
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI
BAGI BULAN APRIL TAHUN 2025
7 APRIL 2025 (ISNIN) | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON,
PUSPANITA PURI, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
Nahmaduhu Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim
Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Fadillah bin Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
Menteri-Menteri;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Pagi ini sebahagian besarnya mula bekerja setelah penuh dengan lemang dan ketupat. Ada juga sambutan-sambutan yang diteruskan dan kadang-kadang ada juga yang mencetuskan kontroversi kerana apabila disebut Aidilfitri itu hanya satu hari, tetapi saya fikir kita sambut ini adalah semangat Aidilfitri yang lalu bukanlah Aidilfitri hari ini. Keduanya, silaturrahim, maknanya bermaaf-maafan di kalangan sahabat, fa aslihuu baina akhawaykum, itu biasa dalam tradisi Islam dengan niat begitu. Kerana saya tengok sambutan Aidilfitri mula jadi kontroversi, JAKIM kena tolong jelaskanlah bila Jabatan atau Kementerian sambut bukanlah maknanya menambah ibadah atau menambah sunnah, tidak, dia hanya menambah soal tradisi dan budaya untuk mengikat silaturrahim, panggil sahabat handai dan sanak saudara asalkan makan itu agak terkawal, bersederhana.
- Semalam saya jelaskan panjang keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Pengumuman Tarif oleh Presiden Donald Trumph yang juga dihadiri oleh seluruh Jemaah Menteri. Kita tidak boleh pandang ringan walaupun kita tahu ini suatu yang agak aneh sebab di antara negara yang paling kuat mendukung semangat perdagangan bebas, penubuhan WTO dan GATT sebelumnya adalah negara-negara kaya, termasuk yang utamanya Amerika Syarikat. Tetapi keadaan berubah, sebab itu saya kata pasca post normal time itu kadang-kadang melihat beberapa kebijakan politik dan ekonomi yang tidak terjangka, ini termasuk pengumuman tarif dengan asas yang sangat lemah umpamanya.
- Kaedah penentuan tarif yang diputuskan itu dengan asas yang dipertikai kerana beberapa negara yang disebut itu termasuk tidak salah saya pulau-pulau yang hanya diduduki oleh penguin. Itu maknanya mungkin belum benar teliti. Tetapi bagi sebahagian negara, tentunya sebahagian kita mahu mengambil keputusan yang agak terlalu keras, tetapi kebijaksanaan rakan-rakan Jemaah Menteri ialah untuk pertamanya menentukan apa yang diputuskan secara terperinci kerana kenyataan itu umum dan ruang untuk perbincangan dan perundingan masih ada.
- Keduanya, ada juga beberapa pengecualian yang kita mahu pastikan itu dahulu. Jadi mungkin kita ambil jalur yang sederhana, kemudian tugas saya, Kementerian Luar dan menteri-menteri yang terkait untuk menghubungi rakan-rakan kita ASEAN, supaya ada pendirian negara masing-masing dan disamping itu kita berdiri tegak sebagai satu kelompok yang besar kerana ASEAN ini, jumlah penduduk 640 juta, kekuatan ekonomi di antara yang utama juga di dunia, kalau digabungkan keseluruhannya rantau ini dianggap paling aman di dunia dan rantau yang memacu pertumbuhan yang pesat dan menyakinkan di dunia. Jadi kita manfaatkan.
- Semalam, Presiden Prabowo datang sekejap hanya untuk makan malam, silaturrahim dan semangat Aidilfitri, katanya. Kita ambil kesempatan untuk bincang soal tarif ini, tentu Gaza, dan soal Myanmar. Ini hubungan antarabangsa begitu. Saya juga dapat berbincang panjang dengan Perdana Menteri Vietnam, yang sebelum itu menghubungi semua, Filipina, Brunei, Laos, Thailand untuk menyatakan kita ada pendirian masing-masing tetapi kita gunakan kekuatan hubungan untuk diselaraskan supaya ASEAN sebagai satu kelompok berdiri tegap dan mengemukakan pandangan yang menunjukkan ada kesepakatan. Jadi asas kepada perundingan itu lebih kukuh.
- Hari Khamis ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Yang Berhormat Mulia Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menyelaraskan pertemuan dengan Menteri-Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Ekonomi juga untuk merangka, menetapkan pendirian yang sama supaya dapat menghubungi rakan sejawat mereka dan rakan-rakan lain yang boleh membantu. Ini yang kita lakukan.
- Cuma di kalangan kita, apa kesannya? Maknanya kita harus lebih siapsiaga. Dari segi Financial Economy kita jauh lebih baik, angka-angka yang diumumkan sebelum ini lebih meyakinkan, tetapi ada beberapa perkembangan yang luar daripada jangkaan, yang kita sebut juga unpredictability dan ini termasuk berkenaan tarif. Berapa eksport kita ke Amerika? Itu tinggi. Berapa eksport semikonduktur kita ke Amerika? Semikonduktur sahaja yang mungkin mencecah USD100 bilion, itu 65% daripada seluruh pengeluaran semikonduktur. Hubungan dagang, pelaburan Amerika itu masih di antara yang tertinggi, nombor satu, bersaing dengan negara China dan baru-baru ini Jerman kerana kemasukan Infineon. Ini menyebabkan kita harus mengambil kira kemungkinan, kerana kita tidak mahu apa-apa langkah atau kebijakan ekonomi yang akan mendera rakyat, pekerjaan mereka dan tahap kehidupan mereka.
- Ini yang menjadi paling memusykilkan dan meragukan kita. Di kalangan kita, bantulah dengan tahap kecekapan kita, kesungguhan kerja kita dan penjimatan kita, supaya kita lebih kuat untuk menangani masalah sekiranya berlaku. Nampaknya keadaan itu belum menentu kerana kemerosotan atau kejatuhan bursa saham komoditi, perdagangan di Amerika itu menjunam di antara yang paling parah dalam sejarah mutakhir ini. Ada yang menjangka sekitar USD4 trilion yang hilang dalam pasaran, ada yang membaca lebih sedikit dan kurang sedikit, tapi pokoknya ber-trilion yang hilang. Itu tentunya mempengaruhi keputusan mereka, mudah-mudahan dapat dirundingkan dengan cara yang lebih baik.
- Untuk kita ini penting kita teliti soal yang dipimpin oleh KSN dan KPPA umpamanya, bagaimana kita urus dalam bidang kita masing-masing. Kami dalam Jemaah Menteri, bidang kami dan saudara-saudara penjawat awam, untuk mencari jalan supaya perubahan-perubahan, reform yang kita anjurkan itu dapat dilaksanakan dengan baik. Jadi, jangan pandang ringan dan remeh. Masih ada kecuaian, masih ada ketirisan, masih ada laporan-laporan rasuah dan penyelewengan kuasa. Jadi, pimpinan di Jabatan, Kementerian, waspadalah. Hasrat kita ini adalah untuk menyelamatkan bangsa dan memastikan negara ini terangkat kedudukannya.
- Di antara isu yang terkait adalah masalah kita seharusnya bicara soal-soal ini, bagaimana sebagai negara bina satu kesatuan, fokus dalam semangat MADANI ini, dengan kekuatan akidah, akhlak dan nilai, dasar dan kebijakan fiskal, dan ekonomi umumnya untuk mengangkat diri kita. Tapi perbincangan ini nampak tidak begitu menarik, padahal itu faktor yang boleh menyelamatkan kita. AI, transformasi digital untuk anak-anak kita itu, untuk menentukan kita ini cekap, lebih selamat, lebih maju. Hal-hal ini harus kita renungkan. AI untuk rakyat, yang kita tekankan. Sama ada berhasil atau tidak itu tergantung kepada kita semua. Kerana kita kadang-kadang terlalu diheret dengan media sosial dan media kerana mereka suka sensasi. Jadi hal-hal yang kecil yang boleh kita tangani dengan baik dijadikan besar seolah-olah perang akan berlaku. Soal kuil perang, soal belon perang. Padahal boleh kita atasi dengan baik. Sebab itu saya ingin syorkan jangan berikan ruang kerana sesetengah orang dia bebal dan dia tidak fikir kepentingan umum, semuanya mahu dipolitikkan, semuanya mesti dengan cara menghukum, tak setuju dengan kita, semuanya kafir dan munafik, semuanya jahat belaka, tidak boleh begitu.
- Negara ini negara yang memang betul asasnya, tunggaknya Melayu, bukan sahaja tunggaknya, dijamin dalam perlembagaan. Dengan kedudukan Kerajaan MADANI dan Majlis Raja-Raja. Tidak boleh dimungkiri kenyataan ini. Tetapi, tidak bermakna kita harus sentiasa kalau ada kenyataan dengan golongan minoriti suku lain, kaum lain itu mesti terus menghina sahaja, tidak boleh saudara-saudara, dan tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama kita. Mahu angkat martabat orang Melayu ini, dengan kekuatan kita, dengan kesungguhan kita, kerja kita, amal kita, ikhlas kita, kepribadian kita atau sahsiah kita, bukan untuk meremehkan orang lain. Bila kita beri kuasa kita sakau, bila berkuasa kita malas, bila kita jadi ketua di mana-mana Jabatan, kita remeh. Tapi kita nak sibuk pasal kelemahan orang lain. Mana mungkin satu kejayaan dicapai kalau kita tidak bina kekuatan kita sendiri.
- Jadi, saya lihat beberapa isu yang terus dibangkit. Tapi setakat saya, tetapi yang saya faham dalam Islam kekuatan dari segi sejarah, sejarah kepulauan Melayu ini unik, kerana sejarah ini membuktikan kehadiran dan proses pengislaman yang luar biasa. Tidak ada sejarah peperangan besar. Tidak ada kisah permusuhan kaum dan agama bila Islam itu bertapak di Semenanjung. Ibn Battuta, sang pengembara yang terkenal termasyhur, dia menulis, semasa dia datang diangkat menjadi Sheikh ul-Islam, sekarang kita kata Mufti Perlak. Kemudian dia lihat itu hikmahnya, kebijaksanaannya. Apa dia hikmahnya? dia tengok wanita-wanita Melayu masa itu pakai kain tidak berbaju. Tetapi, dia tidak mulakan dengan isu itu, dia kata Islam menuntut kita solat. Bila solat ini kaedah pakaiannya. Jadi lepas solat dia buka lagi. Baik, itu berlarutan sehingga seketika sehingga salah seorang wanita itu tanya mengapa soalt mesti pakai lain di luar pakai lain? Baru dia ceritakan tentang aurat. Ini disebutkan sebagai proses.
- Saya masih ingat seorang sarjana Islam, Sudah, tidak salah saya, Jaafar Sheikh Idris, dia menulis tentang Process of Islamization. Dan di antara ayat yang dikupas itu ialah wa nafsiw wa mâ sawwâhâ, fa al-hamahâ fujûrahâ wa taqwâhâ, qad aflaḫa man zakkâhâ, wa qad khâba man dassâhâ (Asy-Syams: Ayat 10). Baik, maknanya ini tentang proses dia kata, is a proses of Islah, dari diri ke arah kebaikan. Is a process. Jadi kebijaksanaan sang alim itu yang punya hikmah ialah terus tidak menghukum. Apakah dia tolak ansur? Macam mana tunjuk aurat itu dikompromi? Dia tidak kompromi, tapi dia fikir kesannya.
- Kalau kita baca umpamanya sejarah pengislaman rantau, apa yang disebut, dihebohkan di Babat Tanah Jawi, kitab sejarah Jawa, tentunya yang lebih arif oleh Datuk Seri Zahid, Jawa totok ini. Beliau yang menulis tentang kisah The “Nine Saints of Java” – Sunan Drajat, Sunan Kalijaga, Sunan Kalijogo, dia hafal. Baik, salah satu saya ingat lagi, bila mereka pergi ke Gresik, sekarang ini sudah ada Pesantren Lamongan. Kemudian Wali Songo ini lihat ada apa yang dipanggil macam tugu Hindu bukan tokong tapi tugu Hindu itu yang ditulis dengan bahasa Sanskrit. Jadi Ketua paderi Hindu tu berkata, “tidak apalah kalau Raja kami dan rakyat kami mahu terima Islam, kami tidak akan bantah, itu keputusan mereka, tetapi minta satu tugu kami ini kekalkanlah sebagai tanda nenek moyang kami dan hormati apa yang pernah diamalkan dulu.” Itu Wali Songo dan para alim pada masa itu kompromi untuk matlamatnya untuk menarik orang kepada Islam dan menjamin perdamaian.
- Sejarah wayang kulit, wayang kulit itu di Jawa menjadi wahana hiburan. Itu dikekalkan padahal wayang kulit itu sumbernya dari Ramayana Mahabharata, yang bicara soal Rama, Lord Rama dan Vishnu dan pelbagai kisah. Apa yang dia lakukan ialah kekalkan wayang kulit tetapi akhirnya kemuncaknya itu adalah kuasa Allah. Itu kebijaksanaan seorang alim dalam menyampaikan, dan menyantuni demi rakyat. Bezakan kita sekarang, tidak ada langsung nak tunjuk kesederhanaan, kesabaran, nak tunjuk hebat kita, kekuatan kita, hak kita tetapi dakwahnya apa? Dakwah ini usaha menarik minat.
- Kita bicara tentang Perang Sabil. Siapa yang sering baca kisah Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Tahu bahawa Perang Sabil itu bukan semuanya dalam peringkat akhir dalam seluruh kekuatan Islam di bawah Salahuddin Al-Ayubi, melawan pada peringkat Perang Sabil ke-3 tak salah saya dengan King Richard the Lionheart yang dapat mengumpul seluruh kekuatan Kristian Eropah. Tapi tidak simplistik begitu kalau kita mendalami, kerana Salahuddin Al-ayubi itu 10 tahun pertama tidak isytiharkan perang. Dia bina kekuatan dalaman. Kekuatan memakmurkan masjid, ilmu, ketenteraan, seluruh kekuatan yang boleh membina dari segi pendidikan, sains dan sebagainya. Itu Salahuddin Al-Ayubi. Kemudian berdamping dan bersahabat semua negara-negara jiran termasuk Kristian Principality di bawah Kristian yang tidak bermusuh dengan dia, terus baik sebelum berlakunya Sabil atau Crussade dengan kekuatan dan akhirnya berjaya menawan Baitulmaqdis.
- Tapi kita bila bicara dalam pidato kita bicara tentang peringkat akhirnya. Kita tidak tahu tentang persiapan awal. King Richard the Lionheart itu dengan pandangan mereka. Bila sampai ke Constantinople salah satu daripada Crussades yang dibantai, dibunuh ramai itu Orthodox Christians. Itu maknanya konflik dalaman. Baru dia teruskan serangan ke arah Baitulmaqdis, dan bila Raja Richard “berhati singa” itu disebut kerana keberaniannya, kepintarannya dia itu jatuh gering tatkala peperangan sengit berlaku di antara kekuatan Salahuddin Al-Alyubi dan Richard the Lionheart. Salahuddin dengar kisah itu dan kata dia ini memerlukan rawatan dan tahap perubatan Islam itu jauh lebih canggih, lebih baik. Maka diutuskan kalau tak salah saya Pakar Perubatan Maimonides. Mungkin saya mungkin silap. Pakar perubatan yang jaga Salahuddin dikirim untuk mengubat King Richard. Perang, perang tapi dia uzur tanggungjawab harus diperbaiki. Itu hal-hal yang juga harus disampaikan, bukan untuk melemahkan semangat dan roh jihad kita, tetapi memberikan kefahaman kepada kita tentang kehebatan, ketinggian, kemurnian al-Islammu yak alu wala yuala alaih, Islam itu.
- Jadi yang saya sampaikan dalam masa yang singkat ini, tazkirah hari Isnin ini ialah mengajak saudara-saudara dalamilah sedikit, jangan dengar orang yang tabur benci, tanya satu soalan jawab terus hukum orang. Tak betul, tengok kekuatan masing-masing dan cari kaedah. Ya kata Shakespeare memang berat siapa yang holds the crown, heavy. Maknanya berat tanggungan orang yang bukan betul. Macam Zaleha dengan kita cuba selesaikan masalah kuil tak mudah. Betul. Jakel kena beli, Hindu ini bagi free. Jadi, is not as simple. Matlamatnya apa? Kita nak dirikan masjid no compromise dirikan masjid. Bagi saya matlamat terbesar. Keduanya, jalan dengan damai dan aman dan tunjukkan kekuatan Islam beri hormat kepada orang lain kerana negara ini negara pelbagai kaum pelbagai agama. Islam Agama Persekutuan, kekuatan Islam tidak dipertikai dan saya tidak tolak ansur. Ramai kawan-kawan nasihat saya tangguhkanlah jangan panggil masjid MADANI nanti timbul marah nanti undi tak dapat. Bila sebut undi tak dapat tu bimbang juga (nada seloroh). Tetapi keputusan kita ya mestilah berdasarkan prinsip-prinsip.
- Jadi saya harap rakan-rakan penjawat awam yang dengar pada pagi ini. Bacalah. Insya-Allah saya hanya beritahu begini dengan rakan-rakan kita akan cuba lakukan sebaiknya dan tidak akan khianati amanah ini. Bagi saya setelah harungi liku-liku hidup yang pancaroba dan simpang siur yang getir, saya ada tekad yang sungguh-sungguh untuk melakukan yang sebaiknya untuk mengangkat kembalikan maruah negara ini sebagai negara yang hebat dan cemerlang itu memang kedegilan saya.
- Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan rakan-rakan penjawat awam yang bersama mengharungi ini. Bukan sahaja kita mampu, kita mesti lakukan ini tunjuk negara yang dipimpin oleh orang Islam tapi ada kebijaksanaan ada kepintaran ada keinginan untuk mengangkat martabat rakyat dan negaranya.
Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR