PENGANJURAN MINGGU PERPADUAN NEGARA PENTING DALAM SEMARAKKAN SEMANGAT RAKYAT – PM ANWAR

BERITA TERKINI

 

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Penganjuran Minggu Perpaduan Negara adalah penting dalam menyemarakkan semangat rakyat di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata selain itu, ia mampu menyebarkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan berkaitan kepelbagaian budaya serta segmen kenegaraan yang menerapkan semangat patriotisme kepada rakyat Malaysia. 

Menerusi catatan di laman Facebook, Perdana Menteri memaklumkan beliau menghadiri Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan di Kuching hari ini. 

“Saya kagum dengan pelbagai persembahan disaluti elemen perpaduan yang turut dihayati rakyat jelata kendatipun cuaca panas di Kuching,” katanya.

Perasmian majlis itu, yang bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian,’ disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Majlis penuh keharmonian itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet. 

Minggu Perpaduan 2023, yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mei, turut diadakan di 15 lokasi antaranya Dataran Bertam di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar di Sabah, Dataran Tasik Kluang di Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan di Pahang.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.