BANGI, 17 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuba sendiri Menu Rahmah yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi ketika singgah makan tengah hari di Kafeteria Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Singgah makan tengah hari sambil beramah mesra dengan masyarakat sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran adalah rutin mingguan PM Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.
Pada kesempatan itu, PM Anwar dilihat mencuba beberapa Menu Siswa Rahmah yang disediakan antaranya ikan keli sambal, sayur dan ikan goreng.
Selain wakil pelajar, Perdana Menteri turut ditemani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan universiti.
Menu Siswa Rahmah adalah inisitiaf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditawarkan pada harga serendah RM3.50 dan sehingga kini sebanyak 20 universiti awam (UA) seluruh negara serta politeknik telah menawarkan menu tersebut sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pelajar UA daripada kumpulan keluarga B40.
Selesai menjamu selera, PM Anwar kemudiannya menyertai warga UKM menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia yang terletak kira-kira 500 meter dari Kafeteria Randau Rasa.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai ribuan jemaah Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Bandar Tun Razak, di sini menunaikan solat hajat bagi memohon kesejahteraan rakyat dan negara serta perlindungan dari musibah banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menyertai solat hajat yang diimamkan imam masjid berkenaan Ahmad Fakhruddin Tahir yang diadakan sejurus selepas Solat Jumaat.
Terdahulu, Ahmad Fakhruddin dalam khutbahnya menyentuh mengenai ujian dan dugaan yang boleh menimpa sesiapa sahaja dan mengingatkan bahawa Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya yang reda dalam menghadapi setiap ujian.
Khutbah bertajuk ‘Menyubur Keinsafan Di Sebalik Musibah’ itu juga menyentuh mengenai kepentingan mengamalkan sikap berwaspada dan kesiapsiagaan setiap masa di samping meletakkan kebergantungan kepada Allah pada setiap masa.
Jemaah juga diingatkan mengambil peluang berbakti dan bersama-sama menyumbang tenaga membantu mangsa banjir dengan membersihkan kediaman mangsa, premis-premis awam seperti sekolah, masjid dan surau.
Usai solat hajat, Perdana Menteri mengambil peluang untuk bertegur sapa serta bersalam-salaman dengan para jemaah sebelum bergerak pulang.
— BERNAMA
Similar Posts:
- ANWAR HADIR PROGRAM MUNAJAT AMBANG TAHUN BAHARU 2023
- ORANG RAMAI DIJEMPUT MERIAHKAN MUNAJAT AMBANG TAHUN BAHARU 2023 DI MASJID PUTRA ESOK
- KEHADIRAN PM KE JOHOR DIHARAP TINGKATKAN HUBUNGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI
- KEHADIRAN PM ANWAR DI MASJID DATO’ KLANA PETRA LELA MOHD YUSOF, SIKAMAT DISAMBUT MERIAH
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR