TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2025

 

 

TEKS UCAPAN

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

 

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERASMIAN

SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2025

 

  

 

8 MAC 2025 │ SABTU | 2.30 PETANG

WORLD TRADE CENTRE (WTC)

KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;

 

YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad,

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;

 

Tuan Yang Terutama Duta dan Perwakilan Asing; dan

Saudari dan saudara yang dimuliakan.

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana sambutan Hari Wanita 2025 ini juga sempena Ramadan Kareem, ‘Kullu Aam Wa Antum Bikhair’ mudah-mudahan penyempurnaan ibadah puasa kita dapat kita tingkatkan, kerana ada kaitan dengan diri peranan sebagai ibu, peranan sebagai wanita, membangun keluarga, meningkatkan mutu ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wa Taala, lebih prihatin kepada masyarakat, terutama yang perlu pembelaan dan yang terpinggir. Dan ini saya fikir dan saya percaya ia selari dengan tekad dan komitmen yang ditunjukkan oleh Nancy sebentar tadi dan juga kementerian serta Dasar Wanita.
  1. Saya tidak perlu tegaskan tentang komitmen Kerajaan lagi, kerana munasabah bagi rakan-rakan pimpinan wanita untuk menanyakan tindakan memperkasa peranan wanita. Ini bukan lagi suatu tuntutan satu pihak. Kalau mahu kita bangunkan negara, kita harus bangunkan keluarga. Maknanya kita mulakan membangun keluarga itu dengan memperkasa wanita sebagai ibu dan pendidik yang meletakkan asas bagi pembinaan generasi. Semua kita yang berhasil kerana didikan tentunya ibu bapa tetapi lebih ramai yang mengatakan pengaruh dan peranan ibu. Saya termasuk, kerana ibu saya almarhum Puan Che Yan Hamid Hussein di antara yang telah membentuk, mendidik, menunjukkan kasih sayang, erti kehidupan, erti kemanusiaan, erti ehsan, didikan agama dan nilai. Oleh sebab itu, soal pembangunan keluarga itu tidak harus dipinggirkan. Tentunya bila kita dewasa, berumah tangga bagi saya Azizah menjadi pendamping dan kadang-kadang banyak sangat nasihat tetapi membantu.
  1. Jadi kita bila bicarakan keluarga ini sebenarnya kita kadang jadikan seperti pandangan rambang, kita lupa kita menjayakan digital, kita berjayakan AI, kita jayakan pendidikan TVET, semua itu berpangkalan kepada pembinaan sahsiah generasi muda yang juga dimulakan oleh keluarga dan wanita.
  1. Apa yang lain sedikit unik dengan MADANI ini? kerana kita bicara betul, orang bicara kemampanan ekonomi, teknologi, teknologi baharu, tenaga baharu, AI dan digital, tapi kelainannya ialah kita memupuk nilai, kita meletakkan asas keyakinan, kita memberikan kesedaran tentang nilai kemanusiaan dan bila kita bicara nilai kemanusiaan, ehsan, rahmah itu semua masih lagi bergantung banyak kepada peranan wanita, khususnya ibu.
  1. Kita bicara soal disiplin sekolah, soal keganasan rumah tangga, soal penderaan termasuk gangguan seksual, yang dibicarakan oleh persatuan-persatuan wanita. Mutu pendidikan, disiplin dan budaya pembelajaran dan diulang kaji masih lagi bergantung kepada rumah tangga. Dalam mengejar pembangunan pesat, seringkali kita abaikan asas ini. Jadi sebab itu, Kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita diberi perhatian dan saya bangga kerana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri itu menggunakan kesempatan dan peluang di setiap mesyuarat mingguan Jemaah Menteri itu untuk mengemukakan pandangan bagi pihak Kementerian, letih saya dengar tetapi dia jalankan peranan dengan baik, saya ucap tahniah!
  1. Kerana kalau tidak kita anggap ini satu andaian, jadi kita perlu pimpinan wanita yang cukup berkesan menyuarakan dengan berani dan terang apa erti kebebasan, apa erti demokrasi dan memanfaatkan ruang dan peluang membicarakan dengan baik, mengemukakan pandangan supaya dapat membantu membangunkan bangsa dan negara. Jadi saya tekankan tentang keluarga kerana bagi saya itu sangat integral, paksi dalam kehidupan masyarakat dan pembangunan negara.
  1. Tentunya kesibukan-kesibukan kita, dan tuntutan kita, keutamaan kita menyebabkan kita akan menekankan isu isu yang lain, tetapi tidak boleh dipinggirkan. Kita masih dalam keadaan dunia dengan perubahan yang begini, tapi kadang-kadang kita lihat perilaku kemanusiaan dengan kebebalan mereka, bengis mereka, fitnah mereka, penderaannya rumah tangga itu bagi saya sangat mengaib dan menjijikkan, yang menyebabkan kita harus bertanya, di mana asas pendidikan kita? di mana kesedaran agama kita? apa yang diajar di sekolah? dan di rumah? Sebab itu saya ingin menggesa sebagai permulaan rakan- rakan supaya memberikan perhatian ini membantu memberikan teguran, pandangan dan usulan supaya kita dapat perbaiki.
  1. Yang keduanya ialah tentang program. Menteri tahu bahawa saya tidak hanya khusus mengadakan program mendukung di bawah kementerian kerana kebajikan dan pemerkasaan wanita itu harus mendapat komitmen yang menyeluruh. Setiap kementerian bicara soal perpaduan ada peranan wanita, pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, komunikasi, mesti beri ruang yang secukupnya kepada wanita. Dalam kalangan penjawat awam, peranan wanita walaupun kita saksikan beberapa tokoh-tokoh utama yang diberikan ruang kedudukan yang baik dengan prestasi yang kita membanggakan, tetapi tentunya saya mewakili juga pandangan sepertimana saya gesa kepada Ketua Setiausaha Negara supaya mencari jalan meningkatkan peranan dan kedudukan wanita setimpal dengan keupayaan mereka.
  1. Kita tidak pilih wanita itu kerana kebetulan dia itu wanita, tetapi untuk berlaku adil kita pilih kerana mereka punyai peluang dan kewibawaan dengan rekod yang cemerlang dan tidak harus sisihkan, ditinggalkan semata-mata kerana mereka kebetulan wanita. Sebab itu contoh yang harus diberikan ialah tentu dalam Kerajaan sendiri. Walaupun ada peningkatan sekarang 30% Jusa dan ke atas itu wanita, tetapi tentu boleh diperbaiki. Dan saya telah gesa tahun lalu, bahawa sektor swasta pun harus ada pertanggungjawabannya. Sektor swasta terutama syarikat-syarikat besar, syarikat-syarikat Kerajaan (GLIC) harus mulai membuat penilaian mengapa di peringkat tertinggi mengapa jumlah wanita terlalu kecil. Jadi saya percaya Jemaah Menteri akan minta hal ini diberikan perhatian dan kita akan mendapat pelaporan, Kalau pun kurang tidak harus dipaksakan diangkat sekarang, tetapi ada perencanaan yang teliti kerana kalau Kerajaan tidak menunjukkan contoh permulaannya, saya fikir sukar digesa syarikat-syarikat swasta yang lain.
  1. Syarikat swasta dari segi penyertaan wanita itu agak parah kerana penyertaan mereka yang sangat minimal. Dan peluang latihan sepertimana saya sebut sekarang dari segi dasar negara kita tekankan transformasi digital, kerana percambahan Data Centre dan Ai dan kita kena pastikan di TVET, di universiti, program-program di pusat kecemerlangan atau centres of excellence di syarikat besar ini, penyertaan wanita harus ada.

  1. Ini kita akan pantau dan saya percaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat harus diberi ruang untuk bersama dengan kementerian lain supaya dapat pantau tentang program yang memberikan sedikit perhatian kepada wanita. Dari sudut itu, ada program-program lain sepertimana yang dibicarakan semalam kebetulan hari Jumaat dalam mesyuarat Jemaah Menteri, ada lagi dasar dan pelan tindakan wanita dalam pelbagai bidang dan respon saya kepada usul dari Menteri Wanita adalah supaya semua kementerian mengambil perhatian untuk memastikan program kementerian itu mengambil kira pelan tindakan itu. Kalau tidak Pelan Tindakan Wanita hanya menjadi tumpuan dan perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan tidak mungkin kita capai kejayaan yang baik.
  1. Satu cabaran yang besar juga ialah dalam bidang dunia politik. Penyertaan wanita itu menyeluruh, kemenangan calon-calon banyak bergantung kepada undi wanita. Tetapi, penyertaan wanita dan penonjolan tokoh-tokoh wanita bagi calon wakil rakyat di Parlimen itu sangat tidak memenuhi target kita yang awal dan kita sekitar 14% walaupun target kita sekurang kurangnya 30%. Ada juga macam parti saya tonjolkan tetapi ada yang tidak menanglah. Tetapi harus ada gesaan ini dan saya fikir ini ruang bagi pimpinan wanita untuk menyatakan tuntutan mereka sebagai syarat menyokong parti-parti ialah dengan memastikan parti memberikan peluang tokoh-tokoh wanita menjadi wakil. Barulah saya fikir pimpinan parti-parti ini memberikan perhatian yang lebih supaya menentukan penyertaan mereka lebih menyeluruh.
  1. Ini selari dengan dasar. Dasar kita pemerkasaan wanita itu menjadi utama. Dalam sejarah Islam itu sendiri sepertimana pernah disinggung sebelum ini. Peranan Saidatina Khadijah kepada Saidatina Aishah dalam bidang tatkala hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Makkah al-Mukarramah ke Yathrib atau Madinah al Munawarah itu peranan Asma’ binti ‘Amr bin ‘Adiy, mana bidang di mana tidak ada wanita? Daripada asal pangkalnya menerima wahyu Rasulullah SAW itu didampingi oleh Khadijah. Bukan sekadar-sekadar wanita isteri biasa, tetapi pendamping yang banyak mendorong dan membantu dan memberi ruang.
  1. Kemudian, Asma’ binti ‘Amr bin ‘Adiy salah satu acara terpenting dalam sejarah umat manusia iaitu peristiwa hijrah Nabi Muhammad, itu peranan Asma’ binti ‘Amr bin ‘Adiy yang diyakini kebolehannya kepercayaannya. Kemudian dalam keputusan hijrah itu sendiri, sebelum berlakunya peristiwa hijrah, sebelum berlaku ada 2 kali peristiwa penting yang disebut “baiatul aqabah al ula dan baiatul aqbah an-nisa”. Baiat Aqabah yang kedua yang juga dikenali sebagai Baiat Aqabah Wanita, itu Menteri Wanita, Menteri Pendidikan dan Menteri Agama kalau dia angguk, selamat saya (nada berseloroh).
  1. Jadi bagaimana boleh kita bicarakan soal wanita dan seolah-olah ia sebagai ibu atau hanya meremeh-remehkan? tidak mungkin. Dari awal hijrahnya baiat-baiat ini maknanya sumpah setia janji akan melayani, menyantuni, menerima pimpinan Rasulullah SAW itu di Awabah. Yang kedua itu, kerana ramai yang wanita dari Madinah atau dari Yathrib pada ketika itu disebut baiat Aqabah kedua, Baiatul Aqabah As-saniyyah tetapi juga dikenali sebagai Baiatul Aqabah As-saniyyah – wanita.
  1. Saudara-saudari, sejarah itu maknanya ada perubahan besar dalam sejarah, detik di antara detik penting selain daripada wahyu adalah hijrah dan peranan wanita itu besar sekali sehingga dikenali sebagai Baiah Aqabah Wanita.
  1. Kemudian saudara tahu peranan Saidatina Aishah sebagai gedung ilmu umat. Gedung ilmu itu selain daripada yang dikenal daripada Saidina Ali bin Abi Talib adalah Saidatina Aishah. Dan yang juga selain daripada tokoh, ilmuan, penyampai hadis dan mendidik masyarakat, sampai lama kemudian setelah wafatnya baginda Nabi Muhammad SAW pernah juga mengepali perang, pernah berhujah besar di masjid tatkala menjelaskan kepada kepada masyarakat perlunya perubahan mengikut pandangan Saidatina Aishah pada ketika itu.
  1. Itu berbeda daripada pandangan-pandangan kita sekarang, kadang-kadang bagi saya tergelincir kalau bagi kalangan yang tahu sejarah tidak boleh disangkal atau dimungkiri kenyataan ini. Baik, tapi sekadar mengimbau kenyataan sejarah betapa hebatnya wanita-wanita peringkat awal kemudian tidak melakukan apa- apa, itu hanya cerita. Yang kita mahu dengar ini bukan penceritaan semata, tetapi yang boleh membawa dan mendorong ke arah amal, tindakan, dan di sinilah ujiannya. Bagi Menteri-Menteri wanita, bagi Menteri-Menteri keseluruhannya, bagi pimpinan wanita dan masyarakat umumnya.
  1. Apa lagi helah kita, cara kita untuk tingkatkan dan perbaiki. Ada pelan dan harus di pastikan diserasikan supaya dapat dimanfaatkan kepada semua. Jadi ini yang disebut tadi tentang dasar yang inklusif. Bukan saya nak sengaja singgung seolah-olah tidak banyak dilakukan, banyak dilakukan kalau kita lihat senarai dan urutan tindakan-tindakan yang diambil selama ini banyak. Tetapi kalau lihat pada tahap pencapaian saya akui dalam dua tahun ini kalau tanya Anwar bagaimana tentang program pemerkasaan wanita? Saya akan jawab, masih ada ruang untuk diperbaiki. Ini orang kata kalau ikut ni frasa ini yang digunakan oleh George Bernard Shaw, maknanya, yes, there is a room for improvement. Maknanya ruang itu ada untuk kita perbaiki sebab menjayakan negara MADANI bermula dengan menjayakan keluarga, memastikan disiplin, sekolah dan anak-anak, asas keilmuan, memastikan keharmonian rumah tangga, itu peranan wanita sangat integral dan kalau kita tidak pandang hal ini sebagai yang serius maka konsep MADANI tidak dapat kita cernakan dalam kenyataan hidup kita.
  1. Jadi inilah yang saya hendak sampaikan dan singgung dalam tazkirah petang ini dan saya percaya kita akan jayakan Hari Wanita 2025 ini dengan motto yang menarik yang dipilih iaitu pertama, menanamkan cita-cita. Kita mesti ada cita-cita yang baik. Mesti ada semangat dan keupayaan untuk perbaiki. Kalau saya singgung sedikit tentang hijrah itu, dari keadaan yang budaya yang usang, yang lapuk dengan kemunduran dan moral dan akhlak dan akal budi yang rendah dan kejahilan yang diungkapkan sebagai arrow of ignorance jahiliyyah itu dibawa semangat baru, harapan baru, aspirasi baru. Jadi sebab itu dipilih aspirasi. Dengan aspirasi, dia tinggal aspirasi dan tidak ada legasi kalau tidak dilaksanakan.
  1. Jadi mudah-mudahan Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada kita dan menjayakan Hari Wanita 2025.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.