
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI
14 MAC 2025 | JUMAAT | 7.00 PETANG
KAMPUNG TEBUK HAJI DOLLAH, SELINSING,
PERAK
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim,
Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad,
Menteri Besar Perak;
Yang Berhormat Dato Sri Nancy Shukri,
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
Yang juga tuan rumah yang membantu menyelenggara bersama Kerajaan Negeri.
Speaker Dewan Undangan Negeri
Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini binti Ahmad,
Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Semua kawan-kawan yang hadir
- Terima kasih atas kesudian ini, saya minta maaf tadi tengok dron lepas itu orang ramai tepi jalan berhenti sembang-sembang sikit, tidak nanti mereka kata Anwar sudah jadi Perdana Menteri tak kenal kita pulak, jadi saya turun lah tadi. Jadi minta maaf ambil masa sikit saya sudah beritahu kepada Nancy Shukri. Tapi yang hadir hari ini kebetulan di kawasan Kerian ini ada sejarahnya seperti mana disebut oleh Menteri Besar bahawa ada usaha besar pembangunan kita kerana masalah bekalan air masih masalah, jadi kita sudah putuskan sekarang peringkat akhir perancangan kita baik pulih dan tambah keupayaan Sungai Perak dan buat saliran dia terus kepada saluran air ke Bukit Merah dan Bukit Merah ke Kerian.
- Jadi Kerian bekalan air utamanya bukan sahaja KIGIP, kawasan pembangunan baru kita, tetapi juga seluruh daerah ini. Daripada situ sampailah ke Seberang Perai ke Sungai Bakap, Cherok Tok Kun, jadi bekalan air untuk Pulau Pinang jasa baik orang Perak Darul Ridzuan, terima kasih banyak.
- Ini Majlis Iftar MADANI yang kita anjur di beberapa negeri, jadi saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir menjayakannya dan tujuannya ialah untuk silaturrahim, dan juga untuk mengingatkan kita, sebab itu saya mulakan dengan Shahru Ramadan – bulan Ramadan, unzila feehi al-Qur’an – bulan turunnya al Quran. Untuk apa dibicarakan soal Quran? untuk kita baca, kita faham, untuk kita amalkan kerana Quran itu Hudan linnas – petunjuk kepada manusia. Bagaimana boleh menjadi petunjuk? apa buktinya? wa bayyinaat min al-huda kerana tanda-tanda yang cukup jelas bagi orang yang berfikir, membaca dan menelaah dan menghadam al- Quran. wa bayyinaat min al-huda wal-furqan kerana kekuatan ilmu itu akan memberikan kita petunjuk supaya kenal apa itu baik, apa yang buruk, apa yang ma’ruf apa yang mungkar, apa yang hak apa yang batil dan ini semangat daripada roh al-Quran dan sebab itu bulan Ramadan ini kita caj bateri kita kerana ini sekolah, kawasan perkarangan sekolah.
- Saya sempat tadi ingat hendak tengok tandas tadi, peruntukan sudah bagi tapi kedudukan tandas itu tidak begitu baik, jadi saya sudah beritahu guru besar, saya minta pegawai berkenaan semak dan bagi laporan lengkap mengapa dana yang cukup tetapi pelaksanaan itu lemah. Ini kadang-kadang kita di atas kita buat, ada orang pembangkang dia kata mana ada satu bilion ini? satu bilion bukan untuk satu sekolah, 860 sekolah. Kita baiki tandas, nak bercakap pasal AI, nak bercakap digital nak bercakap hightech, green tetapi tandas sekolah tidak dibaiki. Baiki yang itu dulu, rumah guru, bumbung sekolah, sekolah daif, itu yang kita tekankan dalam Kerajaan MADANI ini, barulah ada ihsan, baru ada keprihatinan tentang nasib rakyat.
- Jadi saya minta yang pertama, kerana pegawai-pegawai, Ketua Pengarah ICU pun ada dan pegawai-pegawai dia ada, minta laporan kerana kadangkala kita ada projek, pelaksanaannya itu di mana masalahnya, kerana katalah RM70,000, adakah munasabah projek itu menelan belanja sekian. Ini kita akan teliti untuk perbaiki, tetapi kalau kurang tak apalah, untuk itu saya selesaikanlah, Nancy pun ada, Kementerian pun boleh bantu, kita baikilah tandas segera. Sementara itu kajian akan kita lakukan.
- Ini kadang-kadang ini saya katakan tujuan kita baik, tapi kadang-kadang pelaksanaan itu harus diteliti. Baik, kita dalam Kerajaan MADANI ini cuba saudara-saudara. Dulu semua daripada atas, daripada kementerian turun negeri, turun pejabat daerah turun di JKKK. Tapi sekarang tidak, saya tak saya kata kita bagi wang kepada kampung, kampung putus nak buat apa. Kampung ini buat dron, kampung satu lagi pelihara ikan, ada kampung lagi ternakan lembu. Dia putuskan bincang cara baik dan insya-Allah saya cari dana yang cukup di antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi kampung untuk membangunkan kampung itu sendiri. Ini selain daripada projek-projek daripada kementerian-kementerian, JKR, Kementerian Wanita, Kementerian Pendidikan dan yang lain-lain. Jadi saya harap kita manfaatkan, kita tengok apa yang kita buat sebab ada orang kata tak ada apa pun, itu tidak betul.
- Setiap keluarga yang ada di sini semuanya kita bagi suntikan STR. Berapa jumlah semua untuk Malaysia ini? Untuk tahun ini STR sudah cecah 13 bilion ringgit. Guru-guru, pegawai-pegawai yang kerja 12 tahun tidak dikaji, 12 tahun tak dinaikkan gaji. Jadi saya bagi tahu JPA kaji balik dan kita umumkan. Berapa tambahan dia untuk tahun ini? 10 bilion ringgit tambah gaji daripada dahulu, dan tahun 2026, 18 bilion ringgit, bagi kepada siapa? Setiap pegawai Kerajaan setiap guru, kerani dan ini yang kita lakukan.
- Tapi untuk rakyat STR setiap keluarga, jadi saya harap kita manfaatkan kerana dunia ini mencabar. Sekolah-sekolah ditekan untuk menekankan mutu pendidikan yang lebih baik dalam pelbagai bidang. Jadi saya harap mudah-mudahan kita manfaatkanlah sebaiknya tidak payah nak berbalah. Saya kadang-kadang tengok dalam laporan-laporan politik di Parlimen, macam- macam sampai berlebih-lebih maki hamun dan bawa perpecahan dan pergaduhan. Tidak ada masalah nak beda pendapat, tak semua saya buat betul. Saya boleh ditegur, saya boleh dikritik tetapi tak payah hina, tak payah cerca. Saya tak ambil gaji sebab apa saya nak tunjukkan bahawa bukan semua menteri cari duit. Gaji itu hak, kalau orang ambil gaji tu hak dia, tetapi jangan curi simpan di rumah orang lain. Tak boleh jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Kewangan kerjanya nak kayakan diri, tak boleh. kalau tidak negeri ini rosak. Negeri ini rosak kalau kita tak betulkan.
- Jadi tuan-tuan dan puan-puan, saudara-saudari kena faham, orang kata ini Anwar pasal dendam, marah, dendam pasal apa, saya sudah Perdana Menteri nak bergaduh apa lagi, saya Perdana Menteri tanggungjawab saya nak jaga duit rakyat ini balik kepada rakyat. Mana boleh fikir RM 100,000 bagi satu kampung, boleh fikir begitu dulu? tak ada. Beli dron, buat apa-apa projek dia putuskan, kerana apa? kerana kita ada upaya kalau kita tak curi dan sakau wang rakyat.
- Ini semangat Ramadan, Ramadan itu apa? bentuk akhlak, baiki nilai, disiplin, tak tipu, kata tak makan tak minum ya. Kalau kita tipu? orang tak tahu tapi Allah SWT tahu. Jadi kesan Ramadan itu yang disebut tadi Tarbiyyah ruhiyyah atau madrasah Ramadan ertinya bentuk keyakinan llalkumtatakun dan kekuatan integriti kita, peribadi kita supaya betulkan nilai. Jangan bimbang, sebelum azan saya berhenti.
- Jadi itulah sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua, Menteri Besar, Yang DiPertua, Setiausaha Kerajaan Negeri dan utamanya, Nancy Shukri, seorang Menteri Wanita yang sangat kasih dan prihatin kepada wanita dan ehsan kepada rakyat. Jadi ucap terima kasih atas semua khidmat dan jasa. Semoga Allah Taala memberikan kekuatan kepada kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- HENTIKAN ANJUR MAJLIS BESAR-BESARAN – PM ANWAR