
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DI NEGERI PULAU PINANG
5 APRIL 2024 (JUMMAT) | 6.15 PETANG
PUSAT ISLAM, KAMPUS PERMATANG PAUH,
UITM CAWANGAN PULAU PINANG
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh,
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wasallallah hu ‘ala saidina Muhammadin,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara Ketua Menteri Pulau Pinang,
YAB Chow Kon Yeow;
Menteri Pendidikan,
YB Fadhlina binti Sidek;
Saudara saya YB Lim Guan Eng;
Timbalan Ketua Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Timbalan Menteri dan rakan-rakan saya muliakan di Pulau Pinang.
- Alhamdullilah, kita dapat jayakan majlis malam ini dan saya nak ucap terima kasih kepada jawatankuasa penganjur di peringkat Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Naib Canselor serta keluarga UiTM bersama Kementerian Pendidikan yang mengatur dan menyelenggarakan majlis pada malam ini. Saya datang ini kerana kunjungan dan lawatan kerja selain daripada menyantuni pasar Ramadan dan solat Jumaat, saya sempat dengan Ketua Menteri dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama pegawai-pegawai kanan Kerajaan meneliti projek utama di negeri Pulau Pinang.
- Pulau Pinang seperti mana yang kita tahu berkembang maju lebih awal daripada kebanyakan negeri lain di Malaysia, tetapi dalam tahun-tahun ke belakang ini nampak ditinggalkan sedikit, projek-projek telah tidak diluluskan. Jadi sebab itu sejak saya ambil alih, patut kita berikan tumpuan semula dan beberapa projek mendesak kita berikan perhatian. Dan ikut urutan keutamaan saya, fiqh aulawiyat saya, principles of priorities, pertama saya tengok ialah membasmi kemiskinan tegar.
- Kita pacu pertumbuhan yang bergaya di Pulau Pinang. Saya bersama Ketua Menteri dan rakan-rakan dapat membuka peluang, kawasan perindustrian Batu Kawan 3 kerana sambutan yang sangat baik. Jadi dari segi itu kita harus berikan pujian kerana bukan sahaja kelulusan tetapi dari segi tahap pelaksanaan projek yang diluluskan, Pulau Pinang masih catat nombor satu di Malaysia.
- Tetapi saya kata ikut urutan keutamaan; dari senarai YBhg Dato’ Azman bin Ibrahim, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) tadi, ada dalam 150 masih di bawah kemiskinan tegar. Dan ini boleh kita selesaikan dan saya katakan dalam tempoh yang dekat, kalau boleh pada 1 Mei, Pulau Pinang akan menoktahkan kemiskinan tegar, 1 haribulan Mei tahun ini, Insya-Allah. Kalau tidak YBhg Dato’ Azman bin Ibrahim kita hantar balik ke Pulau Pinang.
- Baik alhamdulillah, yang kedua saya sebut projek-projek yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung. Apabila saya jaga Kuala Lumpur tahun lalu, saya kata selain daripada kemiskinan tegar ialah projek-projek gerai, restoran kecil, kompleks perniagaan kecil, ini yang menyantuni 70 peratus hingga 80 peratus rakyat kita.
- Tetapi kalau kita lihat di Kuala Lumpur itu gerai dan restorannya daif, kadang-kadang tidak sesuai tetapi tidak kurang dipedulikan kerana yang menjadi penghuninya adalah orang-orang kelas bawahan. Sebab itu pada tahun ini sahaja hampir 90 gerai sama ada dibangunkan semula, dibaik pulih, diindahkan, ada tempat dibersihkan, bekalan air dan sebagainya.
- Saya ucap terima kasih kerana di Pulau Pinang sudah ada permulaan dan saya telah menggesa Pulau Pinang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), ICU, Kementerian Ekonomi (KE) dan Perbendaharaan akan cuba berikan tekanan ini supaya tidak ada masyarakat merasa tersisih dan itu keutamaan kedua kita.
- Kemudian kita bincang juga soal perumahan kerana kita tahu tuntutan peluang penghuni itu meningkat besar. Tanah kian tinggi harganya dan kita ada batas keupayaan negeri tetapi harus ada juga cara-cara dan kaedah-kaedah kita perkenalkan untuk syaratkan. Saya katakan macam di Kuala Lumpur begitu juga kerana tanah Kerajaan tidak banyak. Projek-projek perumahan mendesak, projek-projek komersial mendesak, jadi tiap projek komersial dan perumahan yang diluluskan kita letakkan syarat, kita beri sedikit kelonggaran.
- Kadang-kadang kita terlalu tertekan dengan orang-orang atasan yang tidak mahu rumah jenis begitu begini padahal dia tidak tahu kalau kita tidak berikan sedikit kelonggaran kepada pemaju, dia tidak akan bina bangunan rumah mampu milik dan rumah rakyat, tidak akan sediakan tapak permainan dan kawasan hijau. Maka kalau syarat hijau, tapak permainan, tapak lapang disediakan, perumahan rakyat disegerakan, kita kena berilah umpamanya cross-subsidy, supaya ada keuntungan bagi pihak pemaju dan ada keuntungan bagi pihak rakyat yang memerlukan rumah.
- Itu yang kita lakukan dan saya tengok lima, enam projek di Kuala Lumpur nampak berhasil kerana puluhan ribu unit rumah baru, dalam 70,000 yang dapat diluluskan kerana pendekatan sedemikian. Tidak ada pilihan saudara-saudara.
- Selain itu, ada projek yang mendesak di Pulau Pinang. Maklumlah bila saya pergi Ketua Menteri dah pakat siap-siap bawa usul berpuluh-puluh, kalau boleh saya bawa bilion ringgit untuk lulus sekarang. Tetapi kita tahu bahawa kita warisi Kerajaan ini, YB Lim Guan Eng lebih tahu kerana dia Menteri Kewangan dahulu, bahawa kita warisi hutang yang besar. Setengah orang dok bercakap saya tengok kadang-kadang pembangkang dia jerit sana sini seolah-olah tidak ada apa-apa, mereka serah kepada kita Kerajaan dengan wangnya semua sekali. Dia serah bukan dia serah, dia terpaksa serahkan Kerajaan dengan hutang RM1.5 trilion ringgit dan defisit 5.6 peratus.
- Jadi kita tidak boleh berbelanja sewenang-wenang, boleh bagi kalau apa yang orang hendak dan dia kata sekarang ini harga barang semua mahal. Harga masa dia katanya telur banyak, ayam murah, masa dia minyak mentah minyak makan murah. Ini semua temberang kosong, guna politik tidak apa tetapi cakaplah benar. Minyak masa kamu dulu RM45 hingga RM50 ringgit, telur kadang-kadang tidak ada, ayam kalau musim ini melambung naik. Sekarang alhamdulillah saya pergi dua pasar hari ini, ayam dan harga ayam tidak naik sebelum Hari Raya.
- Ini kerana apa? Kerana ketegasan kita, kita kawal kita tidak tunduk kepada kartel. Ini bercakap berdegar-degar soal Islam, soal Melayu tetapi kamu takut kepada kartel, kamu biar rasuah bermaharajalela, kamu guna projek-projek Bumiputera, kamu bagi orang sakau, nama Bumiputera namun kamu bagi juga kepada bukan Bumiputera. Saya tidak ada masalah nak bagi kepada bukan Bumiputera, tetapi buat apa umum syarikat untuk Bumiputera kemudian bagi kepada bukan Bumiputera? Jadi orang Cina marah sebab syarikat itu bagi kat Bumiputera. Orang Melayu marah kerana nama syarikat Bumiputera tetapi bagi pada orang Cina, penipuan ini tidak boleh diteruskan.
- Saya nampak lantang sikit hari ini kerana ini kawasan Permatang Pauh kan (nada seloroh). Tidak munasabah tengok kes tidak habis-habis. Dah habis isu Kalimah Allah kemudian kes stoking kemudian kes sekarang kata ada pula berita sejak Kerajaan MADANI ini tidak ada lagi Tilawah Al-Quran dan ‘walaun’ ini terima begitu sahaja.
- Kamu belajar dari mana yang boleh fitnah begitu rupa? Apakah serban, kopiah dan jubah itu membolehkan kamu bercakap sewenang-wenang dan menipu sesuka hati? Mana boleh. Ada kata apabila kita jawab, kamu salah kerana kamu tegur, kamu kritik ulama. Jadi ulama itu boleh bagi kenyataan palsu, kita tidak boleh tegur. Ulama ini waris al-ambiya betul pewaris para Nabi tetapi ingat ada hadis Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita tentang ulama al-suq (ulamak jahat), jadi kategori begitu juga, pemimpin begitu juga, orang politik baik ada dan orang politik jahat pun ada.
- Kita harus dampingi ulama betul. Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd. Noor, minta maaf Mufti Pulau Pinang ada dalam sini saya tidak ingat. Kita tahu silap jadi minta maaf, tetapi inilah saya tegaskan kadang-kadang orang kata Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri tidak boleh jawab, tidak boleh bunyi garang sangat dan kasar tetapi saya tengok keadaan sudah melampau.
- Kes stoking Kerajaan buat apa? Berpuluh kes dulu yang berlaku zaman Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Kerajaan Perpaduan itu memang ada tetapi apakah kita diam? Tidak. Siasat dan janganlah kita menjadi hakim. Ada kes, hukum, ambil tindakan. Tidak, ada kes siasat, lepas siasat bagi Peguam Negara, ada bukti dakwa, lepas itu bawa ke mahkamah, lepas itu ada fakta betul sahih, hukum. Yang hukum bukan Perdana Menteri, yang hukum itu hakim, yang dakwa peguam negara, yang siasat polis. Kalau yang itu pun tidak faham nak perintah macam mana? Ini prinsipnya. Apa kes stoking kita tidak siasat? Kita siasat. Tidak dakwa? Dakwa.
- Kemudian Tuanku Yang Di-Pertuan Agong titah menghadap, dia minta ampun. Tuanku Yang Di-Pertuan Agong bagi dua nasihat. Satu, jangan ulang walaupun orang katakan dia tidak sengaja, dia tidak tahu tetapi kena jaga ini negara Malaysia. Kita jangan hina mana-mana agama. Saya tidak kata jangan hina Islam sahaja, jangan hina mana-mana agama, baru boleh selamat negara kita ini. Kemudian lagi satu ialah jangan, ini kalau pun ya lah kes stoking itu terlepas dalam empat atau lima unit tetapi kena ambil tindakan cepat-cepat, apa Kerajaan ambil tindakan? ambil. Tegas? tegas. Dakwa? sudah Dakwa.
- Kemudian kalau ada orang yang menghasut, saya tidak peduli saya sudah beritahu dalam Jemaah Menteri, semua wakil parti ada, YB Fadhlina binti Sidek dalam mesyuarat, saya kata kalau kita nak jaga negara Malaysia ini biar aman, biar damai sebagai negara hukum, maju terus, kita bertindak terhadap siapa, parti mana, kita tidak peduli. Salah mesti siasat, mesti tangkap, mesti dakwa. Kalau tidak, porak-peranda.
- Ingat pada zaman Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz, semasa beliau menjadi khalifah, dikutip dari Kitab al-Muwafaqat oleh Imam al-Shatibi. Betul ya, Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd. Noor? Baik, anak Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz ini, dahulu YB Lim Guan Eng ada buat seminar khas mengenai Umar ibn Abd al-Aziz. Beliau ini khalifah, cucu kepada Umar ibn al-Khattab. Seorang yang baik, yang warak, yang tadbir dengan baik, yang benci kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, yang tidak mahu pemimpin itu melimpah randah kekayaan dia. Tidak kiralah cakap Melayu ke, cakap pasal Cina ke, bercakap pasal pejuang India ke, apabila ada kuasa, sakau macam itu juga. Ini yang kita nak hentikan.
- Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz paling strict soal perbelanjaan negara, beliau kata bukan wang saya tetapi wang negara. Anak beliau bernama Abd al-Malik. Oleh kerana ayahnya, tokoh Islam yang baik, warak dan berilmu, dia tanya ayah dia, ‘ini masalah negara kacau lagi, pasal apa tidak jalankan syariat dengan tegas, buat hukum hudud dan laksanakan dengan tegas?” Tahu apa jawapan Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz? Ini saya cerita mengenai Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz, bukan tokoh-tokoh dekat ketua-ketua ranting kampung ini tidak. Apa jawapan beliau? Kalau kita jawab, orang ini sesat! ini kafir! Kita akan lawan! Mereka ini tidak faham agama! Itu jawapan yang ‘dongoi-dongoi’ di bawah ini.
- Jawapan Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz apa? Beliau tidak hina orang, beliau kata, “La ‘allaya bunnaya – jangan gopoh wahai anakku”. Kita nak laksana bercakap lantang, 33 bulan perintah ada hudud dilaksanakan. Bukan laksana tetapi ada cadangan, belum siap, dah nak siap dah. 33 bulan, kita belum perintah setahun, nak marah apa lagi? Dan prosesnya tidak ikut.
- Saya nak jawab malam ini yang mereka kata mereka dah buat Rang Undang-Undang 355, itu tidak betul kerana proses nak buat undang-undang Islam di Malaysia ini, saya tidak kalau negeri lain, kalau dia wakil negeri lain saya tidak tahu, tetapi kalau di Malaysia ini, draf itu prinsipnya diluluskan oleh Jemaah Menteri dan dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu. Majlis Raja-Raja Melayu berkenaan bincang dan teliti bawa balik dengan draf undang-undang, bawa ke Jabatan Peguam Negara, patah balik kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Itu belum dilakukan. Jangan temberang! tidak benar sama sekali! Majlis Raja-Raja Melayu belum pun teliti Rang Undang-undang 355 dibicarakan.
- Jadi macam mana kata dah buat? Itu sebab YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar, Menteri Agama kata kita teliti tetapi ikut fasa-fasa kita, bukan kita nak ambil dia punya tidak. Sebab itu pandangan mereka, pandangan satu parti, pandangan satu kelompok, tetapi kita tidak. Kita akan panggil bincang dengan semua Mufti. Kita akan panggil semua ulama, kita akan tanya sarjana Islam dalam negara dan luar negara, biar undang-undang kita itu mantap. Kita akan bawa kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk teliti bahas, bincang dan patah balik. Kalau undang-undang itu dibuat sambil lewa, undang-undang lemah, orang akan hina Islam dan undang-undang, kerana salah dan gopohnya pemimpin-pemimpin Islam.
- Jadi saya harap saudara-saudara faham hal ini dan jangan cepat melatah. Saya kena teliti juga laporan-laporan ini. Saya kena beritahu, saya minta maaf saya cakap di sini memang saya lepas sikitlah, lepas banyak. Di mana lagi kalau tidak di tempat kampung sendiri? Lepaslah kan. Jadi tidak boleh macam itu. Kita ini, saya bercakap dengan Ketua Menteri tadi dalam kereta, kemudian dengan YB Fadhlina binti Sidek, katakanlah pasal UiTM. Ini gedung ilmu. Gedung ilmu untuk didik anak-anak kita – faddabani rabbi fa’ahsana ta’dibi. Bina adab, bina peradaban, kena ada fahaman agama ada akhlak. Dalam tuntutan sekarang keperluan kejuruteraan, artificial intelligence (AI). Kita mahu anak-anak kita faham mengapa kita ada peralihan tenaga sekarang ini. Daripada coal dahulunya atau batu arang kepada renewable energy atau green hydrogen.
- Ini tuntutan negara, kita nak selamatkan negara ini masa depan. Kemudian digital atau transformasi digital memerlukan AI. Ini tidak ada perbincangan ini. Pergi serang sahaja tidak pernah apa pun yang kita buat betul.
- Harga barang, saya pernah ke kata saya tidak jadikan masalah harga barang, malah saya telah arah Menteri-Menteri turun tinjau tetapi tidak betul kalau kata kita tidak buat apa-apa, saya tidak ambil gaji, saya tidak ambil kontrak, tender semua saya tender. Pemimpin-pemimpin kamu macam-macam ada Jana Wibawa, Projek SPANCO semua di kalangan kamu berbilion-bilion ringgit. Bercakap boleh kita jerit Allahuakbar tetapi sakau, sakau juga.
- Saya nak terangkan di sini, hal-hal ini mesti dihentikan. Apa kena mengena rasuah dengan kita? Sekarang ini nak naik elaun tambahan, saya dah bagi RM2,000 kepada penjawat awam. Jadi sepatutnya cukuplah sampai raya tapi saya dengar, bukan saya dengar Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) atau Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), saya dengar yang tunggu jaga lif, ‘macam mana? alhamdulillah Datuk Seri bagus. Macam mana duit yang RM2,000 tu? Itu budak pergi sekolah, beli ini beli ini dah habis Datuk Seri. Macam mana belanja? Betul Datuk Seri untuk budak-budak ni sekolah ada anak enam’. Saya jumpa lagi tanya lagi kawan pemandu, tanya sana dan semua mengeluh. Jadi saya pun bercakap macam mana ni, saya dapat keputusan RM2,000 sahaja kerana Kerajaan tidak mampu berbelanja lebih pada itu. Tetapi bila kita dengar keluhan ini tidak sampai hati sungguh. Bahawa orang di bawah ini rasa susah. Dan nak raya macam mana pun nak beli baju baharu sikit, takut anak-anak tu. Nak beri makan lebih sikit, ketupat lebih sikit jangan lebih banyak.
