BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap perwakilan diplomatik Malaysia ke luar negara yang baharu, diharap dapat membawa pendekatan lebih segar dalam usaha menarik kembali pelaburan asing ke Malaysia.
Menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke luar negara yang baharu di Putrajaya hari ini.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan semoga dapat membawa nama negara terkait hala tuju dasar luar ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 11 perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara pada 2 Dis lepas.
Antara yang hadir dalam pertemuan hari ini ialah Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai, Duta Besar Malaysia ke Jerman Dr Adina Kamarudin, Duta Besar Malaysia ke Senegal Datuk Zainal Izran Zahari, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud.
Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Jordan Mohamad Nasri Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Ilham Tuah Illias, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Mohammad Azhar Mazlan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Badli Hisham Adam.
— BERNAMA
Similar Posts:
- PM ANWAR TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA
- PM ANWAR TIBA DI SINGAPURA UNTUK LAWATAN RASMI
- PM ANWAR HARAP RUNDINGAN TAHUNAN MALAYSIA-BRUNEI MUKTAMADKAN BEBERAPA PERKARA
- PRESIDEN JERMAN BERTEMU PM ANWAR DI PUTRAJAYA
- PERDANA MENTERI ADAKAN PERTEMUAN DENGAN RAKYAT MALAYSIA DI BRUNEI