TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI TAHUN 2025 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

PROGRAM MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2025

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

 

 

12 APRIL 2025 | SABTU | 3.30 PETANG

 

PENANG INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICCA)

BUTTERWORTH ARENA, PULAU PINANG

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera

 

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong,

Menteri Sumber Manusia;

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Speaker Dewan;

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan negeri Pulau Pinang;

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

  1. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang membantu menyelenggarakan dan menjayakan majlis. Malam semalam saya di Pahang, pagi tadi saya di Kelantan dan sekarang di sini. Saya lihat alhamdulillah, dalam semua majlis ini sambutan rakyat baik. Orang Islam bersama dengan orang Cina, India dan Orang Asli itu turut merayakan dengan keadaan yang sangat aman dengan penuh rasa kasih sayang dan hormat-menghormati. Tahniah rakyat Malaysia semua!
  1. Ini membuktikan apa? Ini membuktikan bahawa rakyat, di peringkat rakyat keadaan itu baik, hubungan kaum itu baik. Saya dibesarkan di Bukit Mertajam dan memang Bukit Mertajam, kawasannya itu pelbagai kaum. Kita tidak ada ketegangan, tidak merasakan itu, masalahnya hanya apabila tokoh- tokoh politik yang sudah bankrap idea dia hasut supaya benci satu sama lain. Kalau kita tengok hari ini, berapa ribu orang Melayu, berapa ribu orang Cina, berapa ribu orang India makan satu meja dan tidak ada rasa iri hati atau permusuhan? Saya minta rakyat lihat kepentingan kita, kekuatan kita kerana tidak banyak negara pelbagai kaum yang boleh catat rekod seperti di Malaysia.
  1. Pulau Pinang sebagai satu contoh, mana ada negara dengan masyarakat pelbagai kaum yang boleh menjaga keharmonian. Sebab itu kita salute orang Pulau Pinang!, kita salute rakyat Malaysia!. Kalau ditanya untuk apa kita berpakat dan bersatu? Bila politik ini stabil, rakyat pelbagai kaum bersama-sama, kita tumpu pembangunan, maka kita catat pertumbuhan ekonomi yang baik di Pulau Pinang.
  1. Jadi pusat semikonduktor. Pulau Pinang, Kulim, Selangor, Johor, Negri Sembilan, Melaka. Jadi kita lihat perkembangan itu semarak dan sekarang ini Sarawak dengan peralihan tenaga, hidrogen dan gas, kemudiannya Sabah dengan strategi ekonomi biru mereka. Jadi kita berpakat tumpu bangunkan negara.
  1. Ketua Menteri sebut tentang ancaman atau masalah dibangkitkan bila Presiden Donald Trump umumkan soal tarif. Kita bimbang kerana Malaysia dan khususnya Pulau Pinang eksport semi konduktor itu tinggi, mencecah RM 200 bilion dan 65% ke Amerika Syarikat. Sekarang belum berkesan, tapi saya boleh menasihat Ketua Menteri dalam setiap ujian setiap krisis kita boleh mengeluh, kita boleh mengalah atau kita kerahkan tenaga, cari jalan baru. Kalau ikut teori ekonomi, kalau Joseph Schumpeter dia kata agile of creative destruction. Bila keadaan itu mula gawat dan kacau, cari Jalan untuk bangkitkan semula.
  1. Maka kita guna kekuatan Malaysia, hubungan baik dengan Amerika dengan Eropah, hubungan baik dengan negara China dan negara-negara jiran ASEAN. Saya s udahhubungi semua kawan-kawan saya negara ASEAN semuanya berpakat, mereka kata teruskan usaha cari Jalan atas nama dan semangat ASEAN, 10 negara ASEAN. Ini sangat baik saudara-saudara. Jadi kita bukan saja gerak sebagai Malaysia, kita gerak sebagai satu kekuatan, tapi syaratnya kita mesti jadi contoh baik. Malaysia mesti aman, ekonomi mesti stabil, dasar ekonomi mesti jelas, rakyat mesti gigih bekerja dan perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada, Amalan-amalan buruk, kemalasan, lembap kelulusan, rasuah itu mesti kita hentikan dan kita mesti ambil sikap yang berani untuk bawa perubahan-perubahan ini. Dan kalau ini berlaku saya percaya insya-Allah kita boleh bawa perubahan yang kita kehendaki.
  1. Tapi ini tentunya tidak disenangi oleh pihak-pihak kecil yang rasa kesal dengan kejayaan kita, sama ada dalam negara atau luar negara. Ada orang yang tidak senang dengan kejayaan, tapi kejayaan ini bermakna apa? Mengapa kita cari jalan selesai dengan baik soal dan permasalahan perdagangan? kerana kita nak jamin pekerjaan, kita nak tentukan ekonomi baik, kita nak sekolah-sekolah kita ditingkatkan kebersihan dan upaya termasuk soal digital, AI. Kita nak hospital-hospital kita lebih bermutu, klinik-klinik desa lebih berfungsi dan bermutu, kemudahan kemudahan jalan tidak pernah cukup. 20 tahun dulu kita tidak fikir soal AI, sekarang kita terpaksa. 20 tahun dulu kita tidak fikir keperluan LRT di Pulau Pinang, sekarang kita terpaksa lakukan. Sebelum itu kita rasa lapangan terbang Bayan lepas sudah cukup besar, sekarang sudah sesak. Semua ini menuntut kita cari jalan kembangkan dan perbaharui.
  1. Apakah ini di Pulau Pinang sahaja? Saya dengar ada kempen di Air Kuning, mereka kata Anwar sebagai Perdana Menteri, dia ambil wang daripada Terengganu, dia bagi ke Pulau Pinang. Tadi saya umumkan hasil Terengganu, hasil Kelantan. Hasil campur wang ehsan itu jauh lebih kecil daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri. Saya bercakap di Kelantan tadi depan Menteri Besar. Saya kata yang kami kumpul sekian, tapi yang kami belanja, kenaikan daripada tahun 2022 sehingga tahun 2025, dua (2) kai ganda peruntukan yang kita beri kepada Kelantan soal banjir, soal bekalan air, sekolah, soal jalan-jalan. Jadi, jangan bawa isu iri hati, persaingan di antara negeri Pulau Pinang.
  1. Jika perlu kita majukan Kedah, baru ini saya lulus satu bilion ringgit untuk pesawah padi, kita luluskan kerana keperluan membantu pesawah padi dan keperluan sekuriti makanan untuk negara kita. Jadi, saya harap saudara semangat ini harus kita hidupkan dan dari segi masalah yang dibangkitkan tentang. tarif yang dikenakan itu kita harap mudah-mudahan melalui jalan-jalan perbincangan dan perundingan atas nama Malaysia dan atas nama ASEAN kita dapat leraikan dengan sebaiknya.
  1. Saya ingin sekali lagi menyatakan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ini masa hendak santai, hendak jumpa kawan kawan, mohon maaf. Ini bila saya dengar Ketua Menteri Chow kata Selamat Hari Raya, maaf zahir batin. Tahu tak, maaf zahir batin ini, negara Arab tidak ada cakap macam itu. Islam India tidak ada cakap macam itu, orang Islam di Afrika tidak cakap itu, hanya di kalangan orang Melayu dia mulakan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin. Kalau dia kata, maaf zahir sahaja mungkin orang tidak percaya. Apabila kata zahir dan batin, kita kena ikhlas maaf kerana kita ada kelemahan dan kekurangan, dan cari jalan supaya kita baiki semula, itu semangatnya.
  1. Mudah-mudahan semangat ‘mohon maaf zahir dan batin’, maknanya sungguh dalam itu, selalu orang cakap zahir batin ini orang bercinta saja melainkan Tok Batin Orang Asli. Jadi maaf zahir batin ini dengan ikhlas, zahir dia minta orang maafkan dan orang itu pun maafkan dia dan makna dia Ikhlas, bukan dia cakap mulut sahaja. Mudah-mudahan dengan semangat ini kita boleh pupuk semangat muhibah dan perpaduan yang sebenar.

           Terima kasih.

           Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.