TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN IPCC, POLICE, FRIENDS AND COLLABORATORS (IPFC)

 

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PELUNCURAN IPCC, POLICE, FRIENDS AND COLLABORATORS (IPFC)

 

 

3 DISEMBER 2024 (RABU) |12:00PM

 

PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC), KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem, Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri;

 

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Inspector General Tan Sri Razarudin bin Hussain,

Ketua Polis Negara; dan

 

keluarga polis seluruhnya.

 

  1. Saya ucap penghargaan terima kasih atas kesudian memberi berkesempatan kepada saya pada hari ini. Pertama, ini satu program pertama saya dengan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah beroperasi dan hari ini meluncurkan IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC). Kita tahu latar belakang ini satu pengenalan, satu suruhanjaya yang penuh kontroversi dan mengambil masa yang agak panjang.

 

  1. Saya mewakili pandangan agak berbeza pada ketika itu, saya mengatakan kalau ada suruhanjaya soal tata kelakuan, sebaiknya ia melibatkan semua agensi, jadi tidak nampak tertumpu kepada satu iaitu polis sahaja. Biar Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kastam itu sekali tetapi pada masa itu Kerajaan memikirkan harus dikhususkan dan perkara ini sudah berjalan dan kita perlu pastikan ia berkesan.

 

  1. Yang penting diutamakan ialah keadaan berubah. Kesedaran rakyat dengan pendedahan kepada media dan media sosial yang bebas itu menuntut negara juga melakukan sedikit anjakan. Kita tidak membayangkan umpamanya keperluan adanya satu agensi untuk mengawal keterlanjuran atau disiplin kerana ada peraturan-peraturan yang sedia ada dalam Jabatan Perkhidmatan Awam, dalam jabatan masing-masing tetapi kita juga sedar bahawa dalam jumlah yang besar kadang-kadang berlaku walaupun kelompok yang kecil tetapi kelompok kecil itu mewakili sekelompok, segelintir masyarakat dan mereka merasakan harus diberikan pembelaan.

 

  1. Sekarang ini tanggungjawab kita seperti mana yang dinyatakan oleh saudara YB Datuk Seri Saifuddin Nasution sebentar tadi ialah pertahankan dan kalau kita mahu negara kita, negara MADANI maju dan terangkat, isu tatakelola, integriti, pembanterasan rasuah, keterlanjuran penyalahgunaan kuasa harus diberikan tumpuan dan mengikut pengalaman saya, sudah dua tahun meneraju Kerajaan ini, PDRM di antara institusi atau agensi yang sangat kritikal untuk memberi makna dan menjamin kejayaan pada acara kita. Jadi saya ingin mulakan dengan menyatakan penghargaan terima kasih saya kepada seluruh pasukan Polis dan PDRM.

 

  1. Seperti mana saudara tahu, tetapi YB Datuk Seri Saifuddin Nasution ganggu tadi, beliau cerita mengenai Baling pula, masa itu umur saya 20 tahun lebih sikit. Masa itu pun bukan saya lawan dengan Polis saya lawan dengan Kerajaan. Isunya, isu kemiskinan ketara di Baling dan Sik kerana kejatuhan mendadak harga getah akibat stock pile di Amerika Syarikat dan orang memang benar-benar sangat miskin, tertekan dengan kehidupan, dengan makanan asas. Sebab itu saya melihat ini sebagai satu pengajaran. Kalau orang tanya kedegilan saya dan sikap keras saya dengan agenda utama membasmi kemiskinan tegar dan menggunakan dana pemerintahan supaya jangan boros, membazir dan rasuah kerana dana ini sangat bererti kepada yang paling susah dan terkesan.

 

  1. Jadi saya menimba pengalaman dan pengajaran dengan lebih matang dan memahami selok belok dan kadang-kadang merasakan lebih faham kalau ada sedikit rasa sinis dan kegelisahan rakyat bila mendengar celoteh pemimpin-pemimpin tentang dasar, tentang peruntukan dan sebagainya. Jadi, walaupun kita lalui liku-liku yang agak sukar tetapi kalau kita lihat ke depan sebagai satu pengajaran untuk bawa kebaikan maka saya fikir negara ini tentu dilandasan yang lebih terjamin.

 

  1. Itu pasal saya singung sedikitlah soal peristiwa Baling 1974, yang saya pun pelik juga kenapa pilih 3 Disember, saya fikir kebetulan. Rupanya ada satu konspirasi, kolaborator tapi bagi saya pengalaman ini harus mengajar dan mematangkan kita. Tidak semua tindakan dan perilaku kita semasa kita belasan tahun dan puluhan tahun itu dapat kita pertahankan, ada kekuatannya dan ada kelemahannya. Tetapi yang penting bagi saya ialah pengajaran, pengalaman dan hikmah darinya, seperti mana juga pendirian kita untuk mendukung usaha-usaha sekarang.

 

  1. Apa yang disebutkan kelakuan atau keterlanjuran walaupun ada, tapi memang manusia ini dia tertarik dengan bahan-bahan dan kisah yang sensasi (sensational). Satu atau dua kes itu dianggap mewakili golongan yang besar. Sebab itu naratif kita bukan sahaja Polis tapi Kerajaan harus lebih adil. Saya di soal tadi di Parlimen mengenai tindakan, pengawasan tebatan banjir dan menghadapi ancaman banjir. Tapi saya mulakan dengan kenyataan penghargaan. Ini jarang berlaku dan tidak biasa sebagai satu amalan di semua negara. Berapa orang penjawat awam – polis, tentera, bomba, APM dan pelbagai penguatkuasa dari kalangan penjawat awam yang terlibat dalam membantu mangsa banjir? Saya turun ke Terengganu bersama KSN dan Ketua Polis dua hari yang lalu. Kita lihat Polis bertugas bukan soal mengawal jenayah tapi lebih daripada itu, sebagai anggota masyarakat yang prihatin membantu dan walaupun kita berjalan kita lihat tetapi saya sebagai manusia biasa itu terkesan jika terus lihat mereka ini tidak cukup tidur. Tapi kerja kalau tanya tak pernah kata letih atau sukar, dia terima dengan baik dan jumlah penjawat awam yang terlibat ini 80,000 orang berkhidmat untuk membantu.

 

  1. Dan pasukan Polis itu tentunya di antara penaja utama kerana mereka itu di akar umbi. Setiap daerah, setiap kawasan, setiap lereng ada. Jadi saya memilih untuk menyatakan itu dan berikutnya bila keadaan banjir reda, insya-Allah atas inisiatif dan ikhtiar KSN, kita ada Skuad Ehsan MADANI kerana tidak selesai dengan surutnya air, kita perlu selesaikan dengan membersihkan kawasan, memperbaiki kerosakan dan saya percaya Skuad Ehsan MADANI ini akan dapat kerjasama penuh dari anggota PDRM.

 

  1. Jadi sebab tu tadi saya mulakan kerana bila kita lihat persiapannya itu luar biasa. Maknanya kita ada keupayaan. Bila kita tahu jangkaannya, sebahagiannya kerana kesilapan manusia. Sebab itu ‘fasad fil ardh’, kerosakan ini kadang-kadang kerana dasar kita. Bukit bukau, balak, bangunan itu tak terangka. Allah menyusun mengatur dunia ini dengan perimbangan. Perimbangan ini harus kita jaga. Tapi walaupun dijaga adakalanya diuji lebih daripada itu.

 

  1. Saya sebut tadi bagaimana jumlah kadar hujan 5 hari akhir November itu lebih daripada hampir 6 bulan sebelumnya. 1,400 – 1,700 milimeter dalam tempoh 5 hari. Maknanya kalau ada rencana tebatan banjir yang terbaik, sungai-sungai dikorek dengan dalam, itu tidak dapat menahan air yang agak banyak, apa lagi dengan air pasang.

 

  1. Jadi yang saya nak tekankan di sini ialah persiapan awal yang dilakukan oleh seluruh jentera Kerajaan. Yang di antara tonggak utama juga PDRM kerana jumlahnya ramai dan kiranya sampai ke bawah dan tidak boleh kita sebagai rakyat umum melupakan jasa dan khidmat mereka mengangkat orang, mendukung orang dan meredah sampai ke semua tempat bersama dengan Bomba, ATM dan lain-lain.

 

  1. Jadi walaupun kita pasti untuk wajib wujudkan IPCC dan sekarang IPFC yang kita luncurkan hari ini, ia tidak boleh menafikan kenyataan bahawa PDRM itu kekal sebagai tonggak utama pertahanan dalam negeri yang memungkinkan ekonomi meningkat, pelaburan masuk, orang rasa tenang dan aman, berjalan dengan selesa siang dan malam, bekerja syif malam dari hospital dan sebagainya dengan rasa tenang dan aman, kerana kecekapan, kecekalan PDRM keseluruhannya.

 

  1. Sebab itu saya mohon pimpinan Polis bukan sahaja IPCC ambil pendirian yang agak tegas. Negara menuntut perubahan dan peningkatan dan saya mewakili pandangan bahawa kita punya keupayaan, bukan leceh politik picisan, bukan simpang siur pergaduhan kaum dan agama yang tidak akan menguntungkan. Tetapi tumpu untuk menyelamatkan negara, aman, meningkat laju, pemacuan pertumbuhan ekonomi itu yang boleh menyelamatkan anak bangsa. Meningkat mutu pendidikan rakyat, kesihatan rakyat, hab semikonduktor, negara yang maju dari segi AI dan ini semua harus menjadi pusat perhatian kita.

 

  1. Prasyaratnya itu adalah negara aman dan terkendali dan elak daripada amalan boros, sombong, angkuh, zalim, menekan orang dan bila ada sedikit kuasa lupa, hilang ingatan, mendera orang yang tak sepatutnya didera. Semua ini walaupun golongan kecil saya mohon, desak dan tegaskan pimpinan polis tidak boleh bertolak-ansur sama sekali demi menyelamatkan bangsa dan negara. Jadi sekian, kita makan dengan tenang.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.