
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN MASJID JAMEK PERAI, SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG
18 MAC 2025 | SELASA | 5.00 PETANG
SEBERANG PERAI TENGAH
PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wasollallahu ‘ala sayyidina muhammadin
Wa’ala aalihi wasohbihi ajmaeen.
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang;
Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara saya, Tuan Haji Abdul Wahab bin Haniff, Jawatankuasa Kariah kerana sudi memberi kesempatan kepada saya bersama- sama majlis yang sangat bermakna. Pertama, bulan Ramadan Mubarak, Kullu Aam Wa Antum Bikhair. Kedua, mengimarahkan masjid.
- Bulan ini seperti yang saya bacakan tadi Shahru Ramadan – bulan Ramadan unzila feehi al-Qur’an bulan turunnya al-Quran. Untuk apa? Hudan linnas – petunjuk kepada manusia. Petunjuk bagaimana? Wa bayyinaat min al-huda – tanda-tanda yang nyata yang kita lihat di dunia ini. Untuk apa? Untuk menambahkan hidayah kepada kita – petunjuk, dan memberikan kita keupayaan membuat penilaian – Furqan, di antara yang baik dan yang buruk, yang maaruf dan mungkar, yang hak dan yang batil.
- Kekuatan ini hanya melalui amalan, mudah-mudahan baki Ramadan ini kita manfaatkan. Ramadan ini kesempatan kita menyempurnakan ibadah dengan niat yang jelas –La’allakum Tattaquun. Tetapi dengan memperbanyakkan amal, dan menguasai membaca al-Quran, cuba memahami dan menghayatinya. Sebab tu Quran ini kalau difahami dan dihayati, dia jadi Hudan linnas – petunjuk kepada manusia dan memberikan kekuatan bagi kita membuat penilaian. Pencerahan umat, pengetahuan adalah dengan menguasai ilmu. Dengan menguasai ilmu ada kebijaksanaan, ada hikmah dan ada rahmah.
- Bulan ini juga kesempatan di Masjid Jamek Perai ini luar biasa, kerana selain Ramadan tugas kita mendirikan Masjid. Al Quran, dalam firman Allah SWT: Innama Ya`muru Masajida Allahi Man `Amana Billahi Wa Al-Yawmi Al-`Akhiri Wa `Aqama As-Salaata Wa `Ata Az-Zakaata Wa Lam Yakhsha `Illa Allaha Fa`asa `Ula`ika `An Yakunu Mina Al-Muhtadina. Mendirikan dan mengimarahkan masjid itu tugas semua, tugas kariah, tugas masyarakat dan tentunya tugas negara membantu. Sebab itu seruan mengimarah, apa erti mengimarahkan masjid? mengindahkan? meletakkan permaidani yang baru? ataupun cat yang cantik? tidak. Mengimarah ini menyuburkan supaya ia jadi satu kegiatan, dan ini disebut dalam Quran. Mengimarah maknanya Man `Amana Billahi – beriman kepada Allah, Wa Al-Yawmi Al-`Akhiri – dan percaya kepada hari akhirat. Wa `Aqama As-Salaata -tempat kita menyempurnakan solat. Wa `Ata Az-Zakaata – dan mengingatkan kita bayar zakat. Wa Lam Yakhsha `Illa Allaha – kalau itu semua disempurnakan, difahami, tidak ada harus yang kita gentar dan takut melainkan kepada Allah.
- Saudara-saudara, ulama termasuk Syeikh Yusuf al-Qaradawi, dia mengupas dengan menyatakan di antara lain kekuatan Islam itu membawa jemaah hidupkan semangat muafakat di kalangan jemaah, untuk kebaikan bukan untuk membawa perpecahan, kerosakan menghina orang. Ini yang jadi polemik dalam negara kita ini. Kekuatan membangunkan kekuatan kita, persatuan kita untuk bertaut kepada Allah SWT dan menggunakan ini untuk menjadikan Assolatu Imaduddin – solat itu tiang agama sebagai benteng melawan kejahatan.
- Kita harap masjid ini dengan keindahannya juga akan membawa semangat kariah ini. Kerana dikaitkan Wa `Aqama As-Salaata Wa `Ata Az-Zakaata. Mengapa dikaitkan selalu solat kita dengan Allah SWT dan tetapi zakat? Zakat tu institusi mengikut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, zakat itu institusi yang sangat asasi dalam membina masyarakat Islam sehinggakan pada zaman pemerintahan Abu Bakar As Siddiq r.a bila ada orang yang mengaku dia Islam dia tidak mahu memperkukuh institusi zakat dan membayar zakat, maka dia seolah-olah melawan, memberontak pentadbiran dan perkhidmatan Islam, Abu Bakar As Siddiq r.a mengisytiharkan Perang Riddah, pertama kali dalam sejarah di mana peperangan diisytihar untuk mempertahankan institusi zakat, untuk membela orang miskin. Kalau dahulu kita tahu cerita Maharaja-Maharaja dahulu berperang untuk apa? untuk tanah jajahan, hendak besarkan wilayah. Perang untuk apa? perang untuk harta, emas, perak, berlian, tanah, hasil mahsul negara. Perang lagi untuk apa? kerana meminang Puteri mayang mengurai tak dapat, maka isytihar perang. Tapi buat pertama Kali dalam sejarah, Islam itu pertahankan institusi zakat untuk membela rakyat miskin. Perang itu supaya jangan ada faham agama dan jemaah kemudian hancur institusi kerana zakat itu lebur dan tidak ada keprihatinan untuk membela nasib rakyat miskin. Ini dikatakan pertama kali dalam sejarah umat manusia, julung-julung kali berlaku begitu rupa.
- Dan kalau itu semangat kita, kita tidak perlu takut. Sebab itu saya ingin dengan saudara Tuan Haji Abdul Wahab dan rakan-rakan kariah, imarahkanlah masjid, ada kelas pengajian, ada ruang untuk wanita, ada ruang untuk anak muda, bagi dia pilihan apa yang dia minat untuk dia dapat meningkatkan ilmu. Kalau tidak kita hanya seperti sekarang ini serah dan gunakan Islam itu hanya untuk porak peranda, menyerang. Tidak, bagi dia kefahaman. Apa pun sebelum buat keputusan ada kefahaman, landasan al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, pandangan ulama-ulama muktabar. Sebab itu ulama sebut Islam ini tegak dengan fahaman ini tetapi fahaman menafsirkan dengan ilmu, memahami dengan ilmu, membawa perubahan dengan ilmu. Begitu juga dengan menerima disiplin dan kemajuan baru.
- Sekarang ini, Malaysia, alhamdulillah dengan Kerajaan MADANI di sekolah-sekolah kita sebar, pertama ajak anak-anak baca, termasuk kitab-kitab lama, kupasan kitab tentang adab pergaulan, adab jemaah, adab perbezaan pendapat, ini yang kita sebarkan di Kementerian Pendidikan- ‘Adab al-Ikhtilāf fi al-Islām’ karya Syeikh Dr. Taha Jabir al `Alwani. Maknanya dalam beda pendapat boleh, tak perlu dengan cerca dan maki hamun, tak perlu untuk menidakkan orang kerana berbeda pendapat. Ada disebut The Ethics of Disagreement in Islam – Adab, ikhtilaf berbeda pendapat dalam agama. Tidak cepat menghukum, baru belajar dah hafal al-fatihah sahaja dengan juzuk Amma 3 ayat, kemudian dah belajar hukum kerana dia dengar ada orang hukum dia pun hukum juga. Mana mungkin begitu, dalam Islam menguasai ilmu dan adab-adab dalam membedakan pendapat.
- Kemudian memahami Perai. Ada kawasan masjid, kedai situ ada kedai Islam ada kedai Cina ada kedai India, adab kita bagaimana? Kita nak pilih. Negara ini kalau nak maju termasuk bagi orang Islam dia kena Aman. Aman ini maknanya hubungan kita sesama Islam mesti baik. Hubungan kita dengan bukan Islam juga harus baik. Ini sebab tu saya Saidina Ali bin Abi Talib r.a ditanya sekali. Kita dengan Islam bagaimana? Dia jawab jelas, Innamal mu’minuuna ikhwatun – kita Muslim itu bersaudara. Baik, tapi dengan bukan Islam? Saidina Ali ini dipanggil lazzatul ma’arifah – orang yang mencintai ilmu, gedung ilmu dalam Islam. Puncak menguasai ilmu itu adalah Saidina Ali bin Abi Talib r.a. Dia tanya bagaimana dengan bukan Islam? Sebelah saya ini Ketua Menteri Chow macam mana? Sebelah sini ikhwah saudara aku, Dr Mohamad, sebelah sini Chow, macam mana nak buat? Dalam Islam dia jawab mudah sahaja, tiada masalah. Dia kata, di kalangan Islam saudara kamu, satu Deen, Akhukum Fiddin – saudara kamu dalam agama, terpahat. Tapi dengan orang lain yang bukan Islam itu bagaimana? Dia kata Akhukum fil Insaniah – saudara kamu sesama manusia. Bayangkan bila ilmu itu tinggi, bila sahabat-sahabat seperti Ali bin Abi Thalib r.a, bayangkan mercu keperibadian, hikmahnya, dan kebijaksanaannya. Dan itu orang merasakan dan saya panggil Chow saudaraku, siapa kata? Saidina Ali kata, saudara bagaimana? Saudara sesama manusia, bukankah itu indah. Kalau tidak, tengok sahaja, jadi tidak akan menarik. Ini tengok dalam majlis, dia untuk menghormati, sebenarnya saya terfikir kalau Ketua Menteri tidak datang pun saya faham, ini nak bangunkan masjid. Dia tidak datang, saya faham, tidak ada masalah, sudah sistem kita. Dia tidak semestinya datang walaupun untuk iring Perdana Menteri, Timbalan dia ada. Tapi dia nak meraikan, nak tunjuk bahawa dasar kita ini tolak ansur, jadi hormatlah.
- Jadi saudara-saudara, ini sebab apa? Ada akhlak, ada nilai, ada ilmu. Kerana bicara dakwah bil-ḥikmati wal-mau’iẓatil-ḥasanati wa jādil-hum billatī hiya aḥsan, dakwah itu dengan hikmah, ayat Quran tadi saya baca, dan berbeda pendapat pun dengan perkataan yang baik. Mudah-mudahan, ya Wahab, amanah besar. Tapi amanah dia apa? Jemaah, bersih. Mana masjid tandasnya Kotor? Masjidnya tidak dibersihkan? Mana ada petanda sebagai contoh dalam masyarakat? Tidak. Kemudian kelas pengajian, orang tua-tua dia minat kitab ini, anak muda minat ustaz yang lain, buatlah sebanyak mungkin, tariklah supaya minat kerana nilai.
- Dalam Kerajaan MADANI apa yang istimewa? Cakap ekonomi ya. Kemampanan, ya dan pertumbuhan, ya Alhamdulillah. Pertumbuhan ekonomi kita kalau di rantau masih tinggi, pelaburan masih baik walaupun kita kata apa manfaat kepada rakyat di bawah? Tetapi apa tambahan dia? Nilai, kemanusiaan, adab, akhlak, ini yang meletakkan sebagai negara. Negara ini bukan maju kerana teknologi dan pembangunan. Ya penting, Kalau semua perkataan negara ini akhlak sahaja, semua baik sahaja tetapi negeri tidak maju pun tak boleh. Tetapi selain daripada kemajuan kebendaan yang kita katakan kemampanan itu ada ehsan, ada rohnya, ada adabnya, ada moral yang baiknya dan di sini di bulan Ramadan yang mulia ini kita jadikan masjid sebagai pusat.
- Cabaran agama Islam itu selalu tentang penghayatan. Penghayatan maknanya amalan. Kupasannya cukup baik, tetapi yang kita tahu ujiannya adalah penghayatan. Yā ayyuhallażīna āmanustajībụ lillāhi wa lir-rasụli iżā da’ākum limā yuḥyīkum, seruannya itu semua kebaikan, kita jelas. Ujiannya itu bagaimana menghayatinya, mengamalkannya. Jadi pemimpin semua kita hidup sederhana, tetapi bila korek-korek ada duit sana sini yang bukan hak dia, yang melebih, itu semua kerana kita tidak letakkan Islam itu daripada pengucapan, amalan dan penghayatannya.
- Jadi saya harap saudara saudari, manfaatkanlah majlis ini dan juga keindahan masjid ini sebagai kesempatan kita untuk melakukan perubahan yang sebaiknya dalam masyarakat. Kita tidak boleh ketinggalan, negara maju. Anak- anak kita mesti terlatih cukup baik. Tak ada salah ada yang kata nak pergi maahad tahfiz, tetapi kita pilih sekarang, sudah maahad tahfiz, kita hantar juga ke TVET. Dan sekarang ada pemandu pesawat kapal terbang – pilot yang lulusan maahad tahfiz, kita bawa ke TVET, bawa ke universiti, ambil jurusan juruterbang dan sekarang jadi pilot. Maknanya dia ada kekuatan akidah, kekuatan amal, akhlaknya dan juga penguasaan bidang teknologi yang penting. Kalau tidak kita bercakap sahaja tentang AI – artificial intelligence tapi tak ada yang menguasai.
- Jadi saya nak mudah-mudahan kesempatan mengimarahkan masjid ini ialah membangun masyarakat. Membangun masyarakat itu dengan Man `Amana Billahi Wa Al-Yawmi Al-`Akhiri Wa `Aqama As-Salaata Wa `Ata Az-Zakaata. Ingat ya. Jadi mesti ada berkeyakinan, tetapi kepada semangat jemaah, menyempurnakan solat dan penyempurnakan tanggungjawab kita zakat ini untuk menjaga kepentingan yang miskin.
- Saya beritahu kepada Ketua Menteri Chow, selalu pergi mana-mana, sebagai Perdana Menteri dan Menteri kewangan mesti minta duit. Tapi Ketua Menteri ini bagus betul, dia tak minta apa, tapi cara senyum saya tahu (nada seloroh). Masjid sudah cantik, alhamdulillah jazakumullah khairan katsiran, kerana kariah ini pun kutip RM 1 juta lebih. Jadi maknanya ada tanggungjawab, kalau saya sebut tadi ayat Quran seperti yang saya baca, Innamaa ya’muru masaa jidal laahi – itu seruan kepada semua bagi sumbangan. Sebab itu saya kalau pergi mana- mana majlis nak minta masjid, saya kata mesti, sekurang-kurangnya RM 10 mesti ada, kamu kariah mesti bagi satu sumbangan, tak boleh banyak bagi sedikit kerana seruan itu menuntut kita mengimarahkan, seruan kepada semua. Tak apalah dah dia tak mahu tak apa (nada seloroh). Saya tak ada masalah, tapi oleh kerana tengok semangat kawan-kawan di sini pranan dan tanggugnjawab mereka, tak apalah saya luluskan RM 100,000 untuk kegiatan-kegiatan masjid, buatlah kebajikan apa-apa yang lain ya, kebajikan, tetapi yang saya nak tekankan adalah kelas-kelas pengajian yang banyak supaya masjid itu imarah dan makmur dengan kegiatan.
- Jadi dengan lafaz bismillahir rahmanir Rahim, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Masjid Jamek Perai Pulau Pinang.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- SENARAI TIMBALAN MENTERI DIUMUM MALAM INI – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG