TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN MAC TAHUN 2025

 

TEKS UCAPAN

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI

BAGI BULAN MAC TAHUN 2025

 

 

 

3 MAC 2025 (ISNIN) | 8.00 PAGI

 

DEWAN DE’ SERI ENDON,

PUSPANITA PURI, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah Thumma Alhamdulillah

Wa Maa Tawfeeqeee Waktusaami Illa Billaah Alaihi Tawakkaltu Wa Ilaihi Uneeb

 

Alhamdulillahil Qawiyyil

Waman Ahsanu Qawlan Mimman Daaa Ila Allahi Waaamila Salihan Waqala Innanee Minaal Muslimeen

 

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen

 

Yaa ayyuhal lazeena aamanoo kutiba ‘alaikumus Siyaamu kamaa kutiba ‘alal lazeena min qablikum la’allakum tattaqoon (Surah Al-Baqarah:183)

 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri I;

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Fadillah bin Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;

 

Menteri-Menteri;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Alhamdulillah kita dapat memulakan ibadah Ramadan bulan ini, dan hari ini hari kedua dan mudah-mudahan seperti kita tahu, ‘la’allakum tattaqoon’, sampai ke darjat ketakwaan Allah SWT. Saya selalu sebut tentang dimensi kerohanian kerana Ramadan itu lebih mengukuhkan keyakinan ibadah kepada Allah SWT, tetapi juga memupuk integriti, disiplin, honesty dalam kegiatan hidup kita dan ketiganya, tentunya dimensi kemanusiaan atau manusiawi supaya kita lebih insaf dan cuba sedaya upaya bukan hanya mewahkan acara iftar kita dan kegiatan kita, tetapi untuk sampaikan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik.

 

  1. Sebab itu saya gesa dalam majlis-majlis rasmi Kerajaan bulan Ramadan ini sama ada dikendalikan oleh Kementerian-kementerian atau Jabatan-jabatan, beringatlah supaya lebih sederhana dalam soal makan minum itu supaya kita dapat betul-betul menghayati roh dan semangat Ramadan Kareem, ‘Kullu Aam Wa Antum Bikhair’.

 

  1. Saya juga perhatikan dan singgung kadang-kadang jabatan-jabatan, agensi agensi, syarikat-syarikat Kerajaan memulakan dengan memberikan sumbangan-sumbangan, itu digalakkan, tetapi saya perhatikan juga ada kadang-kadang dia punya perkakasan itu agak berlebih, kotak-kotak yang sangat indah, nak isi kurma, letak kurma nak edar lebih ramai kepada orang, kalau harga kotak lebih mahal daripada harga kurma, jadi itu bagi saya satu pembaziran, nak campak ke mana? Dekat rumah pun berkotak- kotak ada. Jadi lebih baiklah bila hal-hal ini kita perhatikan, tidak perlu sangat menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada yang lebih baik. Oleh itu saya ingatkanlah kepada semua sebagai peringatan, apa lagi esok menjelang Aidilfitri, ada persaingan untuk memberikan kotak yang lebih cantik. Jadi kalau setuju KSN akan buat pertandingan kotak cantik.

 

  1. Baik jadi saya nak rumuskan Ramadan ini, kita peringatkan kita semua lah ya, termasuk saya kerana saya rasa harus ditumpu lebih sedikit kerana bulan Ramadan juga bulan turunnya al-Quran, ‘Shahru Ramadaanallazeee unzila feehil Qur’aanu hudal linnaasi wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan’. Maknanya ‘Shahru Ramadan’ bulan turunnya al-Quran, jadi perlu kita ambil sedikit peringatan supaya membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesej al- Quran kerana Quran itu ‘hudal linnaasi’ petunjuk kepada manusia supaya kita dapat menentukan pertimbangan-pertimbangan di antara yang baik dan yang buruk.

 

  1. Baik itu yang pertama, yang kedua, alhamdulillahsaya lihat dari segi badan-badan penguatkuasaan, SPRM, LHDN, pemantauan Ketua Audit Negara, PDRM itu menjalankan tugas, termasuk lain-lain badan penguatkuasaan saya tidak sebutlah JPJ dan lain-lain dengan lebih mantap. Dan kita dari segi Kerajaan sama ada Jemaah Menteri, KSN dan barisan tertinggi perkhidmatan awam memberikan dukungan sepenuhnya. Ada ruang, keberkesanan dan kalau ada, oh ya termasuk Kastam, tak sebut nanti dia marah (nada seloroh), kalau ada ruang untuk perbaiki kita perbaiki. Dalam mesyuarat saya sebut kadang-kadang kita anggap kita sudah lakukan yang sempurna. Ini pun satu masalah juga, mesti kita ingat bahawa ada ruang untuk diperbaiki dan semangat ini kalau saya dalam pentadbiran selalu saya sebut dalam rumusan hadis nabi muhammad SAW – ‘itqan fil amal’ kecekapan, striving for excellence.

 

  1. Dan terkait dengan itu, di mana agenda Institutional reform kita itu diteruskan, terima kasih Menteri Azalina juga berada di sini, bahawa beberapa perubahan itu kita lakukan. Kalau di Kementerian Kewangan umpamanya kita perkenalkan Financial Responsibility Act (FRA), bunyinya mudah, tapi tidak mudah, sebab apa yang kita janjikan soal pengurangan defisit atau belanjawan itu mesti dilaksanakan. Kalau tidak dilaksanakan, harus dibentang semula untuk dibahas, bantah oleh Parlimen. Jadi tidak semua negara mahu buat begitu, memerlukan tekad politik kalau betul-betul punyai iltizam untuk melakukan reform.

 

  1. Yang kedua, Akta Perolehan Kerajaan supaya proses dan prosedur itu kekal sebagai peraturan Kerajaan boleh bertukar ganti tapi akta itu kekal. Proses tender dan perolehan Kerajaan itu mesti dipatuhi.

 

  1. Esok, kita akan bentangkan Insya-Allah pindaan yang melibatkan juga pindaan perlembagaan iaitu pengasingan, pentadbiran, pengurusan dan kuasa Parlimen sebagai yang bebas daripada perkhidmatan Kerajaan umumnya. Itu disebut Parliamentary Services Act – Akta Perkhidmatan Parlimen. Tidak mudah, kita berbincang panjang dengan pegawai-pegawai, pengurusan parlimen, dengan Speaker, dan dengan Ahli Parlimen dan ini akan memberi juga satu ketetapan tentang kematangan proses demokrasi dalam negara.

 

  1. Parlimen itu sebagai mercu tanda kebebasan bersuara Ahli-ahli Parlimen, tetapi tidak boleh terlalu terikat dengan proses perkhidmatan awam secara menyeluruh, itu maka dibebaskan. Itu yang disebut, Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan esok, yang tentunya memerlukan dukungan 2/3 Ahli-ahli Parlimen. Sebab itu saya kata ada juga kebijaksanaan bila ada kuasa itu dimanfaatkan untuk melaksanakan program dan di antara bagi saya ini program yang agak penting kerana ia sekali lagi menunjukkan keupayaan kita perbaiki sistem pentadbiran dan demokrasi di negara kita.

 

  1. Dan berikutnya ialah tentang inisiatif KSN / KPPA dari segi apa yang disebut “Iltizam Perkhidmatan Awam.” Maknanya dengan sistem kita yang berubah, dengan keupayaan penjawat awam akan diperkenalkan satu iltizam perkhidmatan awam, itu yang banyak dikemukakan oleh penjawat awam sendiri. Supaya penilaian dan proses penilaian itu lebih jelas dan kita harap dengan ini mungkin penjawat-penjawat awam harus teliti rang undang-undang ini kerana akan dibahaskan minggu ini juga. Sebaiknya saudara-saudara teliti, saya ingin minta KSN sampaikan dan saya percaya sudahpun dimaklumkan kepada penjawat awam tapi kalau boleh dihebahkan lagi.

 

  1. Kerana di antara pandangan saya yang saya tegur minggu lalu dalam Mesyuarat Post Kabinet yang kadang-kadang keputusan-keputusan ini tidak sampai ke bawah. Jadi di bawah itu dia ada keresahan, keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan. Segala tindakan harus disampaikan bukan sahaja dalam mesyuarat post-cabinet yang dipengerusikan oleh Menteri, tapi juga yang dipengerusi oleh KSU / Ketua Jabatan. Tidak hanya terikat dengan urusan jabatan mereka sahaja tetapi seperti iltizam perkhidmatan awam, itu harus difaham kerana ia terkait dengan tiap tugas, penilaian, proses kerja, SOP setiap penjawat awam.

 

  1. Begitu juga Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen, dia akan menunjukkan penjawat awam harus faham bahawa sistem kematangan demokrasi di negara kita sudah meningkat. Jadi saya harap dalam Mesyuarat-mesyuarat Post Kabinet, mesyuarat jabatan, hal ini juga disinggung, supaya mereka mengerti, kalau tidak akan ada disconnect dengan apa yang dilakukan di atas tidak sampai ke akar umbi.

 

  1. Jadi saya harap ini dapat dilakukan oleh semua jabatan dan KSN / KPPA akan membantu dan memantau supaya tingkat kefahaman dengan lebih baik supaya kerja baik. Keberkesanan kerja kita itu tidak tergantung kepada iltizam perkhidmatan dan akta. Ia bergantung kepada kesungguhan kita, tekad kita melaksanakan. Seperti mana saya selalu ungkapkan apa yang disebut oleh penyair Indonesia, yang agak mahsyur WS Rendra, setiap perjuangan itu adalah perlaksanaan kata-kata. Perjuangan itu bukan lakaran dan ungkapan, tetapi perlaksanaan kata-kata, ujian kita ialah pada pelaksanaannya. Baik semoga Allah taala memberkati usaha kita.

 

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.