TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PEMBUKAAN SEKOLAH BAHARU
SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (TAMIL) HEAWOOD SUNGAI SIPUT (U), PERAK
6 OKTOBER 2024 (AHAD) │2.30 PETANG
SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (TAMIL) HEAWOOD SUNGAI SIPUT (U), PERAK
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera,
Saudara saudari vanakam,
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamed,
Menteri Besar Perak;
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YB Tuan Wong Kah Woh,
Timbalan Menteri Pendidikan;
YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi,
Ketua Setiausaha Kementerian;
YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim,
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;
Ahli Parlimen;
Ahli Dewan Undangan Negeri;
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
YBrs. Puan Ponnumani a/p Theruvenkidan,
Guru Besar SJKT Heawood; dan
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
- Cikgu Besar, hari ni nasib baiklah sekolah pun cantik, kemudahan baik. Terima kasih. Baik. Saya, terima kasih atas persiapan ni, dan terima kasih kepada masyarakat, Pengerusi Lembaga dan semua ibu bapa yang hadir dan anak-anak yang dikasihi dengan pertunjukan yang menarik dari anak-anak sekolah rendah membanggakan kita dan saya ucap terima kasih dan tahniah kepada Guru Besar dan guru-guru yang melatih anak-anak ini.
Saudara-saudari yang dimuliakan,
- Kita tahu dalam sistem pendidikan negara kita ini. Sementara kita galakkan penubuhan penyertaan sekolah-sekolah kebangsaan tapi sekolah-sekolah Cina dan Tamil itu termaktub dalam sistem pendidikan negara kita. Sebab itu bila ada yang hal-hal dibangkitkan, saya telah jelaskan bahawa dasar kita tu tidak berubah. Cuma setiap masyarakat, setiap daerah, setiap kampung yang saya lawati, setiap negeri saya kunjungi, memanglah senarai permintaan itu bertambah. Jadi saya tidak ada masalah, sekiranya dibangkitkan permohonan, perbincangan dengan baik.
- Tapi dalam negara seperti Malaysia, kita ada pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai negeri. Caranya cara begini, kita hidup dengan rukun, dengan aman, runding dengan baik, minta dan buat tuntutan dengan baik dan inilah dilakukan dan saya ucapkan terima kasih sekali lagi Jawatankuasa dan Lembaga Sekolah kerana sedia berunding dengan Kementerian Pendidikan bincang dengan baik dan tidak terbawa-bawa dengan pandangan-pandangan yang negatif yang tidak akan menguntungkan kita.
- Malaysia ini aman. Dan seperti mana yang disebut oleh Wong Kah Woh sebentar tadi, Kementerian Pendidikan di bawah Menteri Fadhlina punyai komitmen yang sama tidak ada perubahan ya. Cuma setiap masa memang ada tuntutan, saya faham ya sebab itu peruntukan bagi pembangunan dan pengurusan Kementerian Pendidikan itu peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negara. Nombor satu peruntukan pendidikan, yang kedua kesihatan. Jadi maknanya dua (2) sektor ini diberikan keutamaan kerana negara ini harus berkembang dengan mutu pendidikan yang baik.
- Kalau ditanya saya apa cabarannya selain daripada keamanan, selain dari pertumbuhan ekonomi? Cabaran kita ialah memastikan mutu pendidikan kita tingkatkan. Orang, pelabur-pelabur datang, sebab dia lihat negara ini aman. Dia datang sebab dia lihat ekonomi dia berkembang. Dan dia senang kerana mutu dan disiplin pekerja kita membanggakan. Saya lihat umpamanya pelaburan di Perak yang disebutkan tadi oleh Menteri Besar, Datuk Saarani malah kita berani kemukakan beberapa projek baru yang besar seperti di Tanjung Malim, Proton Geely, puluhan bilion. Kerana pelabur yakin dengan keupayaan kita mengurus dengan baik, mentadbir dengan cekap. Kemudian kita ada KIGIP yang disebut tadi di Kerian. Orang bicara high tech dan sekarang ni green high tech. Mengapa saya sebut hal ini semua? Untuk meyakinkan ibu bapa bahawa mutu pendidikan, pendidikan anak-anak itu penting.
- Mesti kita ada budaya baru, jangan gaduh soal-soal lain. Ada orang berbincang, sekarang tak habis-habis lagi bergaduh ya. Semalam kita dengar ada katanya, oleh kerana kerajaan ini tak ambil pandang berat tentang bahasa kebangsaan, ataupun nak tukar agama Islam agama persekutuan ini semua merugikan negara, tidak ada faedah.
- Yang kita tumpukan ialah ada sekolah, tingkatkan mutu pendidikan, ada aliran Cina, aliran Tamil benar. Apa dia keputusan kita? Pastikan anak-anak India, anak-anak Cina, sampai juga anak Melayu, Iban, Kadazan kuasai Bahasa Melayu, kerana Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan. Tetapi dalam masa yang sama tingkatkan mutu bahasa dia. Kalau di sekolah Tamil, bahasa Tamil, sekolah Cina, bahasa Cina atau orang-orang lain nak kuasai bahasa Arab atau Perancis, Jerman itu diizinkan, tak ada masalah. Tetapi dasar negara kita penguasaan bahasa itu sangat penting. Saya ingatkan guru-guru di sekolah Tamil atau Cina, jangan merasakan penguasaan bahasa itu tidak penting. Kita di Malaysia kita nak semua boleh berkomunikasi dengan baik di antara satu dengan lain. Kita sudah sepakati bapa-bapa, ibu-ibu kita sebelum kemerdekaan guna bahasa kebangsaan.
- Di samping itu, kita juga sepakat tingkatkan mutu penguasaan. Apa ruginya kalau kita kuasai, ramai orang kuasai bahasa Tamil, ramai orang kuasai bahasa Cina bagi kita menguntungkan negara dan menghormati hak masing-masing rakyat memilih untuk menguasai bahasa ibunda dia. Ini prinsip kita dan saya harap hal ini tidak perlu banyak dibincangkan tapi cuba dilaksanakan.
- Ada beberapa cadangan, bagaimana tentang mutu dan latihan guru-guru bahasa Tamil. Saya dapat pandangan kita bincang dan Menteri Pendidikan, guru supaya selain daripada bahasa kebangsaan, bahasa Tamil diberikan tumpuan bersama dengan bahasa Cina supaya guru-guru juga dilatih oleh Kementerian Pendidikan untuk dikirim ke sekolah-sekolah Tamil dan Cina. Dan juga seperti mana kita putuskan di beberapa sekolah kebangsaan di mana anak-anak India yang memilih untuk menguasai bahasa ataupun mempelajari bahasa Tamil atau anak-anak Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan itu harus kita pastikan ia dapat ditingkatkan. Ini dasar yang tidak bercanggah dengan dasar negara kita.
- Sebab itu saya katakan, biar ada komitmen jelas di kalangan masyarakat Melayu, Cina, India dan Sabah Sarawak, biar ada komitmen jelas tentang bahasa kebangsaan. Kemudian, sambutan dari kementerian dan kerajaan supaya anak-anak ataupun ibu bapa yang memilih supaya anak-anak boleh belajar bahasa Tamil di peringkat Sekolah Menengah menyambung, harus diberikan ruang satu kelas kalau jumlah dia cukup, kita latih guru-guru, ini dasar dia. Mandarin kerana bahasa Mandarin lebih lagi kerana sudah menjadi bahasa ekonomi di rantau ini.
- Kalau ini dapat kita lakukan berperingkat dan kalau ada Persatuan-persatuan Tamil, Persatuan India, Persatuan Hindu, persatuan masyarakat nak kemukakan, kemukakan dengan baik. Jangan terbawa-bawa dengan sentimen orang-orang yang melampau. Saya nak beritahu, kalau nak melampau, sekarang ini kita layan, ada yang Melayu yang melampau sekarang, ada Cina yang melampau, ada India melampau. Kita benarkan orang-orang ini naik, hancur negara kita. Sebab itu kita mesti ambil jalur tengah, runding dengan baik, ada perselisihan bincang dengan baik dan gunakan ruang supaya berikan pandangan.
- Baru-baru ini saya jemput semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Menteri, Timbalan Menteri di kalangan masyarakat India untuk dengar. Di antara yang mereka bangkitkan ialah soal rumah bayar bakar mayat (crematorium) yang dia rasakan kurang dan memerlukan. Saya kalau dikemukakan dengan baik begitu, kita dengar. Kita cari tempat yang baik. Janganlah dekat kampung Cina ke kampung Melayu. Dia tak mahu, jauh sikit. Dari pilih, yang pilih kerajaan Negeri, ada tanah dan kerajaan Persekutuan terus dalam perjumpaan itu, saya setuju untuk memberikan, meluluskan RM20 juta untuk krematorium.
- Negeri-negeri di mana ramai masyarakat India, kadang kalau di Perak ada tapi yang swasta. Mereka minta satu yang dikelolakan oleh kerajaan. Di Pulau Pinang, ramai masyarakat India tidak cukup hanya satu yang dikuasai oleh kerajaan, di Kedah tidak ada. Jadi kita luluskan baru-baru ini ya di Kedah satu, di Pulau Pinang satu, di Perak satu, di Selangor satu, di Johor dua kerana keperluan di dua kawasan yang berjauhan, umpamanya, itu cara.
- Tetapi kadang saya lihat umpamanya, bila saya lihat liputan media Tamil esoknya, itu tidak jadi besar. Yang jadi besar ialah ada sedikit sebanyak perbincangan dan ketegangan dalam mesyuarat. Saya nak nasihat media, kalau kita pilih begitu, dia ambil orang-orang Melayu yang bising seperti di Terengganu semalam, kita hebohkan apa nak jadi, orang Melayu tuntut negeri ini jadi negeri Melayu sahaja. Orang India kata tidak dapat apa-apa dan kita minta semuanya. Jadi bukan caranya.
- Saya ambil pendekatan yang mudah. Ramai saudara-saudara kenal saya dari dulu. Cakap baik, ada yang munasabah kita luluskan, saya tidak ada masalah. Bahasa Tamil, latihan guru Tamil, anak-anak India masuk TVET, program TEKUN untuk masyarakat India. Dulu Amanah Ikhtiar tu 100% Melayu Bumiputera, saya kata tak apalah, apa salah beri ruang kepada masyarakat India yang miskin, ambil mereka dan latih dan beri peluang kepada mereka. Kerana saya sebut ini di Parlimen berapa kalau di Semenanjung Tanah Melayu? jumlah yang paling miskin siapa? Melayu majoriti, tetapi kategori termiskin di kalangan masyarakat miskin itu adalah juga orang-orang India. Orang-orang India itu warganegara kita, rakyat kita. Saya sebagai Perdana Menteri, itu tanggungjawab saya ya.
- Maka sebab itu dalam program yang kita lakukan, yang kita sebut sebagai membasmi kemiskinan tegar, itu kita ambil semua kampung, semua individu. Kalau di Kuala Lumpur kebetulan kerana jumlah anak India atau masyarakat India tu miskin tu ramai, maka yang memperolehi keuntungan, peluang dan kemudahan dan bantuan daripada kerajaan itu majoriti masyarakat India. Bukan makna saya pro India atau pro Melayu. Kita kata, siapakah yang paling miskin ikut rekodnya miskin tegar? saya tak kira dia warna kulit apa, nama dia apa, Muniandi ke Arumugam ke, Salleh ke, Kah Woh ke, saya tak kisah. Kalau dia masuk kategori paling miskin kita bantu sebab itu kita lakukan ya. Saya sebut hal ini ya di Sungai siput pada petang ini kerana saya tak rasa mudah terima. Kita buat ini tak ada langsung penghargaan. Yang ada hanya seolah-olah kita ini tak peduli. Sebelum pilihan raya minta sokongan orang India, sekarang tak peduli. Siapa kata tak peduli. KSN ada dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, dalam mesyuarat saya kalau kata miskin tegar saya kata semua.
- Ya kadang-kadang ambil masa macam nak bangun sekolah, dapat tanah, pelan, arkitek, kontraktor, bangun sekolah kadang-kadang dia ambil masa. Tetapi kita tidak tolak ansur sebab itu. Saya mahu rakan-rakan faham. Tidak mudah ya, bila saya sebut macam ni sambil macam saya sebut anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak orang Sabah anak Sarawak, anak saya, baru saya boleh jadi Perdana Menteri yang baik. Itu dihentam oleh sesetengah orang. Tengok Anwar dia samakan Melayu, Cina dengan India ni dengan anak Melayu, mana boleh. Ada juga pandangan begitu. Apa saya peduli, saya tidak peduli sebab negeri ini mesti aman, negeri ini mesti adil bagi setiap rakyat negara ini.
- Sebab itu saya harap kawan-kawan faham. Saya bukanlah maksud saya nak terangkan setiap satu, tadi saudara Wong Kah Woh terangkan sedikit sebanyak dari segi kementerian apa yang dilakukan daripada Kementerian Pendidikan, minggu depan kita dan 2 minggu lagi kita ada Belanjawan dan kita akan baca lagi. Itu pun kadang-kadang ada masalah juga. Kerana kita kalau orang Melayu, dia kata oh mana dia projek Bumiputera tak sebut. Yang tolong orang miskin tu ramai juga Bumiputera, yang buat sekolah pun Bumiputera, yang buat hospital pun orang Bumiputera boleh pakai.
- Baik, tak ada pula India pula, mana ada, kaasu ille (tiada duit) kata dia. Untuk orang India, saya kata oh dia kata ini MITRA saja. Siapa kata MITRA sahaja, MITRA tu satu program, Amanah Ikhtiar. Kita tak sebut Melayu ke India tapi orang India dapat. Ya, miskin tegar semua dapat. Jadi untuk selamat negara ini, kita harus cuba terangkan yang benar. Ada masalah? ada, siapa kata tidak ada masalah. Tanya setiap Kampung di Sungai Siput, tanya Pegawai Daerah, tanya ADUN, tanya Ahli Parlimen. Dia boleh terangkan ke saya 3 – 40 perkara yang boleh kita lakukan. Semua ada masalah, pergi Tambun pun ada masalah.
- Tapi kita kemukakan dan bincang dengan baik. Itu yang saya nak tegaskan supaya kita jadikan majlis ini sebagai majlis meraikan, ya. Majlis ini sekolah Tamil tapi kita undang semua pemimpin masyarakat. Ya, yang Melayu, yang Cina, Orang Asli, wakil, semua kita datang kerana kita meraikan. Ini sekolah kita. Sekolah anak-anak kita.
- Saudara-saudari, saya ke Pakistan dan singgah 4 jam ke Bangladesh. Bulan lalu ke India disambut oleh Perdana Menteri, Narendra Modi, kemudian Perdana Menteri Pakistan dan semalam sahabat saya Chief Advisor, Penasihat Utama, Muhammad Yunus, profesor di Dhaka. Di semua negeri-negeri itu mereka beri penghormatan tinggi kepada Malaysia. Bukan sebab Anwar. Jangan salah faham sebab negara ini aman. Dia tahu negara ini ada Muslim, Hindu, Sikh, agama Nasara Buddhist, Kristian semua ada. Tetapi dia tahu negeri ini aman.
- Dan kita bangga kerana rakyat begitu. Kita boleh bagi tahu mereka. Kadang-kadang mereka ada pergeseran lebih teruk dari kita. Jadi kadang-kadang mereka tanya mengapa? Kerana kita bagi jaminan. Ada yang tidak puas hati kita bagi ruang dengar dan kita bincang.
- Di Bangladesh, ada orang bangkitkan bila ada bantahan daripada anak-anak muda mahasiswa kerana rasuah pimpinan mereka yang terdahulu yang didakwa oleh mereka, maka Perdana Menteri lari keluar dan diganti oleh Kerajaan Sementara. Kemudian dalam keadaan rusuhan itu ada mangsa, orang Islam pun ada, orang Hindu pun ada. Jadi ada kebimbangan. Saya sebagai seorang rakan dan seorang yang percaya kepada prinsip kemanusiaan, di negeri itu saya sebut, saya kata kena jaga semua. Biar jamin keamanan, biar tiap rakyat Muslim majoriti dan Hindu yang di Bangladesh merasa mereka itu terjamin, terselamat dan Muhammad Yunus bagi jaminan, dia kata “Anwar, you know me for forty years, fifty years. I’ve never compromise on the issue of peace, security and humanity and it is my duty therefore with the army personnel to do whatever is necessary to make sure there is no discrimination, no intimidation against anyone”.
- Mengapa saya boleh lakukan begitu? kerana mereka tahu di Malaysia ini kita amalkan prinsip ini.
Bila keadaan aman, apa yang kita lakukan? Rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri, bekerja keras. Kemudian, kita kemukakan dasar. Kita sekarang fikir, hadapi masalah import barang makanan terlalu tinggi. Okey, maka saudara Mat Sabu dan team dia dan rakan-rakan di Kementerian Ekonomi, Kewangan dan lain berpakat kemukakan rancangan food security – keselamatan makanan dan dalam program MAHA baru ini nampak kejayaan yang sangat membanggakan. Kemudian, dunia menuntut dengan perubahan iklim – climate change, maka perlu ada perubahan dasar yang disebut energy transition, peralihan tenaga kita letakkan dasar.
- Kita nak perindustrian, tapi kita tak mahu perindustrian tahap lama, bukan kilang-kilang nak buat tekstil ke baju dan kilang-kilang yang rasa peringkat yang rendah. Kita nak tinggi termasuk semikonduktor termasuk teknologi tinggi, maka ada pelan perindustrian. Kemudian kita hadapi sekarang digital. Anak-anak kita ketinggalan. Kita ada dasar yang disebut Transformasi Digital. Bila kita lakukan dasar ini semua, saudara lihat tak semena-menanya pelaburan datang mencurah-curah. Ya, dari Google 10 bilion. Baru-baru ini Oracle umum.
5 bilion. Dan semua saya pergi, baik India lepas tu Pakistan, Bangladesh dan negeri-negeri lain yang kita pergi, semua tanya kita mengapa, bagaimana Malaysia sudah jadi hab pusat semikonduktor di rantau ini.
- Jadi sekarang pusat perhatian orang ialah untuk datang. Bila dah datang peluang pekerjaan anak-anak kita. Hotel, restoran semua ni marak dan saya pula, saya tak mahu fikir restoran besar-besar sahaja. Kalau di bandaraya MB Dato’ Saarani tahu, tumpuan saya ialah semua gerai dan restoran kecil dan warung itu diperbaiki bagi bersih kemudahan air, elektrik dan indahkan supaya rakyat datang mengunakan dan orang asing tengok bersihnya kota-kota kita. Barulah boleh kita bawa negara ini ke tahap yang lebih maju, ya. Dan sekarang kita lihat umpamanya tahap begitu. 2 tahun lalu dan tahun lalu kita pening hadapi masalah ringgit.
- Sekarang, Alhamdulillah ringgit kita makin kuat currrency terkuat di dunia. Bukan nilai wang terkuat di dunia, nilai wang yang perubahan yang lebih positif yang terkuat perubahannya sekarang di dunia, saudara-saudara. Jadi ini satu perkara yang membanggakan, sebab politik stabil, sebab rakyat pelbagai kaum dia tak gaduh, adalah bising-bising sikit okey. Sebab puak pelampau kita kawal, sebab dasar kita jelas dan sebab juga swasta itu gigih bekerja bagi sumbangan dan penjawat awam pegawai-pegawai kita lebih cekap dan pantas bekerja dari dulu. Sebab itu, saya bagi tahu KSN kita nak umumkan gaji naik mulai 1hb Disember. Kalau lambat juga Pejabat Daerah Sungai Siput dan Kuala Kangsar, alamat tak naiklah gaji dia (nada seloroh).
- Jadi, kita bagi pengiktirafan, kerana kita ucap terima kasih, kerana sumbangan mereka juga besar dan bila kita buat pula lain kerana Kerajaan MADANI naik gaji betul, tapi naik gaji orang yang bawah naik lebih tinggi daripada orang atas barulah dia tak ada jurang, tak besar sangat. Kalau dulu naik, termasuk KSN lah, KSU semua naik tinggi jadi yang bawah naik sikit jadi lagi melebar. Sekarang ni tak, yang atas naik sikit yang bawah naik banyak hah itu baru keadilan sosial namanya. “Saya tengok KSU Ruji tak berapa tepuk kan, pasal dia kan” (nada gurau).
- Baik, sekali lagi saya ucap terima kasih. Saya gembira. Terima kasih romba nandri. Terima kasih banyak aci. Tapi saya tanya aci tadi “murukku mana? tosei mana? vadai mana?” dia kata bulan depan Dato’. Aiyoyo, saya kena tunggu Deepavali baru dapat vadai ka? tak gurau je gurau je.
- Jadi sekali lagi, saya ucap terima kasih dan doakan mudahan sekolah ini akan hasilkan anak-anak yang punyai pencapaian membanggakan dan terima kasih kepada guru besar dan guru-guru yang bekerja kuat untuk menjayakan majlis pada hari ini.
Terima kasih.
Similar Posts:
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR UMUM TOL PERCUMA 20, 21 JAN SEMPENA TAHUN BARU CINA
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR