TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN MEI 2023

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI

BAGI BULAN MEI 2023

 

 

15 MEI 2023 (ISNIN) | 8.00 PAGI

 

DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh,

Salam Sejahtera.

Alhamdulillaahil Lazeee Anzala ‘Alaa ‘Abdihil Kitaaba Wa Lam Yaj’al Lahoo ‘Iwajaa,

Wasallallah Hu Ala Saidina Muhammad, Wa’ala A’lihi Wasabihi Wassallim.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri I;

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara (KSN);

YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkapli bin Mohamed,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); dan

Pegawai-pegawai yang hadir.

  1. Nampaknya hari ini saya sakan beraya kerana ada tiga (3) Sambutan Hari Raya Kementerian yang akan saya hadiri. Justeru, hari ini saya hendak hidupkan semangat hari raya.
  1. Tatkala mendengar doa sebentar tadi, saya sengaja memulakan percakapan dengan ayat pertama Surah Al-Kahfi kerana dalam konteks MADANI dan dalam hidup ini perlu bermula dengan sebuah keyakinan. Kita bersyukur kepada Allah SWT yang menurunkan kitab dan juga menghubungkan kita dengan Madrasah Ramadan.
  1. Kita hidup dan bekerja seperti mana saya dalam arena tatakelola pemerintahan dan politik bersama-sama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali dan saudara-saudara dalam perkhidmatan awam tidak lari daripada paksinya iaitu akidah dan keyakinan.
  1. Kita lakukan dengan keyakinan, maka komitmen dan kesungguhan itu berbeza daripada mendapatkan habuan-habuan yang lain. Saya minta dengan semangat yang ada, kita bersedia melakukan beberapa anjakan yang saya sebut, pertamanya sekarang kita sedang mempersiapkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12. Bukan bermakna kita meninggalkan atau meremehkan usaha yang lama tetapi ‘Itqan Fil Amal’ –striving for excellence dan melihat kelemahan-kelemahannya.
  1. Semalam dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi berasa gembira sebab saya memuji beliau, tetapi apa yang saya sebut itu adalah fakta kerana keadaan stabil dan kukuh.
  1. Selain itu, saya sebut umpamanya keadaan bekalan air di Sabah dan Kelantan. Ada juga masalah air di Kedah tetapi di Kedah itu susah sedikit nak berunding. Bagi Sabah dan Kelantan, kalau ikut perancangan akan mengambil masa terlalu panjang, termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ataupun Belanjawan MADANI. Banyak daerah di Sabah dan di Kelantan sukar mendapat air minuman bersih kerana bercampur dengan air masin laut. Ini bukan soal politik, tetapi soal dasar. Jadi saya telah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Kelantan, dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kelantan dan mengatakan bahawa kita kena ambil alih tanggungjawab ini walaupun belanjanya besar.
  1. Masalah air ini adalah masalah asas dan saya tahu penjawat awam kanan ini ramai orang Kelantan. Semasa saya menjadi Menteri Kewangan dahulu, mantan KPPA itu kawan saya, beliau pernah mengatakan bahawa orang Kelantan ini di Kuala Lumpur jadi UMNO tapi balik Kelantan jadi PAS. Itu dahulu ya tapi sekarang lain. Sekarang di Kuala Lumpur dan Kelantan pun jadi Perpaduan. Ini saya bergurau, selingan sedikit (nada seloroh).
  1. Baik, saya akan berbincang lanjut bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, serta beberapa mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh KSN bagi tujuan tersebut kerana perkara ini memerlukan anjakan yang besar, lebih-lebih lagi tidak ada dalam rancangan, kalau ada pun berperingkat. Saya tidak boleh menerima kenyataan ini kerana hal seperti masalah air ini wajar disegerakan.
  1. Umpamanya masalah jalan berlubang atau berlopak di sesetengah bandar, kita sudah memberikan peruntukan RM1bilion lebih untuk tahun ini sebenarnya untuk memenuhi keperluan asasnya itu tidak cukup.
  1. Inilah hal-hal yang memerlukan kesediaan penjawat awam berganjak sedikit daripada perencanaan atau penggubalan dasar seperti biasa. Saya sebut ini sebagai contoh bagaimana kita harus lihat jika kita betul-betul menyantuni rakyat. Saya berasa lebih yakin kerana seperti mana dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam, ianya telah menetapkan satu bentuk kerajaan yang kukuh walaupun pada peringkat awal semasa saya mengambil alih terdapat macam-macam percubaan dan sebagainya sehingga sampai kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Sultan-sultan.
  1. Namun demikian, beberapa bulan yang lalu nampaknya lebih kemas. Tidak mengapa jika ada percubaan, tidak ada salah dalam sistem politik demokrasi siapa sahaja boleh merebut kuasa mengikut jalur yang sah.
  1. Beberapa minggu atau sebulan lebih yang lalu, Ketua-ketua Parti baik PH,BN, GPS atau GRS terutama yang besar telah memberi komitmen yang sangat jelas dan semalam apabila kita adakan perhimpunan, pengukuhan itu jelas bahawa sekurang-kurangnya untuk tahun-tahun akan datang ini tidak ada lagi layanan terhadap sebarang percubaan untuk mensabotaj kerajaan yang ada.
  1. Saya ucap terima kasih, mungkin saudara-saudara juga berjasa kerana beberapa program yang telah kita lakukan dapat menyakinkan bahawa negara semakin mantap, kerajaan itu stabil dan mampu bertahan dalam masa panjang sehingga pilihan raya umum akan datang. Jadi kena bersabar dengan saya sementara menunggu pilihan raya (nada seloroh).
  1. Kalau saudara lihat umpamanya angka-angka daripada Jabatan Perangkaan, statistik bagi suku tahun pertama itu jauh lebih baik daripada yang diunjurkan pada bulan November dan Disember. Bayangkan unjuran kita itu adalah pertumbuhan 4%-5% tetapi kita berjaya mencapai unjuran pertumbuhan 5.6%. Masalah inflasi dan jumlah pengangguran berkurang, pelaburan bertambah. Pelaksanaan pelaburan ini penting kerana untuk negeri-negeri di mana pelaburan itu sampai segera, Wilayah Persekutuan, Selangor atau Perak, begitu juga Persekutuan, Negeri dan Perbandaran seharusnya bekerja sederap supaya tahap kelulusan dapat dipercepatkan.
  1. Ia akan memastikan kita dapat mempertahankan tahap kelajuan pertumbuhan yang lebih meyakinkan dan ini terserah kepada komitmen kita dan kesungguhan kita. Mudah-mudahan dengan kejayaan kita menyempurnakan Ramadan menerusi Madrasah Tarbiyah atau Ruhiyyah Tarbiyah Ramadan ini dapat meningkatkan bukan sahaja nilai, akhlak, keperibadian dan sahsiah, tetapi juga komitmen-komitmen kita dalam pekerjaan – Lillahi taala.

Terima Kasih dan Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.