![](https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2019/02/jataMalaysia-1024x681.jpg)
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
MAJLIS PERASMIAN KHATAM HADIS SAHIH AL-BUKHARI PERINGKAT ANTARABANGSA TAHUN 2024 BERSEMPENA SAMBUTAN KESYUKURAN DUA TAHUN KERAJAAN MADANI
21 NOVEMBER 2024 (KHAMIS) | 9:00 MALAM
MASJID PUTRA, PUTRAJAYA
Alhamdulillah,
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.
Alhamdulillahil quail.
Waman ahsanu qawlan mimman daAAa ila Allahi waAAamila salihan
Waqala innanee mina almuslimeen
Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang saya muliakan tetamu terhormat, mualim dan terkemuka, yang menguasai hadis, kumpulan hadis sahih Al-Bukhari yang terkenal dan masyur di dunia Islam hari ini, Sheikh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari yang berasal dari Kerala dan para ulama;
Sahabat saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im, bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Menteri-menteri yang hadir,
Ulama-ulama yang saya muliakan dan saudara-saudari yang dikasihi sekalian.
- Sekitar tiga atau empat tahun yang lalu saya ke sebuah markas di Kerala dan saya saksikan usaha yang diikhtiarkan oleh anak-anak di markas di bawah pimpinan Sheikh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari, pusat ilmu pengajian, masjid, universiti, hotel, dalam suatu lingkungan yang sangat menyemarakkan dengan roh Islam dan pengajian yang mendalam. Saya hadir kerana saya tahu tentang keupayaan Sheikh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari sebagai seorang ahli hadis yang ulung di dunia Islam.
- Di antara pesanan beliau kepada saya insya-Allah katanya apabila telah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri usahakanlah supaya diadakan majlis yang disebut samā‘ khatam Sheikh al-Bukhari, sanah setiap tahun. Dan tahun lalu kita mulakan cara yang sederhana dan tahun ini alhamdulillah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), daripada badan-badan yang lain dan juga para ulama, kita saksikan kejayaan yang sangat membanggakan. Alhamdulillah.
- Kemajuan, pembangunan, kemampanan termasuk dalam negara MADANI ini mesti berteraskan nilai, keyakinan dan akhlak dan di mana-mana yang kita bicarakan tidak ada ertinya pembangunan kalau dipinggirkan soal keyakinan, jati diri, aqidah dan akhlak.
- Sebab itu untuk menyemarakkan Islam ini, persiapannya, pencerahannya dan ilmu sangat penting. Kita mulakan mata pelajaran yang wajib, ilmu wajib bagi semua anak-anak Islam dalam semua sistem pendidikan negara kita untuk menelaah 40 hadis, terjemahannya dan syarahnya. Akan tetapi, kemuncaknya tentulah penguasaan ilmu Al-Quran dan hadis dan ini yang kita upayakan. Sebab itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jazakumullah khairan kathiran kepada Sheikh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari dan semua sahabat yang menjayakan.
- Kebetulan setelah maghrib tadi, Sheikh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari memberi beberapa pesanan kepada saya, supaya kita istiqamah dalam usaha kita, kerana cabaran dengan umat ini sangat berat.
- Saya baru tiba dari luar negara semalam, saya ke Mesir, menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam di Riyadh mengenai Gaza. Kemudian ke sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru dan G20 iaitu kumpulan 20 Negara yang menjadi 40 sekarang ini di Rio de Janeiro, Brazil.
- Tapi percayalah saudara-saudara sebagai suara denyutan umat Islam dan rakyat Malaysia, saya tidak pernah tinggalkan soal nilai, soal keadilan sejagat, soal kemanusiaan. Maka sebab itulah, dari Mesir tatkala mengucapkan penghargaan kepada Presiden Abdul Fattah el-Sisi kerana membantu gerak usaha dan ikhtiar Malaysia mengirim bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin khususnya Gaza. Kemudian dihalang oleh rejim zalim dan ganas zionis Israel. Dan terima kasih kepada beliau kerana mengizinkan kita mengambil anak-anak Gaza yang cedera parah dibawa ke Hospital Tentera di sini.
- Di Riyadh kita kemukakan pandangan yang agak keras bahawa apa yang dilakukan oleh Israel itu sudah sampai ke tahap barbarisme, dan hilang kemanusiaan dan saya minta supaya Negara Arab dan Islam membuat keputusan tegas. Malah Malaysia adalah di antara negara yang mengusulkan supaya disingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu ditubuhkan bagi negara yang merdeka, bagi negara-negara yang berdaulat, bagi negara-negara yang patuh pada hukum dan undang-undang. Terbukti, dan ternyata Israel telah menolak semuanya.
- Di sidang APEC, berdepan dengan Presiden Joe Biden Amerika Syarikat, Presiden Xi Jinping China, Presiden Emmanuel Macron Perancis di United Kingdom saya ulangi suara itu dan juga dalam sidang G20 Rio de Janeiro. Bukan kerana kita negara besar, kerana kita negara ini dalam MADANI tertegak kerana keyakinan, tertegak kerana nilai, tertegak kerana menghormati nilai kemanusiaan, keadilan dan kebenaran. Maka kita suarakan. Apa erti perbincangan kita mengenai pembangunan, kalau sebahagian daripada rakyat dan umat ini dijejak, dijadikan hamba dan dibunuh semberono. Kita akan usahakan.
- Sheikh mengingatkan kepada saya, istiqamah dan hikmah. Dan mengingatkan pada saya ayat Al-Quran-nul-Kareem tentang mengusahakan sesuatu dengan sabar, dengan penuh rahmah dan kasih sayang. Dan jangan rasa gusar sekiranya diugut atau dihina atau dicerca atau difitnah. Beliau mengingatkan saya sebentar tadi Surah Al-Imran, Ayat 159:
“فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۚ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ”
- Jadi, rahmat kasih sayang, musyawarah yang baik dan kesungguhan kita dalam segala usaha dan ikhtiar dan berakhir dengan fatawakal Allah kerana sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang bertawakal.
- Saudara-saudari yang saya muliakan. Saya juga ucap terima kasih kepada para ulama daripada seluruh negara dan beberapa ulama terkemuka dari Uzbekistan dan beberapa negara Tunisia yang hadir menyemarakkan majlis ini. Mudah-mudahan Malaysia terpancar sebagai negara MADANI yang gigih berusaha untuk memacu pertumbuhan tetapi mengekalkan semangat serta hidupkan penghayatan Islam dan roh Islam dan membawa satu mesej baru bagi dunia keseluruhannya.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.