
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PUSAT BELI-BELAH ALAMANDA PUTRAJAYA BERWAJAH BAHARU
23 FEBRUARI 2025 | AHAD | 11.00 PAGI
PUSAT BELI BELAH ALAMANDA, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem
Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa,
Menteri Wilayah Persekutuan;
Yang Berbahagia Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud,
Pengerusi Perbadanan Putrajaya;
Yang Berbahagia Dato’ Kamil Khalid bin Ariff,
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Putrajaya Holding;
Yang Berbahagia Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Putrajaya Holdings;
Keluarga Putrajaya dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Pada hari minggu ini, tempat kita bersama keluarga, dan saya lihat suasana Alamanda yang baharu ini ceria dan suatu mercu tanda kemegahan bagi Putrajaya dan saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan di Alamanda Putrajaya kerana memberikan pencerahan keceriaan tambahan kepada Putrajaya, terima kasih.
Saudara-saudara,
- Dalam kerangka kita membangun negara, tentunya kemudahan-kemudahan tambahan, bersih, indah dan menarik bukan sahaja pelancong dari luar negara tetapi tempat keluarga bersama membeli-belah dengan harga yang agak munasabah dan juga menyenangkan anak-anak. Jadi saya lihat dalam kemudahan di dalam Alamanda ini disediakan beberapa tempat hiburan, permainan dan juga tarikan kepada anak-anak. Jadi kita lihat pun penuh dengan jenama-jenama yang menarik, ada yang sederhana dan murah sikit dan mahal sikit, itu pilihan masing-masing.
- Tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah seperti mana saudara tahu, dua hari selepas saya pulang dari Bahrain, lawatan dan juga menziarahi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang alhamdulillah kembali sihat dan kini kembali ke Kuala Lumpur setelah rawatan. Seketika di Bahrain, saya juga buat lawatan rasmi berjumpa Raja Bahrain dan Perdana Menterinya. Negara-negara sekarang tumpu ke arah mengangkat ekonomi, kemudahan dan teknologi baharu. Negara Bahrain itu tidak terkenal sebagai satu pusat kewangan ataupun perdagangan dan destinasi pelaburan yang menarik, tetapi kerana tumpuan dan fokus yang menarik.
- Malah di situ saya diberi penghormatan, satu-satunya Ketua Negara yang diminta memberikan ucaptama dalam Sidang Ulama dan Dunia Islam Pelbagai Mazhab daripada pelbagai negara dan saya gesa begitu juga umat Islam ini. Apa lagi menghampiri Ramadan, gunakan kesempatan hidup sihat kita ini untuk menimba ilmu, menjalankan ibadah tetapi fokus kepada usaha-usaha mengangkat martabat rakyat dan negara.
- Kalau tidak kita riuh rendah dalam soal-soal titik bengit, gaduh terus. Kalau dengar kadang-kadang sebahagian bukan semua, sebahagian ceramah dan tazkirah itu mengutuk orang, maki orang, hukum orang, padahal dakwah bil-hikmah wa jadilhum bil-lati hiya ahsan itu dengan bijak menarik orang, itu yang pertama. Dan tidak semua kita boleh bersetuju dalam semua perkara. Ke arah kebaikan kita setuju, amalan-amalan asas kita setuju, tetapi dalam beberapa pendekatan ada perbedaannya dan harus ada toleransi, tasamuh, hikmah dalam menyantuni pelbagai.
- Dan dalam ucapan saya, saya sebut apa lagi di Malaysia, kita ada umat Islam, kita ada Kristian, Buddha, Hindu dan pelbagai suku kaum dari semua wilayah dan negeri. Jadi tanggungjawab kita untuk menyantuni, bila saya baik dengan orang Kristian atau Hindu atau Buddha, tidak bermakna saya lemah dari segi agama saya. Saya tetap dengan pendirian saya, saya tetap dengan amalan Ramadan, saya tetap dengan terawih saya dan baca Al-Quran. Tetapi saya memberikan contoh bagaimana orang Islam itu boleh hidup damai hormat-menghormati. apa yang disebut “litaarrafu” hormat-menghormati dan kenal perbedaan itu. Jadi itu yang saya sampaikan.
- Negara-negara, negara China, Jepun, Amerika Syarikat, Eropah, sekarang berlumba-lumba mengangkat keupayaan teknologi, artificial intelligence, digitalization, bicara tentang bagaimana negara boleh berubah cepat dengan transisi tenaga, tidak boleh bergantung kepada tenaga lama. Kita? riuh rendah tentang hal-hal yang remeh dan titik bengik dan bergaduh di antara satu sama lain.
- Sebab itulah tanggungjawab kita semua termasuk swasta di Putrajaya, syarikat nya, holding nya, jabatan-jabatan Kerajaan harus tumpu pertama tingkat kecekapan kita, beri khidmat lebih baik dan hentikanlah ini amalan-amalan, guna kesempatan kayakan diri kayakan keluarga dengan cara yang haram. Ada orang kata saya agak dendam, kerana hendak cari salah, itu tidak benar. Saya hendak beri kebebasan, Dr. Zaliha tahu dalam Jemaah Menteri kita tidak campur, bagi kebebasan kepada Polis, kerja dia, Lembaga Hasil Dalam Negeri tugas dia, kutip cukai, Kastam, SPRM geledah supaya hentikan amalan rasuah.
- Negara boleh kaya, tapi kalau pimpinannya itu sibuk cari kekayaan untuk diri, bila hendak jaga rakyat? dan bila ada keterlanjuran guna kuasa sampai kaya ratus-ratus juta di sini simpan, di sana simpan, dalam negara simpan, luar negara simpan, bila kita hendak ambil tindakan tidak boleh, tidak boleh, tidak boleh. Kita jangan dendam. Jadi negara rosak. Sebab itu kita kena tegas, anak-anak muda terutamanya kena ingat, pak cik ini, atuk ini (nada berseloroh) ambil sikap tegas. Kerana nak hentikan amalan ini. Jadi saya hendak rakan-rakan faham.
- Jadi dalam mesyuarat, dalam Permukiman Jemaah Menteri, kita dengar ada orang kritik, sesetengah Menteri tidak bagi penjelasan baik, baik kita baiki. Ada yang mengatakan bahawa program baik, tapi tidak dijelaskan kepada rakyat. Ada yang mengatakan bahawa ada langkah-langkah tambahan harus dibuat. Ada masalah lagi tebatan banjir, masalah jalan berlubang, masalah bekalan elektrik tidak sampai ke kawasan pedalaman, kita dengar dan kita mesti ambil tindakan. Dan itu saya tidak ada masalah, orang tegur kita, kritik kita, kerana kita bukan sempurna. Dan kita mesti dengar untuk perbaiki. Bukan saya sebagai Perdana Menteri, Ketua Jabatan, Ketua Syarikat, Pengurus, semua harus dengar supaya dapat kita perbaiki. Tetapi bukan untuk menidakkan tindakan-tindakan yang baik.
- Saya percaya kita ada keupayaan. Malaysia ini, saudara-saudari kalau jelajah banyak negara, ini luar biasa. Mana ada negara di dunia, di mana masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama, tapi boleh hidup dengan rukun damai. Dan Malaysia juga di antara yang terbaik. Mana negara yang sudah kecundang sedikit lemah dengan pelbagai skandal, kemudiannya COVID-19 dan sekarang terangkat balik. Pertumbuhan yang baik, pelaburan yang tinggi, AI nya menjadi Pusat Data Centre, semi-conductor hub dan saudara tengok lawatan-lawatan pemimpin dunia, tak henti kita terpaksa anjak program-program. Tengok dalam sebulan dua ini, berapa banyak pemimpin besar dan tidak lama lagi Presiden Xi Jin Ping akan datang, Presiden Afrika Selatan, dan banyak lagi dalam sebulan dua ini.
- Saya pun, mungkin bulan Ramadan itu tangguh sekejap lah, walaupun kita kerja seperti biasa tetapi lawatan-lawatan dari luar negara ini kita mula balik bulan April. Sebab apa? Sebab dia lihat keupayaan Malaysia dan keupayaan Malaysia itu siapa? Apa saudara-saudara ingat Menteri atau Perdana Menteri sahaja? Tidak. Keupayaan seluruh rakyat, keupayaan pekerja, tukang cuci kalau tak bersih orang tak datang. Jadi bila kita bagi penghargaan. Penghargaan kepada pemodal, penghargaan kepada pengurusan, penghargaan kepada peniaga, penghargaan kepada tukang cuci, ini barulah jadi MADANI dan manusiawi, ada Ihsan.
- Jadi ini saya nak sampaikan sebenarnya dalam kuliah pagi ini. Apa lagi kita dalam menunaikan fardhu Ramadan. Ramadan ini seperti kita tahu, ia seolah-olah sekolah. Ini bagus juga rakan-rakan saya bukan Islam dengar, kerana puasa ini bukan amalan orang Islam sahaja, ini kena dengar. Kalau orang yang ekstrem, tengok Anwar dia samakan Islam dan bukan Islam pula, pun salah juga. Maksud saya, amalan puasa itu pernah diamalkan oleh yang bukan Islam sekalipun. Apa buktinya? Buktinya Al-Quran: “Ya ayyuhal-lazina amanu, kutiba ‘alaikumus-siyam, kama kutiba ‘alal-lazina min qablikum, la’allakum tattaqun.” Orang beriman diwajibkan berpuasa seperti mana umat sebelum kamu pun berpuasa. Itu siapa kata? Dalam Al-Quran, jadi kalau kata orang ini bukan puasa, tidak dia puasa lah dengan cara dia, niat dia, syarat-syarat dia. Tapi puasa siapa berkata? Quran sebut seperti mana umat terdahulu berpuasa.
- Apa yang ditekankan kepada kita? “la’allakum tattaqun”, supaya kita puasa itu dengan niat meningkatkan darjat ketakwaan kepada Allah Subhana hu wa Taala. Itu nak bezakan kita niat ikhlas cuba sampai ke tahap takwa kepada Allah Subhana hu wa Taala.
- Apa dia maksudnya dalam masyarakat kita begini? Pertama, tentunya nilai kerohanian, puasa atau tidak puasa, datang pejabat Putrajaya puasa, balik…sebagai contoh, bukanlah macam ini lah (nada berseloroh). Orang tak tahu, jadi sebenarnya yang pernah disebut the principle of accountability, the final accountability to God bukan nak tunjuk kepada manusia. Itu dia puasa yang pertama. Untuk apa? Untuk disiplinkan diri. Tentulah soal kesihatan, jadi tak apa itu untuk dia, tu makna spiritual.
- Kedua, apa dia? Dimensi sosial. Puasa supaya kita tahu apa erti lapar dan dahaga, kerana ramai yang di sebelah sana, jiran kita, kampung sesak itu berasa hidup dalam kesusahan. Jadi minta Datuk-Datuk yang di sini supaya tahu apa erti lapar dan dahaga. Itu yang disebut dimensi sosial supaya ada keprihatinan, ada ihsan, ada rahmah, ada
- Tapi kalau kita puasa, makan dengan melimpah jenuh, kemudian tidak peduli orang lain makan atau tidak, tidak ada sedekah, amal jariah, tentunya significance of fasting itu kurang, kerana fasting itu tunjuk concern kepada masyarakat, sebab itu bulan puasa selalunya kita derma lebih. Tapi sebenarnya kadang-kadang puasa kita makan lebih jadi sebab itu mesti ada target dalam puasa.
- Ini yang disebut puasa ini sebenarnya semua kita, mufti, ustaz, guru, anak sekolah semuanya masuk sekolah. Dia sebut Madrasah Ramadan, tarbiyyatul ruhiyyah. Maknanya setahun sekali dalam masa sebulan ini kita masuk sekolah supaya ada theorification exercise, supaya ada test evaluation and assessment tentang nilai kita. Walaupun saya tahu ini Alamanda, kata ini apa kena mengena puasa dengan Alamanda kerana tadi Dato’ Ir. Ts. Izwan kata nak buat majlis buka puasa makan-makan ASEAN, itu ada kaitan dia sikit.
- Jadi saudara saudari, mudah-mudahan kerana tak lama lagi kita bulan Ramadan, tanggungjawab saya sama-sama peringatkan kita kerana negara boleh maju. Mercu tanda baru dan pasar raya baru boleh kita kembangkan, tetapi kita mesti sentiasa ingat, ia mesti beri manfaat kepada sebanyak mungkin. Jadi mungkin dalam bulan Ramadan ada acara, bila ada acara panggil mana-mana daripada sekolah anak yatim atau mana-mana dekat panggil 10 orang join supaya dia dapat merasa nikmat seperti mana kita rasakan. Dia tidak memerlukan hal yang terlalu banyak tetapi usaha-usaha kecil ini kalau dilakukan oleh puluhan ribu orang akan memberi manfaat kepada ratusan ribu orang.
- Salah satu acara yang saya lakukan dalam Kerajaan MADANI ini adalah meminta semua ketua-ketua pejabat dari Perdana Menteri, Menteri, ketua pejabat semuanya pilih satu kampung dan laksanakan. Saya pilih Cheruk Tok Kun dan di situ tanya masalah apa. Jalan, parit, pagar masjid, orang miskin, anak dadah, anak tak pergi sekolah semua hal di kampung itu walaupun saya jaga negara tapi kampung itu saya patut ada laporan penuh. Jadi maknanya semua, saudara bayangkan. Jadi walaupun kita di sini dengan tempat yang permai, kita tak pernah tercabut dari akar budaya kampung yang susah ini. Ini yang kita lakukan.
- Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita. Saya bangga dengan usaha mengindahkan dan menceriakan Alamanda dan saya percaya bila saya hari-hari di sini (Putrajaya), walau jarang di sini (Alamanda) tapi kalau mungkin lah ada acara kita boleh sama-sama menjayakan dan meraikan. Dengan doa ke Allah SWT, moga-moga usaha kita ini mendapat keberkatan. Saya sekali lagi bersama-sama saudara mahu menjayakan usaha permai Alamanda di Putrajaya.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM