TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENUTUPAN KONVENSYEN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG PERSEKUTUAN (JPKKP) NEGERI KEDAH DARUL AMAN

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI DIRAJA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PENUTUPAN KONVENSYEN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG PERSEKUTUAN (JPKKP)

NEGERI KEDAH DARUL AMAN TAHUN 2025

 

27 FEBRUARI 2025 | KHAMIS | 5.45 PETANG

PUSAT KONVENSYEN RAIA HOTEL

ALOR SETAR, KEDAH DARUL AMAN

 

Assalammualaikum warahmatullahhi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Al-hamdu lillahi rabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim

Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een

 

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

 

Pegawai-pegawai Kanan ICU dan Pantau MADANI; dan

 

Rakan-rakan yang dimuliakan.

 

  1. Saya tadi sempat memberi pandangan. Datuk Seri Saifuddin pun ada, KP ICU, Dato’ Seri Diraja Mahathir Khalid pun ada dia bagi pandangan. Jadi saya ingat, saya tanya apa yang belum disinggung? Dia kata dia dah singgung semua dah, pembangunan, antarabangsa, dan menjawab fitnah dan sebagainya. Saya baru tadi selesai dengan MADA untuk menyampaikan peruntukan RM1 bilion ringgit bagi memperbaiki, pertamanya, Empangan Pedu yang sudah lama saya ingat tahun 1961 siap dengan kepakaran daripada Netherlands dan kemudian sistem perairan baru di kawasan MADA dengan dana sebanyak RM1 bilion ringgit untuk Kedah dan Perlis. Itu pun kadang-kadang mual kita dengar. Tak beri bantuan, tak bagi peruntukan Kerajaan, tak betul. Kita tak bagi kepada Kerajaan Negeri tapi kita bagi kepada rakyat.

 

  1. Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan datang ke pejabat dan kita tambah projek-projek tebatan banjir yang dulu kalau ikut mula 2025, projek fasa kedua 2027. Kita gabung di Rantau Panjang, Sungai Golok, ketiga-tiga projek kita sekali tambah RM1 bilion setengah lagi tambah, kita jalankan. Tapi projek-projek Kerajaan Persekutuan untuk membela nasib rakyat Kelantan yang menghadapi banjir bukan semestinya kepada Kerajaan Negeri. Dengan itu, kalau faham, selamat.
  2. Yang penting bagi rakyat apa dia? Ini masalah kemudahan dia. Masalah makan-minum, masalah sekolah anak-anak dia, hospital, ibu bapa dan anak-anak dia, itu masalah rakyat. Bukan mesti salurannya kepada siapa? Mereka bangkit umpamanya tidak ada peruntukan bagi ahli Parlimen, tak bagi peruntukan kepada kawasan? tak betul. Peruntukan diluluskan. Cuma kita nak pastikan saluran sampai kepada akar umbi, ini tugas ICU, ketua pengarah dia ada.

 

  1. Jadi janganlah kita tidak ada, kalau tak bagi kepada kami, betul lah tu. Tak pergi pada dia. Tapi saya hendak tanya, bagi tak kepada rakyat? bagi. Umpamanya jumlah miskin tegar, kita tak kira parti mana, kaum mana, dia masuk kategori itu, tugas ICU untuk menyantuni dan membantu dan rakan-rakan, umpamanya JKKK kalau ada lagi mana-mana nama yang terlepas, tercicir, maklumkan kita akan bantu. Tidak kepada wakil rakyat, ahli Parlimen, tapi terus kepada miskin tegar. Itu pendekatan kita saya rasa jelas.

 

  1. Ada beberapa masalah-masalah yang melibatkan beberapa kementerian itu kan, saya akan tangani. Esok mungkin dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya bangkitkan supaya penyaluran itu dipastikan sampai kepada akar umbi. Selesai lah masalah, itu yang kita nak dengar pun (nada seloroh).

 

  1. Baik, kita sekarang umpamanya, syukur Alhamdulillah, ada orang kata saya jalan keluar. Jalan keluar itu untuk rakyat. Kalau tidak, pelaburan tak setinggi ini. Kita kena yakinkan orang, Kerajaannya, pengusahanya untuk meyakini mereka bahawa Malaysia ini destinasi pelaburan yang baik. Sebab itu orang tanya, kita nak politik kita stabil. Kerjasama sekarang, Pakatan Harapan, UMNO, Barisan Nasional, GPS, GRS umpamanya, untuk apa? Kita nak pastikan kekuatan ini nak ubah corak politik negara kita. Apa yang pertama kena ubah? Nak ubah orang ramai, berubah atas dulu. Itu sebab saya ambil tindakan. Saya tak peduli siapa, bukan saya yang suruh, bukan saya yang tentukan siapa yang patut disiasat. Itu kerja Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, SPRM. Itu kerja mereka.

 

  1. Sebab itu, kita nak bagi mesej, saudara-saudara, kita ada dua tahun, dia boleh bangkit cerita lama, tapi saya nak bagi tahu, dua tahun ini ada tak PM ke? Menteri ke? Yang bersama kita terlibat, kalau terlibat, kita ambil tindakan. Tapi sekarang nampak tak ambil tindakan. Tapi tindakan macam mana? Kalau tak ada bukti, tidak ada. Itu sebab apa? Sebab semua tender, proses, dia tak ada macam dulu boleh pakai runding-runding. Panggil syarikat runding-runding, letak harga.

 

  1. Kelantan bila kita buat pendekatan baru ini, berapa kita jimat? RM1.7 bilion ringgit. Tadi saya minta Tan Sri Syed Mokhtar bagi RM30 juta kepada pesawah sebelum Ramadan ini. Sebab apa saya boleh bagi? Saya minta untuk pesawah, bukan saya minta untuk masuk tabung Keadilan, atau tabung PH, atau tabung Kerajaan. Tengok kalau dulu, masuk tabung parti, RM100 juta lebih.

 

  1. Sekarang kita minta tambah RM50 juta, baru ini RM30 juta sebelum itu, RM10, RM20 juta bagi kepada pesawah keseluruhannya. Mana tuan-tuan nak pilih? Nak pilih macam hari tu bagi RM160 juta kepada Bersatu? Ataupun bagi kepada pesawah? Bagi kepada pesawah lah. Yang ini tak kenal kat mana? Dendam di mana? Ini sekarang ini orang yang berjuang, bercakap Islam, tegakkan Islam, tapi bela orang-orang yang Kalau orang simpan macam anak mantan Perdana Menteri ada RM1 bilion, dia kata bukan satu bilion tak sampai pun setengah bilion sahaja, ini bukan kita tuduh, dia mengaku. Kalau setengah bilion pun, mana sumber duit?

 

  1. Jadi kita tak mahu lagi dah. Hidup Melayu!, Bersatu Melayu!, Hidup Islam!. Tapi bila ada jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri, kerja sakau. Harta di merata tempat, kalau ini tak dihentikan, orang tak yakin. Kita nak betulkan Pegawai Imigresen, Pegawai Daerah, pejabat tanah. Bagaimana dia kata yang atas macam itu. Sebab itu saya kata nak bawa reform, nak bawa islah mastata’tu perubahan mesti dari pimpinan dulu. Perubahan mesti dari pimpinan dulu, pimpinan tidak boleh guna kuasa untuk curi duit rakyat. Ingat semangat perjuangan kita dulu. Jangan jadi parti-parti yang jerit ‘Melayu Islam’ tapi bila bercakap, pertahankan maha kaya dan tauke-tauke walaupun nyata mengaku ada RM1 bilion. Ditangkap ada ratus juta ringgit tetapi bila berucap atas nama parti Islam bela orang-orang ini. Apa ini? Saya tidak faham, tidak ada parti pejuang begitu. Tidak ada parti yang memperjuangkan rakyat begitu. Kalau bersyarah dulu kita berjuang untuk mustadh’afīn melawan mustakbirīn sekarang kamu pertahankan mustakbirīn dan perasuah-perasuah besar, tanggungjawab kita untuk ubah pimpinan seperti ini. Jadi ini akar umbi ini. Jadi saya nak tekankan ini pasal orang remehkan.

 

  1. Saudara saya nak beritahu, senang ke nak lawan tauke-tauke besar? Senang ke nak minta penguatkuasaan telus kerja dia? Tidak mudah kalau dia tidak yakin. Lagipun orang ini kekayaannya bilion-bilion. Dia ada kekayaan berbilion ringgit. Dia boleh pengaruh orang, dia boleh beli orang, dia boleh pengaruhi pegawai, dia boleh pengaruhi penguatkuasa, dia boleh jaga media sosial, dia boleh sokong parti-parti lawan sebab wangnya banyak. Tetapi keputusan kita bagaimana? Kita mahu tegakkan prinsip kita atau tak? Tentunya pilihan kita, bukan ada pilihan. Macam pilihan kita kata laqad khalaqnal-insāna fī aḥsani taqwīm thumma radadnāhu asfala sāfilīn. Itu ada pilihan. Hendak jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian atau merendahkan martabatnya sebagai makhluk yang sehina-hinanya. Itu seolah-olah pilihan, tapi orang yang akal waras tahu itu bukan pilihan. Kita bukan pilih untuk jadi durjana.

 

  1. Sebab itu saudara-saudara, kita tegas. Bayangkan, dalam beberapa tahun ini, kalau kita ada mandat terus insya-Allah saudara percayalah, dengan rakan-rakan saya, saya tidak akan bertolak ansur. Bagi mesej yang jelas. Rebutlah jawatan, rebutlah kedudukan, tapi itu bukan sijil untuk memperkayakan diri kamu tetapi kesempatan untuk membela nasib rakyat. Ini dasar kita dan bagilah sokongan Kerajaan yang membawa mesej ini.

 

  1. Sebab itu saya kata perpaduan kita untuk apa? MADANI, Kerajaan MADANI ini adalah untuk mendapat mandat mengadakan program. Mereka kata kita tidak buat apa-apa, Kerajaan tidak buat apa-apa? Saudara bayangkan, penjawat awam 12 tahun tidak diberikan layanan untuk memperbaiki sistem persaraan gaji mereka, kita tingkatkan. Berapa kosnya? tahun ini RM10 bilion dan tahun depan RM18 bilion tambahan tapi kita lakukan sebab apa? Keadilan bagi mereka. Ekonomi berkembang, mereka kerja tetapi tidak ada perhatian. Tetapi bila kita naikkan, saya tekankan jangan main. Kita akan pantau, kita mahu prestasi jabatan-jabatan lebih baik, baik guru, baik penjawat awam, baik badan penguatkuasa. Prestasi dia harus baik, tetapi masih ada lagi yang malas, masih ada lagi yang rasuah di bawah sebab dia sudah biasa hidup begitu. Maka kita minta SPRM pantau dan kalau dah kita bagi gaji dan elaun lebih, kita bagi amaran yang cukup. Kalau dia terus lakukan kita akan tangkap dan dakwa mereka.

 

  1. Itu tidak ada pilihan kerana untuk selamatkan bangsa dan negara ini. Bayangkan kalau kita dapat lakukan ini, ini peringkat awal kita. Malaysia dalam dua tiga tahun ini insya-Allah akan terangkat sebagai negara hebat di rantau kita. Sebab itu saudara tengok, saya tidak peduli, makilah banyak berbakul-bakul. Katalah apa pun tetapi kerja-kerja jalan. Kita tidak peduli dengan sepak terajang politik begitu rupa. Dia tidak berani hujah, di Parlimen belum ada dalam sejarah kita bagi Perdana Menteri question time, tanyalah, bangkit, tetapi jarang yang datang. Dia duduk hilang, lepas tu dia balik ke kampung ‘oh PM ini tidak jawab’. Tidak jawab apa? Sebab hang tak tanya.

 

  1. Kita gunakan jentera Kerajaan yang cekap ini bersama dengan pimpinan negara. Rangka dasar-dasar. Bukan sahaja ini, KP ICU pun ada umpamanya, dalam ICU sendiri pun sentiasa setiap enam bulan, dikaji balik bagaimana nak pantau pelaksanaan lebih berkesan. Bagaimana nak pastikan jumlah yang kita maksudkan miskin tegar itu di santuni. Kita tidak puas hati dengan prestasi kita, kita cari jalan untuk perbaiki.

 

  1. Dasar kita, Malaysia sekarang menjadi hub semikonduktor di rantau ini. Dahulu di peringkat bawah, back-end. Sekarang ini front-end. Bila datang pelabur-pelabur besar, bukan datang melabur macam dulu, tidak, dia datang kita tengok ekosistemnya. Maknanya lapangan terbang harus diperbaiki dan ditingkatkan. Pelabuhan harus lebih cekap lagi. Lebuh raya mesti lebih mudahkan perjalanan. Kemudian supply chain, mana lagi jentera, syarikat-syarikat tempatan, Bumiputera atau syarikat-syarikat Cina, India yang mana ada yang patut kita bantu supaya supply chain dapat tingkatkan terutama di peringkat SME. Semua ini kita kena rangka.

 

  1. Kemudian sekarang ini memerlukan suatu sikap pendekatan baru, tidak boleh lagi guna tenaga lama, kena ganti. Hydrogen, green hydrogen, solar, maka kita adakan projek raksasa di Tasik Kenyir dan Tasik Temenggor melibatkan PETRONAS dan TNB. Ini dasar, kerana kita kena pesatkan dan saya tidak tolak ansur dengan buat dasar, tunggu setahun runding sana, runding sini, nonsense. Why? Saya nak Malaysia ini jadi hebat dan gagah dan saya yakin kalau kita bagi pimpinan tegas, kita boleh jadi Malaysia ini number one di rantau kita.

 

  1. Baik, begitu juga dasar, Saifuddin sentuh tentang Islam, program Islam, tapi kita negara pelbagai kaum, bukan masalah, ini Cina ada, India ada, masalah ke? kadang kita tidak setuju, kadang tidak setuju, dengan orang Melayu pun begitu, ada setuju dan tidak setuju, tapi hendak gaduh buat apa. Apa yang kita hendak buat tetapi tidak boleh. Saya hendak kata 40 hadis, jalan di sekolah, tidak wajibkan kepada orang bukan Islam. Mula-mula dia bising-bising sikit, saya kata kamu hendak bising pasal apa? kita kata tidak wajibkan kamu baca 40 hadis, kita wajibkan anak-anak Islam. Kalau dia tidak baca, anak-anak Islam tidak baca, terpengaruh dengan tazkirah-tazkirah politik yang dimurkai oleh Tuanku Sultan Nazrin baru-baru ini, ingat? Sultan Nazrin buat kenyataan tegas, menggunakan tazkirah, surau dan masjid untuk propaganda politik picisan.

 

  1. Sebab dangkal sangat ilmu, orang bagi ini, kita terima “ya, ya, ya,”. Jadi oleh itu, saudara-saudara, kita perlu bagi dalam ini, kita tengok ada masalah khilaf gaduh, maka kita minta baca buku “adabul ikhtilaf fil Islam”, kita sebar kepada sekolah semua, Institusi Pendidikan Tinggi, yang dikarya oleh Prof. Dr. Taha Jabir Fayyadh Al-Alwani, “apa adab? – ethics of this agreement in Islam.” Maknanya kalau berbeda pun ada etika dia. Bukan maki cerca begitu sahaja. Tapi nama Dewan Ulama. Cuba tengok orang-orang ini, tengok syarah dia, ada sifat seorang alim yang gunakan adab dan akhlak dan bahasa yang baik, bahasa “bil hikmah wal mauidzatil hasanah wajadilhum billati hiya ahsan.” (surah An-Nahl ayat: 125), tapi tidak, tapi kalau orang bersalah dia tetap pertahan sampai mati-mati. Saya tidak dengar lagi orang Parti Pembangkang yang kata “dia setuju Kerajaan mesti ambil tindakan tegas bagi mana-mana pemimpinnya memunggah dan menyimpan wang yang banyak”, tidak ada. Kerana politik itu Islam kabilah bukan Islam “rahmatan lil alamin.”

 

  1. Jadi kita terangkan kepada yang bukan Islam. Tetapi kalau orang bukan Islam mengamalkan kepercayaan mereka di kuil-kuil mereka, di gereja-gereja mereka, apa masalahnya? Inilah yang saya tekankan keperluan kita untuk terima kenyataan.

 

  1. Saya tahu lebih senang pergi ke kampung, “kita orang Melayu telah dijajah, Pulau Pinang telah dikristiankan, Allahuakbar”, yang bercakap pun menipu, yang dengar pun, itu masalah dia. Dengar dulu Pulau Pinang tidak ada azan? berapa orang percaya? tidak boleh saya lupa, Perdana Menteri tidak boleh cakap kasar-kasar (nada berseloroh). Pulau Pinang dekat saja pergilah dengar, ada betul ke tidak ada azan? riuh rendah, membakar semangat dalam keadaan kejahilan dan kedangkalan.

 

  1. Di Perlis ingat dulu kalau Anwar jadi Perdana Menteri, dia ikut DAP dan pelajar-pelajar tidak boleh pakai tutup aurat lagi semua akan pakai skirt, pergi tengok Perlis berapa orang pakai skirt? Anak Cina hendak pakai skirt, pakailah, tidak jadi masalah, hang pi tengok tang tu buat apa? dunia luas duk ada. Dunia sikit punya luas, yang duk teropong tang tu pasai apa? Tapi itu kalau kita boleh ikut. Tapi kalau boleh tegur dia kata “haa tengok, Anwar tidak hormat langsung”, bolehkah kita hina ulama? Sya tidak hina ulama. Paling akhir Imam Ekrima, Imam Masjid Al Aqsa, saya raikan, hormat dia, saya tidak ikut protokol, tidak ada. Apa yang dia perlu? suruh dia duduk dulu. Kalau dia bangun, kita bangun, dia duduk wheel chair kita tolong betulkan kain dia. Bukan ikut protokol kerana kita hormat dia orang tua, ulama dan kita santuni. Saya gunakan Kompleks Seri Perdana untuk menjamu ulama seperti itu.

 

  1. Tetapi kalau seorang yang mengaku dirinya ulama, bercakap dengan maki hamun dan kesat, hina orang dan jadi fobia, penyakit hati, hasad. Hasad itu di dalam hati tidak boleh tengok orang nampak baik daripada dia. Saudara tengok pemimpin-pemimpin yang kononnya ulama. Dia tunggu saja hendak caci hendak maki PM, kerana cemburu. Jadi mesej saya akhir apa dia? Kita di bawah kena jawab. JKKK ini adalah jentera paling akar umbi, kalau kita tidak bekerja dan kalau kita kerja sambil lewa tidak akan menang hati rakyat. Ini mengenai apa yang kita katakan dulu heart and minds, bukan dengan cara menipu, dengan cerita betul.

 

  1. Saya tadi, Menteri Besar ada dan Mat Sabu ada. Saya kata, bagilah pandangan, tapi hendak kata kita tidak tolong pesawah? tidak betul. Dalam 2 tahun ini kita naik 2 kali lantai, harga lantai padi, RM1,500. Masa dia dulu tidak naik pun. Tidak naik. Masa dulu dia kata “sekarang sistem saliran sudah usang dan Empangan Pedu sudah lama”, iyalah, 33 bulan bincang? tidak, ada peruntukan? tidak, ada perubahan? tidak. Yang buat kita, walaupun kita tahu ramai yang menyokong itu, tidak menyokong kita, dulu lah. Tapi kita lakukan ini sebagai tanggungjawab pemerintah. Bila kita buat? tahun ini, bila kita lakukan? tahun lalu. Wang daripada Syed Mokhtar, kita minta bagi kepada pesawah bila? tahun 2022, 2023 sampai kita ambil alih 2023 dan tahun ini, sebelum itu? tidak, wang itu pergi mana? masuk parti. Itu jawapan kita, apakah yang kita lakukan yang melanggar? Kalau salah kita boleh betulkan saya tidak kata kita buat ini semua sempurna. Kenyataan-kenyataan Menteri simpang-siur, orang resah. Itu kita betulkan. Tetapi khianat? tidak, gunakan kuasa untuk punggah kekayaan? tidak.

 

  1. Tetapi perubahan ini ambil masa. Kita bentang umpamanya paling akhir, tentang Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB). Mereka nak guna jadi jaguh. Habislah Melayu, Habis tanah Rizab Melayu… itu menipu. Undang-undang mengenai bandar ini, tengok Kuala Lumpur, Flat Sri Perlis, saya ingat sangat, saya pergi di situ. Dah tahun 60 puluhan buat, dah hampir 50 tahun di situ. Usang, satu bilik, yang duduk situ yang paling miskin. Saya tengok, saya sekarang Perdana Menteri, Menteri Kewangan. Takkan nak biar macam tu. Nak bangunkan bagaimana? Kena pindah undang-undang. Ada satu flat di Jalan Tun Razak, semua setuju, seorang tak setuju, tak boleh bangunkan. Kena bawa proses acquisition, kena pergi mahkamah, mahkamah bagi pampasan dan selalunya pampasan walaupun tinggi, tapi rendah daripada projek-projek kita kerana bila kita bangunkan harga rumah itu menjadi (seperti FlatKampung di) Kerinchi, daripada RM70,000 jadi RM300,000. Kalau pampasan, setakat RM150,000. Ini tak tolong. Baik, kalau tanah itu tanah Rizab Melayu, kekal Rizab Melayu. Tanah itu tanah Kerajaan Negeri, kekal Kerajaan Negeri. Tanah itu tanah milik Strata perseorangan, kekal. Tetapi oleh kerana kita di bawah tak ambil tahu, tak terangkan, kita terpengaruh dengan propaganda begitu. Kita akan tuntut dan ada perhimpunan besar-besaran, pertahankan hak Melayu… hak Melayu mana? Kamu nak paksa orang Melayu di bandar jadi miskin? Papa kedana di situ, dan kita nak gunakan kuasa kita bangunkan supaya rumah mereka lebih selesa, 3 bilik, 2 bilik air… dan kamu kata demikian lah. Kamu nak Melayu merempat macam dulu. Saya tak peduli orang lain. Kalau saya, dia buat saya nak turun di pusat-pusat bandar itu, saya nak lawan mereka terang-terang.  Kalau berlawan, dia kata ‘tengoklah Perdana Menteri. Ini bukan kerja Perdana menteri turun lawan.’

 

  1. Aku ni orang Reformasi, betul tak? Apa dia? Reformasi! Semangat itu kena ada. Bukanlah itu slogan lah, tapi yang penting itu roh dia. Perubahan dia kena ada. Kalau niat kita nak rampas tanah, nak bagi kat anak bini saya. anak ini satu, satu untuk kamu, satu untuk aku… kalau macam itu perangai, memang harus tentang. Tapi ni memang tidak ada modal.

 

  1. Mengapa saya terang kepada JKKK? Kalau saudara tahu, harus tahu, pesawah padi tak terbela sekian lama. Wang tak diberikan. Saya telefon Tan Sri Syed Mokhtar saya kata tolong boleh tak bagi cepat? Dia kata berapa? 10? Tak. 20? Tak. RM30 juta, okey. Saya kata boleh tak bagi sebelum Ramadan, sebelum Raya. Saya kenal ke pesawah? saya tak kenal. Apa mereka penyokong PH ke UMNO? Tak, saya tak tahu, tapi mereka pesawah yang susah. Kita tolong. Masa mereka berkuasa, ada tak minta dengan Syed Mokhtar? Saya tanya Syed Mokhtar, masa mereka perintah, Bersatu PAS ada tidak mereka minta kamu bagi terus kepada pesawah dalam 33 bulan dan mereka berpuasa. Dia jawab ‘tak’. Kita, 3 kali saya minta. Saya malu ke? Ya, saya agak berhati-hati tetapi untuk pesawah, dan Bernas itu satu syarikat yang mengimport beras, yang ada kaitan dengan pesawah. Kerajaan tidak bagi kepada Bernas, Syed Mokhtar. Kerajaan bagi kepada berapa orang tertentu masa itu. Mereka jual kepada syarikat China, Hong Kong. Syed Mokhtar beli daripada syarikat China Hong Kong. Kerana orang salah faham juga, dia kata saya bagi… tidak. Perjanjian yang ada sekarang bagi pada Bernas, orang tanya pasal apa Bernas? pasal apa tak boleh ambil alih? Bernas itu perjanjian sambungan 10 tahun diberi pada tahun 2020, 2021 masa Kerajaan Perikatan Nasional. Kena faham itu beza. Tapi, Alhamdulillah, yang penting sebelum Ramadan dan pesawah-pesawah akan dapat dana RM30 juta yang diberikan, tiap keluarga pesawah.

 

  1. Jadi, saudara saudari kena tahu sebab itu saya kata pimpinan, tatakelolanya harus baik supaya gunakan kuasa beri manfaat kepada rakyat. Ini saudara kena jelaskan. Saya faham di Kedah, kita alami satu keadaan tertentu yang agak sukar, tetapi Alhamdulillah, semua kajian mutakhir ini menunjukkan ada arus perubahan yang telah melanda negeri Kedah untuk faham dasar Kerajaan MADANI. Berdasarkan program kita, Perpaduan MADANI, program dan dasar, tumpuan kepada ekonomi, keyakinan pelabur, Maahad tahfiz pun, dulu kita gaduh, banyak sangat Maahad tahfiz orang pilih. Sekarang, Datuk Seri Zahid kata tak apa, saya bincang, dia kata baik. Maahad tahfiz bila selesai jadi hufaz, kemudian kita bawa TVET. Sekarang ini Maahad tahfiz, lulusan Maahad tahfiz, ada yang belajar menjadi juruterbang, bidang kejuruteraan. Jadi, ini cara kita bantu rakyat. Ada ke dibuat sebelum ini? Tidak. Ini saudara harus jelaskan kepada rakyat.

 

  1. Jadi harus ingat, betapa hebatnya pun dasar kita, kalau tak sampai ke telinga rakyat, tidak boleh menawan hati mereka dengan hujah dengan fakta, kita tidak mampu buat perubahan. Apa pun yang kita lakukan dengan niat yang baik, dengan dasar yang jelas, harus disampaikan ke akar umbi. Saudara-saudara menjadi benteng pertama di akar umbi, dan JKKK ini menjadi penyalur maklumat yang baik untuk menawan hati rakyat di seluruh negeri Kedah.

 

Wssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.