TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN BULAN WAKAF KEBANGSAAN TAHUN 2025

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN

BULAN WAKAF KEBANGSAAN TAHUN 2025

 

 

 

27 FEBRUARI 2025 | KHAMIS

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem, Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

Keluarga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana hari ini kita meningkatkan lagi ikhtiar supaya lebih memberi kesan kepada kegiatan wakaf. Dalam Belanjawan tahun lalu, saya umumkan kewujudan dana RM1 bilion permulaan wakaf MADANI yang kita akan selaraskan dengan JAWHAR untuk memberikan suatu pencerahan dan kesedaran kepada umat Islam bahawa kegiatan wakaf itu harus menjadi suatu yang dibudayakan.
  1. Saya masih ingat kupasan Fazlur Rahman, seorang sarjana yang melihat perkembangan institusi pendidikan semasa. Jadi Fazlur Rahman tentunya merasakan dan melahirkan rasa kegusarannya kerana tahap dan mutu serta peluang pendidikan negara-negara Islam itu sangat malap.
  1. Beliau menulis sekitar awal 80-an tetapi diberikan suatu liputan menyingkap sejarah tentang wakaf yang mendirikan masjid-masjid dan institusi pendidikan utama di dunia Arab. Tetapi setelah atau pasca pemerintahan kolonial dan kemerdekaan, budaya itu sudah malap kerana umat juga terdera dengan tekanan ekonomi untuk membangunkan ekonomi seusai merdeka.
  1. Tetapi satu gambaran yang diberikan oleh Fazlur Rahman ialah tentang kejayaan luar biasa dalam budaya Indonesia yang menghidupkan institusi pendidikan dari sekolah dasar menengah sehingga universiti-universiti sama Universitas Nahdlatul Ulama ataupun Universitas Muhammadiyah yang semarak seluruh Indonesia, dalam keadaan negara baru merangkak selepas kemerdekaan, bebas dari penjajahan Belanda.
  1. Dan ini sesuatu kalau kita lihat dari sudut perkembangan dunia Islam mutaakhir memang itu satu kejayaan luar biasa. Contohnya sekarang pemerintahan lebih menekankan pembangunan institusi pendidikan yang menampung kekurangan yang dulu tetapi maknanya apa? Apa pengajaran kepada kita? Bahawa tanpa dukungan rasmi, kesedaran wakaf itu di kalangan rakyat umumnya miskin, maknanya kalau saudara lihat tahun 50-an dan 60-an, Indonesia itu yang agak kategori negara yang miskin tetapi masih melahirkan institusi-institusi pendidikan, pesantrennya, universitinya, kolejnya yang gagah yang saya percaya sebagai kepada kita saksikan sendiri.
  1. Jadi kedudukan ekonomi umat itu bukan pertanda keupayaan kerana yang harus ditekankan ialah tahap kesedaran berhormat dan sikap serta semangat untuk memberikan, bukan sahaja mengaut kekayaan tetapi memberi sumbangan yang kekal kerana wakaf itu, baik dari segi kegiatan ekonomi atau pendidikan, itu menjadikan sesuatu sumbangan yang kekal.
  1. Sekarang tentulah keadaan yang lebih mencabar dan institusi lebih canggih. Kita lihat umpamanya beberapa ikhtiar JAWHAR dan juga Yayasan Waqaf Malaysia serta kegiatan-kegiatan wakaf negeri yang telah berusaha meningkatkan kegiatan mereka dalam pelbagai lapangan dan mendapat sambutan apa lagi dengan dana tambahan daripada Kerajaan dan syarikat-syarikat Kerajaan dan swasta.
  1. Jadi dalam Global Forum on Islamic Economics and Finance (GFIEF) anjuran Bank Negara Malaysia pada Mei yang lalu, kita telah melihatkan bagaimana apa yang disebut program atau prakasa Sosial Exchange dan saya ucap terima kasih kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyambut dengan lebih segera dan positif. Jadi dalam masa dalam tempoh tujuh bulan, Waqf Exchange Traded Funds (ETF) telah diapungkan di Bursa Malaysia.
  1. Ini produk yang dianggap inovasi wakaf pertama di dunia iaitu menggabungkan Yayasan Waqaf Malaysia dan Eq8 Capital, yang dapat menyalurkan 50% pendapatan pelaburan sebagai wakaf manakala 50% lain itu sebagai dividen. Ini pun satu pendekatan yang canggih kerana kadang-kadang keluarga merasakan nasib mereka harus terjamin dan terbela, tetapi mereka juga merasakan perlu untuk wakaf.
  1. Jadi saya fikir inisiatif ini satu yang agak menarik kerana dalam sumbangan katalah RM10 ribu itu, keuntungan itu 50% ke wakaf dan 50% untuk jaminan penyumbang dan keluarga. Dengan cara yang sedemikian tidak timbul kegusaran tentang masa depan mereka.
  1. Malaysia sekarang adalah Setiausaha Agung World Zakat Waqf Forum 2023-2026, ini menunjukkan keyakinan dunia Islam terhadap keupayaan kita walaupun kita akui umpamanya langkah-langkah diambil oleh Kuwait, Qatar dan beberapa Kementerian, sebab itu tadi disebut bahawa Kementerian Agama itu selalu disebut, Wizarah Al-Awqaf Wa Al-Syuun Al-Islamiah, lebih kurang la ya sebab saya mengaji sekolah orang putih (nada bergurau).
  1. Selain daripada itu, kita telah umumkan baru-baru ini dan dengan rencana beberapa Non-Governmental Organization (NGO) tentang Yayasan Waqaf Malaysia di Gaza. Pada permulaannya saya bagi tumpuan tetapi kadang rencana kita agak terlalu besar, seolah-olah satu kota kecil di situ tetapi saya rasa lebih pragmatik kalau kita tumpukan apa yang saya sebut ialah tentang masjid, sekolah dan hospital itu dulu.
  1. Tentang sekolah dan hospital itu kita akan gabungkan dengan kerjasama Kerajaan Jepun kerana saya telah dapat berbincang dengan Perdana Menteri TYT Shigeru Ishiba, mengatakan ini soal kemanusiaan, ini soal hak asasi, ini soal kezaliman, ini soal penjajahan, dan ini bukan soal yang harus ditangani hanya oleh umat Islam. Beliau setuju dan mengambil inisiatif dan kita akan menyokong sebagai co-chair atau pengerusi bersama iaitu untuk usaha membangunkan reconstruction of Gaza. Dan untuk dengan Jepun tentunya sekolah dan juga hospital. Untuk kita juga tampung dengan Masjid tadi yang sama wakaf kita.
  1. Saya percaya dengan JAWHAR dan usaha-usaha rakan lain boleh bantu sedaya upaya selain daripada sumbangan yang akan diberikan oleh Kerajaan.
  1. Dalam pembangunan ekonomi kalau sudah dapat hadam maksud KEMAMPANAN ini dan MADANI itu kita letakkan soal nilai soal Ihsan. Dan dia merangkul mencakupi beberapa bidang lain.
  1. Saya agak tertarik bila Menteri Dr. Usamah dari Mesir baru-baru ini. Bila ditanya saya latar belakang mengapa meminjam atau menggunakan Islam MADANI? Saya kata bukan saya yang reka. Cuma tahu dari tahun 1993 dalam ucapan Festival Istiqlal di Jakarta, saya mula perkenalkan istilah masyarakat MADANI.
  1. Sebab, saya kata sivil itu tidak merangkul sivil ianya kegiatan Badan bukan Kerajaan tapi dia tidak tegaskan tentang soal nilai, soal ehsan, soal yang dekat kepada umat Islam dengan akidah mereka yang mungkin tersangkut kerana hubungan di Madinah, “tamadun” dari segi epistemology bahasa Arab.
  1. Dan bila saya lontar sebelum saya lontarkan contohnya saya semak beberapa kajian awal, tentu ada Al Farabi tentang Madinah fadzilah, selepas itu Shiekh Muhammad Abduh menggunakan al-mujtama’ al-madani dan kupasan dia.
  1. Jadi itu pun saya tak berapa yakin saya masa itu telefon Dr. Taha Jabir Alalwani masa itu dia di Kaherah. Tanya sama ada istilah itu tepat atau tidak, dia jawab apa istilah itu boleh. Kalau perisiannya itu memenuhi maksudnya, maknanya dia tidak lari dari soal adab, soal akhlak, soal nilai, maknanya sama ada kita bicara soal pembangunan ekonomi atau artificial intelligence atau digital atau pendidikan. Kalau menjamin kemampanannya, dia tidak boleh lari daripada sandaran prinsip yang disebut tentang akhlak dan nilai.
  1. Jadi itulah sebabnya mengapa pada tahun 1993 saya lontarkan Al-Mustama’ MADANI dan bila saya diberi kesempatan untuk bersama dengan saudara, maka saya sebut kepada Jemaah Menteri. Jadi kita daulah MADANI kerana kita dalam memegang kekuasaan, tetapi slogan-slogan ini tidak harus memukau.
  1. Dia harus diterjemahkan dalam pelaksanaannya dalam amalannya. Maka sebab itu kalau kita faham, MADANI dan ihsannya dan rahmahnya, maka tentu wakaf ini sebagai sesuatu yang sudah sebati dengan kita.
  1. Dalam tradisi Islam yang tentu ramai saudara jauh lebih arif daripada saya, dalam semua kegiatan dari membangunkan Masjid, kepada soal zakat fitrah, soal wakaf dia tanggungjawab bersama, pemerintah ada tugasnya, ada pertanggungjawabannya, tapi rakyat dan umat itu sebab saya minta Masjid, innamaa ya’muru masaa jidal laah, tuntutan kepada semua. Beri sumbangan sedaya-upaya sekecil manapun sebagai dia ada habuan zakat fitrah umpamanya melainkan dia itu terlantar di kalangan kelompok miskin tegar. Yang lain itu masih ada dituntut untuk memberikan sedikit sumbangan.
  1. Jadi tradisi Islam itu luar biasa kerana dia menggerakkan setiap anggota masyarakat dalam semua kegiatan. Sebab itu dalam di negara ini, bila kita sebut wakaf tidak bermakna Kerajaan akan mengenepikan tanggungjawab, fundamental asasi pemerintah untuk menggunakan dana dengan bertanggungjawab. Tidak menyalahgunakan kuasa tidak menggunakan kedudukan untuk memperkayakan diri. Ratusan juta disana ratusan juta ringgit di sini.
  1. Jadi kalau tanya saya maka saya harap dalam berapa tahun kita dapat hentikan gelagat ini. Bahawa kalau boleh dengan seluruh jentera dengan kesedaran Majlis Agama dengan kegiatan pendakwah dan itu memberikan bahawa dalam Islam ini bukan sekadar kamu harus menyakau harta. Harta yang kamu ada itu harus kamu mampu mewakafkan kena bedanya.
  1. Kita kadang punyai kuasa dan bila saya tegas hal ini bangkitlah dendamlah. Mencari salah oranglah. Jadi ini kadang dalam politik dia tidak terkawal. Padahal kalau benar kita ini mahu pertahankan prinsip dan roh Islam, mana mungkin kita pertahankan keterlanjuran ini. Orang mengharapkan hanya RM100 / RM200 ringgit tambahan dalam skim gaji elaun setahun.
  1. Mana mungkin kita biarkan orang berbillion menyakau dan bila kita ambil tindakan, katanya pelbagailah karenah pidato simpati kepada mereka dan saya kurang mengerti sebenarnya.
  1. Apa lagi kalau kita ini sandarannya Islam dan akhlak Islam kita pertahankan yang atas-atas, tauke-tauke kaya dan mahakaya kita jadi pertahankan. Padahal untuk orang miskin yang di bawah ini minta wakaf. “Bagilah sumbangan wakaf.”
  1. Jadi sebab itu bagi saya. Tatanan Negara tatakelola tadbir urus itu sangat penting. Dan saya nak gesa Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), JAWHAR ingat harus jadi mercu contoh pengurusan terbaik cekap dan bersih. Ini baru memenuhi roh wakaf itu sendiri.
  1. Maknanya kita minta sumbangan itu daripada rakyat biasa. Daripada pegawai-pegawai Kerajaan bagi RM10, RM100 sumbangan gaji dia yang halal. Bagaimana mungkin dalam sistem pengurusan negara dan tatakelola mohon orang yang gajinya RM3,000 derma RM100 atau wakaf RM100 dan orang yang kaya beratusan ribu ringgit mencuri ratusan juta ringgit dan kita dalam sistem harus biarkan. Pelbagai alasan, politiklah, ekonomilah, kesianlah.
  1. Ini harus dibetulkan sekarang. Kalau negara ini mahu selamat dan kita mahu timbul dan gerakkan masyarakat, beri kesedaran mereka, semua yang bertanggungjawab. Jangan tunggu jadi kaya-raya untuk wakaf.
  1. Tetapi sumbangan tiap individu itu penting. Saya tidak mahu beri umpamanya arahan kepada sesiapa untuk tetapkan sumbangan zakat seperti ada yang dicadangkan, tapi kerana saya fikir dia harus tercerna dari hati nurani kesedaran tiap insan.
  1. Tetapi kalau mereka tanya, mengapa minta kami beri sumbangan? dan kamu sebagai penguasa, Perdana Menteri, biarkan orang rompak kekayaan negara, ini jawapan saya. Saya tidak akan biarkan. Sedaya-upaya, saya akan cuba membersihkan apa yang berlaku.
  1. Ada yang kata, “oh dulu”, dulu soal dulu. Diperolehi keadaan sekarang, 2 tahun saya jadi Perdana Menteri, saya tidak izinkan. YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar tahu, tidak ada rundingan terus. Semua harus guna tender proses, disahkan oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak akan luluskan kerana bagi saya, dia hilang maksud dan roh Islam ini dan semangat wakaf ini, kalau kita biarkan kecurangan-kecurangan itu.
  1. Saya tak peduli surat daripada mana, yang maknanya besar mana, tidak ikut proses. Hendak beli umpamanya, perkakasan baik digital, AI yang baharu, data centre ikut proses. Hendak beli senjata ikut proses, tentukan keperluan negara. Jangan beli kapal berpuluh-puluh tahun tersadai, bilion ringgit hilang dan kita diam fatawakkal Allah.
  1. Ini kerja yang akan jahanamkan negara. Padahal ini soal pertahanan negara. Ini bukan Perdana Menteri yang nak tentukan apa yang nak beli. Dibincang secara teliti. Kemudian diputuskan apa keutamaannya dengan dana yang terbatas. Dibeli dengan cara yang telus dengan harga yang berpatutan. Dan ini kaedahnya.
  1. Jadi bagi orang-orang yang tidak senang dengan hal ini, saya tidak kira peringkat besar mana, tinggi mana pun tolong dengar. Saya tidak akan izinkan kerana ini akan mengorbankan, mengkhianati dan akan merosakkan sistem pertahanan negara kita.
  1. Jadi dalam semangat wakaf ini bagi saya, harus dihidupkan. Terima kasih, kerana kalau kita faham betul-betul semangat wakaf, mana mungkin kita boleh ambil yang lain kerana yang ada pada kita itu harus dikorbankan sedikit kepada yang susah. Itu semangatnya. Jadi dengan semangat itu sendiri akan menumpulkan gejala-gejala negatif untuk mengambil peluang dan habuan yang berlebihan atau rasuah dan menyalahgunakan kuasa.
  1. Itu kalau orang tanya apa dia implikasinya, kerana wakaf ini sekali lagi saya sebut dan saudara tentu lebih arif kerana terlibat secara langsung. Ini dari cetusan keyakinan kita. Kesedaran, pertama untuk orang yang lebih yang kurang bernasib baik dan daif.
  1. Keduanya sebagai suatu senjata untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi kita kerana kelompok kecil dan perseorangan tidak mampu tetapi yang lebih besar boleh membangunkan.
  1. Seperti mana yang saya singgung awal tadi, bagaimana negara miskin sebelum kemerdekaan dan seusai kemerdekaan di Indonesia boleh bangunkan, ribuan institusi pendidikan di seluruh negara dan hampir keseluruhannya itu dari tradisi dan budaya wakaf.
  1. Saya juga tidak mahu ketinggalan, terima kasih kerana penglibatan Institusi Kewangan Negara dan GLIC yang nampak lebih ke depan untuk mendukung dan saya percaya ia harus berikan sedikit tumpuan dan tekanan.
  1. Dan saya juga telah hubungi syarikat-syarikat Melayu, besar dari negara kita untuk mendukung semangat wakaf ini. Kadang-kadang kita harus belajar juga dari Barat. Ada orang-orang kaya-raya, puluh bilion kekayaannya dan berikan, 70%, 80% termasuk Warren Buffett umpamanya itu menyumbangkan, di sana sebut trust for the next generation.
  1. Kita harap dan saya ucap terima kasih kerana beberapa tokoh syarikat besar Melayu bersetuju supaya mendukung kekuatan ekonomi wakaf MADANI ini dan yang boleh kita umumkan. Sekarang kita sedang memperinci beberapa peraturan termasuk syarat-syarat yang mereka mahu masukkan dalam peraturan dan badan Wakaf ini dan kemudian saya akan pastikan ada rundingan dengan JAWHAR supaya penyelarasannya itu baik.
  1. Jadi yang setakat ini yang kita umumkan hanya peruntukan, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata Perdana Menteri tidak boleh datang kalau tidak bagi peruntukan, dia tidak ikhlas langsung pada saya (nada gurau). Saya ingat dia datang untuk minta saya jumpa sahaja, rupanya dia kata, tidak ada peruntukan. (nada gurau).
  1. Jadi dana yang diputuskan setakat ini untuk menyokong ekosistem Wakaf Malaysia iaitu RM30 juta untuk program myWakaf PTPTN. Yang ini biasiswa wakaf pendidikan yang diurus bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan PTPTN.
  1. Dan kedua, untuk modal awal pembentukan entiti Permodalan Wakaf Nasional Berhad dan ini RM5 juta.
  1. Kalau nak tunggu tambah, tunggu Belanjawan Negara. Sekali lagi, terima kasih kepada rakan-rakan JAKIM, JAWHAR dan juga Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan semua syarikat-syarikat yang membantu. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita dan mengangkat martabat umat melalui wakaf ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.