
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PELUNCURAN WAKAF MARA MADANI
BERSEMPENA HARI MARA KE-59
15 MAC 2025 | SABTU | 11:00 PAGI
DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (WTC)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wasollallahu ‘ala sayyidina muhammadin
Wa’ala aalihi wasohbihi ajmaeen.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;
Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki,
Pengerusi MARA;
Barisan Menteri dan Timbalan Menteri; dan
Tetamu-tetamu yang saya muliakan.
- Hari ini kita tentunya bersyukur kepada Allah SWT kerana salah satu ikhtiar baharu, bermakna kepada masyarakat Melayu Bumiputera akan kita luncurkan. Dan kita nyatakan beberapa kejayaan dengan beberapa harapan baru untuk meningkatkan, memulihkan maruah bangsa, meningkatkan upaya kita dan mengangkat martabat dan harakat bangsa supaya boleh seiring memanfaatkan kemajuan dan tidak lagi dianggap bangsa yang tersisih.
- Dan kebetulan sempena Ramadan, Ramadan itu kesempatan kita menilai keupayaan kita, dari segi kerohaniannya melalui amalan dan bacaan al-Quran dan kefahaman al-Qurannya bertambah, integriti dan disiplin kita, peribadi kita dalam kerja kita dalam amal kita, dalam cara kita mengurus dana kita, dan kita memulihkan keyakinan pada diri dan pada masyarakat dan bagaimana setiap sen dana amanah itu dikendali dengan penuh bertanggungjawab bukan sahaja badan yang kita wakili amanah, iaitu MARA tetapi kepada Allah SWT.
- Semangat Ramadan juga menuntut kita meningkatkan makna ihsan, kemanusiaan, keprihatian terhadap nasib. Ada kaitannya dengan MARA, dan dibentuk kerana memikirkan bangsa. Kita bernasib baik, dalam simpang siur politik dan kecamuk tidak menentu, masih ada pimpinan berwibawa punyai wawasan untuk melihat dan menyelamatkan anak bangsa.
- Mulanya RIDA di bawah pimpinan atau pengelolaan almarhum Dato’ Sir Onn bin Dato’ Jaafar dan kemudian lonjakan ketara di bawah pimpinan almarhum Tun Abdul Razak yang menggagaskan pembentukan MARA, pembelaan nasib orang Melayu terutama di desa pada ketika itu.
- Kita, anak-anak yang mewarisi sejarah itu, bukan saya mengisi dan mewarnai tetapi tanggungjawab kita meningkatkan. Dan saya kira dengan komitmen kita, iltizam kita, kita mampu berbuat demikian. Bulan ini bulan barakah Ramadan, dan cadangan Wakaf MADANI ini menunjukkan bahawa sudah sampai tahap di mana bukan sahaja kita menerima peluang dan peruntukan, masa kita menunjukkan kita adalah bangsa yang bermaruah boleh menentukan masa depan kita tanpa kecuali setiap orang memberikan sumbangan sekecil mana pun supaya mereka ada saham dalam hidup dan perjuangan memartabatkan bangsa Melayu dan Bumiputera negara kita.
- Dalam meluncurkan Wakaf bulan lalu, saya sebut keistimewaan rantau ini terutama di Indonesia, salah seorang sarjana utama, Prof. Fazlur Rahman, dalam karyanya ‘Islam and Modernity’ pernah mengungkapkan kehebatan institusi wakaf dari segi sejarahnya. Universiti-universiti terulung termasuk Universiti Al-Azhar dibina dengan dana wakaf yang melatih jutaan umat manusia di seluruh dunia. Di Indonesia, kedua-duannya Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah mengasaskan sekolah dasar, menengah, universiti di seluruh pelusuk hanya dengan dana wakaf.
- Di Malaysia, kita beruntung kerana walaupun Kerajaan silih berganti tetapi dari asas semasa dinakhodai oleh UMNO, dasar membela nasib Bumiputera itu menjadi salah satu tunggak dalam dasar negara, terutamanya sejak era almarhum Tun Abdul Razak. Maka kejayaan Dasar Bumiputera, terutama MARA atau melalui MARA ialah apa yang disebut mobiliti sosial yang ketara. Anak-anak dari kelompok miskin dari desa dan pendalaman diberi peluang dan meningkatkan kedudukan mereka melalui pendidikan.
- Walaupun saya dengan perbincangan saya dengan Datuk Seri Zahid, berulang kali menyatakan ada aspek yang kita rasa kurang berhasil dari sudut pengurusan perniagaan dan korporat di mana peranan Bumiputera itu agak ketinggalan. Tetapi dari sudut mobiliti sosial, yang ini harus difaham oleh semua rakyat Malaysia, tanpa Dasar Bumiputera dan MARA, kita akan lihat umpamanya kecundangnya masyarakat Melayu tidak dapat meningkatkan kedudukan mereka melalui mobiliti sosial yang jelas.
- Jadi apa pun pandangan setiap rakyat negara kita, jangan mendustai dan memungkiri kenyataan sejarah bahawa melalui MARA dan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita boleh mengangkat peluang dan memberikan kedudukan yang lebih lumayan sebagai profesional, technician, kemahiran yang sebelumnya itu tidak diperolehi oleh masyarakat Melayu.
- Sebab itu, seperti yang disebut oleh Pengerusi dan juga saudara Datuk Seri Zahid sebentar tadi, Kerajaan MADANI komited malah dalam Kongres Ekonomi Bumiputera saya sebut ada beberapa langkah yang ketara yang kita lakukan. Dasar kita dasar pro rakyat, dasar tidak meminggirkan rakyat, dasar tidak membiarkan seorang pun warganegara, apa juga kaum dan wilayahnya dipinggirkan. Dasar yang tidak mengizinkan penganiayaan, peluang harus diberikan kepada semua, tetapi dasar kita dalam mempertahankan prinsip perlembagaan dan kedudukan Melayu dan Bumiputera tidak pernah kita berganjak.
- Sebab itu buat pertama kali dalam sejarah, sejak merdeka, kita telah isytiharkan kawasan yang paling berharga, kawasan kosong, kawasan yang paling berharga di Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur kita isytiharkan di Bandar Malaysia yang dulunya TUDM Sungai Besi, 50 ekar sebagai rizab Melayu di Kuala Lumpur.
- Saya tegaskan Kerajaan MADANI melakar sejarah baru terima kasih kepada rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri yang memberi sokongan bulat dalam usaha ini. Lapangan Terbang Subang masih dijadikan program baru kerana itu kawasan yang luas, yang akan dipertahankan sebagai besar kepentingan Bumiputera. Dari Bangunan Sultan Abdul Samad ke Kereta Api Tanah Melayu hingga ke pelosok Carcosa Seri Negara diisytiharkan sebagai warisan negara, Kuala Lumpur Warisan, yang pertahankan sejarahnya dan tentunya kalau Bangunan Sultan Abdul Samad itu sejarah Kesultanan Melayu dan kepentingan Melayu dan sejarah perjuangan Melayu dengan penyertaan kaum-kaum lain dipertahankan, itu maksudnya Heritage Kuala Lumpur.
- Saudara saudari, kita umumnya masyarakat Melayu Bumiputera dalam pertempuran idea, persaingan yang sengit, kerana kita masih belum dapat mengajak seluruh masyarakat Melayu Islam dan Bumiputera, fokus tentang apa yang akan menjamin masa depan kita. Kita masih terbelit dengan isu-isu lama, isu-isu yang menakutkan bangsa, isu-isu kaum yang mengheret kita berdebat tanpa penyelesaian. Kita membicarakan soal agama yang tidak membantu mengangkat martabat dan harakat muslim, tetapi menanam bibit-bibit kebencian dan permusuhan serta perpecahan.
- Saya menyeru kepada anak bangsa, dalam keadaan dunia dan geopolitik yang pancaroba yang belum ada ketentuan, tindakan, dan keputusan tidak terjangka. Kalau mahu mengangkat martabat bangsa ini, maka anak-anak bangsa harus mahu dan perhatikan supaya kita fokus apa yang kita harus kerjakan. Satunya sebagai muslim, Muslim hakikiyun, betul, akidah kita, akhlak kita, amalan dan ibadah kita, tetapi berdepan dengan cabaran semasa, kita harus terima kenyataan. Apa kenyataan? kenyataannya politik stabil, kenyataannya angka-angka ekonomi tambah meyakinkan. Saya tidak mahu ulang apa yang disebut. Yang saya nak sebut di sini, apa sahaja disiplin teknologi baru baik oleh Microsoft, Google, Infineon, Nvidea dan terakhir Arm. Setiap telefon kita itu ada cip Arm, setiap telefon tanpa kecuali.
- Soalnya di mana letaknya keutamaan kita, jaminan masa depan Melayu Bumiputera. Pelaburan tinggi, ini yang saya rasa tumpuan kita harus menjawab. Simpang siur kita itu masih berlegar dalam soal-soal lama, sebab itu saya telah gesa rakan-rakan dan sudara-saudara yang punyai pendedahan MARA tentunya dalam kedudukan istimewa. Saudara masuk gedung-gedung pendidikan, hasil perjuangan lama, dengan dasar yang jelas, dari sikap dan perasaan dan sejarah, hambatan dan derita membawa satu kumpulan generasi, saf baru yang ada kesedaran elemen yang sedar yang boleh memulihkan dan membela nasib bangsanya. Tidak boleh luntur, tidak boleh di ruang selesa, tidak boleh anggap kita ini sudah capai, belum mampu kita capai kalau kita tidak boleh melonjak secara agresif dan radikal, anjakan dari sekarang
- Sebab itu saya telah gesa, diketuai oleh Menteri-menteri; Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Wilayah. PETRA, semuanya harus melihat bagaimana kita boleh berikan pengisian ini. Apa-apa perubahan akan mengundang kontroversi, kecaman dan maki hamun. Saudara harus lihat dan menelaah secara terperinci, apa pilihan kita? minat Melayu dalam STEM merosot, ekonomi melonjak, AI menjadi dasar utama, data centre bercambah dalam negara, minat pelabur juga sangat membanggakan, tetapi minat anak-anak melayu dalam STEM merosot.
- Jadi saya telah mengarahkan mulai tahun ini diberi tumpuan di semua MRSM, Sekolah Menengah Sains, Sekolah Menengah Asrama Penuh, Sekolah Menengah Agama tanpa kecuali ambil langkah-langkah segera untuk memberikan tekanan supaya ada minat yang bertambah anak-anak kita masuk ke STEM.
- Kedua, mulai tahun depan tanpa kecuali semua MRSM, Sekolah Menengah Sains, semua Sekolah Menengah Asrama Penuh kita mulakan begitu, 70% kemasukan baru mesti dari aliran STEM kalau tidak kita tidak akan terima. Ada ibu bapa yang tidak akan senang,ada tekanan dari ketua-ketua politik, saya percaya Datuk Seri Zahid punyai kekuatan to say no when necessary, and we will say no because we want this country, particularly the Malays and Bumiputera, to survive and benefit from this development.
- Jadi sikap kita harus berubah. Semua bidang pengurusan MARA seperti mana semua Kementerian dan Jabatan termasuk Jabatan Perdana Menteri harus melihat ke depan sekarang, bukan hanya meneruskan kerja yang dilakukan tahun lalu, baiki 20%, tidak. Apa yang perlu dirobah di robah, apa yang perlu dirombak, rombak dan jentera kita harus dibersihkan, jangan guna nama Melayu dan Bumiputera untuk memunggah kekayaan untuk peribadi. Jangan gunakan peluang atas nama Bumiputera untuk mengkhianati amanah Bumiputera. Kita akan lawan dan perang dengan kumpulan ini. Berapa banyak dana bumiputera yang lebur kerana isu tatakelola tidak diurus.
- Kita bicara soal AI dan semua ini yang saya sebut, prinsip asas mesti soal akhlak dan nilai. Kita menunaikan Ramadan Kareem, apa yang diajar? Integrity and honesty, itu dalam Ramadan. Tetapi dalam mengurus syarikat-syarikat kita, dalam mengurus institusi kita, kurang integriti dan honesty, jadi mesti kita mula balik ke pangkal jalan, betulkan prinsip ini.
- Saudara, dalam dunia persaingan ini kalau kita lembik dan lembap orang terajang kita. Jangan salahkan orang kalau kita memilih untuk jadi lembik, lembap dan korup. Sebab itu kita harus bangkit sebagai satu bangsa yang ada maruah yang hebat budayanya, yang tinggi nilai dan akhlaknya, yang yakin dengan Islamnya dan bangga dengan sejarah dan warisan kebudayaan Melayu yang mantap untuk negara dan bangsa kita.
- Saya bisikkan kepada saudara Zahid sebentar tadi, saya mahu bicara sebagai seorang anak bangsa. Saya nak bicara dari hati ke hati dan menyatakan bahawa tidak ada sebab kita harus kalah dalam persaingan ini. Dasar kita lebih adil, kita seperti mana saya tegaskan dan ditegaskan oleh saudara Datuk Seri Zahid, kita jamin, saya tidak mahu jadi Perdana Menteri, tapi seorang anak mengatakan dia dianayai dan dinafikan hak dia kerana warna kulitnya.
- Jadi percayalah sementara saya tegaskan tanpa tolak ansur segala kekuatan usaha kita untuk mengangkat martabat bangsa Melayu dan Bumiputera, saya mahu negara ini dianggap negara yang adil dan berdaulat yang menjamin keadilan dan memberi ruang kepada semua anak bangsa, baik orang India anak India di estet yang terus cara atau anak Cina yang miskin di pinggir bandar atau anak Dayak di rumah panjang, semua itu mesti kita anggap sebagai anak-anak kita.
- Saudara-saudara, soal angka dan data itu sudah disebut oleh Asyraf Wajdi, saya tidak mahu bebankan saudara dengan perkara itu. Saya nak balik kepada soal Wakaf MADANI. Wakaf ini institusi yang dikaitkan dengan keyakinan kita, dengan turath legasi dan warisan kita. Dengan maksud membina kekuatan dari akar umbi dan rakyat kita. Dengan kepercayaan bahawa kita kalau bekerja sebagai satu pasukan, yang kecil-kecil ini akan menjadi kekuatan. Ini bukan satu dalih nak kurangkan dana Kerajaan. saya dapat amanah ini bersama Datuk Seri Zahid dan rakan-rakan, kita tidak akan kurangkan. Tetapi saya minta penyertaan yang menyeluruh. Saya mahu supaya pandangan ini bukan sahaja pandangan pimpinan di atas dan Kerajaan, tetapi ini keputusan bersama.
- Wakaf MADANI ini sebagai saluran peluang wahana untuk semua satu juta, 2 juta orang itu terlibat. Jadi kalau tanya saya tidak perlu keluar dari dewan kalau tidak mulai beriakn minima RM10 kepada Wakaf MADANI. Setuju? Apa makna bicara panjang-panjang, forum, panggil profesor-profesor pintar bicara, tanya sejarah gemilang dan hebat semua, RM10 tidak boleh dikeluarkan untuk Wakaf MADANI. Sampai bila kita nak hebat dengan bicara, dengan slogan. Saya diumur ini sudah lemas dengan fahaman begitu. Ini masa untuk bertindak.
- Saya dengan Datuk Seri Zahid akan mula Wakaf MADANI walaupun saya bukan lulusan MRSM, saya mungkin tak layak masa itu, saya layak hanya ke Malay College, saya dengan zahid setuju kita mulakan RM1,000 seorang hari ini. Yang Tan Sri Wahid tentulah dia takkan pula ikut RM1,000 dengan kepujian korporat terbesarnya itu. Yang lain perlu ingat, melainkan saudara betul-betul ada masalah makan minum saya faham, tetapi tolong bagi QR kod dan jangan keluar dewan tanpa mengisi dan memberi.
- Saya anak Melayu yang bangga dan penuh yakin, dari dulu bila saya perang bila orang kata Melayu ini malas saya lawan. Ingat pemimpin dulu? yang lama lah. Melayu dengan malas, tak betul! Mana boleh bangsa yang malas itu melahirkan satu Kesultanan Melayu Melaka. Melayu malas mana yang boleh menghidupkan budaya hebat itu kerana budaya meleset kemudiannya, pimpinannya, dasarnya, banyak isu-isu.
- Kalau saya boleh singgung sikit soal budaya begini sebab saya keras sangat menentang. José Rizal, pejuang kemerdekaan hebat Filipina. dia tu anggap dia itu i am the one the last Malay, dia ini dia kata Melayu yang santunnya membara. Apa dia kata? dia pernah tulis dalam melawan penjajahan ganas Sepanyol, dia menyatakan tajuknya ‘The Indolence of the Filipino’, maknanya pada masa itu gambaran yang diberikan oleh penjajah, ‘penjajah’ yang ajar dan tanam kita malas, lembap, tak reti bersatu, tak ada daya juang, tak ada semangat, tak ada daya cipta, itu penjajah. Dia sebut ‘The Indolence of the Filipino’, kata dia, siapa yang tadbir dulu? siapa yang perintah dulu? siapa yang boleh berdagang seantero Asia Tenggara paling kurang? Itu kata dia semua, bapa-bapa kita dahulu. Sama juga di sini. Jadi kita kena betulkan pandangan ini, pandangan meleset begini, tak boleh! Ini semua pandangan-pandangan yang lemah longlaikan semangat bangsa, kita buktikan di sebaliknya. Dan saya mahu MARA ke depan, nama pun MARA mana mungkin ke belakang (nada seloroh).
- Sampaikan salam saya kepada semua anak-anak MARA yang lain. Dan ini 3000 lebih ini menjadi pelopor MARA yang mampu maju dan mengangkat martabat dan mengembalikan maruah bangsa Melayu dan Bumiputera. Belum ada dewan dalam sejarah, belum ada dalam sejarah di mana setiap orang yang duduk itu memberi sumbangan kepada Wakaf MADANI. Hari ini, kita catat sejarah gemilang baru bahawa ada sumbangan 3500 orang tunai ataupun QR kod, no delay. Setuju? Saya tak dengar atas tak setuju. Setuju? Baik, terima kasih.
- Baik dan ini bagi saya, ya betul kita gurau begitu sedikit tapi ini soal maruah saudara, maruah ini sesuatu yang sangat bermakna dalam diri kita, keluarga kita dan bangsa kita. Kalau saudara lakukan begitu, percayalah saudara Zahid, mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan hari rabu, saya kena lapor. Saya kata, “look! this is Malays of 2025, sebelum dia cadang kepada saya, dia beri sumbangan untuk program dia dulu Wakaf MADANI.” Jadi saya kata kita dalam Jemaah Menteri harus respon, kalau dia boleh sanggup begitu, tanggungjawab kita untuk memberikan semangat dan suntikan tambahan kepada dia. Jadi suntikan semangat dan tambahan itu tertakluk kepada sumbangan saudara hari ini.
- Dan saudara tahu Jemaah Menteri kita ada dari UMNO dari Keadilan, dari DAP, dari GPS, dari GRS yang setuju tentang rizab Melayu, yang tentu dengan Pelan Pembangunan Bandar yang jadi kontroversi. Sebab itu saya kata kadang-kadang beberapa tokoh Melayu ini sudah hilang pedoman dia. Melayu di flat itu paling miskin, tahun 60-an flat dibina satu bilik, satu bilik mandi dan tandas. Sekarang 2025 dia masih merempat begitu rupa. Jadi kita fikirkan bagaimana harus kita lakukan, nak bangunkan tak boleh undang-undang, sekatan dan problem. Pinda undang-undang, oh! takut Melayu, rizab Melayu. Ini pandangan yang betul-betul menyesatkan dan mengkhianati orang Melayu. Tanah rizab Melayu kekal rizab Melayu, strata title tidak ubah. Kita nak guna undang- undang ni nak bangunkan semula supaya orang Melayu di bandar Kuala Lumpur umpamanya tidak hidup merempat setelah 50 tahun 60 tahun macam itu juga satu kamar, tetapi ditentang nak buat perhimpunan. Saya nak beritahu mereka jangan cabar kita!.
- Kalau kita nak bela nasib orang miskin majoriti Melayu, sebahagian kecil India dan juga Cina sedikit, dan kamu nak ganggu, kalau dia buat himpunan, kita boleh buat himpunan satu stadium untuk pertahankan dasar membela nasib orang Melayu ini. Dan yang menentang ini Melayu, gunakan nama parti melayu parti Islam, apa dia pernah cadang untuk tolong Melayu? tidak ada. Ada bercadang pun nak dilakukan untuk membela nasib Melayu miskin di bandar? tidak ada. Kita usulkan, kalau ada nak ditegur tegur. Nak pergi pandangan tambahan, silakan. Tetapi jangan khianati usaha kita.
- Ini saudara-saudara, di antara komitmen kita dalam Kerajaan MADANI. Catat pertumbuhan dan kemajuan hasil yang lebih tinggi. Ini yang harus kita lakukan. Sebab itu goal saya sekolah tandas baik dulu. Kalau di Kuala Lumpur baiki gerai dan warung kerana itu yang majoriti orang Melayu dan orang miskin gunakan. Perumahan saya tak peduli rumah RM10 juta, RM 5 juta, dia mampu bangunkan sendiri. Tapi kalau kita tak bantu bangunkan di flat-flat yang kecil itu, di Kerinci dulu, di Bandar Tun Razak, di Wangsa Maju dan lain lain, dia tak mampu bangunkan. Bayangkan minda sebahagian daripada orang Melayu ini. Usaha kita nak bantu bukan mudah dana besar, rundingan dan tindakan yang kita ambil untuk jaga mereka itu dipersulitkan. Jadi saya nak beritahu, kamu cubalah apa pun kita maju terus pantang undur!.
- Dalam hal ini ini agenda. Apa makna bicara soal agenda Melayu kalau biarkan Melayu merempat di bandar? Ini saudara-sauara yang disebut Akta Pembangunan Bandar yang diluluskan dan akan kita teruskan usaha. Saya ambil kesempatan jelaskan ini. Tapi jangan lupa, akhirul kalam, Wakaf MARA MADANI. Sebelum keluar pintu kita akan check QR code. Saya tak boleh check sebab saya tak bawa telefon, tapi saya dengan Datuk Seri Zahid tak keluar dewan sebelum bayar RM1000. Saya tak tahu Zahid bawa cash cukup ke?
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih, MARA, keluarga MARA, terima kasih banyak. Alumni MARA terima kasih dan anak anak di MARA, terima kasih. Saudara catat sejarah pada hari ini.
- Dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim saya luncurkan Wakaf MARA MADANI.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR