BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) — Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuhkan hubungan Malaysia-Brunei Darussalam.
Sultan Hassanal Bolkiah yang berkenan memandu sendiri kenderaan yang dinaiki bersama anakanda Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Anwar dari Pangkalan Tentera Udara Malaysia, Subang, tiba di perkarangan Kompleks Seri Perdana pada 12.25 tengah hari.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Lawatan Khas Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia hari ini untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara Malaysia-Brunei Darussalam di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memanfaat kedua-dua negara.
Ini merupakan pertemuan julung kali antara baginda dan Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov lepas.
Sebelum majlis bermula, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam Ustaz Awang Abdul Aziz Juned memimpin bacaan doa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Selepas itu, Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta delegasi Brunei diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari.
Anwar dan Sultan Brunei meluangkan masa hampir sejam dalam pertemuan tersebut.
Pemimpin kedua-dua negara itu kemudian bertukar cendera kenangan sebelum mengakhiri pertemuan.
— BERNAMA