
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI TAHUN 2025
PERINGKAT NEGERI KELANTAN
12 APRIL 2025 | SABTU | 10.30 PAGI
DATARAN PARKING PANTAI IRAMA
BACHOK, KELANTAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
Alhamdulillahil quail,
Waman ahsanu qawlan mimman daaaila Allahi waamila salihan
Waqalainnanee mina almuslimeen
Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim,
Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen.
Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud,
Menteri Besar Kelantan;
Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad,
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam;
Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,
Menteri Komunikasi;
Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Ketua-Ketua Perkhidmatan;
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan;
Ahli-Ahli Yang Berhormat;
Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri;
dan rakan rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama, dan saya lihat hadirin termasuk ulama dari negeri Kelantan dan Patani yang turut menyerikan majlis dan mendoakan kesejahteraan kita bersama. Saya ucap terima kasih atas kesediaan atau Menteri Besar memberi kerjasama penuh kepada inisiatif untuk ikhtiar Kerajaan Persekutuan menyantuni rakyat melalui Majlis Aidilfitri MADANI, di Bachok, di kawasan Pantai Irama yang indah dan permai ini.
- Dan seperti mana Yang disebut oleh Dato’ Menteri Besar kerjasama di antara Persekutuan dan Negeri itu harus dimantapkan. Supaya faedah dan manfaat kepada rakyat itu terasa. Sebab itu saya ambil pendekatan yang belum dilakukan sebelum ini. Iaitu dalam setiap kunjungan kita ada Majlis Mesyuarat langsung dengan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai negeri dan disertai oleh KSN dan pegawai pegawai kanan. Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian Persekutuan untuk mendengar dan cuba menyelesaikan. Dan ini berbeza dengan kadang-kadang apa yang kita dengar di luar, ini mesyuarat kedua yang kita adakan selain daripada mesyuarat Yang diadakan di Putrajaya. Yang diminta oleh Menteri Besar dan pegawai kanan Kerajaan Negeri Kelantan.
- Kelantan telah menetapkan beberapa projek utama. Tahun ini saya memutuskan supaya projek tebatan banjir yang mengikut fasa kerana belanjanya sangat tinggi, patut disegerakan, kerana kita tak sanggup lihat setiap tahun, Kerajaan silih berganti, Kerajaan Persekutuan pun begitu rupa tetapi masalah banjir tak terkawal.
- Jadi sebab itu saya minta PETRA dan juga Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan melihat beberapa kaedah baru. Di negeri ini kadang-kadang airnya melimpah, jenuh banjir, mari bulan-bulan berikut kering kontang air tidak ada. Allah berikan kita kekuatan, ikhtiar, dan teknologi. Apa air yang melimpah itu tak boleh disimpan untuk musim kemarau? tentu saja boleh, sebab itu kita berikan pendekatan baru dan saya ucap terima kasih Kerajaan Negeri bagi kerjasama. Pengambilan tanah harus lebih cepat dan dalam mesyuarat tadi pun kita telah menyenaraikan beberapa projek yang harus disegerakan.
- Jadi elok pada kesempatan ini saya nak betulkan kadang pandangan, kita dengar sendiri semangat yang ditunjukkan oleh Menteri besar berlandaskan Al Qur’an Nul Karim – wata’awanu alal birri wat taqwa, wala ta’awanu alal ithmi wal udwaaan – maknanya Kerjasama. Kita ada sedikit sebanyak perbezaan tetapi kerjasama untuk mengangkat martabat negeri dan negara, kerjasama untuk menyantuni masalah rakyat yang miskin, yang terbiar, yang terpaksa hadapi masalah banjir dan kemarau itu mesti diselesaikan. Dan ini bukan agenda parti tetapi agenda negara. Dan negara Malaysia sekarang ini sudah sampai tahap di mana dihormati.
- Saudara bayangkan dalam sejarah kita, pemimpin-pemimpin dunia hubungi. Beberapa minggu lalu seluruh pemimpin ASEAN kita hubungi. Presiden dan Tuanku Sultan Brunei, Perdana Menteri. Dua hari yang lalu, Perdana Menteri New Zealand, sebelum itu Presiden Perancis, esok, Perdana Menteri Ishiba Jepun. Semua menghubungi saya bukan kerana Perdana Menteri, kerana Kerajaan di negara kita ini stabil. Dasar-dasar ekonomi itu dianggap menarik, mampu menarik pelaburan. Dan dalam kita menghadapi keputusan Presiden Donald Trump yang terbaru menetapkan tarif yang tinggi, tarif ini maknanya cukai yang tinggi untuk kemasukan barang-barang eksport kita.
- Kita di Malaysia ini negeri dagang, kita eksport, kita minta pelaburan datang. Dan tinggi sekali dengan Amerika Syarikat, Jerman dari segi pelaburan, negara China dari segi dagang dan pelaburan. Tak semena-mena Presiden Donald Trump letakkan sangat tinggi. Saya tentunya bimbang kerana kalau ini berlaku terjejas ekonomi, terjejas, pelaburan, pekerjaan terjejas. Jadi kita hubungi semua negara-negara ASEAN. Nasib baik Trump telah menangguhkan kepada banyak negara termasuk beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia yang terlepas buat sementara waktu daripada tekanan itu, tetapi mengenakan cukai dan tarif yang terlalu tinggi kepada negara China.
- Saya pilih untuk sebut perkara ini saudara-saudara di Kelantan, kerana ini juga menyentuh kepentingan kita. Jangan ingat ini soal politik antarabangsa, tidak. Bila dikenakan tarif yang begitu tinggi ke negara China, ini bermakna apa? Ini bermakna dagangan kita dan pelaburan dari negara China itu juga akan terjejas. Sebab itu saya syukur alhamdulillah kerana keputusan kita bersama ASEAN itu mantap. Pendirian kita bersama, semua bagi mandat kepada saya untuk berunding dengan Amerika Syarikat, dan dalam beberapa hari lagi Presiden Xi Jinping, Presiden negara China akan membuat lawatan dan kunjungan rasmi di Malaysia dan kita akan beri pengakuan.
- Soal dasar mana-mana negara itu keputusan mereka. Malaysia ada dasar kita yang disebut Kita berkawan dengan semua. Kita berhak bagi pernyataan yang tegas seperti mana pendirian mengenai Palestin dan Gaza, kenyataan Malaysia itu di antara yang paling keras di dunia, di depan Presiden Biden, di depan Canselor Olaf Scholz, dalam medan-medan antarabangsa kerana kita pertahankan hak asasi dan keadilan, dan tidak wajar diizinkan negara moden dan bertamadun sekarang ini mengizinkan kezaliman, penindasan, pembunuhan seperti yang berlaku ke atas umat Islam Arab Palestin di Gaza.
- Dan sebab itu hubungan kita dengan negara China sama. Walaupun ada negara seperti Amerika tidak senang, itu masalah dia. Kita tetap berkawan dengan semua negara jiran kita. Dan tetap jaga kepentingan rakyat kita. Rakyat kita mesti mendapat pembelaan, mesti dapat peluang pekerjaan yang baik, mesti dapat pelaburan baru. Kalau dari Amerika, kita terima. Dari Arab, kita terima. Dari China, kita terima.
- Akhir bulan Mei insya-Allah, Malaysia akan catat satu lagi sejarah. Kali pertama kita anjur sidang Ketua-Ketua Negara ASEAN bersama Ketua-Ketua Negara Teluk Arab maknanya Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman, Bahrain, dan Iraq. Maknanya, mengadakan persidangan ASEAN GCC. Dan kita juga jemput negara China dan ada kemungkinan besar Perdana Menteri Premier Li Qiang akan turut hadir.
- Jadi alhamdulillah saudara-saudara, kerana sistem kita ini, keamanan kita dan pertumbuhan ekonomi yang begitu baik, kita mendapat perhatian dunia dan mengadakan sidang di sini. Pertama kali di negara ASEAN, ada sidang ASEAN, Negara-Negara Teluk, dan kita undang China. Sikap kita cukup terbuka. Tetapi, terpulang kepada kita menonjolkan keupayaan kita. Negara ini harus bersih. Jangan izinkan tiris dan rasuah. Negara ini harus cekap. KSN dan seluruh jentera pegawai harus menunjukkan keupayaan mereka membawa perubahan supaya tahap kecekapan itu dihormati. Rakyat harus Bersatu, dan kemudian golongan pekerja tingkatkan produktiviti mereka.
- Jadi saya mulakan mukadimah itu untuk menunjukkan kita ini tidak terlepas daripada perkembangan peringkat antarabangsa. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan kita harus terus mendoakan kehadrat Allah S.W.T kerana doa itulah senjata bagi orang mukmin. Kita boleh ikhtiar, tetapi kita mesti fatawakkal ‘ala Allah, innallaha yuhibbul mutawakkilin.
- Di Kelantan mengenai projek, saya juga nak betulkan, Dato’ Menteri Besar dia faham. Tetapi kadang-kadang di bawah ini banyak orang tanya Anwar, kenapa Kelantan dan Terengganu di anak tirikan, wang ehsan tak sampai, jadi saya nak jelaskan. Jangan bekeng-bekeng, tak ada makna, kita gocoh buat gapo dia (nada bergurau). Kita kena sahabat. Jadi saya nak terangkan kerana saya hormati dan terima baik persahabatan yang ditunjukkan oleh pimpinan kerajaan negeri Kelantan khususnya Dato’ Menteri Besar. Dia pun Panglima, saya pun Panglima. Jadi kita teruskan untuk faedah rakyat.
- Saya nak bagi contoh umpamanya, pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan, kalau termasuk wang ehsan. Tahun 2023, RM588 juta. Bagi tahun 2024 naik RM762 juta. Di Terengganu tahun 2023, RM1.5 bilion. kerana wang ehsan tu tinggi, tetapi tambahan daripada Kerajaan Persekutuan RM2 bilion. Saya nak sebut perkara ini supaya kita faham angka itu. Ekonomi, statistik tak boleh kita kelirukan angka. Maknanya daripada tahun 2023, kenaikan Kelantan 30%, kenaikan Terengganu 28%. Hasil Kelantan tentu kita tahu terbatas. Kalau kita nak ungkit umpamanya, hasil Kelantan sedikit, kita belanja sedikit., itu tidak boleh, sebab masalah banjir besar di Kelantan, masalah air belum selesai, masalah lebuh raya dan jalan, semua kena selesaikan. Masalah petani miskin, nelayan, kita harus bantu.
- Jadi sebab itu, saya nak sebut di sini bahawa untuk Kelantan, hasil yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan itu lebih daripada hasil yang diperoleh oleh negeri termasuk dari wang ehsan. Penyaluran ini dibangkitkan, tapi saya nak sebut di sini angka dulu. Saya tak mahu orang anggap kita ambil wang ehsan. Ada orang kata kita ambil wang ehsan di Terengganu, kita buat projek di Pulau Pinang. Tak betul. Kelulusan projek kita di Terengganu itu jauh lebih tinggi. Terengganu itu adalah antara tiga negeri yang mendapat peruntukan terbesar di Malaysia yang melebihi satu bilion ringgit, lebih daripada Kelantan. Tiga negeri tertinggi itu adalah negeri Sabah, Terengganu, dan Sarawak. Tertinggi, bukan sebab keistimewaan yang kita berikan, sebab hasil dia dan juga tahap pembangunannya.
- Kemudian untuk tahun ini Kelantan Menteri Besar, kita tambah lagi program, peruntukan untuk Program Rakyat Miskin, menjadikannya RM25 juta dan Terengganu RM60 juta.
- Projek pembangunan. Tahun 2022, ingat 2022 Kerajaan sebelum itu sebelum saya. Berapa peruntukan untuk Kelantan? RM1.5 bilion pembangunan semuanya RM1.5 bilion. Baik, saya Perdana Menteri, Kerajaan bertukar dan Kerajaan Kelantan bukan sama dengan Kerajaan Persekutuan dari segi politiknya. Jadi orang kata, oleh itu kita tidak beri pertimbangan, sekali lagi tidak benar. Saya nak bagi angkanya. Tahun 2022, RM1.55 bilion. Tahun 2025, RM3.19 bilion, dua kali ganda.
- Jadi tidak apa lah kalau tak setuju dalam beberapa perkara, tetapi janganlah pergi cerita kata tak ada peruntukan, dua kali ganda. Masa kita belum perintah, RM1.5 bilion. Sekarang kita ada kuasa. Saya bukan pilih kerana Kelantan, kerana keperluan, pembangunan tertinggal, masalah apa? Banjir, air, jalan, perumahan orang miskin. Ini yang kita tekankan. Jadi saya harap dimengerti hal ini. Ini termasuklah tadi yang kita sebut projek jalan yang kita sudah lulus. RM500 juta untuk Loji Rawatan Air Machang, RM100 juta untuk Rumah Mesra Rakyat dan RM50 juta ringgit untuk pekebun kecil getah di bawah RISDA.
- Sama juga macam di Terengganu, peruntukan Pembangunan 2022, RM1.06 bilion ringgit ditambah RM1.84 bilion ringgit untuk tahun 2025. Hampir semua yang hadir terima sama ada Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ataupun Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Setiap bulan SARA dapat RM100. STR, saya tambah tiap tahun. Tahun ini, RM13 bilion ringgit daripada Kerajaan Persekutuan bagi langsung kepada setiap keluarga. Berapa jumlah? 9 juta orang dapat keseluruhannya RM13 bilion ringgit. Jadi janganlah nak kata tidak ada langsung perhatian. Belum ada lagi dalam sejarah kita bagi kepada 9 juta rakyat berjumlah RM13 bilion ringgit. STR ini termasuklah bujang yang kita beri RM600, dan STR ini YAB Dato Menteri Besar, Kelantan ini tinggi. Berapa orang dapat STR di Kelantan? 608,000 orang dengan berjumlah RM297 juta. Walaupun yang paling tinggi di Kedah dan yang kedua Terengganu 394,000 orang dengan RM195 juta ringgit.
- Saya sebut perkara ini sekali lagi, saya minta maaf kerana saya nak jelaskan. Kadang-kadang saya dengar ceramah ini, dia seolah-olah kita zalim, kita menindas rakyat, menekan rakyat, naik barang sahaja, naik elektrik, betul naik elektrik untuk siapa? Untuk rakyat tak naik, yang naik elektrik untuk orang kaya, 15 peratus yang saya kata maha kaya dan orang asing. Orang Thai mari sini dia bayar elektrik. Orang Bangladesh yang kerja, dia bayar elektrik. Jadi untuk dia, dia bayar kadar tanpa subsidi. Tapi kalau yang kita dengar, barang, Anwar, pemberian itu, barang naik. Ini saya nak kena jawab, minta maaf. Tidak ada peluang nak jawab pasal saya tidak pergi kempen Ayer Kuning. Yang tu saya serahkan kepada YAB Menteri Besar dengan YB Nik Nazmi.
- Baik, penerima SARA berapa orang di Kelantan dapat? Tahun 2024, iaitu tahun lalu, 134,000 orang saja ambil SARA di Kelantan. Tahun ini, yang dapat SARA tiap-tiap bulan RM100 ini, mereka pergi kedai, bila ambil tu doa sikit minta Allah, doa panjang umur sihat, jangan lupa. Kita bagi pada 387,000 orang yang dapat SARA. Jadi belanjanya, satu bilion lebih, iaitu RM1.1 bilion ringgit.
- Jadi saya tekankan perkara ini supaya elakkanlah. Kita boleh tegur, bagi pandangan macam tadi mesyuarat. Walaupun sudah dapat ini YAB Menteri Besar guna itu, dia bercakap bagi pihak rakyat. Dia tak minta elaun daripada saya. Dia minta Kerajaan Persekutuan timbang lagi projek. Jadi saya kata, kita tengok kewangan kita. Kalau kita mampu apa dia keutamaan kita? Air, tebatan banjir, rakyat miskin itu keutamaan kita. Apa kita tidak beri? kita beri.
- Ramai yang hadir di sini pegawai-pegawai Kerajaan. 12 tahun, 12 tahun tidak ada kajian semula Sistem Saraan. Jadi, dua tahun yang lalu saya pergi ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki bin Ali masa itu, kemudian sekarang Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, kita kata tidak boleh. Mana boleh orang lain semua naik 12 tahun pegawai Kerajaan tidak dikaji semula. Kita buat kajian, kita naikkan. Jadi tahun ini naik berapa? Pegawai tinggi naik sedikit, Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang ada ini naik, tapi naik sedikit. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dia naik sedikit. Yang bawah naik banyak. Ini juga pendekatan yang baru. Ada orang terima kasih, tidak terima kasih tidak apalah tapi jangan kutuk saya lagi dah. Sebab, kita naikkan berapa jumlah tahun ini? ini YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican ada, Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Bukan mudah. Ini saya sebut bagi rakyat langsung RM13 bilion ringgit, banjir lagi RM4 bilion bagi pada pegawai-pegawai Kerajaan naik RM10 bilion ringgit bagi kepada STR RM13 bilion ringgit. Untuk naik gaji ini tahun ini kita bayar RM10 bilion ringgit. Tahun depan kita punya unjuran RM18 bilion ringgit tambahan.
- Jadi saudara-saudari yang dimuliakan, saya pilih untuk menjelaskan hal-hal ini untuk mengelakkan daripada salah faham. Saya boleh ditegur. Belum buat itu, belum buat ini. Belum cukup, minyak belum turun lagi. Tengok keadaan tuan-tuan. Saya dua tahun lebih bagi peluang insya-Allah. Apa yang kita mampu kita lakukan. Apa yang kita bantu, keupayaan kita. Yang saya tidak tolak ansur sama sekali dan saya perang dalam Kerajaan apa dia? Saya tidak izinkan mana-mana pegawai atau orang politik guna peruntukan Kerajaan untuk salah guna tender dan sakau untuk kekayaan diri mereka. Yang itu saya isytihar perang dengan mereka. Kerana kalau sistem ini tidak betul, dapat hasil banyak pun dia hilang. Dapatlah hasil banyak pun kalau masing-masing nak kaya diri sendiri, dia guna, dia nak meniaga dia berniaga. Tapi kalau dia guna kedudukan dalam Kerajaan, jadi Perdana Menteri mesti kaya, jadi Menteri Kewangan mesti jadi billionaire, lingkup negara.
- Sebab itu, saudara-saudari kena faham mengapa saya ambil sikap walaupun orang kata pilih-pilih kasih. Itu bukan kerja saya, yang siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dakwa Peguam Negara, yang putuskan itu mahkamah. Saya sudah dua setengah tahun lebih jadi Perdana Menteri, sekali pun belum saya bercakap dengan hakim hendak campur urusan mahkamah. Kamu kaji, kamu teliti, kamu bertanggungjawab kepada Allah SWT. Jadi ini saya harap kita dapat faham kerana negara kita syukur alhamdulillah, Wa idz ta’adzdzana robbukum lain syakartum laazidannakum walain kafartum inna adzabi lasyadid. Kita syukur atas nikmat yang ada. Kita bekerja lagi kuat, kita bersyukur kepada Allah SWT dan Allah SWT menuntut kita melakukan apa-apa tindakan menegakkan yang maaruf, menegakkan keadilan, menolak kemungkaran dengan kezaliman. Dan kuasa yang ada sama ada sebagai Perdana Menteri ke, Menteri Besar ke, wakil rakyat ke mesti ingat kita juga bertanggungjawab. Jangan hanya ikut selera dan lepas ikut suka saja. Sebab itu, saya rayu kepada saudara-saudara, kekalkan semangat perpaduan ini dan bekerja kuat untuk jaga negara kita.
- Saya yakin kalau prestasi kita begini, lonjakan ekonomi begini insya-Allah Malaysia dalam satu dua tahun ini kita boleh lagi lonjak keupayaan kita sebagai satu negara hebat di rantau ini. Saya yakin insya-Allah, syaratnya pimpinan politik, pegawai-pegawai Kerajaan, guru-guru dan para ulama itu menjalankan peranan kita masing-masing, mengangkat martabat harakat dan darjat umat dan negara kita tercinta.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR