TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 SAYANGI SABAH

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM MADANI RAKYAT 2024

SAYANGI SABAH

19 OKTOBER 2024 (SABTU) | 2.30 PETANG

PEKARANGAN KOMPLEKS STADIUM LIKAS,

KOTA KINABALU, SABAH

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillahi Rabbil Alamin

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa’ala Alihi Wa Sohbihi Ajma’een

 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,

Ketua Menteri Sabah;

 

Yang Berhormat Datuk Armizan bin Mohd Ali,

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;

 

Menteri-menteri Kabinet;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Ketua-ketua Setiausaha;

 

Timbalan ketua menteri,

 

Setiausaha Kerajaan Negeri; dan rakan-rakan yang hadir

 

PENDAHULUAN

 

  1. Terima kasih dan tahniah atas usaha ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Tujuannya seperti yang juga disebut oleh saudara Datuk Seri Hajiji adalah untuk mendekatkan rakyat, kenal dengan apa yang telah diusahakan oleh kerajaan, oleh penjawat awam, oleh sektor swasta terutama petani. nelayan, pengusaha-pengusaha kecil bekerjasama dalam beberapa projek.
  1. Tapi yang utama juga untuk kenal dengan usaha penguatkuasaan dan saya ucap terima kasih, salute kepada KPDN kerana penguatkuasaan yang berkesan dan lagu ‘Gempur’ tadi itu biar kita hadam betul-betul. Kalau betul mahu selamatkan Sabah dan Malaysia ini, kita jaga ekonomi kita, kita uruskan, jangan izinkan orang sama ada kartel untuk curi dana rakyat dan gunakan peluang menekan rakyat. Oleh itu, kita bagi sokongan padu kepada penguat kuasa untuk gempur bagi sesiapa yang ganggu kita.
  1. Setakat ini yang saya lihat dari semasa ke semasa, liputan daripada media tentang kejayaan keberkesanan tindakan yang diambil, tapi percayalah, politik stabil, dasar boleh baik kita boleh umumkan pelbagai projek tetapi kalau tiris banyak, kalau bocor sana sini, kesannya tak sampai bawah. Umpamanya, dalam Belanjawan MADANI semalam, peruntukan kepada Sabah itu tertinggi ketimbang dengan mana-mana negeri di Malaysia. Untuk apa? Untuk pastikan tidak ada masyarakat ketinggalan.
  1. Prasarana baik, Pan Borneo siap ikut jadual. Jalan-jalan termasuk desa dan pedalaman diperbaiki. Sekolah-sekolah baru, sekolah-sekolah lama diperbaiki, klinik-klinik kesihatan dan Hospital Kota Kinabalu ini sebagai Pusat Jantung yang penting di kawasan kita. Ini antara program-program sudah diumumkan. Kemudian, Anthony Loke ada di sini, Menteri Pengangkutan, segerakan pemulihan, peningkatan Lapangan Terbang Tawau sebagai lapangan terbang yang lebih baik.
  1. Jadi, saudara-saudara, ini yang kita lakukan sebagai satu pasukan. Kita lihat bagaimana menteri-menteri, penjawat awam, pegawai pelaksana. Sebab itu, mana-mana kelemahan mesti cepat diperbaiki. Mana-mana unit ataupun pegawai yang lembab harus dikejutkan baru boleh kita angkat. Kita saksikan, saya dengar saudara Armizan bagitau, setakat ini yang hadir menyantuni Program MADANI Rakyat ini di sini Kota Kinabalu sudah hampir cecah rekod kerana setakat ini dengan hujan tidak dipedulikan, hujan panas sudah 300 ribu orang sudah datang. Ini hebat ini orang Sabah, hujan pun membujur lalu, melintang patah. Hujan pun ataupun panas terik itu tidak ganggu, dia mahu lihat apa yang dilaksanakan dan rakyat mahu bersama dengan Kerajaan, Negeri dan Persekutuan untuk menjayakan negeri kita.

Saudara-saudari yang dimuliakan,

 

  1. Angka-angka pembangunan, saya tidak bermaksud untuk menyebut berulang kali tapi kita tengok, kalau negeri ini kita jayakan sebagai satu pasukan, bersatu tidak mudah. Suku kaum di Sabah berapa? 30, macam-macam stail ada, ada yang tengkolok begini, ada yang begini, pelbagai. Suku kaum yang lain-lain, agama yang lain-lain. Senang diurus? Tidak. Tetapi jika rakyat itu bijak dia tahu perbedaan boleh menyebabkan perpecahan dan pergaduhan, perbedaan juga boleh menyebabkan kita lebih kuat.
  1. Mana ada negara, di mana penguasaan bahasa, sebut sahaja bahasa penting Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris kita utamakan, Bahasa Cina banyak yang menguasai dan ini penting dalam ekonomi di dunia ini, Bahasa Tamil kita sudah pandai. Kemudian sekarang, orang mahu lihat kepelbagaian, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Bugis, semua ada. Apakah kita mahu jadikan ini kekuatan? atau kelemahan. Saya syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana rakyat Sabah pilih untuk jadikan ini kekuatan, untuk semangat perpaduan rakyat negara kita.
  1. Ya, kalau kita lakukan ini kita hentikan amalan-amalan buruk. Ada tanah nak curi, ada balak nak rompak, ada kontrak, nak sapu. Kalau itu kita boleh hentikan, tumpu kasih kepada negara, takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, jaga nilai dan akhlak, saya percaya Sabah tidak lama, bukan tunggu puluhan tahun beri beberapa tahun akan lihat lonjakan sebagai negeri lain yang berjaya di Malaysia ini.
  1. Tengah hari tadi, Saudara Datuk Seri Hajiji bersama, minta saya luncurkan Blue Economy. Satu persidangan penting mengenai satu aspek pertumbuhan ekonomi yang penting. Saya nak rakyat Sabah cuba hadam ini. Kita ada satu cadangan daripada Kerajaan Sabah oleh Ketua Menteri bagaimana hendak angkat lagi di Sabah ini. Balak sudah tak banyak, kita juga nak kena simpan hutan belantara ini kerana kita tahu masalah alam sekitar dan perubahan iklim.
  1. Jadi, hendak bawa semikonduktor, itu di Semenanjung sudah jadi hab penting semikonduktor. Kulim Hi-Tech, Pulau Pinang, pelaburan-pelaburan besar semua datang. Data Center AI banyak di Selatan Semenanjung, di Johor, Selangor dan harap soal transisi tenaga, nampak Sarawak sudah mula melonjak sebagai gergasi tenaga. Hajiji bawa idea baharu, Blue Economy, kita ada lautan dan lautan itu boleh jadikan kekuatan kuasa tenaga baharu, green energy, hasil lautan, pusat penyelidikan yang penting, keindahannya pusat pelancongan.
  1. Jadi, ada kekuatan ekonomi, ada kekuatan pelancongan yang dibayangkan dan digerakkan melalui apa yang disebut tadi Blue Economy. Ini besok, bila orang kenal, Hajiji program apa? Ekonomi Biru yang dibawa ke Sabah dan Sabah melonjak naik sebagai gergasi. Tentunya bidang-bidang lain kita kenalkan ya. Perlu ada nanti data center dan Ai, perlu ada transisi tenaga, semua boleh, perlu semikonduktor tetapi sekurang-kurangnya orang tahu bahawa fokus ini jelas untuk bangkitkan jadi bagi peluang pekerjaan yang lebih ramai, pendapatan lebih tinggi dan bila ekonomi itu tegar dipacu dengan lebih meyakinkan kemudahan tentunya akan melimpah kepada rakyat.
  1. Jadi, saya harap seluruh pimpinan Sabah fokus tentang Economic Blueprint dan tentang penggunaan penekanan tentang hijau dan pendidikan dan mineral yang ada di lautan dan juga pelancongan yang disebut tadi tentang Blue Economy yang lain itu, kita teruskan. Semalam saya umum, dulu SARA terbatas kepada 300 ribu, sekarang kita per luaskan sehingga 700 ribu orang. STR yang tunai rahmah itu sekarang sudah mencecah 9 juta orang, makna hampir kesemua B40 dan M40 mendapat manfaat.
  1. Tidak ada rakyat termasuk Sabah, ini saya tadi sebut kepada Ketua Menteri pastikan Pegawai Daerahnya, Penghulunya, Ketua Kampungnya, pastikan tidak ada orang miskin yang terlepas daripada peluang ini. Saya bagitau saudara Masidi pun ada. Maknanya Kerajaan Persekutuan jamin, tiap keluarga pendapatan campur dengan semua kemudahan yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan tidak kurang daripada 1,000 ringgit sebulan mesti masuk dalam akaun dia.
  1. Tidak banyak negara yang buat begitu. Malaysia MADANI laksanakan setiap rakyat di negeri ini tidak ditinggalkan. Mengapa harus kita gaduh soal kuasa negeri, hak negeri atau hak kaum? Semua kaum dipedulikan. Kalau ada orang kategori itu di kalangan Melayu atau Melanau atau Dayak atau Cina atau India, masuk kategori yang dianggap miskin tegar atau miskin atau pendapatannya tidak tinggi maka STR masuk dalam akaun dia. Minima 1,100 ringgit. Ini belum masuk Bantuan Kerajaan Negeri, Bantuan Zakat, Bantuan NGO, Bantuan Yayasan. Kita bimbang kalau-kalau ada yang tercicir. Ini tanggungjawab kita untuk pastikan tidak ada yang tercicir.
  1. Berapa jumlahnya? Yang kita beri balik kepada rakyat melalui STR untuk seluruh negara. Saya tidak bezakan dia anak Sarawak, dia anak Perlis, dia anak Pulau Pinang semua dapat perhatian. Berapa jumlahnya? 13 bilion ringgit. Tahun ini sahaja, kita tambah 3 bilion ringgit untuk 2025 sebab apa? Sebab nanti orang tanya, apa erti pembangunan? Apa erti kemajuan teknologi? Apa erti Blue Economy? Apa erti semikonduktor? Atau data center dan Ai kalau rakyat di bawah tidak diberi perhatian.
  1. Maka sebab itu, dasar kita beri perhatian langsung kepada rakyat di bawah dan saya harap rakyat Sabah beri sokongan kepada program yang seperti ini. Seperkara lain yang saya hendak tekankan juga ialah, bila kita buat penyasaran subsidi. Sekarang ini petrol di Malaysia paling murah, bukan sahaja banding dengan Singapura, banding dengan Thailand, banding dengan Indonesia, banding dengan Filipina, malah Arab Saudi pengeluar minyak terbesar di dunia harga minyak dia sekarang RM2.65 di Malaysia RM2.05. Baik, kerana kita bantu dengan subsidi. Berapa subsidi 1 tahun kalau kita tidak tukar 20 bilion ringgit? Subsidi ini maknanya apa? Kerajaan bantu supaya harga tidak naik. Patut? Ya. Kepada siapa? Kepada rakyat susah.
  1. Tapi sekarang ini subsidi petrol ini termasuk warga asing. Yang tidak ada kad pengenalan pun kita bantu. Dia bayar cukai? Tak bayar cukai tapi kita bagi subsidi bagi sedekah. Nak bagi sedekah boleh bagi tapi subsidi ini Kerajaan. Orang kaya rumah banglo 5 buah untung puluh juta tapi subsidi petrol kita bagi. Jadi di kalangan orang kaya teratas 15 peratus tidak termasuk M40, penjawat awam tidak termasuk, tidak termasuk B40, M40, tidak termasuk pegawai Kerajaan. Hanya yang paling kaya, tertinggi 15 peratus di atas campur dengan orang asing. Mereka ini 15 peratus campur orang asing, dia guna subsidi 40 peratus. Berapa banyak? 8 bilion ringgit. Jadi, 1 tahun Kerajaan murah hati luar biasa kalau istilah lain Kerajaan kurang cerdik sebab tiap tahun 80 bilion ringgit bagi kepada orang kaya dan orang bukan warganegara. Sebab itu kita kena fikir bagaimana hendak ubah. 
  1. Oleh kerana politik kita stabil, rakyat mula faham, kita kata kita kena ubah Subsidi petrol kena ubah, ubah kepada siapa? Tidak kepada rakyat Jadi jangan bimbang, 85 peratus rakyat kekal dengan subsidi Maknanya harga tetap RM205 tak berubah Tapi yang 15 peratus yang atas, yang kaya ni, bayarlah lebih sikit Kita tak bayar tinggi sampai lebih dari harga pasaran, tak, kalau harga pasaran RM265, dia bayar RM265. Tapi rakyat yang biasa, bayar RM205, yang kita nak bantah sebab apa? Sebab apa nak bantah? Orang asing dia buat kerja di sini, dia tak bayar cukai, dia nak guna minyak, dia nak pakai kereta, pakailah Dia nak pakai Mercedes okay, Hilux okay, tapi minyak bayarlah ikut pasaran.
  1. Yang kita tolong siapa? 85 peratus Ini yang kita cadang nak laksanakan pertengahan tahun lalu, saya beritahu awal-awal, jangan membuat ini apa ini Anwar? Datang je naik harga minyak. Saya nak tanya, naik untuk siapa? Naik untuk orang kaya, yang kamu sibuk sebab apa? Kamu ni wakil siapa? Kamu wakil orang asing? Ke wakil orang kaya? Kalau kamu ni wakil rakyat Malaysia, kamu harus sokong usaha untuk tidak membebankan rakyat tapi kutip yang harga yang berpatutan dari orang kaya supaya jumlah itu boleh diberikan kepada rakyat Itu sahaja.
  1. Tengok sekarang ini, kita nak anak-anak kita, cucu kita kadang-kadang ada yang autisme, ada yang cacat penglihatan atau pendengaran dan sebagainya. Jadi kerajaan tahun ini melaksanakan beberapa program khas. Jadi wang yang kita perolehi ini bukan masuk poket kita. Sebab itu semalam saya sebut gaji penjawat awam naik, yang paling tinggi macam KSN, KPPA diorang ada di sini, dia orang tak ambil 7% tahun ini Tahun depan tak apalah, ekonomi kita dah baik, dia ambil, okey. Maknanya skim itu Tan Sri KPPA jangan bimbang, skim itu terpakai, tahun depan jalan. Cuma tahun ini 7% itu tak diambil sebagai tanda sokongan kepada usaha Kerajaan MADANI dan kepada rakyat. KPPA tepuk tapi tak semangat. Terima kasih. Baik, tapi Menteri, Mat Sabu sorry Menteri masih potong gaji 20%, Ewon tak tepuk? Baik Perdana Menteri masih belum ambil gaji lagi Tapi saya duk fikir tahun depan bagaimana, nanti saya fikir kemudian, tahun ni belum (nada bergurau). 
  1. Baik, sebab apa saya nak tunjuk bahawa rakan-rakan saya Menteri-Menteri ini beri contoh yang baik. Ya ekonomi kita meningkat. Kita hendak naik gaji rakyat, ada gaji progresif, ada gaji penjawat awam, kita naik. Ya, kemudian kita, Armizan dan seluruh pasukan KSU dan rakan-rakan dia turun kawal harga, ambil tindakan kerja dengan kuat. Tapi mereka sanggup berkorban biar ekonomi kita meningkat. Bila ekonomi meningkat besok, insya-Allah kita boleh naik gaji untuk semua. Itu semangat yang kita harus tunjukkan, ya.
  1. Jadi, saya nak sentuh satu je lagi iaitu tentang Sejati MADANI. Saya umumkan satu bilion ringgit dan ini perkara baru. Wang RM 50,000 sehingga RM 100,000 kita beri kepada setiap kampung. Kalau di Sarawak, rumah panjang ada 50,000 dan 60,000 ikut projek dia Kalau di Bandar yang miskin bandar terutamanya bagi tumpuan. Kemudian dia tetapkan dia nak buat apa? Bukan Pegawai Daerah, bukan Menteri, bukan Ketua Jabatan, orang kampung sendiri mesyuarat, dia fikir nak buat apa. Ada nak buat nak pelihara ayam tapi besar-besarlah, ada 50 ribu 60 ribu. Takkan nak bela 4 ekor ayam. Ada di Tanjung Malim, saya pergi baru-baru ini, dengan wang itu orang kampung mesyuarat-mesyuarat dia kata kita nak beli dron. Jadi saya pergi, saya tengok di Tanjung Malim, apa hal ini satu dron agak kecil, satu lagi kampung dron agak besar. Saya dah bimbang, ni takut membazir nanti. Maknanya jangan kita pandang ringan, kadang-kadang orang kampung tu pun dia cerdik. Kita ingat dia tak tahu dron -dron ini. Rupanya dia lebih pandai dron daripada ramai kita di bandar. Jadi dia beli dron, untuk kawasan yang lebih luas, untuk benih, untuk baja, dia selamatkan dan jimatkan belanja. Kemudian bila tak digunakan, kerana dron tak digunakan setiap minggu, dia sewakan kepada pekebun-pekebun kecil getah, kelapa sawit dan untungnya berlipat kali ganda. Ini ada projek-projek lain ternakan ikan dan sebagainya.
  1. Jadi saya nak maklum di sini program ini ada dan mulai tahun ini dan insya-Allah tahun depan kita tingkatkan usaha ini. Ini diselaraskan oleh Unit Penyelarasan ICU dan kita kerjasama ya kerjasama dengan semua pihak. Kemudian saya minta Datuk Seri Hajiji fikir satu hal lagi. Saya gunakan juga sistem Kampung Angkat MADANI. Saya kata Perdana Menteri, Menteri Ketua KSN, Ketua Setiausaha semua pandai-pandai bagi cadangan itu, cadangan kertas kerja ini, kertas kerja ini, bentang di sana, bentang di sini, baik saya kata cuba kamu jaga satu kampung. Jadi saya minta Perdana Menteri, Menteri dengan KSU, Ketua Pengarah yang pandai-pandai ini semua, cuba, cuba kamu pergi cari macam harus ekonominya itu begini, projek harus jalan begini dan laporan sekian. Fahmi pun bukan main dengan terang dalam komunikasi dia begini, okey betul, betul pandai, ya ambil satu kampung kamu jaga kampung itu.
  1. Jadi cara dia maknanya bila kita buat begitu kita baru tahu di bawah ni bagaimana masalah di kampung ni. Saya sebut tadi microcosm satu negara, keselamatan ya, ada kes curi ya, ada budak belia dadah ya, ada sekolah tercicir ya, ada tandas sekolah tak betul baik ya. Semua ini saudara perhatikan selesaikan masalah di kampung itu.
  1. Jadi yang saya harap kalau Kerajaan negeri mana bulan depan saya jumpa saudara Datuk Seri Hajiji, saya tanya kampung mana Kampung Angkat Hajiji? Saya sendiri ada Kampung Angkat saya, Cherok Tok Kun, kampung saya. Ya saya. Jadi dia saya tengok rupanya oh masalah keciciran ada, dadah pun ada, masalah penggangguran ada, masalah anak-anak yang nak pergi TVET tak tahu ke mana. Semua kita perhatikan. Minta seorang bantu dan selesaikan. Kalau katalah 2000 pegawai-pegawai kanan mula begitu adalah kesan dia. Boleh tak kita pilih cara begitu? Makna turun sendiri lain beza dia. Saya datang sini, saya datang sebagai Perdana Menterilah. Saya balik kampung, dia anggap saya sebagai orang kampung biasalah walaupun dia hormat tentunya tetapi saya lebih faham.
  1. Sebab tu dalam Belanjawan semalam, saya cerita pasal Lahad Datu, pasal Kapit. Lahad Datu, Sabah ni apa dia? Kita pergi situ aspek keselamatan ada, dulu ada emergency curfew, ekonomi terkesan, perlu kesabaran mereka, mutu sekolah dan pendidikan mereka. Semuanya kita dengar dan kita ambil tahu. Dan inilah dalam kebetulan ini Program MADANI Rakyat terakhir di Malaysia ya untuk tahun ini.
  1. Armizan terima kasih banyak satu-satu program yang baik dan di program akhir ini saya nak tekankan perkara tadi, pertama kita nak jadikan tumpuan Sabah ini tentang Blue Economy, jadi Ketua Menteri Blue Economy jadi kita tumpu yang ini. Yang lain jalan, pertanian, penternakan, semua jalan, keusahawanan Ewon jalan, bukan tinggal ya. Tetapi dalam Blue Economy ini kita ada fokus di mana rakyat Sabah faham, jentera Sabah itu melihat satu aspek yang baru, yang perlu diberikan tumpuan.
  1. Dan yang kedua saya cadangkan dan saya minta kalau boleh Ketua Menteri ambil tindakan susulan, semuanya pilih satu kampung sebagai ujian. Sebaiknya macam saya, saya pilih kampung sendiri, jadi senang. Tapi ada kalangan pegawai-pegawai dia pilih. Tidak ada syarat, pilih sahaja kampung sebagai Kampung Angkat dan sikit perbelanjaan itu kita selaraskan.
  1. Jadi sekali lagi, untuk KPDN khususnya saya ucap terima kasih dan juga jentera Kerajaan negeri kerana memberikan kerjasama yang baik dan menjayakan. Dan doa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan projek ini untuk menyantuni rakyat supaya rakyat faham apa yang kita lakukan dan kita ambil kesempatan dengar juga keluhan mereka kerana kadang-kadang pengumuman kita itu tak sampai ke bawah. Usul-usul kita kadang tak sampai. Dan nak tahu cekap atau tidak, baik atau tidak, mesti dengar dari akar umbi.

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.