
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI TAHUN 2025
PERINGKAT NEGERI PAHANG
11 APRIL 2025 | JUMAAT | 8.00 MALAM
PANTAI BATU HITAM, BESERAH
PAHANG
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Saudara-saudara;
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri;
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail,
Menteri Besar;
Yang baru lagi dilantik sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera seluruh Malaysia. Ini kerana prestasi dia sebagai Menteri Besar membanggakan dan menyantuni rakyat dengan baik. Saya nak manfaatkan supaya beliau dapat bantu saya dan Datuk Seri Ahmad Zahid menjelajah ke seluruh negara menyantuni usahawan bumiputera dan mencari kaedah dan jalan untuk meningkatkan martabat peniaga dan usahawan bumiputera seluruh negara.
Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi;
Sekarang sudah jadi Datuk.
Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara,
Orang Pekan;
Rakan-rakan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan Rakyat;
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam:
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha;
Terima kasih banyak atas kesudian-kesudian bersama-sama. Saya tengok semangat orang Pahang ini luar biasa, salute dan terima kasih.
- Ini saudara-saudara semangat kita nak tunjukkan; silaturrahim, hormat menghormati, ihsan, rahmah cari jalan selesai masalah. Hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan sangat baik dan gunakan peluang itu bukan dia minta saham daripada saya, jawatan ini saya bagi pun tak ada elaun. Itu saya belum bagi tahu dia lagi. Kita bagi dia kemudahan untuk dia dengan bebas menjelajah ke seluruh negara. Dia tak pernah minta projek untuk diri dia, yang dia bawa tadi dalam Mesyuarat dan Tanah Kerajaan Persekutuan, Ketua Setiausaha semua ada. Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan ramai lagi saya tidak sebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dan semuanya. Itu untuk pastikan Perdana Menteri, pemimpin Kerajaan Persekutuan dengar keluhan rakyat Pahang dan cari jalan menyelesaikan masalah. Itu tugas kita Kerajaan MADANI.
- Jadi saya hendak nasihat semua rakyat, ada masalah kita bangkitkan. Mana ada boleh satu negara selesai masalah semua sekali. Tapi kita buat. Kita cuba sebaik sedaya upaya kita, In uridu illal-islah mastata’tu. Kita cuba sedaya upaya kita untuk perbaiki masalah. Ada orang kata, kita janji tak tunaikan.
- Saudara-saudari, ramai yang penjawat awam hadir pada malam ini. 12 tahun tidak diberi perhatian kajian semula skim gaji mereka. Kita ambil perhatian kerana mereka dipaksa kerja kuat, tatakelola harus diperbaiki. Cabaran baru, tenaga, digital, AI, pelaburan harus masuk segera. Malaysia sekarang terangkat. Prestasi pelaburan baik. Prestasi pertumbuhan baik, inflasi terkawal sebab itu saya bertanggungjawab bersama dengan Datuk Seri Ahmad Zahid bin Hamidi dan rakan-rakan Jemaah Menteri tambah, tingkatkan gaji mereka. Siapa kata kita tidak buat apa-apa? Kita lakukan.
- Gaji Menteri dan Timbalan Menteri tidak naik. Gaji penjawat awam kita naikkan kerana tidak diberi perhatian selama 12 tahun. Berapa kesan gajinya? Untuk satu tahun tambahan 10 bilion ringgit. Maknanya kita ambil tahu. Ketua Setiausaha Negara ada di sini. Bila kita naik skim gaji, ini kali pertama yang bawah ini, yang peringkat rendah itu naik lebih tinggi daripada peringkat atas. Jadi peratus kenaikan umpamanya polis yang di bawah, kenaikannya lebih tinggi daripada Ketua Polis Negara. Tetapi ini pendekatan kita saudara-saudara.
- Tiap-tiap bulan kita dapat SARA, kita dapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekarang sudah cecah 9 juta orang yang dapat. Bagaimana kita kata kita tidak dapat dapat apa-apa? Apa jenis manusia ini? Wa idz ta’adzdzana robbukum lain syakartum laazidannakum walain kafartum inna adzabi lasyadid. Tanda syukur. Kita Jalan. Jangan ambil wang yang bukan hak kita. Jangan sakau. Jangan ambil projek untuk peribadi kita. Untuk pastikan negara ini hebat, itu matlamat saya.
- Jadi sebab itu saya katakan, untuk STR berapa jumlahnya? Sudah cecah 13 bilion ringgit. Tapi kalau kita dengar ceramah-ceramah politik di belakang, di kampung, tak ada buat apa. Ini yang 10 bilion untuk pegawai, 13 bilion untuk rakyat, untuk 9 juta orang tak ada buat apa-apa. Jadi saudara-saudara boleh dengar tapi jangan pakai.
- Malaysia ini sudah sampai tahap kita boleh angkat kedudukan kita, orang hormat kita. Semalam, cuba bayangkan, Perdana Menteri New Zealand telefon. Esok, Perdana Menteri Jepun hubungi saya. Dua tiga hari yang sudah, Presiden Indonesia datang kata, Pak Anwar, boleh ketemu sebentar? Saya ingat okey, di mana? Oh saya datang, kita makan dan bincang soal ekonomi Malaysia – Indonesia dan kerjasama tarif Presiden Donald Trump dan mana kita boleh kerjasama. Ini dia nama dan imej di Malaysia sekarang. Jagalah negeri ini baik-baik. Pilih wakil-wakil yang boleh jaga kepentingan kita, yang mampu tadbir dengan baik. Yang tidak timbulkan permusuhan.
- Hari ini, yang ramai orang Islam, saya lihat orang Cina Buddhist pun ada, orang India ada, orang Asli ada. Kita santuni sama, dia makan yang sama, dia solat lain-lain. Dia makan yang sama, dia sahabat sama. Apa salahnya? Di mana yang kita terpaksa tunduk kepada parti Cina? Di mana yang saya dan Datuk Seri Zahid menjadi perkakas kepada orang? Apa kamu ingat, kami ini murah macam kamu? Apa kamu ingat, kami ini boleh jual maruah kami seperti kamu? Tak betul saudara-saudara. Cakap berdegar-degar Melayu, cakap berdegar-degar Islam. Bila ada kuasa, apa yang kamu buat? Bila ada kuasa apa yang kamu betulkan?
- Dan sebab itu, saya ambil kesempatan ini. Untuk Menteri Besar, saya tahu majlis ini majlis santun Aidilfitri MADANI. Tapi ini kesempatan saya menjelaskan. Ada Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning, ini kesempatan maki hamun. Perdana Menteri bohong, tak buat apa-apa. Kita saudara-saudara daripada pagi sampai malam untuk jaga rakyat ini. Saya lalui hidup yang derita terlalu lama. Lokap mana, penjara mana, saya lalui. Tapi sekarang Allah takdirkan saya Perdana Menteri. Saya mahu melakukan sebaiknya, nak buktikan bahawa orang Melayu ini boleh pimpin dengan baik. Nak buktikan Malaysia boleh angkat. Ini dia matlamat kita. Sebab itu kita berpakat bersama-sama.
- Ini ada sahaja mikrofon start daripada awal memaki orang, dah ada Kerajaan, dah jadi Perdana Menteri, apa yang dia buat? Tipu sahaja. Sudahlah, tak betul! Naik harga elektrik. Saya naik untuk siapa? Kita naik elektrik itu untuk orang asing. Untuk orang kaya 15% terkaya. Yang ada di sini siapa yang naikkan? ada yang kena bayar kadar elektrik yang tinggi? Tidak ada. Sebab apa saya naikkan kadar elektrik bagi orang kaya? Sebab kita bayar subsidi untuk orang asing 3 juta orang lebih. Kita bayar cukai, dia dapat subsidi elektrik. Kita bayar cukai orang kaya paling kaya di Malaysia ini pembayar, dapat subsidi. Apa salah dasar itu? Kalau saya tak naikkan, dari mana saya nak bagi projek tadi? Jumpa Menteri Besar, ahli masyarakat dan negeri, nak sekolah baru, nak tambah hospital, membesarkan hospital, nak baiki lebuhraya, nak baiki projek Klinik Kampung Orang Asli, dari mana wang itu? Dari cukai orang kaya. Jadi tolong faham saya minta rakan-rakan terima kenyataan Malaysia ini kita juga hadapi bukan kurang masalah, banyak juga masalah.
- Minggu lalu Presiden Donald Trump, Amerika buat kejutan tak semena-mena naik cukai, ada naik 50% Vietnam Cambodia, 30% Indonesia, kita 24%, Thailand 30%. Akan kesan nasib baik dia tangguhkan pelaksanaannya.Tetapi kita tak boleh bergantung kepada orang asing, perpaduan kita harus kuat. Kerja kita harus kuat, program kita harus baik, pelaburan mesti datang, pekerjaan anak-anak terjamin. Saya tidak peduli apa pelaburan itu dari Amerika, ya silakan, Delhi India silakan, dari Negara China ya. Kerana kita nak jaga kepentingan supaya anak-anak kita dapat kerja dengan baik.
- Saya lalu tadi saya tanya seorang, saudara kerja di mana? dia kata Lembaga Pelabuhan Kuantan. Bagaimana sekarang? Sekarang rancak kegiatannya? Kalau rancak kegiatan,pPendapatan boleh tingkat. Itu matlamat kita saudara-saudara. Jadi saya harap kita guna peluang ini, dunia iktiraf kita kerana kita aman. Tengok negara lain kucar-kacir.
- Kita hendak jadi negara Muslim yang baik. Oh! nak tolong Gaza bagaimana nak tolong kalau kita miskin papa kedana. Kita boleh tolong kalau kita ada keupayaan. Kenapa saya berani bercakap depan dulu Presiden Biden, depan Canselor Jerman? Sebab apa? Sebab saya tahu Malaysia ini bersatu, kuat!. Saya tahu ekonomi kita mantap. Kalau negeri kita hampir bankrap tak boleh saya bercakap lagi bankrap negeri ini. Sebab itu saya nak guna kesempatan ini. Esok saya di Kelantan pagi, petang di Pulau Pinang saya nak guna kesempatan nak terang betul-betul. Ada orang kata Terengganu dianak tirikan. Saya dah bagi dah baca kenyataan, dana kita bagi kepada Terengganu jauh lebih tinggi daripada dana semasa Kerajaan Perikatan Nasional perintah.
- Masalah banjir di Pahang kita bantu, di Selangor kita bantu, Kelantan kita bantu dengan kos tertinggi kerana masalah banjir, saya bukan peduli kata dia oh kerana dia Negeri PAS. Tidak ada, tetapi apa yang dia buat? dia jawab, dia hamunnya kita, dia kata kita zalim tak bagi perhatian, tak bagi wang ehsan. Ini wang kita bagi itu berkali ganda lebih daripada wang ehsan. Untuk pendidikan, untuk kesihatan, untuk kemudahan asas untuk tebatan banjir. Yang ini kita lakukan sebab itu rakyat harus sedar jangan tertipu dengan pakaian. Jadi terpukau dengan janji-janji palsu rakyat harus terdedah ikut fakta, dengar, nilai dengan baik, selamatkan negara kita, selamatkan Negeri Pahang dan Negara Malaysia.
- Ini sahaja, minta maaf zahir batin dan kita santai malam ini. Saya ucap terima kasih kerana jarang ke Pahang. Saya ada minta kebenaran daripada saudara Datuk Seri Zahid tadi, saya nak bercakap luahkan supaya kita boleh sama-sama tumpu perhatian. Daripada kita kucar-kacir bergaduh sana sini. Semoga Allah memberikan kekuatan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- MA63: PERJANJIAN HARUS DIPEGANG, MESTI DITUNAIKAN – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM