TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA PIMPINAN MASYARAKAT DI NEGERI SELANGOR

 

TEKS UCAPAN

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

 

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA PIMPINAN MASYARAKAT DI SELANGOR

 

 

 

13 MAC 2025 | KHAMIS | 7.00  MALAM

DEWAN RAJA MUDA MUSA,

KOMPLEKS BELIA, SEKSYEN 7,

SHAH ALAM,SELANGOR

 

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

 

Alhamdulillahil quail,

Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,

Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim,

Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen.

 

Saudara saya juga tuan rumah yang meraikan kita,

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Amirudin bin Shari,

Menteri Besar Selangor;

 

Yang Berhormat Tuan Lau Weng San,

Speaker Dewan Undangan Negeri;

 

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Pegawai-Pegawai Kanan;

Pemimpin-Pemimpin Masyarkat; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita bersama-sama, pertama mengimarahkan Ramadan, sebab itu saya mulakan dengan peringatan kepada kita ambil masa dan ruang untuk mengimarahkan Ramadan dengan ibadah yang bertambah dan juga menjadikan Shahru Ramadan ini bulan Ramadan, bulan turunnya unzila feehi al-Qur’an. Tetapi Quran itu diturunkan untuk kita jadikan sebagai panduan, disebut dalam Quran, Hudan linnas – sebagai petunjuk kepada manusia. Tetapi petunjuk itu kalau kita baca kita faham dan kita amalkan ia akan jadi petunjuk Hudan linnas. Bagaimana menjadi petunjuk? Kerana ia bagi kita tanda-tanda yang cukup jelas, wa bayyinaat min al-huda wal-furqan, petunjuk yang ada, langit, bumi, matahari, dan segala cakerawala untuk kita nilai, kaji dan garap.

 

  1. Kemudian, wal-furqan, kita dalam hidup ini kadang-kadang berdepan dengan pelbagai masalah, berdepan dengan pelbagai pilihan maka, petunjuk daripada Allah SWT harus membantu dan mendorong kita kerana furqan itu membolehkan kita ada keupayaan untuk menilai di antara yang ma’aruf dan yang mungkar, di antara yang hak dengan yang batil. Dan ini yang kita harapkan lebih kukuh dalam bulan Ramadan.

 

Saudara saudari yang saya muliakan,

 

  1. Sering saya ungkapkan sempena perbicaraan mengenai Ramadan ini supaya kita jangan jadikan ini sebagai ritual biasa. Berapa bilion umat Islam puasa, kita sendiri ada yang 30 tahun, 40 tahun tanpa meninggalkan ibada Ramadan, tetapi pernahkan kita terfikir bahawa Ramadan itu sebenarnya kesempatan atau kewajipan semua orang Islam masuk kembali ke sekolah, yang disebut madrasah ruhiyyah atau madrasah dan tarbiyyah Ramadan. Maknanya sama ada saudara itu Mufti, atau KSN atau Menteri Besar, atau Ketua Kampung atau Komuniti MADANI, tanpa terkecuali diwajibkan berpuasa.

 

  1. Jadi, semua kena pergi sekolah. Sekolah Ramadan ini diberi kesemptan untuk kita buat penilaian. Tanya berapa kali kita sudah Ramadan? 30 kali. Penuh? penuh. Tapi lulus atau tidak belum tentu. Ambil ujian SPM 30 kali tapi masih lagi C- ataupun 1A sahaja daripada 9A. Jadi sebab itu, siapa yang akan mengukur? Kita sendiri. Sebab itu ia da dimensi kerohanian, ada dimensi, maknanya kita jalankan ibadah, La’allakum Tattaquun, kerana ketaqwaan kepada Allah SWT.

 

  1. Tapi satu aspek yang penting adalah integriti. Saudara, ibadah ini melatih kita tentang disiplin, integriti kita, apakah benar kita berpuasa? Dan yang menentukan kita dengan Allah SWT. Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi hisap rokok di belakang rumah, berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak menyempurnakan dengan sepenuhnya. Jadi sebab itu, aspek integriti. Bagaimana boleh kita bicarakan La’allakum Tattaquun, kemudian integriti dalam Ramadan, tetapi tiada integriti dalam bekerja, tidak ada integriti dalam menjalankan tugas, masih ada kebocoran, masih ada rasuah, masih ada penyelewengan, masih ada rumah-rumah dengan simpanan wang yang banyak. Mana dia Ramadan kita, mana dia kesan ibadah itu dalam kehidupan kita, dalam amalan kita. Sebab itu dimensi kedua dalam Ramadan itu, soal integriti, soal akhlak, soal moral, soal nilai harus diterapkan.

 

  1. Dan ketiganya, tentang dimensi sosial, manusiawi, kemanusiaan, ehsan, puasa, makan, minum, lapar dahaga sebelumnya, tetapi langsung tidak ambil tahu tentang jiran tetangga dan orang susah di kalangan kita. Kalau ada pun kita guna hanya peruntukan-peruntukan sedia ada. Peruntukan Kerajaan, peruntukan Jabatan, CSR. Saya jumpa wakil-wakil badan korporat Kerajaan pagi tadi, saya kata baik alhamdulillah, CSR tetapi ada atau tidak sumbangan peribadi kerana ujian ini menuntut kita dari segi peribadi. Ada ke tidak? Itu kita semak, ada masa setengah bulan lagi untuk memberikan sumbangan peribadi dari gaji dan elaun untuk menunjukkan ada makna Ramadan Kareem, kalau tidak ia hanya Kullu Aamin wa Antum bi khair, maknanya mudah-mudahanlah peringatan kepada saya juga, jangan pakai peruntukan Jabatan Perdana Menteri sahaja mesti peruntukan dari Anwar sendiri, itu baru ada memaknai Ramadan.

 

  1. Baik, oleh kerana saudara Aminuddin tadi turut menyinggung isu-isu lain, supaya kita ada kefahaman, setuju, saya setuju. Tadi dalam lawatan saya ke pimpinan Negeri Selangor, kita bincang soal kemiskinan tegar, soal miskin, soal tebatan banjir, sekolah baru, hospital, itu biasa tanggungjawab kita, dan esok kita ke Perak, insya-Allah untuk menggunakan kesempatan ihya Ramadan sebelum itu memperbaiki, kerana Ramadan itu sebagaimana maksudnya itu memperbaiki kerohanian, amalan dan integriti, maka di antaranya juga kerja kita dalam Kerajaan yang melibatkan sama ada tokoh-tokoh politik dan juga penjawat awam.

 

  1. Apa yang telah kita lakukan? Kalau kita hanya hendak singgung, hendak jawab serangan, tidak selesai. Ada yang mengatakan dua tahun belum ada apa-apa dilakukan. Saya nak sebut STR, hampir tanpa kecuali di dalam dewan ini semua dapat suntikan daripada STR. Dan sekarang untuk tahun 2025, tahu berapa jumlah suntikan STR? RM13 bilion ringgit daripada dana Kerajaan, ini bukan kecil. Kemudian kita tengok penjawat awam, 12 tahun tidak ada sistem saraan baharu, tidak ada kajian, tidak ada peningkatan, maka ada cadangan peningkatan kecil, tetapi saya katakan mesti ada peningkatan terbesar dalam sejarah, berapa jumlah tambahan gaji penjawat awam? Tambahannya sahaja RM10 bilion ringgit tahun ini dan RM18 bilion ringgit tahun hadapan. Ini kita lakukan kerana sudah tidak dikaji semula sejak 12 tahun, kerja bertambah, tambah-tambah dalam pentadbiran Kerajaan MADANI lebih strict, kerja kena lebih kuat, SOP lebih berat dan KSN tekankan banyak peraturan-peraturan dan syarat baharu. Kalau dia bekerja lebih bersungguh-sungguh, integriti lebih baik, khidmat lebih baik, maka wajarlah bagi Kerajaan sebagai bapa untuk memberikan pertimbangan yang wajar. Itu yang kita lakukan.

 

  1. Dan kita lakukan lagi, apa dia masalah? Di desa ada. Tadi saya pergi ke Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa di bawah Dato’ Seri Zahid Hamidi untuk mendengar cadangan-cadangan baru, kerana ini kali pertama dalam sejarah, di mana Perdana Menteri turun ke Kementerian-Kementerian, dengar pandangan mereka dan bincang semula, dan selalunya semua datang ke Pejabat Perdana Menteri. Kita juga turun ke negeri-negeri, kerana ada bezanya, pertama kita bagi ruang supaya ada ramai bincang, dan kedua kita dengar sendiri. Maknanya dari segi luar bandar, pembangunan desa, Maahad Tahfiz dan TVET itu kita tingkatkan, yang tidak dilakukan sebelumnya dan ini jumlahnya besar.

 

  1. Sebab apa saya tekankan? Kalau tidak kita ada pelaburan di Selangor begitu hebat, daripada syarikat-syarikat besar, Google, Microsoft semua di sini, dan Arm baru-baru ini, iaitu pembikin cip yang terbesar di dunia. Setiap telefon kita ini ada Arm, setiap telefon kita ini tanpa kecuali. Semua yang ada dalam dewan ini guna ARM punya cip. Dia dah setuju untuk gunakan Malaysia, khususnya di Selangor sebagai medan dia melahirkan cip baru.

 

  1. Soalnya bagi kita ialah, baik, ini semua bunyi hebat. Bagaimana masa depan kita? Bagaimana latihan anak-anak kita? Bagaimana anak-anak kita dalam bidang Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris? Bagaimana engineering? Bagaimana AI di sekolah-sekolah? Inilah sebabnya mengapa kita buat kejutan supaya sekolah-sekolah kita mula condong, tidak meninggalkan bahasa, budaya, sastera dan Islam sebagai paksi, asas, tetapi harus juga menguasai bidang-bidang baru ini.

 

  1. Jadi, kita akan mula memberi tekanan. Nanti ada ibu bapa kurang suka, nanti parti-parti pembangkang akan bising, tapi saya nak beritahu, nak jaga mereka ke atau nak jaga masa depan bangsa dan negara kita? Kalau kita nak selamatkan bangsa dan negara kita, kita mesti berani ambil tindakan-tindakan walaupun tidak disenangi oleh semua pihak. Kalau nak dengar celoteh mereka, sampai bila tak boleh jadi kerja. Semua dibuat tak betul. Suruh dia buat, dia tak buat. Bagi chance dia perintah, langsung tak buat. Yang ada, banyak untung, untung, untung.

 

  1. Jadi, bulan Ramadan ni slow.. Jadi, saudara-saudara, langkah-langkah baru diambil. Umpamanya, saya Menteri Kewangan, ada dua undang-undang di Parllimen, di mana saya serah kuasa menteri itu balik kepada parlimen. Ini dikatakan reform institusi. Apa dia? Satu dipanggil Fiscal Responsibility Act, Akta Pertanggungjawaban Kewangan. Saya kata pertumbuhan tahun depan sekitar 5%. Kalau turun 4%, saya kena bentang semula kepada Parlimen dan Parlimen akan bahas, bantah, kritik. Ini kita lakukan di Malaysia.

 

  1. Baru ini, kita luluskan lagi peraturan-peraturan dan undang-undang di mana kuasa Parlimen dimartabatkan, kerana Parlimen itu patut badan bebas. Kemudian kita kata ada pentadbiran, badan kehakiman. Jadi, Parlimen kita bagi kuasa, Parliamentary Services Act, khidmatPParlimen yang bebas. Semua sokong, 2/3 (ahli Parlimen), 57 pembangkang tak sokong. Dia kata tak bangkang tak sokong, dia berkecuali. Dia masih fikir. Dah 20 tahun dah bincang pasal dasar ini, 20 tahun kamu fikir, kamu tak reti buat keputusan, bagaimana layak kamu nak jadi ahli parlimen, bagi tahu je. Yang ini, maknanya serah kuasa Perdana Menteri. Dulu, Parlimen di bawah Perdana Menteri. Perdana Menteri kata tak, harus bebas. Skim perkhidmatan harus bebas. Sebab itu, dulu fikir renung, fikir renung, tak jadi buat, sebab tak ada Perdana Menteri nak serah balik kuasa dia kepada Parlimen. Kali ini, kita ambil keputusan serah, pun dihamunnya lagi… tak adil, tak bebas. Dia fikir pasal peruntukan.

 

  1. Sebab itu, baru-baru ini, saya terpaksa jelaskan elaun Parlimen, sebab pembangkang boleh bercakap ‘kami dah tak ada wang’, ‘kami dah berhutang sekarang nak hidup pun susah’. Saya kata, hei, gaji dengan elaun RM30,000, ada yang RM35,000, tak cukup apa lagi ini? Berapa orang di sini dapat RM30,000 sebulan? Lepas itu? Tapi inilah kadang-kadang kita boleh dengar juga, takkan Tok Guru, Ustaz nak cakap tak betul. Sebab itu saya bagi fakta. Yang dia tanya pasal peruntukan. Pasal apa tak bagi pada dia? Saya kata, yang penting, nak buat jalan, nak baiki tandas, nak korek parit, nak betulkan pagar masjid… yang penting, bagi melalui wakil rakyat pembangkang atau nak bagi terus kepada masjid? Bagi. Yang penting kita buat. Kawasan-kawasan pembangkang Tanjung Karang, Sabak Bernam… peruntukan sama. Kalau dia cabar, saya boleh baca satu persatu peruntukan. Kelantan, peruntukan jauh lebih besar kita bagi tahun ini atau tahun lalu daripada tahun mereka perintah.

 

  1. Yang akhir sedikit ini pasal yang juga disinggung oleh saudara Menteri Besar Amirudin Shari, Akta Pembangunan Bandar. Tengok Petaling Jaya, tengok Bandar Tun Razak, flat-flat siap tahun 60-an, 1 bilik, 1 bilik mandi dan tandas. Keluarga anak enam. Tahun bila? 60-an. Sekarang 2025, ingat saya biar nak tengok orang macam itu? Kebanyakanya Melayu di situ, ada India sikit, ada Cina sikit, majoriti Melayu, duduk dalam begitu di bandar, duduk mana? Kuala Lumpur. Kalau di Sentul pun di mana? Flat ini one room, one toilet. Jadi, mahu hidup macam mana? Jadi, kita harus fikir, apakah nak biarkah setelah merdeka sekian lama, catatan pertumbuhan 5.1%, pelaburan baru RM100 bilion, kemudian rumah macam itu.

 

  1. Jadi, kita kena cari jalan. Tak ada undang-undang ini, tak boleh buat. Susah. Nak dapat semua yang duduk situ, sign Jadi sekarang kita kata 80% setuju, kita jalanlah. Dan yang 20% itu bukan kita nafikan, kita bagi rumah. Dulu 1 bilik, sekarang 3 bilik. Dulu 1 bilik mandi, sekarang dua. Itu syaratnya, Kalau dulu tanah rizab Melayu, sekarang kekal rizab Melayu. Kalau dulu, tanah-tanah ikut strata title apa pun, kekal, tak ada ubah. Jadi yang nak bantah ‘Melayu sekarang terancam’, ‘Orang Melayu habis tanah-tanah’… apa punya politik ni? Bagaimana lagi nak tolong, saudara? rakan-rakan ramai yang dulu-dulu kita reformasi, tolong rakyat, sekarang kita dah ada kuasa, tolonglah. Nak tolong orang ini, guna kuasa mereka, guna soal Melayu soal Islam halang usaha membela nasib Melayu dan nasib orang miskin.

 

  1. Sebab itu, saya bagitau saudara Amirudin, saya tak peduli. Perdana Menteri kena reserve sikit, tapi kalau mari begini, saya kata kamu nak turun di Kuala Lumpur, nak lawan undang-undang, nak bela nasib orang miskin, saya akan ke perhimpunan untuk jawab mereka dan lawan pertahankan hak rakyat. Saya kata dulu, naga pun kita lawan, inikan pula cicak mengkarung.

 

  1. Jadi, undang-undang kita buat, kalau ada berapa kelemahan, cadanglah betulkan. Saya tak ada masalah. Bab ini boleh tak pindah begini? Boleh. Tapi nak bantah, dia kata kita nak rampas tanah Melayu, rampas hak orang Islam. Mana dia sauara? Islam ini lebih banyak dimartabatkan tahun ini, daripada masa mereka perintah.

 

  1. Jadi, itulah perlunya pencerahan kita, mudah-mudahan Allah SWT beri kekuatan kepada kita. Saya minta rakan-rakan yang kerja, turun, bukan sahaja kerja tapi bagi penjelasan. Ini battle, ini sebenarnya peperangan. Battle. Sama ada kita nak tolong rakyat atau nak guna sentimen kaum ini. Baik masalah marah, baik masalah DAP, masalah Cina… Kamu tak buat apa? Ada cadangan tentang Matematik, Sains, tak ada. Ada cadangan nak bangunkan rumah untuk orang-orang Melayu yang miskin? Tidak ada. Yang ada, ulang kenyataan Cina bahaya, Kristian nak ambil alih Pulau Pinang. Itu saja. Memperbodohkan rakyat. Sebab itu, rakyat kena bangkit, pertahankan hak mereka dan tentukan Malaysia ni gagah sebagai satu negara.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.