- Baik lepas itulah yang menyebabkan saya bincang semula dengan KSP dan fikir ini esok nak umum, malam itu baru kita buat keputusan muktamad, bagi RM500 kepada semua penjawat awam. Bukan itu sahaja pencen, veteran pencen kita bagi, veteran yang tidak berpencen pun kita bagi. Orang daripada Kedah cakap bela nasib rakyat, bela nasib rakyat, masa kamu perintah kenapa kamu tidak bagi? Harga padi kita naikkan. Bagi pekebun getah kita tambah.
- Gaji akhir tahun ini, Insya-Allah pelarasan gaji, KPPA ada di sini. Kita teliti, kita tahu duit tidak ada tetapi negara ini wang tidak ada bukan salah orang kampung, bukan salah pekerja. Salahnya salah pengurusan Kerajaan, pimpinan terutama yang sakau. Saya tidak boleh kerana salah dia, sementara nak betulkan salah mereka, kita bebankan orang bawah. Maka saya kata macam mana pun kita kena cari jalan menaikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini.
- Tuan-tuan tepuk betul tetapi kenapa tidak naik masa tahun 2020, kenapa tidak naik masa tahun 2021, tidak naik tahun 2022, kenapa nak tunggu kita juga naik? Tolong ingat jangan lupa, sebab kita dengar orang ramai, keluhan orang ramai dan alhamdulillah dalam Pakatan Harapan, UMNO, Barisan Nasional, GPS, GRS ini kita ada kesepakatan, hal ini semua kita sepakat tidak ada masalah. Jadi insya-Allah berita baik ini kita akan umumkan dalam beberapa bulan akan datang selewat-lewatnya bulan Belanjawan Negara tahun ini. Jadi masa belanjawan nanti dengar daripada mula sampai habis. Sebab saya tidak beritahu bila saya nak umum.
- Jadi, saya minta maaf jangan salah faham, saya nak sebut ini kerana kita nak Islam saudara-saudara, betul tidak ada makna macam mana pun kita dunia ini, ke mana saya umur 76 tahun, tidak lama. Saya pun pergi tengok dekat Cherok Tok Kun, tengok juga kubur mana yang ada kosong. Ya kita ingat. Bukan kita nak takabbur. Kita buat sedaya upaya kita tetapi saya tengok kena maki, tidak ambil gaji salah, tolak kereta salah, ambil kereta Yang Di-Pertuan Agong bagi pun salah, dia tidak ada apa yang betul. Jadi saudara-saudara kalau saya kata tahun ini tidak buat sambutan raya besar-besaran di Kompleks Seri Perdana salah. Tidak fikir orang kampung nak pergi makan, salah juga. Kalau buat membazir berjuta juta. Yang dulu pemimpin hampa buat tidak apa pula?
- Jadi mudah-mudahan saudara-saudara, saya hanya sebut perkara ini nak ada sentuhan supaya ada kita jangan terima secara buta sahaja, fikirlah dengan baik. Negara ini saya nak beritahu penutupnya waakhirul kalam mesti aman. Jangan tunduk kepada sikap pelampau yang kononnya jaguh agama, masa dia perintah sakau juga, elaun ambil sepenuhnya tidak bagi juga kepada pembangkang. Tetapi sekarang ini kita tidak bagi kata zalim.
- Saya nak beritahu apa projek yang kita luluskan di Permatang Pauh ataupun Bagan ataupun Bukit Mertajam atau Kepala Batas yang kawasan mereka menang? Kita bagi. Bezanya apa? Saya tidak bagi melalui wakil rakyat, kenapa nak bagi melalui wakil rakyat? Saya tidak tahu dia nak belanja macam mana. Saya bagi melalui jentera kita ICU, pegawai daerah, projek lulus. Saya tidak ambil tidak kurangkan. Negeri Kelantan dan Terengganu baru-baru ini Menteri Besar duduk depan saya semua senyum sebab saya tambah peruntukan, tetapi saya tidak semestinya salur semua melalui Kerajaan Negeri. Saya selalu terus kepada rakyat terutama rakyat yang susah di Kampung. Saya salur terus kepada rakyat.
Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- HENTIKAN ANJUR MAJLIS BESAR-BESARAN – PM ANWAR
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR