
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM BICARA EKSEKUTIF MALAYSIA MADANI PENJAWAT AWAM TAHUN 2024 BERSAMA
YAB PERDANA MENTERI
21 MAC 2024 (KHAMIS) | 10.00 PAGI
DEWAN DAMAR SARI, BLOK F8, PARCEL F,
PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusolli ‘ala rasulihil karim
Alhamdulillahil qail shahru ramadaanallazeee unzila feehil Qur’aanu hudal linnaasi wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan.
Saudara Menteri Perpaduan,
YB Datuk Seri Aaron Ago anak Dagang;
Saudara Ketua Setiausaha Negara,
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali;
Saudara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
YBhg. Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz;
Ketua Polis Negara;
Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain @ Abd Rasid; dan semua yang hadir di dalam, di luar, di tepi dan di tengah, di lereng-lereng.
Terima kasih atas kehadiran dan kepada YBhg. Datuk TPj. Kehormat (PA) Haji Mohd Haswandi bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia dan keluarga Akademi.
- Inisiatif atau ikhtiar ini bermakna, kerana kita harus bermula dengan keyakinan dan kesedaran. Saya baca tadi ungkapan Al-Quran yang terkait dengan Ramadan. Bulan Ramadan Shahru Ramadan, turunnya unzila feehil Qur’aanu dan turunnya Al-Quran sebagai hudal linnasi, petunjuk kepada manusia yang memberikan kita keupayaan untuk menimbangkan, memilih dengan baik – wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan.
- Ini kenyataan tetapi mesti ada kefahaman dan mesti disusuli dengan amal kerana apa juga keyakinan kalau tidak disusuli dengan amal dan tidak akan memberikan impak, dampak dan kesan. Sebab itu kita digesa supaya sabit kukuh dengan keyakinan, Ya `Ayyuha Al-Ladhina `Amanu Astajibu Lillahi Wa Lilrrasuli `Idha Da`akum Lima Yuhyikum. Maknanya supaya kita yang beriman kerana yakin kita, kita menjurus kepada kebaikan – Idha Da`akum, tetapi itu tidak cukup kalau dalam pengertian agama. Penyeru itu dengan penghayatan – Lima Yuhyikum.
- Jadi semua hal yang kita bicarakan bermula tentunya dalam konteks Ramadan mengimarahkan, memberi makna dan menghayati. Pertama tentulah dengan munajat, membaca Al-Quran dan memahami tetapi yang kita harus juga faham Ramadan itu mengukuhkan keyakinan. Kalau tidak, mengapa hal yang dilarang itu tetap dilarang, tetapi hal yang biasanya tidak dilarang pun dilarang di bulan Ramadan, makan minum umpamanya. Ini kerana memperkukuhkan disiplin dan integriti kita.
- Kita mampu mempertahankan kerana kita punya tanggungjawab pada diri, keluarga dan juga kepada kerjaya dan masyarakat kita. Maknanya Ramadan ini mesti meningkatkan keimanan kita, memperbaiki akhlak, disiplin, integriti dan keprihatinan kepada nasib masyarakat yang miskin dan melarat. Cuba bayangkan bagi kita yang punyai keupayaan; syarikat-syarikat, pembesar-pembesar dan orang-orang kaya. Kalau semuanya dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, saya tidak fikir ada orang yang terlantar, semua dapat menyantuni.
- Jadi semalam dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan yang dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), ada juga cadangan umpamanya, apa kata kalau semua Menteri, Ahli Parlimen, Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, syarikat dan individu-individu lain, masing-masing jaga kampung asal mereka dari segi masalahnya, kemudahannya, orang yang paling terlantar dan miskin, boleh tak kita jadikan ini sebagai tekad Ramadan tahun ini?
- Bayangkan berapa ribu orang yang agak dalam kategori atas sikitlah, kalau Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara itu kira atas banyaklah, dan di bawah ada lagi Ketua-ketua Jabatan, kalau semuanya pilih kampung asalnya dan ambil tanggungjawab bahawa dia itu patut cari jalan dan kaedah, menganggap kampung itu sebagai kampung dia dan keluarga dia. Saya rasa setengah daripada masalah kita boleh selesai.
- Jadi seperti biasa saya umum, KSN nanti terpaksa cerakin, atur dan KPPA akan buat siaranlah. Mudah-mudahan dalam tempoh seminggu, kita ada satu cadangan baru selain daripada yang kita sediakan. Saya tidak fikir terlalu sukar kerana saya juga umumkan dalam Belanjawan MADANI ke-2 pada November tahun lalu, bahawa kita juga cari jalan; tiap kampung termasuk kawasan-kawasan miskin bandar, kita akan sediakan minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000 untuk masyarakat itu sendiri menentukan projek yang mereka laksanakan, iaitu projek ekonomi kerana soal infrastruktur itu tanggungjawab Kerajaan, tetapi projek ekonomi yang nak hidupkan, apakah pertanian, apakah jahitan dan lain-lain, tentunya sebagai anak kampung harus ambil tanggungjawab itu.
- Jadi saya mula dengan Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, jadi saya terpaksa dalam tempoh seminggu ini panggil kawan atau telefon ataupun kalau boleh balik, balik susah sebab atur cara dah penuh; untuk menentukan wakil bagi wanita, belia, jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung semuanya itu ada kesedaran ataupun tanggungjawab menyampaikan kemudahan, keperluan mereka termasuk keluarga paling miskin, kedudukan pendidikan anak-anak di sekolah, masalah dadah di kampung, semua itu harus diambil tahu. Nampaknya boleh tak kita jadikan ini tekad Ramadan? boleh yang belakang? Boleh ya. Saya percaya bolehlah ya. Kategori mana itu akan ditentukan, saya hanya bagi penghantar yang pengisiannya KSN. Baik itu pertamanya soal kaitan dengan Ramadan.
- Yang kedua, kita ada MADANI dan kita ada Akademik Kenegaraan Malaysia untuk cuba menterjemahkan maksud MADANI. Jadi orang tanya, dari mana kita harus mula? Menarik kerana soalan ini daripada kalau saudara tengok idea principle daripada zaman Yunani, maknanya socrates, aristotelian itu mesti ada soal jawab. Di Mesir, dalam keadaan pergelutan idea, ideologi, dan fahaman itu banyak yang disoal dan ada diberikan jawapan. Dan sebelum Kemerdekaan umumnya kiblat kita itu ke barat. Jadi Khalid Muhammad Khalid, seorang sarjana ulama menulis ‘Min Huna Nabda‘, dari mana kita harus bermula? from where do we begin ataupun from where do we start? Dan jawapan dia secara tidak langsung kita terpaksa kiblat ke barat.
- Di dunia kita juga di kalangan sarjana awal Melayu semuanya memang kiblatnya ke barat. Salah seorang pemikir dan sarjana ulung Indonesia, Sutan Takdir Alisyahbana menulis bahawa untuk maju, Indonesia itu harus tunduk kepada kekuatan barat, teknologi barat dan ilmu barat. Walaupun di akhir hayatnya beliau anjak sedikit dan mula menerima kenyataan kekuatan budaya Indonesia dan agama Islam.
- Jadi soalannya ‘Min Huna Nabda‘, dari mana harus kita bermula? Jawapan diberikan oleh seorang sarjana yang hebat, almarhum Syeikh Muhammad al-Ghazali yang pernah kita anugerahkan penghormatan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada 25 atau 30 tahun yang lalu semasa saya menjadi Presiden UIA. Dia jawab, kerana Min Huna Nabda’ itu tidak memberi jawapan. Dia seolah-olah persoalan dan seolah-olah tidak ada pilihan bagi kita. Jawapan almarhum Syeikh Muhammad al-Ghazali adalah kepada persoalan Min Huna Nabda’ itu dari mana harus kita mula, jawapannya adalah ‘Min huna na’lam’. Kita harus bermula dengan ilmu, dengan hikmah, our beginning in wisdom kata beliau ataupun knowledge and wisdom.
- Jadi jangan kita seolah-olah kita terpinga-pinga tanya macam mana nak mula? macam mana mula? Mula dengan ilmu, mula dengan kefahaman dan manusia diberikan Allah SWT kekuatan untuk menanggapi masalah dan dia tidak guna hanya 14 perkataan dalam platform X ataupun dalam beberapa kenyataan dalam platform tiktok. Kalau kita mahu adakan perubahan – Islah Mastata’tu di negara kita; perubahan sebaik, sedaya upaya kita, kita mesti tingkatkan kefahaman. Kita mesti ada satu semangat baharu dalam negara kita bahawa negara ini, Malaysia berhak mendapat pimpinan, pentadbiran, ekonomi, mutu pendidikan, kesihatan yang jauh lebih baik daripada yang kita capai hari ini. Mesti ada tekad itu baru boleh bergerak maju.
- Kita sudah longlai, lemah, lembap, sekian lama. Kita terima kenyataan seadanya. Kita terima kenyataan bahawa siapa sahaja yang menjadi pimpinan mesti kaya-raya, bahawa rasuah skala besar di kalangan pembesar-pembesar itu perkara biasa. Kita terima kenyataan bahawa penjawat awam menjalankan tugas sekadarnya seadanya. Kita terima kenyataan bahawa ada kelemahan-kelemahan dalam bidang penguatkuasaan dan terima kenyataan Jabatan Audit Negara, tegurannya ribuan masalah setiap tahun dan kita ulang masalah itu selama puluhan tahun. Sudah sampai ketikanya untuk mana-mana masyarakat dan negara kalau mahu selamatkan negara kita, bangsa kita, agama kita, kita mesti wujudkan perubahan dan melonjak daripada keadaan lembap ini.
- Kita adalah satu bangsa yang punya sejarah yang gemilang. Kita adalah negara yang punyai potensi yang jauh lebih baik. Jadi kalau saudara tanya apa dia? Dari mana kita harus mula? Kita mula dengan tekad, kita mula dengan kefahaman, kita mula dengan kesungguhan melaksanakan kata-kata yang saya sebut Idha Da`akum Lima Yuhyikum, penghayatannya saudara.
- Saudara tahu saya pun bergelut dalam hidup dan saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, di umur yang agak sudah lanjut ini diberikan kesempatan untuk menjabat Jabatan sebagai suara, juru bicara umat untuk sama-sama memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan saya yakin kita boleh dan kita mampu. Betul negara ini negara kecil ketimbang negara-negara besar, tetapi negara kecil ini boleh membawa jiwa dan suara besar dan gagah di pentas dunia.
- Kerana dukungan ini, politik yang stabil, dasar yang jelas dan kita atur tatakelola, elak dari penyelewengan, kelembapan, rasuah dan salah guna kuasa maka berani kita bersuara dengan lantang. Kalau tidak, tidaklah kita suarakan di depan Presiden Joe Biden mengenai Gaza atau Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengenai hubungan baik kita dengan negara China atau baru-baru ini dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz. Kalau kita pecah belah, lemah, tidak ada disiplin, tata kelola yang lemah dan rasuah yang menular, orang ketawakan kita. Dianggap kita ini sebagai negara ‘Banana Republic’, negara berkembang yang tidak teratur tidak punyai peraturan.
Saudara-saudara,
- Jadi saya nak mulakan dengan menyatakan bahawa kita punyai potensi untuk menjadi negara gagah dan besar dan insya-Allah, beri komitmen ini, hentikan perbincangan-perbincangan yang jumud dan lapuk, tidak habis-habis dalam perkara-perkara titik bengit. Negara harus maju saudara-saudara. Negara kalau mahu maju, mesti tumpu kepada pengetahuan ilmu baru, digital, teknologi dan transformasi, tahu bahawa dalam soal sistem, tenaga itu sendiri, ada energy transition, tahu bahawa kita perlu anak muda yang cukup terlatih bukan sekadar TVET, jurutera, doktor dan profesional tetapi tahap yang lebih tinggi.
Saudara-saudara,
- Perbincangan kita dan wacana kita ini mesti ke arah itu. Ya soal nilai, ya soal akhlak, ya soal keyakinan agama, tapi ya dengan semangat perpaduan dan kesatuan di kalangan kita. Tidak ada untungnya kalau kita rasa nak menang dengan menanam bibit kebencian kepada orang lain. Menang kita kerana hebat kita bukan kerana mencerca kaum lain atau agama lain atau kelompok minoriti lain. Kalau bicara soal Melayu, Melayu itu hebat gagah kerana pimpinannya bersih, sikapnya, budayanya, disiplinnya dan integritinya untuk bangkit sebagai negara yang gagah. Bukan hebat Melayu itu untuk memijak dan memandang enteng kepada orang lain.
- Sama juga dengan kumpulan minoriti Cina, India atau kumpulan-kumpulan suku kaum yang lain. Mereka juga harus terima kenyataan, bahawa negara ini terasnya masih Melayu, majoritinya Melayu. Kita terima kenyataan itu dengan semangat perpaduan, pertahankan keadilan dan beri ruang serta hak kepada semua.
- Saya tekankan hal ini kerana kadang-kadang kita tidak habis-habis dengan bicara ini. Bicara ini tidak memenangkan kita saudara-saudara. Iman pun tidak bertambah, ilmu pun tidak bertambah, akhlak pun tidak diperbaiki, ekonomi jauh lagi, yang menang hanya jeritan.
- Ini yang pernah saya ingat kupasan Professor Hussein al-Attas dalam ‘Kita dan Islam’ kalau tak salah saya, kita bila bicara soal Islam ini menang tukang-tukang jerit bukan tukang-tukang ramal, bukan tambah kefahaman tetapi menjerit untuk menghukum orang; pantas menghukum, melemahkan, mencerca dan senang.
- Jadi saudara-saudara, ini bukan medan politik tetapi saya nak jelaskan di sini, pertama keyakinan kita. Kita harus tanya diri kita. Kita mahu kekalkan Malaysia di tahap ini atau kita mahu angkat martabat kita supaya nasib anak cucu kita itu lebih baik dan terjamin daripada kita? Itu soalan yang kita kena jawab. Orang yang waras mesti jawab kerana Allah SWT angkat darjat manusia, wa laqad karramnā banī ādam – Allah has executed the children of Adam. Kita akan jawab tentunya kita akan berbuat sesuatu yang lebih baik menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita.
- Maka kalau mahu meningkatkan mutu ini, ada beberapa prasyarat yang harus kita terima dalam agama, dalam budaya dan dalam negara. Seperti mana kita ada Rukun Iman, Rukun Islam, dalam negara kita ada perlembagaan. Kita ada kerukunan yang harus kita terima. Kita ada peraturan dan undang-undang. Kita terima kenyataan Malaysia ini walaupun majoriti yang sudah mencecah lebih 60 peratus Melayu Bumiputera, kita harus terima kenyataan negara ini masih pelbagai kaum dan pelbagai agama. Dan untuk hidup dengan aman dan damai, sementara Islam itu dihayati dan dimartabatkan, dan Bahasa Melayu dimartabatkan, hak keistimewaan Melayu Bumiputera dipertahankan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, dia tidak sekali-kali memberi maksud untuk meremehkan, merendahkan atau menghinakan hak sesiapa.
- Saya tegaskan saudara-saudara, tidak untung, tidak menang kita dengan sorakan jerit untuk menghina orang lain. Menang kita itu hanya dengan integriti kita, kewibawaan kita, keterampilan kita, kepetahan kita dan ini harus dibina.
- Jadi saudara-saudara, seperti mana Madrasah Ramadan ini, saya juga anjurkan selain daripada memenuhi tanggungjawab setiap orang jaga kampung sendiri dahulu, kita juga harus terima bahawa tidak ada siapa tanpa kecuali; saya sendiri, bapak Menteri, KSN, KPPA lebih-lebih lagi, semuanya kena balik juga untuk mengikuti satu bentuk latihan / kursus peringatan untuk menggilap semangat dan ilmu mereka. Bermula dari atas sampai ke peringkat bawah termasuk Ketua Polis Negara.
- Jadi sekurang-kurangnya ada kesedaran, kesatuan pemikiran. Apa yang hendak kita lakukan? Ada yang disebut thabit, yang pokok, yang tidak ada pertikaian. Sembahyang lima waktu tidak perlu pertikai. Keutamaan sembahyang sunat ada yang nak itu, ada yang ini, itu soal boleh. Seperti mana perdebatan soal usolli dan qunut, sembahyang tidak ada tolak ansur. Nak usolli, nak qunut itu boleh bahas asing. Itu soal furuq. Jadi dalam hal ini ada beberapa perkara pokok; kewarganegaraan, kenegaraan yang harus kita pikul dan fahami bersama.
- Saya ini orang optimis. Saya ini mewakili sikap yang percaya bahawa masyarakat dan umat itu boleh bangkit dan saya memang pengkaji dan peminat sejarah. Saudara lihat sejarah itu menunjukkan orang sama, budaya sama, agama sama. Kadang dia naik, kadang dia surut. Jadi bukan budaya dia bukan agama dia tetapi orangnya itu. Saudara baca umpamanya teori Abdul Rahman Ibn Khaldun dan selalu saya popularkan dalam bukunya ‘Mukadimah’, masyarakat yang asalnya Umran Badawi (nomadic culture). Kemudian berkembang di kota, berasaskan di kota berkembang jadi Umran Hadari, satu peradaban tamadun baru. Kerana apa? Kerana semangat kekuatan asabiyyah yang positif. Kerana apa? Kerana idealism, kerana generasi itu seperti generasi awal mahu merdeka; dengan merdeka perlu kesatuan, perlu pimpinan dengan semangat dan pengorbanan.
- Maka lihat petani, peladang bekerja bertungkus-lumus tanpa elaun tanpa apa-apa kepentingan hanya hendak capai kemerdekaan, untuk apa? Dia megah, bangga, dignity, berasa dignified dengan negara yang merdeka dan cemerlang. Wanita-wanita melepaskan gelang emas, cincin mereka untuk memberi tambang kepada pemimpin-pemimpin negara pada masa itu pergi ke London dan balik untuk berunding mendapatkan kemerdekaan. Itu contoh di sini, tetapi kupasan Abdul Rahman Ibn Khaldun di Utara Afrika, dia kata semangat itu yang bangkitkan mereka. Jadi, negara kuat dan maju.
- Generasi pertama, semangat, bina pendidikan, kesihatan, ketenteraan, ekonomi berkembang. Generasi kedua, tenang sedikit. Generasi ketiga sudah mewah, dia tidak tahu apa erti pengorbanan, kerja kuat dan semangat, dia tahu boros. Dia tahu hidup dengan segala kemewahan dan leka dan dia mula tolak ansur apabila terhakisnya cita-cita murni dan idealisme, maka rasuah diizinkan. Rasuah jadi budaya. Kalau tidak ambil, jadi bodoh. Dia kata Menteri Kewangan tidak ambil, bodohlah. Kerana kefahaman dan budaya seorang Menteri Kewangan atau Perdana Menteri mesti kaya. Anak-anaknya mesti billionaire dan orang boleh terima. Yang boleh jahanam negara ini bukan sahaja pimpinan, rakyat pun boleh juga. ‘Apa salahnya dia pun lama jadi Menteri dah 20 – 30 bilion tidak ada apa-apa lah’. Jadi rakyat pun boleh maafkan kemudian tentunya apabila dah diketahui, dia pun dah tua. Orang kata, ‘tua biarlah masa muda dia rasuah sikit, masa tua baru rasuah banyak’. Takkan masa korporal nak dapat banyak?
- Jadi saudara-saudara, ikut teori Abdul Rahman Ibn Khaldun ini mula terhakisnya semangat dan idealism, rendahnya akal budi, runtuhnya akhlak maka hancur. Negara jatuh, pecah sama ada ditakluki, ditawan atau perang saudara, habis! Anehkan? Agama sama, budaya sama, rupa paras, warna kulit semua sama tetapi keadaan berubah. Dan lihatlah semua negara begitu.
- Saya tidak mahu membicarakan yang lalu, cuma saya nak sebut negara ini yang punya potensi untuk terangkat sebagai negara hebat sudah kian longgar dan malap. Maka saya nak ajak saudara-saudara semua dalam dewan ini, di luar dewan, di lereng-lereng tangga, di luar, malangnya saya tidak nampak tetapi mereka nampak saya tak? Ada skrin? Betul? Saya pengalaman banyak kalau bertanya KSN dia kata ya tetapi saya belum tahu itu betul atau tidak (nada seloroh). Kalau saudara tengok dahulu siri ‘Yes Prime Minister’, dia yes tetapi maksud yes no saya tidak tahu lagi, saya bergurau sahaja. Tetapi yang nak saya sebut di sini, saya nak rayu kepada saudara, dalam menghidupkan MADANI, be positive.
- Mana negara tidak ada masalah, mana tidak terasa kadang-kadang terpinggir kalau fikirkan dahulu masalah kita memang ada. Semua ada, tetapi lihat ke depan. Lihat keupayaan kita. Lihat bagaimana boleh kita angkat macam tadi di Kementerian Kewangan, saya baca semua yang positif; pertumbuhan ekonomi baik, pelaburan terbaik dalam sejarah bayangkan tahun lalu. Inflasi turun tetapi tidak bermakna harga barang tidak naik, ada masalah. Ringgit memang tercabar tapi walaupun dia sedikit mengukuh kerana hanya satu pengumuman Federal Reserve (Fed) di Amerika Syarikat malam tadi, hari ini ringgit kuat. Kalau dia naik lagi interest rate, ringgit jatuh.
- Tetapi semua yang lain; pengangguran, inflasi, pelaburan, hasil dalam negeri, semua bertambah yang positifnya dan kalau kita kekalkan ini dan harapan saya ke beberapa negara, negara China dan banyak negara, tetapi baru-baru ini ke Australia, Amerika Syarikat sebelum itu dan terakhir di Jerman. Walaupun sikap saya tegas soal hubungan kita, hak kita, Malaysia saya kata sebuah negara merdeka, jangan kamu atur siapa kawan kita, siapa lawan kita. Kamu setuju atau tidak setuju itu soal kamu, terima kasih saya dengar tetapi saya tidak patuh. Keputusan kita nak berkawan dengan sesiapa dan kita berkawan dengan semua untuk menjaga kepentingan negara kita, jangan orang lain atur. Negara ini negara merdeka dan berdaulat dan kita mesti pertahankan kedaulatan ini.
- Sebab itu saya kata walaupun tidak disenangi oleh sesetengah orang, kita nampak baik dengan negara China, saya kata itu keputusan kita. Bukan kita baik untuk menjadi hamba tidak, kita bebas sebagai negara merdeka. Kemudian di Jerman ditanya ‘Hamas itu terrorist’ dan kadang orang kita pun terpengaruh. Saya nak beritahu, Nelson Mandela itu semasa beliau di penjara itu seorang terrorist. Ikut siapa? Ikut penjajah. Ikut siapa? Ikut Eropah dan Amerika, tetapi ikut orang kulit hitam, ikut kita beliau itu pejuang kebangsaan, pejuang rakyat yang menentang apartheid. Mat Kilau itu kalau ikut Inggeris itu siapa? Pengganas tetapi untuk orang Melayu beliau pejuang kebangsaan, menentang penjajahan Inggeris dan memerdekakan negara. Itu keadaannya semua. Mahatma Gandhi, Mohandas K. Gandhi, apa Winston Churchill kata? ‘A semi naked fakir’, bayangkan kerana beliau pakai kain putih.
- Winston Churchill, seorang panglima, pemimpin gagah dunia masa itu, brilliant mind tetapi bapa penjajah. Dia tengok India nak minta kemerdekaan apa dia kata? A ‘semi naked fakir’, seorang Ketua India dia anggap itu saja, kamu ini layaknya sebagai seorang fakir miskin yang pakaiannya separuh terlanjang. Kata siapa? Kata bapa penjajah tetapi kata orang India Mahatma Gandhi itu bapa pejuang, bapa kebangsaan, bapa pejuang kebangsaan India.
- Jadi apabila saya ditanya oleh Jerman walaupun ada hal-hal yang mungkin kita tidak setuju dengan Hamas tetapi tidak tunduk kepada naratif mereka. Itu naratif mereka. Jadi saya jawab ‘semua yang kamu panggil pengganas dahulu di Indonesia, di Algeria menentang Perancis, di Libya menentang Itali, di Vietnam menentang Perancis dan Amerika, semua yang berjuang itu kamu panggil pengganas tetapi kami panggil mereka itu pembela, pejuang kerana negara mereka dijajah’. Wanita, anak-anak dan orang awam dibunuh, tanah mereka dirampas, rumah mereka dirobohkan dan harta mereka dirampas. Bagi kami, mereka hanya berjuang mempertahankan hak mereka.
- Senang kalau bicara di sini, saya yakin tetapi saya berbicara di ruang mereka, sebelah saya, Canselor Jerman. Canselor Jerman itu kekuatan negara itu nombor tiga dunia lawan Perdana Menteri Malaysia, entah nombor berapa di bawah itu, tetapi saya mewakili rakyat Malaysia. Saya jaga maruah dan kedaulatan negara ini. Saya bicara pertahankan hak rakyat Malaysia. Jadi, gemuruh itu gemuruh juga, media itu semua media dia, semua anti maknanya tidak setuju dengan pandangan saya tetapi mengapa saya berani? Yang pertamanya dengan kudrat Allah SWT tetapi kerana saya percaya saya mewakili suara keramat rakyat Malaysia.
- Jadi saudara-saudara untuk rumuskan, apa yang nak disampaikan? Keyakinan harus ada, kita mesti bina balik saudara. siapa yang tidak ada kelemahan? Umur saya sudah 76 tahun, banyak kelemahan saya sepanjang 76 tahun, daripada curi buah pala di Kampung Cherok Tok Kun dan kenyataan, perilaku, kita bukan orang sempurna. Tetapi ada ketikanya dalam hidup di mana kita ambil keputusan, mari kita bina semula kekuatan, perpaduan, keyakinan, perpaduan dan melaksanakan kerja dengan sebaik mungkin.
- This country deserves better. I always have this firm conviction that this is a great nation, has an enormous potential to become a major power economically, politically, socially, educationally dan untuk menjamin keselesaan rakyat semua. Syaratnya kita bergerak, bincang nak bincang lah tetapi sudahlah dengan gelagat-gelagat yang merosakkan. Kadang-kadang saya juga menonton, saya hadir di Parlimen, saya juga menonton sebelah sini pun kawan, sebelah sana pun kawan. Sebelah sini pun berjuang lama, lawan pun ada juga sebelah sini dahulu. Sebelah sana pun berkawan lama sekarang lawan sedikit. Tetapi saya rasa tersentuh hati, tidak bolehkah kita fikir ke depan bagaimana boleh kita gunakan pengaruh, kekuatan, kesedaran kita untuk membina bukan menghancurkan. Lebih sukar membangun dari meruntuhkan. Seperti mana bangunan, untuk membangunkan bangunan mengambil waktu tetapi untuk meruntuhkan sangat mudah.
- Akhirul kalam, dalam konsep MADANI ini dan pimpinan, ada beberapa saranan yang saya telah ketengahkan. Pertama soal diri kita, pembacaan kita, menambah ilmu, menambah amal. Kedua, selain daripada jalankan tugas yang sedia ada, jaga kampung halaman asal kita, itu yang harus kita kerjakan. Dan ketiga, fikir ke depan apa yang diperlukan oleh negara. Yang baik sudah ada, kita tahu umpamanya kalau microchips, hab Malaysia itu sekarang hampir nombor satu selain daripada Amerika Syarikat, tarikan untuk Asia. Kalau Jerman sudah pilih Malaysia sebagai the major hub of chip industry in Malaysia, kita harus lakukan sesuatu dan ia memerlukan pimpinan politik, penjawat awam, syarikat-syarikat swasta dan umumnya rakyat seperti petani, nelayan, peladang untuk bawa kesedaran baharu ini dan angkat martabat.
- Percayalah saudara-saudara, kalau ada semangat ini tidak payah tunggu 10 tahun, kita boleh robah wajah negara ini dalam masa yang singkat. Beri pace yang kita buat, kita lajukan sedikit, semua jentera, semua Ketua-ketua Pengarah, Ketua Setiausaha (KSU), semua menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin, saya fikir dalam dua tiga tahun, we will have a new Malaysia, Insya-Allah.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sabar. Dalam keadaan lapar, sabar itu bagus. Dan saya terharu kerana lapar-lapar pun tidak ada yang mengantuk, yang mengantuk dia menyorok di belakang. Terima kasih banyak kepada saudara, terima kasih banyak dan saya hargai semangat yang ditunjukkan dan saya doakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan diberikan kekuatan untuk meneruskan kerja dan amal kita.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR