![](https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2019/02/jataMalaysia-1024x681.jpg)
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERHIMPUNAN KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
12 FEBRUARI 2024 (RABU)
KEMENTERIAN KEWANGAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Alhamdulillahillazi Arsala Rasulahu Wa Dinil Haq
Liyuzhirahu ‘aladdini Kullihi
Wa Kafa Billahi Syahiida
Wausolli Wausallimu ala Rasulihil Karim
Wa ala alihi Wasohbihi Ajmain
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,
Menteri Kewangan II;
YB Puan Lim Hui Ying,
Timbalan Menteri Kewangan;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi,
Ketua Audit Negara;
KSU-KSU;
Ketua-Ketua Pengarah;
Pengerusi-Pengerusi Syarikat; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, sempena perhimpunan bulanan, kita juga dapat meluncurkan satu ikhtiar dalam pembaharuan atau reform perkhidmatan awam.
- Sistem terimaan elektronik ini, iPayment tentunya satu pembaharuan dan saya setuju gesaan supaya disegerakan, kerana transformasi digital ini telah kita umumkan sebagai dasar negara hampir setahun. Saya percaya unjuran kita untuk menyempurnakan keseluruhan pada bulan April itu boleh dipercepatkan. Jadi bulan Ramadan minggu pertama itu kita tumpu hal ini supaya selesai, kalau tidak, tiada cuti raya (nada seloroh). Saya ucap terima kasih kerana kadang-kadang pengumuman-pengumuman kita ini, banyak pengumuman tapi, nak pastikan pelaksanaannya agak menarik.
- Dalam perbincangan saya secara dua hala dengan Presiden Reccep Tayyip Erdoğan semalam, di antara soal yang kami tekankan ialah bagaimana pelaksanaannya – execution policy beberapa strategi itu adalah cabaran terbesar.
- Ada beberapa hal yang telah dilaksanakan dengan baik, umpamanya bila kita umumkan kurang gula, kopi saya pagi ni cukup tawar. Maknanya dalam hal itu, Kementerian Kewangan ambil serius betul, soal yang belum tentu, tapi gula pasti, tawar betul (nada seloroh), tapi saya setuju, saya setuju.
- Baik, di antara cabaran kita selain daripada isu kemampanan ekonomi yang kita beri penekanan dan pengurusan syarikat kita tengok mencatat satu prestasi yang baik dari Khazanah, PNB, KWSP dan lain-lain. Cabarannya saya katakan ialah mutu kecekapan termasuk reform perkhidmatan awam. Kita tidak boleh nafikan beberapa langkah-langkah telah diambil dan terus diambil. Umpamanya hari ini bila kita luncurkan iPayment ini, bagi saya ini merupakan satu langkah ke depan. Kerana selain daripada prakasa baru yang dibentangkan, ia ada makna langsung kepada rakyat, kecekapan, mengelakkan daripada karenah birokrasi, dan menunggu begitu lama.
- Bagi saya khidmat awam ini diukur di sini, kadang-kadang kita di dewan seperti ini kita bicara soal dasar kita dan strategi kita. Tetapi kelemahan biasanya ialah apabila kita turun ke daerah, turun di jabatan-jabatan. Saya pernah umpamanya sebelum ini ke solat Jumaat di kawasan-kawasan, saya ingat kalau tidak salah saya sekitar Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak, kemudian saya lihat queue begitu panjang sampai ke kedai-kedai hanya untuk menunggu giliran memperbaharui pasport ataupun hal-hal lain. Hal-hal ini bagi kita bicara soal reform institusi, bagi rakyat dia tidak lihat kesannya, ini masalah yang disebut sebagai disconnect. Di antara dasar dan prakasa baru kita bentangkan dengan manfaat secara langsung di kalangan rakyat.
- Walaupun saya akui dalam setahun dua ini memang hal ini ditingkatkan dan semua pimpinan Kementerian, KSU, KP melaksanakan dengan sebaik mungkin, tetapi harus ingat bahawa ukuran akhirnya ialah bagaimana majoriti rakyat mengecapi nikmat pembaharuan reformasi yang kita bicarakan. Sebab itu saya sekali lagi gesa supaya program iPayment ini dipercepatkan dari unjuran jadual akhir April kepada awal Mac, maknanya minggu pertama Ramadan. Kalau yang tak siap, tolong bagitau kepada Jabatan Audit dan ambil tindakan supaya jabatan-jabatan slow itu diaudit dengan mendalam betul. Dan saya harap dapat diberikan makluman kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan kepada saya.
- Peluncuran iPayment juga termasuk apa sistem yang disebut tadi, jabatan yang diperkenalkan, ikhtiar Jabatan Akauntan Negara Malaysia, iaitu sistem terimaan elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment). Membudayakan suatu yang agak baru, iaitu rakyat diperkenalkan dengan satu kaedah di mana pembayaran dibuat tanpa tunai. Saya ingat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), dan permulaan di Jabatan Imigresen yang sangat menggalakkan bila rakyat Malaysia guna QR code dan terus dengan kepantasannya melalui sistem kawalan yang kadang-kadang menyebabkan kesesakan di lapangan terbang.
- Jadi, maknanya ada pelaksanaan yang baik, cuma belum lagi dilaksanakan untuk warga asing dan pelancong. Tetapi, untuk pelaksanaan peringkat awal ini sangat menggalakkan, dapat menyelesaikan banyak masalah kerana selalunya bila kita tengok ada masalah, dia kata kekurangan staf, kekurangan kemudahan, tetapi bila dilaksanakan dengan pantas, nampaknya ialah kekurangan kebijaksanaan kita memperkenalkan sistem yang telah kita umumkan sebagai transformasi digital.
- Jadi, ikhtiar MADANI yang diluncurkan hari ini adalah untuk memperluaskan iPayment kepada semua kementerian, jabatan dan agensi persekutuan dan saya harap, Insya-Allah akan dikembangkan ke negeri-negeri. Jadi, itulah cabarannya kepada jabatan untuk memastikan pelaksanaan itu dipercepatkan.
- Ada seperti mana bila kita sebut, saya ingat lagi reform, terutama pendidikan di antara yang saya tekankan selain daripada memantapkan penguasaan Bahasa Melayu, kerana ini satu kemestian dalam sistem negara kita yang telah disepakati sekian lama adalah untuk memberikan sedikit anjakan iaitu memastikan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu cukup mantap di kalangan pelajar-pelajar, terutama peringkat menengah. Ini kalau ikut unjuran biasa akan dirangka masa itu. Keputusan kita 2023, akan dirangka tahun 2024, akan diputuskan 2025, akan dimulakan rancangan, test ataupun pengujian 2026 dan 2027 dijalankan peringkat awal, dan 2028 baru dapat cuba laksanakan. Tak boleh lagi dah. Perencanaan begitu itu perencanaan lama. Kalau sekarang, kalau keputusan kita 2023, peluncurannya dan pelaksanaannya ini harus 2024. 2025 itu dikembangkan peringkat keseluruhan.
- Saya tidak nafikan kerenah dan kerumitan kerana kerencaman dalam sistem kita, alirannya dan latihan gurunya. Tetapi kalau kita ikut kaedah lama, kita akan ketinggalan. Itu isunya. Kita mahu pilih bagaimana? Nak laksanakan cepat ada masalah, tak laksanakan cepat, kita kalah. Jadi, memikirkan di antara dua faktor ini, kita harus gerakkan jentera kita itu berfikir dan bertindak dengan kepantasan yang diperlukan untuk menyelamatkan negara kita. Tidak ada pilihan. Ini bukan soal kesenangan saya untuk memaksa hal dipercepatkan atau mendera jabatan, tidak. Tetapi kerana saya melihat dalam kunjungan-kunjungan luar, di luar negara, dan mempelajari. Sebab itu, saya kata humility untuk melihat apa kelemahan mereka dan apa kekuatan mereka. Mengapa mereka dapat lakukan dengan kepantasan dan mengapa tidak boleh kita? Sebab itu kadang-kadang saya di Jemaah Menteri, bila ada lawatan-lawatan ini saya cukup sinis. Saya kata lawatan ini kalau ikut lawatan untuk mengurus bandaraya dengan bersih, cekap dan mantap, itu ratusan sudah rombongan, tetapi saya tengok tidak adalah banyak perubahan pun. Jadi yang kita pergi itu untuk belajar apa?
- Mungkin saya hari ini Perdana Menteri, tetapi kalau saya pergi negara, beberapa negara-negara kecil, saya lihat apa kekuatannya. Bila bincang saya tanya, sama ada Perdana Menteri Inggeris, Amir Qatar ataupun pagi tadi teks daripada Putera Mahkota Saudi, MBS saya manfaatkan selalu tanya. Selalu beri gambaran apa yang mereka ada lakukan dan kekuatan mereka. Umpamanya saya katakan Digital Transformation, ada negara-negara Arab termasuk Qatar, Estonia, UAE, Arab Saudi yang melakukan lebih pantas daripada kita.
- Padahal kalau lihat umpamanya 10, 15 tahun atau 20 tahun lalu saya ingat semasa saya Menteri Kewangan itu kita jauh di atas dan mereka lihat kekuatan kita dengan segala kekaguman. Tetapi ada banyak masalah, akhirnya kita agak mendatar. Sebab itu kita harus kejar dan bila kita sebut tentang Institutional Reform termasuk di Civil Service ataupun Public Service maka haruslah ada kepantasan luar biasa. Jadi saya ucap terima kasih kepada jabatan dan khususnya KSN, KPPA kerana menekankan supaya perubahan ini dilakukan dan saya harap seluruh jentera Kerajaan termasuk Syarikat-syarikat lakukan.
- Dua minggu lalu kita meluncurkan pengauditan, yang melibatkan bukan sahaja jabatan Kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat Kerajaan. Walaupun saya beri jaminan pengauditan Syarikat-syarikat Kerajaan itu tentunya tidak sama dengan jabatan kerana ia harus pertama melihat kepada laporan audit yang bebas dan hanya mampu menegur sekiranya ada beberapa teguran yang harus diperbaiki, yang harus dimaklumi kepada pimpinan, yang perlu kita perhatikan, selain daripada jabatan adalah syarikat-syarikat yang ditubuh oleh agensi-agensi Kerajaan. Saya telah memberi arahan supaya tidak boleh diwujudkan mana-mana syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tertinggi kerana ribuan syarikat-syarikat ini mencatat kerugian yang besar, tetapi memutuskan untuk membatalkan, itu bukan perkara mudah tetapi jika wajib dilakukan kita harus lakukan kerana ini memaknai apa yang disebut reform Mantan KSP, Datuk Asri Hamidin saya telah tugaskan untuk memberi beberapa usul untuk menyeragamkan beberapa agensi dan dibawa untuk KSN dan akan saya putuskan setelah dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa singkat dan akan memberikan laluan. Tetapi saya syukur alhamdulillah kerana apa pun yang dibicarakan kita lihat ada hasrat untuk membawa perubahan di negara kita. Ini suatu yang diperlukan. Ini yang dikatakan kesedaran masa.
- Baru-baru ini saya meluncurkan seminar pemikiran almarhum Malek Bennabi, seorang pemikir Algeria yang sangat unggul di abad ini yang tentunya meneruskan perbicaraan, perubahan atau reform yang dibicarakan oleh Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun yang menulis dalam mukadimah. Apa relevannya? kerana Malek Bennabi itu menyatakan bahawa perubahan itu tidak berlaku hanya dari kertas atau perancangan. Ia mesti terpancar dari keyakinan kita. Dia ungkapkan dengan frasa The Inner Struggle of Conscience. Kita percaya untuk menolak rasuah, untuk inginkan perubahan, untuk jayakan masyarakat kita, negara kita, itu mesti terpancar dari hati nurani, dari dhomir kita, dari kata hati kita. Dan ini harus kita gerakkan di kalangan kita. Biasa dalam simpang siur politik ataupun politik jabatan ada sahaja pandangan berbeda, tetapi harus terpancar. Ini yang dikatakan inner struggle of conscience. It is the conscience that dictate you to know what is right, what is truth and the propensity to embark meaningful change.
- Kemudian kata dia, baik kalau ada pancaran itu, apa yang kita harus lakukan? dia ungkapkan dengan frasa guiding ideas. Apa dia dalam MADANI ini guiding ideas ini ya? ekonomi harus mampan, tapi untuk mampan, untuk siapa?, untuk negara, untuk syarikat dan juga untuk rakyat dan pengguna. Jadi sustainability itu tidak hanya dilihat dari segi data dan angka ekonomi tetapi manfaat kepada rakyat.
- Sebab itu kita kaitkan dengan soal nilai, soal ehsan, soal kemanusiaan, apalagi dalam negara kita yang rencam budaya begini. Kalau tidak ada satu hasrat kemanusiaan ataupun disebut manusiawi keinsanan itu, maka akan pecah belah, semua jadi masalah. Raya Cina pun ada masalah, Thaipusam pun jadi masalah, jadi kita jadi politik picisan, bicara hal-hal yang remeh yang tidak jadi masalah selama ratusan tahun dikalangan rakyat Malaysia. Menasihat, menegur itu baik, sebab tu saya kata apa pun kita lakukan soal akidah umat itu mesti kita betulkan, kalau ada, tetapi inilah berlaku. Sebab itu saya katakan biar hal picisan itu, dianggap picisan, dan kita kekalkan landasan itu.
- Apakah dia guiding ideas? untuk mengangkat martabat harakat, darjat umat dan negara. Apa saya ingat semudah di lakar, di bicara dan dilakarkan, tidak mudah untuk dilaksanakan. Kerana kita tidak mungkin laksanakan in a vaccum, bukan ada kelompongan. Umpamanya hendak betulkan, ambil tindakan semua mesti tender jangan nak rasuah, itu tentangan itu besar, kerana ada sistem yang biasa dengan perkara ini. Mengapa kami tidak boleh dapat padahal kami sudah perolehi sebelumnya. Mengambil tindakan kepada gergasi-gergasi maha kaya yang ternyata telah membolot kekayaan besar. Itu saudara ingat mudah? tidak. Dengan seluruh kekuatan, pengaruh kekayaan mereka itu, mereka akan menghujat dan digunakan untuk menentang arus perubahan ini.
- Jadi sebab itu saya selalu menggesa bila kita adakan umpamanya agenda reform seperti iPayment ini. Ini satu ikhtiar ataupun prakasa baru dalam kerangka guiding ideas yang lebih besar. Kalau kerangka ini tidak dihadam, kita hanya lakukan sambil lewa. Tetapi kalau kita rasa ini sebagai sesuatu yang harus kita paksakan supaya pelaksanaannya iaitu baik dan dalam memenuhi konteks fahaman keseluruhannya, mudah-mudahan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
- Apa lagi kita dalam masa singkat akan menemui Ramadan Kareem dan seperti yang kita tahu ia satu langkah bukan ritual semata-mata. Ya, ritual harus dalam mana-mana agama ritual itu satu yang menjadi tonggak, tetapi mesej yang jelas. Ia membina kekuatan dalaman. Apa dia Ramadan itu kalau tidak membina inner struggle of conscience, bukan untuk lapar dan dahaga sahaja. Apa dia makna Ramadan itu kalau tidak berikan guiding ideas kita tentang bagaimana disiplin, dan keprihatinan kepada rakyat, dan semangat Jemaah itu dihidupkan. Dan kalau ditanya kemudiannya apakah ‘shahru Ramadan’ yang disebut ‘unzila feehil Qur’aanu’ turunnya Al-Quran itu benar-benar “hudan linnas” petunjuk kepada manusia. Yang boleh memberikan kita kekuatan untuk menilai, menilai ‘wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan’ maknanya membolehkan kita menilai tentang baik buruknya dia.
- Mudah-mudahan saudara-saudara, saya mahu ikhtiari ini dilihat sebagai pertama the inner struggle of concerns, efficiency, ringankan beban rakyat, memberi faedah pembangunan ini dan catatan pelaburan dan pertumbuhan, Ai dan digital ini akan memberikan manfaat kepada majoriti rakyat. Dan keduanya ikhtiar ini iaitu prakasa ini dalam konteks apa yang disebut guiding ideas, idea pendorong yang boleh mengangkat martabat, harakat dan darjat umat.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR