TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: LAWATAN KERJA DAN MAJLIS RAMAH MESRA YAB PERDANA MENTERI BERSAMA MASYARAKAT PADANG RENGAS

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

 

SEMPENA

LAWATAN KERJA DAN MAJLIS RAMAH MESRA

YAB PERDANA MENTERI BERSAMA MASYARAKAT

PADANG RENGAS

 

 

27 OKTOBER 2024 (AHAD) | 11:00 PAGI

ARENA SQUARE PEKAN ISNIN

PADANG RENGAS, PERAK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Alhamdulillaahil rabbil ’alamain

Nahmahduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem.

Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak;

YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin,

Penasihat Undang-Undang Negeri Perak;

YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin,

Pegawai Kewangan Negeri Perak;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

YBhg. Dato’ Anis Rizana binti Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin,

Ketua Pengarah Kastam;

YBhg. Dato’ Haji Shamshuzaman bin Haji Sulaiman,

Pengarah Pembangunan Negeri Perak;

YBrs. Tuan Muhamamad Kamil Abdul Munim,

Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri;

YBrs. Toh Maharaja Indera Dr. Hj Khairil Anuar bin Arshad,

Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar;

Exco-Exco Kerajaan Negeri Perak;

Ketua-Ketua Jabatan;

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi sekalian.

MUKADIMAH

  1. Ucap terima kasih kepada masyarakat Padang Rengas, kerana sudi sama-sama, tadi di jualan rahmah, dan kemudian sekarang dalam majlis. Saya rasa terharu kerana nampak persahabatan, semangat kekeluargaan begitu rapat dan rapi. Mudah-mudahan majlis ini akan membawa keberkatan kepada Allah SWT.
  1. Saya dengan Menteri Besar tadi ke Ulu Kangsor, projek kecil tetapi penting bagi penduduk tempatan. Selepas itu saya ke sini berjumpa rakyat. Kemudian, untuk meneruskan projek lebuh raya yang disinggung oleh Saudara Saarani sebentar tadi, iaitu WISE (Gopeng-Kuala Kangsar) kerana kesesakan yang telah berlaku sepanjang tahun. Sebelah petang baru saya ada program parti di peringkat negeri.
  1. Tapi apa yang saya nak sebut di sini adalah, satu program, masalah di Kampung Ulu Kangsor pun penting. Masalah lebuh raya juga penting. Disentuh oleh Menteri Besar soal KIGIP, kita bercakap soal teknologi hijau, kita tidak mahu ketinggalan, itu juga utama. Kita bercakap Perak hendak menjadi satu negeri yang terkenal sebagai negeri yang boleh meneruskan projek pembuatan motokar, kenderaan yang besar-besar di Asia Tenggara ini, yang disebut Proton City. Kemudian, kita juga bincang tentang Maritime Dungun. Jadi ada projek besar yang penting bagi negara dan projek kecil penting bagi orang kampung, ini semua diteliti dan dalam Belanjawan MADANI yang saya umumkan baru-baru ini kita tidak tinggalkan aspek-aspek ini.
  1. Sebab itu SeJati MADANI ini satu rencana baru kerana pelbagai projek telah kita buat, puluh bilion ringgit dibelanja, kadang belanja betul, kadang belanja tiris, kadang belanja bocor, kadang belanja sakau, macam-macam berlaku. Jadi akhirnya projek itu tidak sampai sepenuhnya. Banyak yang sampai tapi ada juga yang tidak sampai.
  1. Jadi SeJati MADANI ini kita seolah-olah bagi satu tanggungjawab, cabaran langsung kepada orang kampung. Nah, paling minima RM50 ribu, maksima RM100 ribu. Imamnya, ketua kampungnya, penghulunya, persatuan belianya, wanitanya, jawatankuasa masjidnya, kome duduklah runding betul-betul, teman bagi dana, wang, haa kome putuskan apa yang nak buat bagi kepentingan orang kampung. Ada yang beli traktor, ada yang beli bot. Tapi keputusan itu bukan keputusan seorang, keputusan wakil masyarakat kampung yang boleh hidupkan ekonomi mereka.
  1. Ada saya pergi ke Kampung Selinsing di belah Tanjung Malim, mereka beli drone, hai saya kata, “amenda ni, orang kampung nak beli drone, apa kojenya?” rupa-rupanya untuk baja, untuk benih, dan waktu dia tak guna dia boleh sewakan ke tempat lain pulak. Dan ini boleh kita serahkan kepada orang kampung untuk putuskan. Dan program ini kita hendak bagi tanpa kecuali kepada semua kampung dalam negara ini. Tentunya tidak boleh semua buat sekali. Dan bagi saya, saya minta rakan-rakan putuskan dengan sebaiknya. Wang ini amanah, nak kata wang tak cukup tak betul. Belanja untuk bantu orang miskin ini puluh-puluh bilion ringgit. Orang miskin masih ada. Sebab itu bila saya ambil alih tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, saya minta senarai berapa orang di Malaysia ini yang masuk dalam senarai miskin tegar.

  1. Miskin tegar ini maknanya susu anak tak cukup nak beli, uniform sekolah anak tak beli, makan kadang-kadang tidak cukup, takkan saya nak duduk selesa sebagai Perdana Menteri dan biar orang macam itu. Jadi saya kata bagi senarai itu dan kita kena bagi selesai tahun itu juga. Itu yang dikatakan menoktah miskin tegar.
  1. Di Parlimen ada ahli-ahli Parlimen hentam saya, tidak apalah, buat tandas pun dia marah, dia kata ini Perdana Menteri tandas. Kerana saya nak pastikan semua sekolah, sekolah ini apa? Anak-anak kita, cucu kita, pergi sekolah, kita nak ajar apa? disiplin, bersih, tanggungjawab, kemudian tandas pun pecah, ada yang tidak boleh guna, dan tidak dipeduli bertahun-tahun. Sebab itu saya kata, bukan sahaja di Padang Rengas, bukan sahaja di Tambun, bukan di Permatang Pauh tetapi di seluruh negara. Bagi senarai sekolah, semua tandas di sekolah kita baiki dan Alhamdulillah, saya tahu dan saya tanya tadi di Padang Rengas semua sekolah kita sudah baiki tandas sekolah.
  1. Yang kedua apa? Setiap keluarga yang masuk miskin tegar, ada yang kecam saya dia kata, “oh ada orang miskin lagi?” Betul, tapi kita ambil senarai dahulu, senarai tahun 2022, bagi pada saya, saya kata berapa ada? 161,000, saya nak selesai 161,000 ini. Selesai bagaimana? Selesai bagaimana? Bagi bantuan pada dia. Selesai bab itu, tahun depan ada lagi yang miskin tegar. Betul, kita lihat pula. Tahun 2023, selesai 161,000. Tahun 2024, mari lagi 80,000 senarai baru. Ada yang sambung, ada yang baru. Setakat ini 15,000 dah selesai, kita cuba nak selesai sebelum akhir tahun ini. Ini yang kita buat saudara-saudara. Sebab itu bagi saya ini bukan soal politik. Orang nak kecam nak maki, saya tak sibuk nak jawab.
  1. Kalau di Parlimen, susah payah bukan sahaja saya, masuk Kastam cari duit, Lembaga Hasil Dalam Negeri, pegawai-pegawai rancang sebaiknya nak tolong. Saya bukan main-main amanah ini. Saudara tahu, saya di Perak ini lama. Saya belajar dulu di Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Kemudian lepas itu dihantar ke Kemunting 2 tahun, ‘cuti am’ lepas peristiwa Baling. Peristiwa Baling ini sebab kadar, tentang kemiskinan rakyat di Sik, Baling. Jadi kami masa tu orang muda, bantah pasal apa tak tolong orang miskin. Cakap banyak sangat, masuk 2 tahun di Kemunting. Jadi saya belah-belah Sungai Petani, di Tambun dia kata “Ah, Anwar ini orang ayaq, bukan dia tahu ayor, dia bukan orang Perak.” Saya kata “Hey dengar baik-baik, saya 9 tahun duduk di Perak; 7 tahun di MCKK, 2 tahun di Kemunting.
  1. Tapi saya nak ceritakan apa dia pengajarannya? Maknanya kita tahu, masa kita muda kita tahu masalah orang miskin. Sekarang dah jadi Perdana Menteri, dah ada Kerajaan, pakat-pakat cuba selesaikan. Ini yang kita cuba buat. Sebab itu saya kalau tengok kadang-kadang di Parlimen macam Belanjawan kalau dengar 2 jam setengah, saya tak kecam orang. Saya tak kecam dan maki orang walaupun dalam perbahasan, maki. Saya pakai songkok senget sikit pun dia marah.
  1. Pergi pakai baju melayu, pakai capal pun dia tak kena. Kemudian, saya guna istilah-istilah baru macam ‘ketimbang’ pun dia bengong sikit tak faham. Kita sebagai pemimpin kita tingkatkan penggunaan Bahasa. Dulu tak ada ‘alaf’ untuk ‘milennium’, saya gunakan. Dulu tak ada ‘mampan’, saya perkenalkan. Tidak ada ‘telus’, saya perkenalkan. Tidak popular ‘kesenjangan’, kita popularkan. Jadi kita didik Bahasa anak-anak supaya gunakan Bahasa. ‘Ketelusan’, itu Bahasa daerah di belah Selangor, yang ganti ‘transparency’. Kita guna ‘mansang’, Bahasa Iban kita perkenalkan. Kita guna ‘alaf’, Bahasa Arab. Kita guna ‘taklif’, Bahasa Arab. Bagi saya kalau nak jawab benda ini letih kita, kerja tak jalan. Sebab itu saya nak nasihat kawan-kawan semua dari semua parti, masa ini masa angkatlah nama Malaysia ini, buat kerjalah. Nak bergaduh tunggu pilihanraya esok bergaduhlah. Sekarang kerja, angkat martabat negara dan rakyat kita.
  1. Baik, saya sebut tadi pasar dan Jualan Rahmah yang dianjurkan tadi. Syed Abu Hussin saya tanya tadi “Berapa tan ikan?”, dia kata “Lima (tan). 2 tan dia jual, 3 tan dia setuju,” saya kata dia akan bagi pada orang-orang kampung, nak ambil, ambil tak payah bayar. 3 tan. Siapa cepat (ambil), dia kata nak habis dah. 2 jan dia jual, 3 tan dia beli supaya dapat maknanya dapat amal jariah sedekah pada hari ini.

Saudara-saudara yang dikasihi sekalian,

  1. Saya sebut tadi SeJati MADANI jangan lupa, ini kita kena susun betul-betul kerana jumlah besar esok. Fikirlah, kalau RM50,000-RM100,000 satu kampung, berapa billion yang kita kena belanja? Tapi saya tak apa, kita belanja itu puas hati, tak bocor. Kita bagi terus pada orang kampung dan kita bagi tanggungjawab dia jalan dengan baik. ICU JPM pantau, pegawai daerah pantau. Macam kita tolong orang miskin tegar tadi, kita arah semua Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Daerah, Pegawai Jajahan Kelantan, kalau ada nama lain tambahan, bagi nama lagi. Kerana apa ertinya pembangunan hebat, negerinya maju, tapi orang miskin tegar masih ada. Sebab itu saya rasa hal ini jadi keutamaan, apa lagi sekarang ini.
  1. Semalam Perdana Menteri Ethiopia. Ethiopia ini dulu kita panggil Habsyah, datang melawat. Ini kali pertama, selepas sudah beberapa puluh tahun dah, orang ketua negara Afrika namanya Ethiopia, Habsyah datang, Perdana Menteri dia datang lawatan rasmi. Dia minta nak datang saya kata datanglah. Sibuk hari lain, panggil hari Sabtu, kita kerja hari Sabtu.
  1. Dia kata dia baru balik dari Mesyuarat BRICS di Kazan, Rusia. Dia katakan kepada saya, “Perdana Menteri Anwar, saya bukan hendak puji berlebih-lebihan tapi saya tengok imej Malaysia sangat baik sekarang”. Kerana 30 negara lebih minta hendak masuk jadi ahli BRICS, Rusia, China, India, Brazil, Afrika Selatan sebab dia jadi ahli, kita pun hendak masuk. Dia kata dalam mesyuarat 8 negara asas itu yang dipengerusikan oleh Vladimir Putin Presiden Rusia, belah kanan dia Xi Jinping, Presiden negara China. Belah kiri dia Perdana Menteri India, Narendra Modi, dia kata nama negara yang pertama diusulkan ialah Malaysia. Putin cadang, sokongan kuat dan padu dari negara China, India, Brazil, Ethiopia dan Afrika Selatan terus tidak ada soal, orang terima Malaysia ini sebagai anggota BRICS yang baharu.
  1. Ada negara-negara lain yang ditangguh. Kita dapat nama baik, jangan kita jadi seperi orang Kedah kata, jangan jadi “peraq”, jangan jadi sombong. Kita istighfar kepada Allah SWT. Maknanya kita kena kerja kuat lagi. Saya hendak bangga Malaysia ini bukan kerana bangunan tinggi, tidak, bukan kerana projek-projek besar dan raksama, tidak, kerana rakyat itu terbela itu yang penting.
  2. Sebab itu saya beritahu kepada YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak tadi setiap kali saya berkunjung tadi hendak ke lebuh raya, projek besar projek berbilion ringgit ataupun KIGIP beberapa bulan lalu di Kerian, sebelum itu di Tanjung Malim tapi tidak boleh tinggal kalau projek-projek kecil di kampung. Buat apa tadi? bagi benih ikan, bagi benih ikan di kolam buat jalan harga pun RM1 juta lebih sahaja. Dari segi Kerajaan Persekutuan itu projek kecil, dari segi orang kampung itu penting bagi kehidupan dia. Jadi kita kena tengok dari segi kedua-duanya.
  1. Malaysia hari ini dianggap sebagai hab pusat utama semikonduktor. Itu penting bagi kita, teknologi baru. Dan baru-baru ini teknologi digital, artificial intelligence (AI), baik Microsoft, Google, Amazon Web Services, semua tumpu ke malaysia. Di antara syarikat utama AI INVIDIA sampai ke Johor. Keseluruhan mereka pelaburan itu sudah mencecah RM30 bilion hingga RM40 bilion dan mula bertapak.
  1. Orang kata, “Oh umum sahaja” tidak! Google sudah pun beli tanah dan buka projeknya di Selangor. Infineon sudah berkembangkan kegiatan dia di Kulim Hi-Tech. Intel perbesarkan projek di Pulau Pinang umpamanya. Jadi hal-hal ini penting bagi negara kita. sebab apa? sebab politik itu stabil.
  1. Orang tidak nampak negeri macam negeri-negeri lain bergaduh. Jadi orang berminat untuk datang. Sebab apa? dasar kita jelas dan percayalah saya tidak mahu tolak ansur kalau mana-mana pemimpin sekarang hendak guna kuasa dia hendak kayakan diri dia hendak curi duit, hendak ambil kontrak saya akan lawan mereka habis habisan, itu prinsip saya.
  1. Saya tidak peduli kecaman dan sindiran, dengan saya ini tidak ada kontrak melainkan tender kamu nak runding-runding nak sakau-sakau tidak boleh, itu dasar kita. Dan saya tidak ambil gaji di sindir, saya tidak ambil gaji tetapi saya ada elaun ahli parlimen, saya bukan miskin, kereta percuma, kapal terbang kerajaan ada, semua dibayar. Sebelum ini ada pemimpin, menteri kewangan harta berbilion-bilion gaji ambil juga. Saya dah rasa berhempas pulas berjuang, masuk penjara dan keluar penjara kena terajang setengah mati, kena maki hamun dan fitnah, diaibkan berpuluh tahun. Sekarang Allah takdirkan saya jadi Perdana Menteri buatlah sebaiknya jangan fikir soal diri, fikir soal rakyat ini yang saya nak buat, saudara-saudara.
  2. Dan saya singgung perkara ini kerana kalau tidak jawab orang keliru, jawab sikit-sikitlah kerana kita nak tumpu kerja. Astagfirulah hal azim, saya beristighfar kepada Allah subhanahu wa taala bukan maksud saya datang ke Padang Rengas untuk saya bercerita kita hebat. Kalau tanya kepada saya, saya bukan sabar, Datuk Anis tahu dia Kastam, dulu Kementerian Kewangan mesyuarat sahaja saya tekan habis-habis pegawai jangan lembab, menteri-menteri kena cepat turun ke bawah. Tanya kepada YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, mesyuarat Menteri Besar kalau ada projek lulus cepat, itulah KIGIP Negeri Perak telah buat rekod kelulusan paling cepat untuk projek Hi-Tech di Kerian. Mana boleh buat projek besar senang, buat projek kecil bukan main susah.
  1. Saya luncurkan projek perumahan rakyat untuk orang berpendapatan rendah di Taman Desa, Kuala Lumpur, Perumahan MADANI Rakyat untuk rakyat bawah. Saya bagi arahan kepada pihak Bandaraya kalau syarikat itu cukup syaratnya saya bagi dia 45 hari saya nak turun lancarkan projek itu. Saudara, projek perumahan yang berapa unit, sekitar 400 ke 500 unit boleh siap dan lulus dalam masa 45 hari. Boleh pulak. Dan dalam pada itu ada protes, rumah-rumah orang kaya sebelah itu ada protes, pasal apa buat rumah jalan jadi sesak. Uihhh haa ini yang nak cakap Kedah ni “hang rumah hang besaq, takpa. Nak buat rumah orang miskin, sesaklah, kotorlah” ini perangai hodoh macam ini kita tidak boleh layan. Jadi saya beritahu mereka projek orang kaya kita bagi, jangan halang perumahan rakyat. Ini saya cakap saudara, pemimpin ini boleh bercakap garang di kampung, ujian dia bila berdepan dengan orang besar-besar. Bila dia berdepan dengan tauke-tauke besar. Kamu berani atau tidak itulah ujian dia, bukan yang berleter marah panjang bila kamu tiada kuasa, bila ada kuasa itu kamu kerah kayakan anak pinak kamu, anak bilion ringgit, isteri ratus juta, kamu punya harta di sini, harta di New York, harta di satu dunia. Kemudian bila tiada kuasa marah orang sana, marah orang sini.
  1. Saya nak bagitahu kalau kita nak buat, nasihat pada sahabat saya YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, kalau kita nak buat kena buat sekarang masa kita ada kuasa, buat sebaiknya, bersih, angkat martabat rakyat, bawa perubahan dan hayati Islam sebagai agama dan Ad-Din. Ini ujiannya. Saya nak sampaikan itu sahaja di Padang Rengas ini, bukan nak marah tapi nak bagi tahu. Dah lama tak datang jadi ini masa nak lepas sikit (nada seloroh).
  2. Ini saya nak sebut, kerana penting saudara-saudara. Dulu bila ringgit jatuh, kita baru ambil alih, baru nak buat program-program, sekarang dah buat, Alhamdulillah, termasuk juga persekitaran ekonomi dunia, ringgit kita kukuh. Dari segi peningkatan mutu nilai ringgit, ringgit sekarang menjadi mata wang yang terkuat, peningkatan tertinggi di dunia, Alhamdulillah.

 

  1. Jadi saudara-saudara, saudari-saudari, kena ingat, kalau kita buat program, kita sasarkan penyasaran subsidi, penyasaran diesel dahulu. Sekarang kalau dengar perbahasan di Parlimen, semua bercakap hendak pertahankan T15. T15 apa? T15 ini adalah tingkat 15% paling kaya, bukan maknanya millionaire, billionaire, dak. Yang kita kecualikan tak payah naik harga minyak ini 85%. Makna yang dalam dewan ini juga di luar kita kecualikan daripada naik harga minyak, tetapi dalam perbahasan di Parlimen semua nak jadi jaguh-jaguh untuk pertahankan T15 ini. Kalau dia cadang dia kata kena kaji T15, T15 ini mungkin orang itu tidak kaya betul, tak apa saya terima teguran. Tapi takkan nak jadi jaguh, ini politik apa ini? Negara inilah negara di mana orang politik riuh rendah hendak pertahan orang kaya, nak pertahan T15.

 

  1. Dan orang kampung bayar dak, naikkan harga dak. Ini yang saya nak sebut minta saudara-saudara faham, kadang-kadang dasar, boleh dengar, nilai. Kadang-kadang orang itu mungkin ada janggut macam saya, atau pakai kopiah, atau pakai kot tak usah kira, dengar dan nilai betul-betul. Nilai dan bincang betul-betul dia fahamkah ekonomi? dia bincang betul-betul. Niat ikhlaskah hendak bangunkan negara kita ataupun kerana dengki tidak dengki ke? sudah jadi Perdana Menteri tidak ambil gaji, marah, tidak dengki ke tu? apa masalah ini. Saya boleh ambil satu tahun sudah berapa ratus ribu sudah dapat. Sudah 2 tahun sejutalah. Tidak apa? saya tidak miskin.

 

  1. Menteri-menteri potong 20% gaji. Walaupun untuk penjawat awam kerana tidak pernah naik gaji sudah 12 tahun, Disember ini dinaikkan gaji. Januari naik lagi sikit. Februari bagi lagi RM500. Setakat yang kita mampu, makna tiga (3) bulan berturut-turut dia naik bertahap. Apa kebijakan dia? kalau naik mendadak bimbang takut inflasi, jadi kita naik berperingkat.

 

  1. Jadi saya harap kawan-kawan baik di Padang Rengas dan sekitar, cuba ikuti perkembangan dan selamatkan negara kita. Yang paling penting faham bahawa negeri ini bukan miskin, negeri ini kaya. Urus dengan baik, kalau tidak bocor, kalau pemimpin-pemimpin tidak sakau, tak kira parti mana, kita boleh jaga betul-betul, baik pemimpin, baik pegawai, baik tinggi, baik rendah, jaga betul-betul pegang amanah ini. Sebab itu saya tambah peruntukan untuk SPRM, saya suruh dia ambil tindakan, saya tidak peduli siapa, supaya nampak tegas untuk apa? untuk selamatkan negara kita ini.

  1. Kalau dalam 2-3 tahun ini orang tengok faham Malaysia ini negeri yang bersih tatakelolanya. Bersyarah bolehlah, Melayu lah, ketuanan Melayu lah, hidup melayu lah, Islam lah, tegak Islam lah, tapi bila ada kuasa sakau juga, serupa juga tidak guna. Ujiannya itu apa dia? Ya ayyuhallazina’amanu istajibụ lillahi walir-rasuli iza da’akum lima yuhyikum, (Surah Al-Anfal:24).Selalu kita peringatkan, ujiannya bukan kata-kata yang manis dan memukau yang walaupun benar, ujiannya adalah penghayatan. Wa’amilan solihan, (amal yang soleh). Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita. Terima kasih banyak atas kesudian hadir dalam panas.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.