TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: SEABAD ZA’BA PEMIKIR KEMISKINAN SEMPENA SYARAHAN ZA’BA

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

SEABAD ZA’BA PEMIKIR KEMISKINAN

SEMPENA SYARAHAN ZA’BA

 

 

 

5 OKTOBER 2024 (SABTU) | 11.00 PAGI

 

DEWAN TUNKU CANSELOR, UPSI

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam

Sejahtera.

Alhamdulillaahil rabbil ’alamain

Nahmahduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem.

Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

YAB Dato’ Seri Haji Sarani bin Mohamad

Menteri Besar Perak;

YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir,

Menteri Pendidikan Tinggi;

YB Tuan Chang Lih Kang,

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi;

YBhg Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang,

Ketua Setiausaha

Kementerian Pendidikan Tinggi;

YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Hj Mohd Dom,

Pro Canselor

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI);

YBhg. Puan Sri Datuk Seri Rohani binti Abdullah,

Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI;

YBhg. Dato’ Profesor Dr Md Amin bin Tap,

Naib Canselor UPSI;

YBrs. Dr Jufitri bin Joha,

Pengerusi Benevolent Malaysia;

Naib-naib Canselor Universiti Awam dan Swasta;

Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi, UPSI

dan Benevolent Malaysia;

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri;

dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

PENDAHULUAN

  1. Saya pertamanya memohon maaf kerana terlambat sikit tadi kerana baru pulang dari Pakistan dan singgah empat jam di Dhaka, Bangladesh. Saudara Muhammad Yunus itu sahabat lama, dan dia mengetuai pemerintahan interim, telah menghadapi pergolakan politik yang mencemaskan yang ditunjangi oleh anak-anak muda yang menuntut perubahan, menolak rasuah dan penyelewengan, sebab itu saya sampai sebentar sekadar memberikan dorongan dan dukungan dan mengucapkan selamat kepada usaha sahabat saya dalam mententeramkan keadaan dalam pemerintahan sementara sebelum diadakan pilihan raya dalam beberapa ketika nanti.
  1. Baik, hari ini hari yang bermakna, dan terima kasih Fitri dan rakan-rakan yang memaknai perjuangan, sumbangan, pencerah dan pencetus idea kebangkitan semangat kebangsaan dan semangat kesedaran bangsa iaitu Zainal Abidin Ahmad, Za’ba.
  1. Seringkali saya ungkapkan padangan pemikir muslim Perancis, Roger Garaudy, yang mengingatkan kita bahawa mengenang tokoh silam itu bukan sekadar ‘bury the ashes of the dead but to rekindle its flame’, bukan pesta-pestaan sekadar membakar menjadi debu tetapi menyemarakkan idea dan semangat utuh.
  1. Sebab itu saya ucap terima kasih kerana nampaknya ini dilakukan supaya ada kefahaman. Za’ba itu unik sebagai pendamba pembaharuan, yang disebut oleh Naquib Al-Attas seolah seorang pemukul rebana yang bunyi dan gegarannya harus sampai ke zaman kini. Dan kalau disusuli oleh pejuang dan pemikir bangsa berikutnya, Profesor Ungku Aziz, kedua-duanya guru kami, yang menyatakan Za’ba itu pengungkap pembicara umat bangsa tentang kemiskinan dan pemikirannya itu jauh melepasi konteks zamannya. Ini yang beliau tulis dalam “Footprints in the Sands of Time: From Za’aba to Aziz”, “Jejak-jejak di Pantai Zaman: Dari Za’aba ke Ungku Aziz”.
  1. Saudara bayangkan di masa umurnya 20-an, beliau telah menulis tentang ’The Poverty of the Malays’, ‘The Salvation of the Malays’, tetapi yang menariknya yang saya sebut sebagai unik kerana dia bicara dari sudut pelbagai dimensi, kemiskinan pelbagai dimensi, yang kemudian sukar ditangkap oleh para ekonomi, ahli ekonomi, malah perencana di peringkat awal sesudah kemerdekaan.
  1. Kerana seperti yang dibaca tadi oleh Saudara Zambry, itu bahasanya bahasa mudah, bahasa zaman Za’ba, kalau kita sekarang kita sebut sekurang-kurangnya multidimensional index – indeks pelbagai dimensi yang sekarang banyak ditekankan oleh Profesor Fatimah Kari dari Universiti Malaya. Tapi idea awal ini dicetuskan oleh Za’ba bagi saya agak aneh juga kerana saya hanya menghadam hal ini setelah membaca umpamanya Paulo Freire, ‘Pedagogy of the Oppressed’, di mana kemiskinan itu melibatkan juga soal sikap, soal nilai, soal kepercayaan, bukan sahaja kemiskinan dari sudut harta, ataupun kemudiannya penjelasan Samir Amin, ahli ekonomi sosok kiri sedikit, yang akan saya singgung kemudian.
  1. Tapi apa yang disebut tadi oleh Zambry dan dibicarakan dari nukilan Za’ba, ’Miskin pada wang ringgit dan harta benda’, itu biasa seperti yang kita faham sekarang. ’Miskin pada hemat dan cita-cita’, hilangnya, putus harapan. Kalau lagu Melayu lama, dia kata, ’Putus harapan selepas gagal cinta’, ini dalam konteks berbeda, kalau anak-anak muda putus harapan itu putus cinta. Baik, “Miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan”, “Miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia”. Istilah sekarang “Miskin akal budi”. “Jadilah mereka tidak dapat tiada daripada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa”. Ini yang disebut dalam konteks terbatas, multidimensional index.
  1. Sebab itu dalam membicarakan soal kemiskinan dan mengatasi permasalahanya, kerangka idea itu harus jelas, tidak sama, saudara-saudara. Saudara lihat selepas kemerdekaan dalam hambatan soal kemiskinan, diluncurkan umpamanya buku Revolusi Mental, itu di antara lain yang juga disanggah oleh Hussien al-Attas kerana pandangan tentang kemiskinan itu terletak hanya pada sikap dan sikap itu sikap rakyat. Mengapa tidak disanggah sikap pimpinan? Apakah nasib rakyat itu kerana sikap rakyat atau apakah ada kemungkinan kerana sikap, kebejatan, kerakusan atau rasuah pimpinan? Itu hal-hal yang harus kita bicarakan dalam konteks zaman ini dan telah melihat kerangka idea yang dilontarkan oleh pemikir bangsa, Za’ba.
  1. Saya sebut tadi Frantz Fanon, kerana Frantz Fanon menyatakan sikap itu, sikap permissiveness dan mengalah itu kerana tekanan dan asakan penjajahan tidak memberikan peluang, harapan pada mereka. Jadi biasanya orang yang dijajah itu merasakan mereka itu kehilangan semuanya, tidak punyai harapan untuk bangkit semula, dan hilang kecerdasan dan lebih parah bila hilang keyakinan dan adab.
  1. Frantz Fanon ini psikiatris dari France, kemudian merasakan terharu dan terkesan dengan penjajahan Perancis di Algeria, terus meluru ke Algeria bersama dengan pejuang-pejuang kebangsaan di Algeria dan melihat sosok yang harus dirobah, sikap yang harus dirobah, kerana kalau dilepaskan begitu mereka ini sikapnya lemah, dan sarjana dan elit pada masa itu dari Algeria, Melayu, Filipina, itu terbawa menghirup idea Barat dan penjajah itu juga untuk dianggap sebagai elit dia mesti mewakili sosok Barat. Kalau mereka elit dia merasa bangga dan terpegun dan kagum dengan idea asing yang menjajah beliau.
  1. Awal daripada itu, kalau Saudara-Saudara ikuti umpamanya perjuangan kebangsaan Filipina, Jose Rizal pencetus penggagas perubahan kesedaran rakyat Filipina. Dia menulis tentang “The Indolence of the Filipino”. Ini dianggap kemalasan, kelemahan orang Filipina mengikut kaca mata penjajah Sepanyol. Tapi kalau diteliti Filipina, sebelum kedatangan penjajah itu, sudah hebat perdagangannya, sudah menjalar hubungan antarabangsanya dan pelabuhan-pelabuhannya, dagangan antarabangsa berkembang dan meriah. Tetapi bila datang satu teknologi ketenteraan dan penjajahan Sepanyol, maka dijajah, dirompak kekuasaan, dirompak kekayaan dan dilemahkan semangat rakyat. Jadi itu jawapan Jose Rizal.
  1. Tapi Saudara-Saudara jangan hairan kerana di kalangan pemikir-pemikir Melayu lain pada ketika itu ramai mengatakan, “Ya, memang budaya Melayu ini malas, memang sukar ada perubahan”. Padahal kalau kita lihat umpamanya Za’ba dia memberi kesan kepada beberapa pandangan tentang beberapa sifat yang lemah dan tercela tetapi menggagas pembaharuan kerana kelemahan pendidikan. Kelemahan pendidikan itu kerana penjajah tidak menyediakan prasana.
  1. Bayangkan, semasa kemerdekaan, mencapai kemerdekaan, berapa sekolah menengah yang ada? Mungkin dua tiga di Perak, dua tiga di Pulau Pinang. Jadi makna peluang itu tidak ada, jadi kita terperangkap dan kemudian elit bangsa sendiri pun mula yakin dengan pandangan penjajah dan tidak melihat kelemahan mereka dan kelemahan penguasa.
  1. Sebab itu, di kalangan sarjana kita muncul umpamanya penerus gagas perubahan ini seperti Syed Hussein Al-Attas menulis dua karya yang penting, “The Myth of The Lazy Native (Mitos Pribumi Malas)” dan juga “Intellectuals in Developing Societies (Intelek di Negara Berkembang/Membangun)” di mana disentuh tentang sikap bebal dan yang disebut bebalisme dan fe’el orang akibat dari beberapa rencana penjajah yang menyebabkan pemikiran perancangnya, elitnya, sehinggalah ke rakyat disebut pemikiran yang terperangkap, The Captive Mind, including The Captive Mind in Development Studies.
  1. Jadi, Saudara-Saudara, sebab itu dalam soal penyelesaian masalah kemiskinan, kami dalam Kerajaan MADANI jadikan sesuatu yang tonggak itu harus diperangi kerana dia melibatkan usaha pelbagai dimensi. Perubahannya harus struktural yang disebut oleh sarjana ekonomi sosok kiri saya sebut tadi, Samir Amin, memahami masyarakatnya dulu, mengkaji masyarakatnya bukan hanya memperkenalkan beberapa projek.
  1. Ini yang disebut oleh Samir Amin, kita mula dengan kerangka pemikirannya dulu, bagaimana kita analisa masalah kemiskinan, masalah rakyat yang seratus tahun dulu disinggung oleh Za’ba, melihat masyarakat itu dari pelbagai aspek, kemiskinannya dalam pelbagai aspek, ilmunya, perangainya, pendidikannya. Menurut Samir Amin, “The only possible science is the science of society, for social reality is one, it is never economic or political or ideological”. Jadi pemahamannya harus lebih tepat, ya, lebih menyeluruh. Dan yang kita lihat sekarang ini, yang juga melibatkan soal tatakelola. Jangan difikirkan dalam pelaksanaan, hanya melaksanakan projek. Kita lihat apakah dasarnya jelas, betul, kerana ia melibatkan juga perubahan struktural.
  1. Yang kemudian diulas oleh Profesor Ungku Aziz tahun 1960, 1961, dan juga Syed Husin Ali, seorang ahli kaji masyarakat yang terkenal, dia menyebut tentang susun lapis dalam masyarakat dan melihat dari segi masyarakat tempatan itu, sama ada di Kerdau di Pahang, di Bagan di Batu Pahat dan satu lagi tempat di Kedah. Dia tengok, lihat seluruh aspek masyarakat itu dari segi kepercayaan agamanya, sikapnya, hartanya, perangainya. Walaupun mereka tak tekankan perangai sangat ya. Soal yang saya sebut akal budi, soal akidah, akhlak, itu yang kita kemudian gagasan anak-anak muda 70-an lebih kuat menekankan hal itu supaya ada perimbangan yang jelas.
  1. Tapi apa yang disebut di sini dalam kupasan Ungku Aziz, balik kepada permasalahan kemiskinan, ia bukan soal Projek Bantuan Rakyat sahaja. Dia mula daripada melihat kepada punca kemiskinan menurut Ungku Aziz. Apa dia? Isu milik, modal dan tanah, isu pemasaran yang disebut ‘low capital’. Pemasaran apa dia? Irregularities in the marketing infrastructure, kecelaruan dalam sistem pemasaran. Jual di Pantai Remis ikan RM2, sampai ke Ipoh sudah RM6, sampai ke KL sudah RM12. Jadi dia ada irregularity dan kecelaruan ini tidak akan membantu nelayan yang miskin. Jadi kalau kita, projeknya sepertimana yang Kerajaan lakukan juga, bantu rakyat miskin di Pantai Remis tetapi tidak membetulkan penindasan oleh orang tengah, dia juga akan menunjukkan ada ketempangan dari dasar itu, jadi low productivity akibat low capital, irregularities in the marketing infrastructure.
  1. Ini masalah yang kita tekankan. Sebab itu, kalau tanya, jentera semua ada, apa yang kurang di Malaysia? Saudara-Saudara sebut. Pemasaran, FAMA. Ikan, dulu Maju Ikan sekarang Lembaga Kemajuan Ikan. Peladang, Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pertubuhan Peladang. Apa lagi? Sebut saja masalah, ada agensi. Tapi, pekebun kecil RISDA, FELCRA. Pembukaan tanah, FELDA. Tapi apakah agensi itu diurus dan dilaksanakan acaranya, programnya dengan telus dan bertanggungjawab? Sebahagian ya, sebahagiannya tidak.
  1. Dulu, saya ingat lagi 80-an, masa saya Ketua Pemuda masa itu, Saarani ingat, di antara kritikan saya keras kepada RISDA ialah RISDA itu badan pekebun kecil, diberi dana oleh Kerajaan ratusan juta ringgit untuk bantu pekebun kecil, bukan untuk buat dan bangunkan bangunan dan gedung besar di Kuala Lumpur. Struktur, pandangan awal itu harus diubah. Dan Saudara-Saudara, ini yang cuba saya lakukan walaupun tidak kadang-kadang menyenangkan banyak pihak. Berapa banyak agensi baru-baru ini saya sergah dan batalkan lawatan? Agensi-agensi yang diamanahkan untuk membantu rakyat kemudian ambil kesempatan. Ada satu pameran kecil di Berlin, berapa orang harus pergi? 68 orang. Harganya 3 juta ringgit. Ya, bayangkan 3 juta ringgit itu untuk badan yang harus di, rakyat yang harus dibantu.
  1. Sebab itu saya kata kerangka tu harus betul dan tepat apa yang digagaskan oleh Za’ba. Kemiskinan, betul kerana sikap, tapi sikap itu bukan sikap di bawah sahaja, rakyat. Kalau saudara ahli kaji masyarakat, banyak profesor di sini, jadi minta maaflah ya. Cumanya nasib baiknya saya banyak juga membaca, sebab itu ada hikmahnya duduk dalam penjara, banyak masa boleh baca. Umpamanya dalam teori Stages of Growth, WW Rostow, itu teori yang dianggap modernizing, modernization theory, yang dianggap oleh sarjana sebagai sesuatu yang agak aliran semasa tapi disanggah oleh banyak pandangan. Jadi teori itu teori yang menjurus ke pandangan kapitalis dan oleh penguasa-penguasa besar. Maknanya di kalangan sarjana sendiri pun, pengkritik sosial, ilmuan, mahasiswa, civil society harus melihat ini dari segi keseluruhannya dan harus mendukung.
  1. Sebab itu dalam Kerajaan MADANI ini kita mula dengan tatakelola. Berapa dana satu tahun untuk bantu orang miskin? Malaysia ini belanja di antara yang paling tinggi di Asia untuk bantu orang miskin. Tetapi, it is a big BUT, tetapi kadang-kadang tak sampai, dia bocor, dia tiris, dia salah guna, dia curi, itu menyebabkan tak sampai ke bawah. Bayangkan kalau RM22 bilion satu tahun dan kita urus dengan baik dah selesai masalah kemiskinan. Kerajaan silih berganti, Perdana Menterinya, Menteri Kewangannya, partinya silih berganti, tapi masalahnya masih berat. Sebab itu, bila kita ada kesempatan, peluang, lakukan anjakan dan perubahan ini, bermula dari atas, sebab itu tatakelola ini dari atas. Mana mungkin Saudara-Saudara, apa hebatnya Menteri Kewangan atau Perdana Menteri? Yang hebatnya kerana boleh gunakan kedudukan dan kuasa memperkayakan diri, isteri, anak-anak, lingkup negara. Sebab itu, untuk menyelesaikan masalah kemiskinan mesti bermula dari tatakelola, tadbir urus dari pimpinannya dulu, baik pimpinan Kerajaan atau pimpinan Universiti atau pimpinan Jabatan atau di Kampung. Jangan tolak ansur dari memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
  1. Dan kepada anak-anak muda saya hendak terangkan. Bayangkan, kita ambil sikap tegas, siapa yang punggah kekayaan berbilion ringgit, tak peduli dulu atau sekarang, tindakan harus diambil. Ya, ini masih juga dijadikan alasan politik, “Oh, kesian, dia lama dulu berjasa”. Semua orang berjasa, Ketua Kampung berjasa, Penghulu berjasa, Tok Imam berjasa. Tapi apakah dengan berjasa itu dia curi duit masjid? Tak boleh. Dan mengapa seorang Menteri Kewangan kerana fikirkan dia ada jasa maka dia boleh curi berbilion ringgit? Kalau benar pemimpin-pemimpin Melayu yang merompak harta negara ini yang ada kekayaan berbilion-bilion ringgit. Saya tanya dari dulu, “Betul kamu berjuang? Ya, saya salute. Betul kamu akan terus membela nasib Melayu? Ya, saya salute.” Kemudian saya kata, “Kalau betul, berapa harta kamu sekarang? Satu bilion, dua bilion? Di mana? Di Malaysia? Di Amerika? Di England? Di Eropah? Berapa bilion? Lima bilion?” Apakah baiknya sebagai seorang pejuang tulen serahkan balik wang kamu curi itu kepada rakyat dan negara.
  1. Kalau itu dapat dilakukan, Saudara-Saudara, apa yang diidamkan oleh Za’ba, diulas oleh para sarjana, mudah kita selesaikan. Jadi saya imbau di sini, mohon pengertian dan kerjasama ilmuan pada Hari Akademia Negara ini, dan kepada pencinta bangsa dan negara mengenang jasa Bapa Pemikir Bangsa, Za’ba, mari kita gunakan ruang ini untuk membina tekad yang baru, bahawa dalam sejarah mana-mana bangsa dan negara, ada ketikanya di mana diberikan kesempatan untuk memutuskan sama ada kita akan lakukan anjakan ke arah kebaikan atau kekal di takuk yang lama.
  1. Saya percaya di depan anak-anak muda ini punyai semangat, punyai cita-cita, punyai harapan, punyai tekad untuk bawa perubahan untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini. Dan mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberikan kekuatan kepada kita. Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih, Jazakumullah Khairan Katsiran, kepada semua yang membantu dan menjayakan dan seperti mana yang saya sebut dalam mukaddimah tadi, semarakkanlah api ilmu dan risalah perjuangan Za’ba sebagai pendamba perubahan bangsa.

Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.