TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JANUARI TAHUN 2025
3 JANUARI 2025 (JUMAAT) | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON,
PUSPANITA PURI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.
Alhamdulillahilladzi arsal rasulahu bilhuda wa dinil-haqq liyuzhirahu ‘ala ad-dini kullihi wakafa billahi shahida.
Wa nusalli ‘ala Rasulillah al-Kareem wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
Rakan-rakan Menteri;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan
Rakan-rakan penjawat awam yang hadir dan juga yang mengikuti perkembangan pada pagi ini.
- Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Banyak sebab mengapa kita harus bersyukur. Hidup dalam negara lebih aman. Perkembangan catatan ekonomi yang lebih membanggakan. Angka-angka dan data-data sebagainya yang dibaca oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara itu juga memberi keyakinan yang bertambah. Dan unjuran perkembangan untuk tahun ini juga hampir melegakan.
- Jadi kita syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dan petanda syukur itu satu kewajipan, selalunya ketimbang keadaan yang sebelumnya negara-negara lain dan sebagai seorang yang tahu untuk mengenang jasa dan khidmat ramai. Sebab itu Al Quran al kareem menegaskan tentang La’ in shakartum la’azidannakum wala’in kafartum, inna azabi lashadid (Surah Ibrahim: 7) – menuntut kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kerana orang yang tahu bersyukur kepada Allah dan kepada sesiapa yang telah memberikan kebaikan kepada kita. Dan tidak umpamanya menolak kesyukuran sehingga kufurkan nikmat Allah kerana kufur kerana nikmat Allah itu akan mohon atau memperoleh azab yang pedih.
- Tetapi saya tidak berhasrat untuk menggunakan kembali ini mengulangi tahap-tahap kejayaan. Kita mesti iktiraf. Ketekunan ini ketekunan pasukan. Pasukan pimpinan, pasukan penjawat awam. Penjawat awam dari yang tertinggi sehinggalah yang di lapangan.
- Saya selalu mengingatkan bahawa majlis-majlis begini kadang-kadang tentunya beri fokus kepada pimpinan utama. Tetapi kita tahu untuk membawa perubahan menyeluruh, itu memerlukan setiap tenaga. Setiap pengorbanan dan perit jerih. Sama ada orang di lapangan atau di sempadan atau di perbatasan, ada yang beruniform, ada yang tidak, tetapi semuanya punyai khidmat dan jasa. Seperti mana yang pernah saya imbau sebelum ini. Bila kita bicara soal kejayaan menangani permasalahan COVID itu bukan sahaja kepakarannya, kemahirannya, kelengkapannya tetapi juga tukang cucinya, teknikal yang menyediakan dan membersihkan. Dan harus ada sikap di kalangan kita pimpinan dan penjawat awam untuk sentiasa ingat bahawa kejayaan itu ialah kejayaan semua dari peringkat setinggi-tingginya sehingga serendah-rendahnya.
- Sebab itu dalam mengemukakan dan Skim perkhidmatan yang baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) saya selalu menekankan kepada rakan-rakan pimpinan dan pimpinan penjawat awam bahawa pendekatan kita kali ini harus melakukan sedikit anjakan supaya fokus itu lebih ke bawah, kerana kesenjangan itu kian melebar. Bila kesenjangan pendapatan di kalangan yang tertinggi dengan yang rendah itu melebar ia tidak akan memberikan rasa puas dan selesa di kalangan seluruh penjawat awam. Sebab itu kali ini umpamanya, saya lihat ada perubahan yang mendadak. Bila saya ke Langkawi minggu lalu, menemui beberapa orang termasuk dari kalangan rendah penjawat awam, ada yang sebenarnya melahirkan rasa terkejut kerana tidak menjangka kenaikan begitu tinggi kerana kadang-kadang peratus itu mungkin mengelirukan. 13 peratus, 15 peratus tapi bila dia lihat umpamanya catatan pendapatan itu lonjakannya itu tinggi.
- Saya katakan itu sebenarnya adalah pendekatan yang saya fikir lebih adil. Sebab itu dalam kerangka MADANI keseluruhannya, kita juga fikir begitu, sebab di kilang, di industri ada yang mencatat keuntungan satu bilion, setengah bilion ringgit setahun, keuntungan bersih. Tetapi kadar upah itu masih rendah. Sebab itu mulai sekarang, hari bulan ini kita memperkenalkan gaji progresif, tidak menekan semua lapangan, ada yang tidak berupaya, tidak ada makna bagi pemerintah memaksa gaji dinaikkan bagi syarikat yang pendapatan yang sangat rendah. Tetapi tidak munasabah bagi kita membiarkan umpamanya kesenjangan ini melebar dalam keadaan produktiviti meningkat, keuntungan meningkat tapi kadar upah tidak meningkat setimpal dengan keuntungan. Dan sebab itu kita memberi penekanan dan permulaannya adalah dalam penjawat awam dan diikuti oleh GLICs dan GLC. Dan kita juga minta supaya syarikat-syarikat yang catat keuntungan yang besar untuk memberikan keselesaan kepada pekerja.
- Maka dalam pertimbangan kita untuk memberikan umpamanya insentif kepada syarikat ataupun kontrak, hal-hal ini juga kita harus perhatikan. Umpamanya kalau kontrak tebatan banjir 2 bilion ringgit, peringkat Perbendaharaan harus juga tahu apakah kadar upah bagi syarikat yang catat keuntungan besar dan projek besar itu munasabah dan setimpal?
- Ini yang saya kata pendekatan kerangka MADANI ini cukup luas. Dia bukan umpamanya dalam konteks yang sangat terbatas, dia menyentuh kepada permasalahan keadilan sejagat. Dan kalau ini dapat dilakukan dengan bertahap, kita akan lihat perubahan yang lebih berkesan yang memberikan faedah dan manfaat kepada ramai.
- Saya ambil kesempatan pada pagi ini tentunya mengucapkan penghargaan. Hari ini saya nak mulakan Rejab tahun ini dan Januari tahun ini untuk menyatakan bahawa rakyat umumnya harus juga menyatakan penghargaan kepada penjawat awam kerana dapat pertahankan prestasi yang membanggakan tahun lalu. Saya tidak mahu umpamanya yang dihebahkan hanya skim kadar upah dan gaji yang baharu tanpa melihat bahawa skim itu adalah pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka dan khidmat mereka.
- Dan kita adakan andaian ukuran atau iltizam perkhidmatan awam yang akan diperkenalkan bukan sahaja tentang tekad pelaksanaan tetapi apa yang dirumuskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW sebagai itqan fil amal. Saudara lihat umpamanya kalau kita lihat daripada kerangka sejarah besar. Setiap perayaan, sambutan yang kita lakukan itu tidak hanya untuk menghebahkan kejayaan kita tapi sentiasa umat ini dan negara harus dinamik, harus berusaha mencapai tahap yang lebih baik dan cemerlang. Dia tidak hanya harus terpukau dengan pujian bahawa kita sudah catat. Kita harus iktiraf kerana itu tanda kesyukuran. Tetapi kesyukuran akan nikmat Allah itu bukan bermakna kita harus rasa selesa.
- Apabila Salahuddin al-Ayyubi sambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW itu dengan maksud untuk menaikkan semangat dan untuk meningkatkan, menambah tekad rakyat di bawah jagaan beliau untuk berjuang dengan bersungguh-sungguh. Bila kita lihat peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkatul Mukarramah ke Yathrib yang kemudian dikenali sebagai Madinahtun Nabi, Madinah al-Munawwarah itu sebenarnya meninggalkan keadaan lama yang lapuk. Kezaliman, kemalasan, kejahilan kepada satu tahap yang lebih cemerlang yang disebut oleh Almarhum Ismaʻil al Faruqi sebagai par excellence itu komuniti yang disebut ecumenical community Maknanya komuniti yang ada etika, yang ada nilai, yang kita sebut sebagai MADANI bukan komuniti yang mengukur kejayaan dari segi ekonomi semata, tapi tahap pendidikannya, tahap akhlak dan moralnya, tahap pengurusannya, tahap tanggungjawabnya. Jadi ini semangat yang harus ada di kalangan kita, dia tidak akan jadi perubahan negara ini sebagai negara hebat kalau tidak ada semangat dan kejituan itu.
- Sebab itu tanggungjawab kepada bukan sahaja Menteri, Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Pengarah itu harus lebih daripada sekadar meneruskan kerja-kerja seperti biasa. Mesti cari kaedah baru kerana Itqan Fil Amal itu bererti kita tidak hanya complacent yang disebut budaya selesa – culture contentment itu sudah baik. Ya, betul baik, baik ketimbang mana? berbanding dengan siapa? tahun bila? negara mana? dan apakah kebaikan itu boleh melonjak kekuatan kita sebagai satu negara besar yang terkenal?
- Sebab itu, sementara kita syukur kehadrat Allah SWT harus ada suatu tekanan kepada semua pimpinan bahawa khidmat yang lebih baik masih diharapkan. Kalau Ketua Setiausaha Negara kata dari menunggu berbulan untuk mendapat kelulusan, kita sekarang dapat catat dalam beberapa minggu. Maka tujuan yang berikutnya adalah untuk mengurangkan dari beberapa minggu kepada satu minggu. Apakah ini mungkin? saya percaya mungkin.
- Ini yang menjadi cabaran buat kita, apakah perlu rakyat kita untuk mendapat lesen untuk perbaharui lesen harus beratur berjam-jam dan mengambil satu cuti satu hari atau hal ini boleh dilakukan melalui proses yang disebut digital transformation – transformasi digital, atau kalau pun perlu hadir hadir dalam masa singkat dengan jadual yang tetap masa ditentukan supaya mereka boleh datang dan terus dapat appointment dan jalankan tugas.
- Sementara kita tekankan soal terkelola yang saya anggap satu kejayaan. Orang banyak cerita tentang kes-kes yang lama-lama. Saya nak sebut dalam dua (2) tahun ini saya syukur kepada Allah SWT kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu skandal besar yang pernah diungkapkan sepanjang dua (2) tahun ini. Dan bagi saya ini kejayaan lebih besar kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah. Negara ini negara hukum, dan kita harus ambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik dan MADANI ini menekankan soal nilai, jadi jangan kita umpamanya terheret dengan perbincangan dan hiruk pikuk yang lain.
- Saya mahu penjawat awam punyai suatu ketetapan bahawa tugas kita ialah melonjakkan ekonomi dan prestasi negara kita, kecekapan kita, seriousness kita dan percayalah saudara beri 1 – 2 tahun kalau semangat begini rupa, pengiktirafan sebegini rupa dan kesatuan semangat kita saya percaya kita akan akan saksikan Malaysia itu sebagai negara hebat di rantau ini. Saya yakin saudara-saudara.
- Bagaimana boleh kita jalankan reform perkhidmatan awam secara menyeluruh? Ini harus kita fikirkan. Apakah perlu kita kumpul kita bincang bersama, kita nilai prestasi masing-masing, kita beri pengiktirafan, kita berikan idea baru, itu kita fikirkan bersama. Kita dalam beberapa minggu ini akan mulakan dengan retreat Jemaah Menteri dan retreat itu bukan biasa untuk mencatat ini kejayaan-kejayaan masing-masing, tidak, untuk menyatakan bahawa ada ruang yang harus diperbaiki, ada kelemahan-kelemahan yang harus di perbetulkan dan ada tahap kesungguhan yang harus kita tingkatkan. Dan saya percaya akan diikuti oleh Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Pengarah. Tetapi harus tidak berhenti di situ harus sampai ke peringkat bawah.
- Kepada Tan Sri KPPA saya telah sebut bahawa ruang untuk memberi latihan dan peluang kepada penjawat awam turutama dalam kalangan yang muda harus diberikan sepenuhnya, dari segi kecekapan dari segi AI, dari segi digital, dari segi energy transition. Kerana saya mahu dalam masa beberapa tahun keupayaan kita itu mengatasi keupayaan konsultan-konsultan yang ada. Apa yang kurang kepada penjawat awam? Latihan, kecekalan, kecekapan dan kekuatan saudara ialah berbeza daripada theoretical framework bincang dan nilai atas kertas.
- Kekuatan penjawat awam baik di bidang perguruan, kejuruteraan dan pentadbiran, itu lebih daripada yang lain kerana saudara-saudari berdepan dengan permasalahan dan pelaksanaan secara praktik setiap hari. Oleh itu, ada kekuatan lebih dan sekiranya diberikan latihan tambahan dan saya telah minta kalau perlu 100 juta, 200 juta ringgit tambahan hanya untuk memberikan latihan intensif tidak semestinya akademik degree, sama ada dalam negara atau di luar negara, di sektor swasta atau di pusat pengajian tinggi ataupun di pusat-pusat kecemerlangan centre of excellence mana-mana companies, saya mahu mulai tahun ini di kalangan penjawat awam yang muda itu diberikan exposure yang maksimum supaya dalam 1-2 tahun kita akan dapat lahirkan barisan kedua penjawat awam yang bukan sahaja dapat menyelami hasrat sepenuhnya MADANI tetapi punyai ke latihan yang lebih cekal. Dan saya mahu latihan ini menyeluruh kepada semua peringkat sehingga ke peringkat juruteknik dan pertanian di peringkat teknikal yang rendah supaya semuanya diberikan peluang yang lebih baik.
Saudara-saudara,
- Saya mahu penjawat awam dan perkhidmatan awam di negara ini menjadi suatu contoh perkhidmatan yang terbaik di kalangan negara berkembang apa lagi di negara Islam. Dan ini permulaan yang sudah ada. Mana-mana negara saya pergi, di Peru baru-baru ini saya beritahu kepada Tan Sri Azam, Presiden Peru menyatakan beliau mahu melihat dan bekerjasama dengan SPRM kerana beliau melihat begitu kencang dan hebat dan berani beberapa tindakan yang diambil. Di beberapa negara lain, di Mesir permintaan daripada Presiden supaya hubungan dan kerjasama dengan perkhidmatan awam itu ditingkatkan kerana beliau mengikuti perkembangan dan melihat cara dan kaedah pentadbiran di negara kita ini.
- Ini bukan khidmat dan jasa saya, ini bukan kerana saya kebetulan jadi Perdana Menteri, tidak. Ini kerana tradisi dan warisan dan peranan kita sekarang ialah memberikan sedikit lagi kejutan dan asakan supaya semangat ini ditingkatkan.
- Jadi saudara dan saudari saya minta supaya permulaan bulan ini sekurang-kurangnya berikan sedikit ruang di semua pejabat, sekolah, institut dengan perbincangan lebih teliti, bagaimana boleh kita tingkatkan khidmat kita? Sepuluh minit (10) awal terangkan kejayaan, lima puluh (50) minit berikutnya bagaimana mampu mungkin kita tingkatkan keupayaan kita memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan memberikan khidmat dan prestasi terbaik kepada rakyat kita.
- Bila saya maksud rakyat ini jangan lupa masih ada yang terpinggir, masih ada yang miskin, masih ada yang tersisih dan percayalah, dia tidak harus memberikan keselesaan dan ketenangan kepada kita. Selagi ada warga yang tersisih sebab itu saya kadang merasa lemas dengan perbincangan isu kaum dan agama yang sempit. Orang yang menjaga Wilayah atau Negeri dia tidak kira siapa yang perintah, kaum mana yang tersisih. Tanggungjawab kita ialah menghargai setiap warga yang ada sebagai tanggungjawab kita dan warna kulit tidak mempengaruhi kita, kalau dia masuk kategori miskin tegar dia harus ditangani. Kalau perlu diberikan pengiktirafan, diberi pengiktirafan.
- Dan ini tidak membedakan atau menolak kenyataan bahawa perlembagaan kita dan dasar negara kita masih berakar kepada prinsip, bahasa, agama, hak keistimewaan Melayu Bumiputera. Tetapi dalam menilai keperluan membantu, tidak ada pertimbangan warna kulit, daerah. Setiap orang mesti dibantu, terutama yang kurang bernasib baik.
- Saya tidak sangat ambil peduli tentang kecaman-kecaman yang dilontarkan yang seringkali keterlaluan. Saya hanya mohon kerjasama rakan-rakan penjawat awam. Pertama, menjelaskan apa yang dilakukan. Kalau dengar celoteh-celoteh ekstrem ada, tidak ada yang Islam yang kita lakukan, tidak ada yang Melayu yang kita lakukan, tidak ada yang kita lakukan dalam dua (2) tahun ini. Saya, Dato’ Seri Zahid, semua tidur, tidak buat apa-apa. Apakah itu harus mempengaruhi kita? Tidak. Kita harus mulakan dengan menjelaskan apa yang dilakukan oleh semua dalam pasukan kita. Kemudian, kita harus dengar dan teliti apa dia yang belum dilakukan dan bagaimana boleh ditingkatkan usaha kita.
- Jangan bermula dengan sikap selesa. Seorang manusia, apa lagi umat Islam, tidak pernah bermula dalam kategori selesa. Selalunya berusaha untuk meningkatkan amal soleh dia. Baik dari segi ibadah khusus atau dalam amal soleh secara menyeluruh.
- Dan saya menekankan perkara ini berkali-kali untuk mengharapkan setiap Jabatan, sekecil mana pun harus bermula tahun ini, minggu berikut ini untuk memberi ruang kepada semua berbicara. Mesyuarat ini bukan mesyuarat di kalangan peringkat tertinggi. Tidak ada sebab seorang anggota pentadbiran awam tidak terlibat dalam mana-mana pertemuan. Ingat ya. Setiap Jabatan harus pastikan setiap anggota itu terlibat, baru musyawarah. Baru musyawarah itu maknanya semua terlibat, kalau tidak musyawarah itu dari Ketua-Ketua Jabatan, ya perlu, tapi Ketua Jabatan masing-masing harus dengan Jabatan mereka. Ketua Unit dengan unit mereka sehingga di semua peringkat rendah mungkin. Dan saya percaya, KSN, KPPA dapat memberikan kerangka bagaimana ini harus dilakukan.
- Kita ada 1.6 juta. Apa tidak boleh libatkan mereka? Beri ruang dalam satu tahun, dua tiga minit untuk seorang bicara. Saya tidak fikir ini suatu hal yang tidak munasabah. Dan dia bukan semuanya bicara di hadapan KSU, tak sempat KSU melayani semua, tapi di depan Ketua Unit mereka masing-masing. Barulah beri makna kepada apa yang dikatakan sebagai musyawarah sebenarnya.
Saudara-saudara, saudari-saudari,
- Saya nak tekan begitu sahaja. Saya nak tekankan mesej, pertamanya, bersyukur. Keduanya, menerima kenyataan bahawa kita punyai keupayaan untuk meningkatkan prestasi kita. Dan ketiganya, lakukan sebaik mungkin untuk perbaiki.
- Saya tegaskan keyakinan saya. Bahawa Malaysia ini negara bertuah, punyai potensi yang sangat besar dan luar biasa. Ada ketika kita melonjak sedikit. Ada ketikanya kita izinkan kecurangan, keterlanjuran berlaku sehingga kita dalam keadaan sekarang ini. Saya telah imbau sebelum ini tentang sustainable economic development assessment. Bahawa dalam 20 tahun sementara ada kenaikan, ada kemajuan, ada kebaikan tetapi mendatar dari sudut perbandingan dengan kelajuan perkembangan negara-negara lain. Ini saudara-saudara, kesempatan untuk kita cuba perbaiki dan tingkatkan. Dan kalau benar mahu berjaya, mesti bermula dari pimpinan di atas dengan tatakelola yang baik, dengan menghilangkan sikap gelojoh dan tamak haloba, hasad dengki, cemburu dan menumpu perhatian. Cari apa sahaja cara jalan untuk perbaiki prestasi kita.
- Semua yang hadir ini, apatah lagi di barisan hadapan. Orang yang pikul amanah dan menggalas amanah yang besar. Dan percayalah kita belum lagi sempurna. Banyak kelemahan-kelemahan yang masih ada. Masih ada ketirisan dan kebocoran. Masih ada yang lembap dan malas. Masih ada yang bekerja tidak ikut masa, gaji penuh tapi kerja tidak penuh. Saudara nilai sendiri dan perbaikilah. Dan akhirnya yang selain daripada bertanggungjawab kepada Allah SWT, rakyat juga akan menentukan.
- Kita kata tahap kecekapan kita meningkat, tapi kalau tahap menunggu dia tidak berubah, dia tidak akan memberi kebaikan. Saya mahu tatakelola baik tapi harus cekap. Ada Jabatan-Jabatan dia kata kerana terlalu takut nak jaga tatakelola, semua kelulusan lambat. Itu bukan tatakelola yang baik, kelulusan harus cepat dan disegerakan. Kalau saudara tidak menipu, tidak ambil komisen, tidak ada masalah sama sekali. Saya tidak percaya Ketua Audit Negara atau LHDN atau SPRM akan menuju cari kesalahan orang hanya dari kesilapan-kesilapan teknikal kecil. Mereka akan cari sekiranya ada keterlanjuran dan kesilapan-kesilapan yang besar.
- Jadi, saya mohon perhatian semua penjawat awam untuk jadikan kesempatan ini menjadikan Malaysia ini sebagai negara yang hebat. Tahun ini kita sambut ASEAN sebagai Kepengerusian ASEAN. Dan memang tumpuan rantau dan dunia ke sini. Sebab itu, kita harus jayakan dengan sebaik mungkin.
- Saya sebut tadi saya singgah di Langkawi. Ada hal-hal yang patut dipercepatkan, perbaiki, bersih. Beberapa hal yang harus disegerakan, kadang-kadang dia mengambil masa, unjuran. Paling akhir bila KSN bicara tentang tebatan banjir tidak ada rancangan, Rancangan Malaysia tahun ini permulaan, 3 tahun lagi fasa kedua, 6 tahun lagi fasa ketiga. Saya setuju dalam perbincangan kita harus rombak itu semua. Kalau banjir itu mengorbankan nyawa, mengorbankan harta, jangan tunggu enam (6) tahun. Kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan. Kalau perlu kita pinjam, kita pinjam. Tapi semua program yang mendesak seperti kemiskinan tegar, tebatan banjir harus disegerakan dan tidak mengikut unjuran 5 – 6 tahun. Harus disegerakan sekarang supaya dalam tempoh yang singkat permasalahan itu dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
- Jadi ini hal-hal yang harus diteliti oleh semua KSU. Kalau tidak, KSU baru datang kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir fasa satu Rantau Panjang dah siap, fasa kedua tahun 2026, fasa ketiga 2029. Jadi berapa? orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap? Tidak usah bangkitlah keupayaan negeri itu tidak. Saya tidak mahu dengar itu. Yang saya tahu, kita mesti selesaikan.
- Kerjasama dan perubahan tentunya ini melibatkan peruntukan kewangan yang besar. Tapi ya, kalau perlu potong peruntukan daripada tempat lain kita potong, dan kita mesti selesaikan perkara asas yang dihadapi rakyat. Sebab tu kita bagi keutamaan pendidikan, kesihatan, tentulah keselamatan awam.
- Jadi, bagaimana boleh kita fikirkan begini? Kalau kita duduk bincang secara teliti, kemudian turun ke bawah lihat sendiri apa yang dihadapi oleh rakyat. Ini pendekatan-pendekatan baharu yang tidak ikut pendekatan biasa. Jadi, saya harap hal-hal ini diberikan perhatian. Saya minta maaf, saya tidak ambil keputusan untuk baca senarai kejayaan, tapi mengharapkan negara. Saya sebut hal ini kerana saya yakin, kapasiti keupayaan penjawat awam. Saya dah kerja dulu, lama. Kemudian dalam dua tahun ini, saban hari menemui, melihat mereka menyiapkan kertas-kertas, mesyuarat dan sebagainya. Ada yang sangat baik, ada yang kurang baik. Tetapi semua ada keupayaan untuk memperbaiki.
- Jadi saudara, alhamdulillah kita syukur kita catat kejayaan ini dan tolong ambil teliti keperluan untuk mengadakan pertemuan dalam tempoh satu minggu depan ini, untuk mendengar dan bagaimana boleh kita perbaiki. Dengar bukan dengar daripada sumber corong propaganda. Dengar daripada yang ada, dengar yang mengkritik, dan dengar rakyat di bawah. Dan lebih utama, rakyat di bawah sama ada mereka peroleh manfaat.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- PM MAHU PENJAWAT AWAM KENDALI TUGAS BESAR