yaj’al Lahuu’iwajaa

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak;

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berbahagia Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid,

Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan;

Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;

Ketua Setiausaha – Ketua Setiausaha Kementerian;

Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim;

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

 Yang Berusaha Dr. Hazami bin Jahari,

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka;

Yang Berbahagia Dato’ Rumaizi bin Baharin @ Md Daud,

Datuk Bandar Ipoh;

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri Perak;

Sasterawan-sasterawan Negara;

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

PENDAHULUAN

  1. Perak mencatat sejarah, terima kasih saudara Dato’ Saarani kerana semalam kita ada acara yang sangat bermakna mengingati pejuang bahasa sastera dan budaya pemikir bangsa, Pendeta Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung malim dan hari ini Kerajaan Negeri dan Dewan Bandaraya Ipoh membantu menjayakan acara Bulan Bahasa Kebangsaan, terima kasih daun keladi. Dan seperti mana yang disinggung sebentar tadi memang pelaksanaan bahasa termaktub dalam perlembagaan di dalam dasar pendidikan, itu tidak dimungkiri lagi. Tetapi pelaksanaan itu terutama di kalangan masyarakat terutamanya swasta itu perlu diberi penekanan sebab ada sedikit pandangan yang agak berbeda yang berbangkit seolah-olah Sekolah Aliran Kebangsaan Cina, Tamil itu hanya menekankan bahasa vernakular masing-masing, sementara sektor swasta dalam perebutan kancah ekonomi yang bersaing sengit ini seolah-olah memberikan penekanan ringan atau meremehkan kedudukan bahasa.
  1. Maka eloklah kita tekankan ya bahawa apa sekali pun jurusan persekolahan dengan penekanan Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil tidak sama sekali perlu dikurangkan penekanan, penguasaan bahasa yang baik kerana ini sudah disepakati, ini sudah termaktub dalam perlembagaan dan harus kita teruskan dengan komitmen yang lebih. Saya ucapkan terima kasih kerana kebanyakan sekolah-sekolah ini memberikan perhatian tetapi dalam tinjauan kita ada keperluan supaya jangan berlaku nanti kesenjangan. Kita bawa bapa-bapa, ibu-ibu punyai tanggungjawab menentukan supaya anak-anak masa depan ini lebih serasi, lebih berpaut, lebih bersatu dan ini memerlukan persiapan awal dari segi pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya negara itu. Begitu jugalah sektor swasta, memang benar saya antara yang menekankan keperluan penguasaan Bahasa Inggeris dalam dunia yang mencabar, tetapi penguasaan bahasa Cina atau Bahasa Tamil, Bahasa Arab dan bahasa lain juga akan membantu. Tidak ada negara yang kian meningkat maju yang akan menyisihkan mana-mana bahasa utama di dunia.
  1. Namun ini bukan zero sum game, bukan penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat perlu dan utama di negara kita tidak meminggirkan atau mengurangkan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu yang baik sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara. Jadi tidak harus timbul sedikit pun kekeliruan dalam hal ini. Sebab itu sektor swasta sama ada di Ipoh atau di Kuala Lumpur, di Johor atau di Sabah dan Sarawak harus juga memberikan perhatian yang sama kerana tugas membina bangsa dan negara ini adalah tugas bersama dan bukan sahaja tugas Dewan Bahasa dan Pustaka atau tugas kerajaan semata-mata.
  1. Kalau kita lihat susur galur sejarah dan menyingkap lembaran terdahulu, kita lihat bahawa perjuangan bahasa ini melalui suatu laluan yang sengit, bantahan kita ada mogok, kita ada tekanan sehinggakan bangkit peristiwa yang disebut Keranda 142. Disebut keranda kerana pada masa itu ada kegusaran, apakah pemerintah tegas untuk melaksanakan bahasa ataupun memilih untuk meminggirkan kerana masih mahu pertahankan Bahasa Inggeris dan kebetulan saya anak muda yang hidup di tengah kancah percaturan tersebut dan memilih untuk mendukung pejuang-pejuang bahasa yang lahirkan rasa bimbang resah terhadap sikap elit penguasa yang seolah-olah kurang memberi penekanan tentang peri pentingnya penguasaan bahasa dan pengiktirafan kedudukan bahasa dalam negara kita.
  1. Tapi saya harap hari ini sudah berlalu, cuma sikap sebahagian elit itu adalah masalah, umpamanya ada seruan-seruan sekarang dari kelompok yang agak terlalu ghairah dan obsesi terhadap penguasaan Bahasa Inggeris itu keterlaluan. Tidak ada sesiapa dan saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan penekanan atau meremehkan kepentingan Bahasa Inggeris tapi saya tidak mendukung satu sikap yang mempunyai satu fobia terhadap bahasa sendiri dan mengagungkan bahasa lain seolah-olah hidup kita, kejayaan kita dan kepintaran kita hanya penguasaan Bahasa Inggeris. Saya ingin ingatkan elit terlalu taksub dengan Bahasa Inggeris ini bahawa mereka itu hidupnya di Malaysia.
  1. Mereka mungkin dibesarkan di London, tapi saya nak ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia dan mereka bertanggungjawab bukan di kalangan kelompok elit kecil, tapi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya. Apakah tidak mungkin kita seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, pelbagai negeri ambil satu pendirian. Sudahlah dengan pertelingkahan lalu dan tunjukkan iltizam atau komitmen kita untuk memperkasa bahasa dan bila ini disepakati mudah kalau ini tidak dipertikai mudah kita kemudian kembangkan dan beri tumpuan kepada Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab atau Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dia mudah.
  1. Yang menjadi pertikaian ini ialah bila kita bicarakan soal bahasa-bahasa lain dengan mengurangkan keutamaan atau menyamakan tidak mungkin sama kerana Bahasa Melayu ini bahasa rasmi, bahasa yang termaktub dalam perlembagaan, bahasa yang dianggap lingua franca bagi rakyat. Jadi sementara kita mahu menekankan untuk penguasaan Bahasa Inggeris di zaman digital dan zaman transisi tenaga, di zaman Ai., peri pentingnya kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus diberikan penekanan yang sama. Ini bukan masalah rakyat di Ipoh ini atau di kampung-kampung atau di kalangan majoriti rakyat, tetapi hanya masalah di kalangan elit yang tercabut dari akar tradisi, budaya, bangsa dan negara.
  1. Jadi saya ingin memberikan penegasan ini kerana ia tidak lari daripada prinsip dan pegangan kita dalam negara MADANI, malah bila saya melakar kebangkitan Asian Renaissance ya, hampir 30 tahun yang lalu saya tekankan bahawa pemerkasaan ekonomi itu mesti menjadi tonggak, mesti menjadi tumpuan tetapi untuk negara apa lagi negara MADANI, pemerkasaan ekonomi itu harus ditekan, diberi penekanan seiring dengan pemerkasaan budaya cultural empowerment. Mana ada tamadun hanya dengan kekuatan ekonomi, kekuatan ekonomi sekarang menjadi fundamental tetapi tamadun itu bangkit, MADANI itu kerana kemampanannya, ihsannya, amanahnya dan pemerkasaan yang disebut ekonomi budaya. Bila kita sebut budaya, bahasa, seni, sastera itu tergabung terangkum dalam konsep yang lebih menyeluruh.
  1. Jadi sesedara saya ingat penjelasan ini saya rasakan perlu, kadang-kadang saya fikir aneh juga ya sebab Merdeka sudah 67 tahun tapi harus beri penekanan kerana seringkali muncul pandangan-pandangan yang agak kehilangan arah dan pedoman dari prinsip dan tunggak. Dan ini menimbulkan masalah bagi kita, negara harus menyelesaikan masalah ini dan kemudian maju ke depan mengangkat martabat rakyat negara dengan tatakelola yang baik, dengan demokrasi yang lebih matang, dengan penumpuan kita untuk menjadi negara yang mampu bersaing dan hebat di rantau ini. Bila kita bicara soal disiplin baru dan sebagainya, tetapi jangan tinggalkan landasan kita ini, rupa bentuk kerana Malaysia, adalah kerana jati dirinya, kerana sifat yang tertentu ini, kerana kita bukan negeri lain tidak di barat, tidak di timur, tidak di selatan. Tetapi Malaysia dengan keunikannya, kehebatannya, kepelbagaiannya, tetapi prinsip-prinsip yang ditekankan jelas.
  1. Jadi saya ingin mengambil kesempatan ini juga menjelaskan, selain soal bahasa, kadang ada suara yang bangkit bahawa kerajaan MADANI ini meminggirkan Bahasa, di mana yang kita pinggirkan? tumpuan yang diberikan kepada Dewan Bahasa dan penekanan diberikan kepada pendidikan itu ketimbang pengalaman tahun-tahun dan sebelumnya itu lebih jelas, sekarang lebih banyak peruntukan, lebih banyak ruang yang diberikan.
  1. Itu yang pertama soal bahasa, ada pula baru baru ini seorang tokoh pembangkang yang guna lambang Islam yang mengatakan kerajaan ini juga akan meninggalkan landasan, akan menukar prinsip perlembagaan Islam sebagai agama persekutuan. Ini khayalan apa ini? Inilah hal-hal yang kemudian mengajak kita bincang dan membawa kepada kebencian, berdasarkan pemalsuan fakta. Tidak ada. Datuk Seri Saarani di Ipoh, KSN ada di sini pernahkah ada perbincangan di kalangan mana-mana pegawai yang mahu menolak prinsip-prinsip sama ada bahasa atau Islam atau hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera atau kedudukan Raja-Raja? tidak ada, tidak pernah sepanjang saya menjadi perdana menteri hampir 2 tahun ini. Tidak pernah disuarakan, dibicarakan jadi mimpi apa ini? mimpi ngeri, mimpi palsu, mimpi kerana hasad dengki kerana kejayaan kita.
  1. Ini susulan saya ingin ingatkan baik soal bahasa, baik soal agama, soal hak keistimewaan soal kedudukan Raja-raja tidak pernah dipertikai. Bila kita berbicara larangan terhadap perbincangan soal 3R, ini kerana hal sedemikian menakutkan ‘culture of fear’ ini yang disebutkan bahawa kita tidak mahu keangkuhan, kezaliman dan tirani. Tapi tirani ni kadang berlaku ‘Tyranny of the majority’ tapi dalam sejarah manusia ada juga yang disebut ‘Tyranny of the minority’ di kalangan penghasut, pengganas, kelompok-kelompok yang menggunakan jalur dan suara kebencian, permusuhan dan menggunakan payung agama atau bangsa dan menipu rakyat.
  1. Saya mengambil sikap yang tegas, saya sebut kepada saudara Saarani sebentar tadi, kerana ini membingungkan. Kritiklah dasar ekonomi kita, kritiklah soal ringgit kita, kritiklah Perdana Menteri kerana tidak bijak dalam banyak hal. Tapi tidak boleh khianat dan dusta dan memfitnah dan menakut-nakutkan seolah-olah yang kita lakukan ini sudah merosak habis soal bahasa atau bangsa atau agama atau Raja-Raja.
  1. Yang kita larang dibicarakan, walaupun dikatakan kita ini sudah tidak demokratik dan zalim kerana tidak boleh bercakap 3R. Termasuk soal bahasa, bangsa, dan agama atau Raja-Raja. Boleh, ini hari kita bicara soal bahasa. Hari ini saya kritik soal bahasa, pelaksanaan dan mengajak rakyat untuk bersama. Boleh menegur Kerajaan dalam soal dasar keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Yang tidak diizinkan itu hasut kebencian dan permusuhan di antara satu sama lain. Negara ini dianggap hebat menjadi apa? kepada semikonduktor di rantau ini menerima pelaburan ratusan bilion ringgit dan dihormati oleh negara-negara, kawan dan lawan sebab kita ini aman.
  1. Berbeda pendapat biasa, berbeda politik itu biasa, tapi negara ini aman. Negara ini mempunyai dasar yang jelas tentang pemacuan usaha memacu pertumbuhan ekonomi yang segar. Jadi ini yang harus kita pelihara, politiknya stabil, datang pilihan raya berentaplah kerana itu dibolehkan. Sekarang politiknya stabil. Bila politik stabil untuk apa? mudah Perdana Menteri sakaulah, itu bukan maksud stabil, stabil ini maknanya mudah kita rencana kerangka ekonomi atau dasar, sama ada tenaga, peralihan tenaga ataupun pelan perindustrian ataupun transisi tenaga atau transformasi digital ini memungkinkan.
  1. Dan bila pelabur-pelabur lihat ini semua mereka bertambah yakin dengan jumlah pelaburan yang besar. Sebab itu saya katakan bahasa diberikan penekanan, bahasa Inggeris juga turut diberikan keutamaan kerana faktor-faktor ini. Bila ada sistem politik yang stabil, dasar yang jelas dan penjawat awam di semua peringkat Persekutuan, Negeri, Majlis Perbandaran, bergegas bekerja untuk menyelamatkan negeri dan bangsa dan negara lebih efisien, lebih cekap, lebih pantas, maka ia menjadi sendirinya satu tarikan.
  1. Saya ambil kira ini semua, walaupun ekonomi kita seperti saudara tahu beban hutangnya tinggi tapi saya ambil kira ini peranan penjawat awam yang menyebabkan saya memutuskan kenaikan gaji dan upah tinggi mulai 1 Disember ini insya-Allah. Jadi saya harap rakan-rakan terutama kalangan muda memilih dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Kita ada media sosial membolehkan kita bebas bersuara tapi fikir bahawa semua kebebasan itu harus dilaksanakan, diterima dengan pertanggungjawaban.
  1. Bebas itu untuk bicara, bebas untuk menegur, tapi harus penuh bertanggungjawab. Kalau tidak nanti timbul sepert saya katakan, terasa cemas, budaya cemas dan takut seolah-olah anak kecil dia takutkan dengan hantu yang tidak ada. Begitu juga orang politik dah habis dia tengok politiknya stabil, ekonominya baik, kita dapat dihormati, maka dihasut dengan perasaan hasad dengki tak fikir tak pedulilah jubah atau tidak, tapi dengan hasad dengki supaya menakutkan orang dan mencari-cari modal-modal baru untuk menimbulkan pertentangan.
  1. Mudah-mudahan Allah selamatkan kita dan selamatkan bahasa kita dengan komitmen kita sendiri. Dalam memperkasa bahasa sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa sastera, bahasa budaya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.