TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MESRA BERSAMA WARGA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) MARKAS 5 BRIGED
DI LOK KAWI, SABAH
31 MEI 2023 (RABU)
KEM LOK KAWI, PUTATAN, SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan,
Menteri Pertahanan;
Timbalan Ketua Menteri Sabah;
YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab Rahman,
Panglima Tentera Darat;
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
Pegawai-pegawai dan rakan-rakan saya muliakan.
- Saya memilih seperti mana saya memberitahu kepada Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, dalam lapangan kita, ada bahagian dan pasukan sama ada tentera, polis, perkhidmatan awam, nelayan, petani dan pekerja yang patut diberi perhatian.
- Tadi terdapat Majlis Perayaan Kaamatan yang menyentuh soal kepentingan masyarakat dan saya hadir kerana semangat masyarakat MADANI. Itu adalah sebagai menghormati perbezaan dalam Islam. Dalam al-Quran terdapat istilah yang disebut lita’arafu dan baru-baru ini seorang ulama terkenal, Syeikh Dr Ali Jum’ah, Mantan Mufti Mesir juga telah mengupas tentang lita’arafu itu, dan sangat mengesankan.
- Lita’arafu itu maknanya arif tentang yang lain, Allah jadikan kita pelbagai suku kaum, agama tentunya pelbagai keturunan, jantina, bahasa, budaya, warna kulit, untuk apa? syu’uuban waqabaa-ila lita’aarafuu untuk sekadar bukan kenal. Istilah Al-Quran itu “‘aarafuu” maknanya mengenali dengan maksud memuliakan kerana arif tentang orang.
- Ia tidak ada maksud merendahkannya atau menghina. Justeru, untuk negara menjadi aman, walaupun kita ini majoriti Melayu, perlembagaan kita menetapkan tentang kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam, Raja-raja Melayu, itu memang menjadi paksi atau tunggak perlembagaan yang kita harus terima tapi tidak ada sama sekali maksud mempertahankan prinsip perlembagaan itu untuk menidakkan hak, menghina atau meremehkan pengaruh yang lain. Sebab itu perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama, berbahasa bagi kaum yang lain.
- Oleh sebab itu, saya pilih untuk hadir, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor memberitahu ini kali pertama seorang Perdana Menteri hadir untuk menyambut Hari Kaamatan untuk ATM. Tujuan saya adalah untuk menunjukkan bahawa sementara saya mahu mempertahankan kedudukan orang Melayu, meningkatkan darjat dan penghayatan Islam seperti mana yang kita lakukan baru-baru ini dengan mengundang ulama ahli jemaah dan juga habib yang terkenal, Habib Umar bin Hafiz dari Yaman. Itu menjadi keutamaan kegiatan kita iaitu meningkatkan kefahaman umat Islam dalam penghayatannya tetapi saya juga ingin memberi mesej yang jelas bahawa negara ini akan selamat dan aman jika pimpinan dan masyarakatnya menerima kenyataan, menjamin keamanan hak semua.
- Maka apabila saya hadir meraikan, menyantuni golongan Kadazandusun dan Murut umpamanya yang meraikan budaya mereka, ini akan memberikan kekuatan dan bagi saya itu memenuhi juga semangat lita’arafu. Kupasan ahli jemaah itu penting. Dia menyebut lita’arafu ini maknanya menerima kenyataan bahawa perbezaan itu bukan ciptaan kita. Perbezaan itu ciptaan Allah SWT. Warna kulit itu bukan kita tentukan, itu ditakdirkan oleh Allah SWT.
- Sebab itu dalam latihan budaya Islam dan tradisi Islam, rakan-rakan beragama Islam dan bukan Islam harus faham tentang ini, jangan kita nilai daripada beberapa tindakan-tindakan melampau di kalangan orang Melayu atau orang Islam tetapi pengajaran Islam itu menetapkan penghormatan dan memuliakan orang adalah bukan kerana keturunannya, warna kulitnya, pangkat tetapi darjat ketakwaan “inna akramakum ‘inda allaahi atqaakum”, Allah itu mengangkat orang yang nilainya takwa.
- Bilal bin Rabah adalah orang kulit hitam yang berasal dari Habasyah dan beliau adalah hamba abdi, berbibir tebal. Dalam perbincangan dengan para sahabat, ada seorang sahabat bernama Abu Dzar Al-Ghifari, sahabat yang baik tapi beliau memanggil Bilal itu “Ibnu Saudah” (anak perempuan hitam).
- Ada seorang anak saudara saya seorang yang hitam, saya memanggilnya “pak hitam” tetapi bukan maksudnya menghina tetapi apabila saya sedikit dewasa dan belajar, saya rasa walaupun itu gurauan, tetapi dalam Islam itu tidak disenangi. Jadi apabila Rasulullah SAW dengar orang memanggil Bilal “Ibnu Saudah”, Rasulullah SAW membantah tiga kali dan menyebut Bilal itu ‘Ahlul Bait’, itu ahli keluarga aku. Beliau diangkat darjat, seorang bekas hamba berkulit hitam, maknanya darjat yang paling rendah tetapi diangkat darjat oleh Islam kerana kebaikan dan ketakwaan.
- Saya ada satu lagi kisah mengenai seorang yang bernama Jalaluddin Rumi, menteri-menteri selalu tanya saya bagaimana Anwar Ibrahim ini banyak baca, sewaktu saya di penjara itu lama jadi saya membaca. Saya memanfaatkan waktu dengan membaca. Jadi Jalaluddin Rumi ini seorang ahli Sufi berasal dari Konya, Turkiye. Saya pun senang baru-baru ini sempat bercakap dengan Presiden Tayyip Erdogan, sahabat baik saya, dan mengucapkan tahniah bagi pihak semua rakyat Malaysia termasuk pasukan tentera, tahniah ke atas kemenangan beliau memimpin Turkiye.
- Dalam hubungan dua hala, kita sangat baik termasuk bidang ketenteraan. Menteri Pertahanan telah berkunjung ke sana pada tahun lalu atau awal tahun ini untuk meningkatkan kerjasama. Tetapi apa yang dikatakan oleh Jalaluddin Rumi? Bilal ini dari Habsyah, jadi laungan azan beliau itu kuat tetapi ada sebutan dia itu tidak sempurna Arabnya. Contohnya sebutan ‘Haiya ‘Alal-Salah’, saya tidak tahu bagaimana beliau sebut, tetapi maknanya kuranglah sempurna. Tidak fasohah (kefasihan dalam sebutan) sebagai mana orang Arab Quraisy.
- Jadi orang bicara seolah-olah beliau ini azan betul, suara sedap, suara lantang tetapi tidak hebat seperti kami orang-orang Arab Quraisy dan Rasulullah SAW mendengar perkara ini. Apa jawapan Rasulullah SAW? Suara dan azan Bilal, bekas hamba dari Habsyah yang hitam legam itu, suara beliau itu, dengar sampai ke langit Arasy, sedangkan kamu dengan segala sebutan yang indah, tidak mungkin sampai ke darjat itu.
- Ini patut mengetuk pintu hati kita. Apabila membicarakan hak, perbezaan warna kulit dan kerja kita kerana nilai kita itu adalah tentang kemuliaan insan di mana Allah SWT mengangkat darjat manusia itu seperti mana yang disebut dalam Al Quran, ‘walaqad karramna banee adam’, Allah SWT mengangkat darjat anak keturunan Bani Adam.
Saudara-saudara,
- Sebelum saya sentuh soalan-soalan lain, saya sentuh perkara ini, sebab mengapa saya sentuh begini? kerana pasukan keselamatan umumnya, apatah lagi tentera tentera darat, iaitu kelompok barisan hadapan yang sangat penting. Sebab itu dalam beberapa ucapan saya, saya menyebut, orang anggap simpang siur politik, bincang sanalah, NGO lah, tiktok dan sebagainya, tetapi mereka lupa kebebasan yang kita nikmati sekarang, tahap pencapaian ekonomi kita, keselesaan kita berjalan ke sana sini dengan bebas dan kita boleh tumpukan perhatian itu adalah kerana jaminan keselamatan.
- Keselamatan terjamin itu kerana pasukan tentera yang cekap dan berwibawa. Kalau kita ini mempunyai keselamatan yang sangat lemah dan lembik, kita tidak terjamin. Sejarah kita, Penubuhan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, itu dalam keadaan terpaksa bertempur dengan pasukan komunis yang meragut banyak nyawa. Alhamdulillah kita menang dan terjamin keamanan serta kita meningkat terus walaupun pada peringkat awal kemerdekaan masih darurat.
- Kemudian pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, itu pun bukan jalan yang mudah kerana kebetulan ketika itu Almarhum Presiden Indonesia, Soekarno tidak setuju kerana dia kata ini rencana neokolonialisme. Ini rencana Inggeris dan penjajah di imperialisme untuk menawan kawasan rantau Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan masa itu juga termasuk Singapura dan akan menggugat keselamatan Indonesia. Jadi Indonesia melancarkan Perang Ganyang Malaysia. Saudara, anak-anak harus tahu bahawa penubuhan Malaysia ini pun tidak mudah.
- Rakan-rakan di Sabah juga harus tahu, siapa yang pertahankan? Tentera-tentera Malaysia, masa itu kebanyakan tentunya dari Tanah Melayu kerana Sabah baru hendak dibentuk, baru hendak dikumpulkan tenaga dari Sabah dan Sarawak. Jadi jangan kita remehkan bahawa tegaknya negara tercinta yang kita anggap mempunyai potensi besar Malaysia ini kerana jaminan, sumbangan kesiapsiagaan pasukan tentera kita. Ini mukadimah saya.
- Jadi jangan anggap orang-orang seperti saya yang tidak pernah masuk tentera tidak faham. Saya faham walaupun nama saya, Datuk Seri Panglima. Datang ke Sabah, saya jadi Panglima jadi jangan main-main ya saya Panglima (nada seloroh). Baik, maknanya kalau yang belum faham orang-orang politik dan pimpinan, kita terangkan kepada mereka kerana kadang-kadang mereka lupa. Oleh kerana ada kebebasan, bawa masalah kaum, gaduh sana sini bawa masalah sentimen agama sehingga benci orang lain.
- Kita dengar ulama-ulama besar seperti ahli jumaah dan sebelum itu Mufti Menk daripada Zimbabwe, bicara mereka itu sangat lunak dan membawa nasihat. Apabila ada orang-orang yang silap melakukan apa-apa, mereka nasihatkan dengan baik. Itu pendekatan berbeza. Kalau kita ini, maknanya dihukum terus, tidak sokong ini masuk neraka, tidak ini pecah, kalau begini kamu khianat, kalau Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri jahanam negara ini semua diserah kepada negara China.
- Tentunya saudara ada dengar tentang perkara ini sebelum ini, tetapi sebenarnya tidak benar, ia menjadi fitnah dan disampaikan atas nama Islam. Oleh yang demikian, rakan-rakan dari pasukan keselamatan tidak harus ikuti atau campur urusan politik kerana sebab politik itu maksud tidak harus masuk ke medan perang dan markas tentera tetapi harus diikuti kerana yang saudara nak selamatkan itu negara. Negara itu harus berada di landasan yang betul dan landasan ini termaktub dalam Perlembagaan tentang kedudukan Islamnya, Melayunya, bahasanya dan hak keistimewaan Raja-raja Melayu tidak boleh dipertikai.
- Sebab itu saya kata Malaysia ini robah di bawah pentadbiran saya. Lebih demokratik dan lebih bebas tetapi ada syaratnya, kamu langgar semangat perlembagaan, kamu cuba rungkai semangat perlembagaan, kami lawan kamu dan ambil tindakan yang tegas terhadap kamu. Jadi, mudah-mudahan hal ini disambut oleh rakan-rakan kerana tahap dan kesiapsiagaan kita itu harus kita tingkatkan.
- Saya mengucapkan terima kasih kerana di bawah Menteri Pertahanan baru ini, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, seorang yang Tahniah juga kerana Kementerian Pertahanan bersama Kementerian Pengangkutan menjayakan LIMA’23 dengan cemerlang sekali, belum pernah mencatat begitu rupa. Mengapa saya katakan ia berhasil atau seorang Menteri itu bertanggungjawab? kerana beliau manfaatkan waktu di dalam Jemaah Menteri, menggesa supaya kerajaan, baik Perdana Menteri, Menteri Kewangan atau Menteri tahu apa keperluan daripada Kementerian Pertahanan.
- Kadang-kadang saya rasa letih juga dengar apa yang beliau katakan sebab tengok jalan, jalannya rosak, pergi sekolah, tandasnya rosak, pergi hospital, kliniknya rosak jadi banyak masalah. Kemudian asyik dengar YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan sedang berkira, kereta kebal tidak cukup, kapal terbang tidak ada, kapal lambat siap, ada senapang, pelurunya tidak cukup dan pelbagai masalah dibangkitkan.
- Jadi beliau jalankan tanggungjawab betul dan saya hanya boleh bagi jaminan, apa yang saya boleh beri jaminan? Betul saya beritahu kepada pimpinan Kementerian Pertahanan termasuk panglima-panglima kita tetapi saya mahu anak-anak yang bertugas juga harus tahu bahawa pentadbiran kita harus belajar. Maksudnya kekuatan dahulu dan kerosakan dahulu. apa kekuatan dahulu? kita letak asas pertahanan yang kukuh. apa kelemahan dahulu? Membeli kapal dan bayar tetapi kapal tidak sampai. Beli kapal terbang atau kapal selam, sakau sebahagian dan ini Alhamdulillah saya beritahu, sekarang amalan itu tidak diizinkan sama sekali.
- Siapa yang tentukan untuk membeli kereta kebal yang mana? Kereta kebal mana yang terbaik? Tentera Darat. Mereka bertanggungjawab penuh untuk memilih yang terbaik dan saya tidak mahu campur tangan. Tidak harus ada campur tangan orang-orang luar, mereka pilih terbaik dan Kementerian Kewangan hanya akan tentukan dari segi keupayaan kita membayar. Salah kereta kebal itu tidak berjalan, panglima kita persoalkan. Jadi dengan cara ini kita bagi kuasa kepada mereka. Siapa yang tahu tentang jenis senapang? Jenis kereta kebal yang terbaik? Saya tidak tahu.
- Saya tahu serba sedikit, dengar sana dengar sini, pergi ke LIMA’23, dia terangkan begitu tetapi orang yang nak gunakan itu harus dengan ikhlas memberikan pandangan terbaik dengan keupayaan kita membeli yang terbaik dan kalau boleh dengan beberapa negara sahabat seperit Turkiye, saya menelefon terus kepada Presiden Tayyip Erdogan, saya katakan boleh atau tidak kita buat government-to-government, tidak perlu menggunakan ejen komisen yang banyak-banyak, semua itu tidak mahu lagi. Dengan ini, kos akan lebih berpatutan tetapi yang lebih penting daripada kos ialah kereta kebal itu yang dipilih yang dianggap terbaik oleh Tentera Darat itu sendiri, itu keputusan kita.
- Ada orang kata apa faedah menerangkan perkara ini kepada pasukan tentera secara umum? Setiap keputusan dasar kita, saudara harus tahu. Kalau tidak saudara terima sahaja, sokong sahaja, tidak tahu apa yang berlaku selama ini. Mana boleh Malaysia dalam keadaan kekuatan ekonomi begitu rupa, hasil begitu tinggi tetapi kelengkapan ketenteraan begitu rendah berbanding 20 tahun yang lalu.
- Di mana silapnya? Itu mesti dibetulkan dan dasar kita dengan Menteri Pertahanan yang ada sekarang ialah membetulkan dengan menetapkan pembelian itu cukup telus. Jangan ada usaha khianat kepada keamanan negara, mencari keuntungan sehingga merosakkan yang mencemaskan keupayaan kita dalam keputusan yang bijak untuk keselamatan. Itu pendirian saya dan saya tidak mahu tolak ansur kerana saya juga Panglima. Jadi tidak mahu tolak ansur bab itu. Saya harap saudara-saudara faham itu.
- Baik, apakah kita boleh selesai semua sekali? tidak boleh. Kita sudah ketinggalan puluhan tahun. Jadi yang kita lakukan ialah untuk menggunakan dengan kekangan kewangan yang ada sekarang. Semasa saya ambil alih, hutang kerajaan adalah sebanyak RM1.5 trilion, tinggi sekali. Kita boleh hutang lagi tetapi siapa yang akan bayar? Anak-anak muda nanti yang akan bayar dan saya tidak mahu mereka terbeban.
- Jadi kita harus kurangkan hutang dan gunakan belanja yang ada tetapi gunakan dengan berhemah supaya kita tidak korbankan kepentingan pertahanan negara kita. Akan tetapi, tentunya tidak boleh selesai. Apa keutamaan dalam Belanjawan MADANI pada tahun ini? Pertama, menoktahkan kemiskinan tegar. Di Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa kelompok di Pahang, dan Perak, masih ramai. Bagaimana mahu noktahkan? Saya mahu mencari tiap orang yang paling miskin dan tentukan dia jangan masuk kategori yang nak beli susu anak tidak ada duit, nak makan tidak cukup, anak nak sekolah tetapi tidak mampu, itu yang kita mahu selesaikan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), saya minta selaraskan dan kita ambil tindakan.
- Setakat ini Alhamdulillah, banyak kejayaan telah kita kecapi dan juga kejayaan dalam beberapa bulan yang akan datang. Kedua, Sekolah. Anak-anak saudara pergi ke sekolah. Cuba tengok dan semak kedudukan tandas sekolah anak-anak. Kalau ada enam tandas, empat daripadanya rosak, hanya tinggal dua, sehingga perlu beratur. Ini tahun 2023, negara sudah catat kejayaan luar biasa.
- Jadi saya maklumkan kepada Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Binti Sidek, saya beri peruntukan yang besar, RM1.4bilion untuk semua sekolah-sekolah daif termasuk tandas kita baiki pada tahun ini. Begitu juga bagi klinik-klinik desa yang teruk. Tetapi belanjanya berapa? RM1.4 bilion sebab kita dah cuai bab ini. Kita tidak peka. Kita bersyarah tentang rakyat tetapi kita tidak peduli sekolah anak-anak kita.
- Saya akui cucu saya tidak masuk ke sekolah di Kampung. Dia bersekolah di Damansara yang tidak ada masalah tandas tetapi anak-anak orang lain, bagaimana? Anak-anak saudara? Sebab itu saya katakan, motto saya, kalau nak jadi pemimpin, anak Melayu, anak Cina, anak Kadazan, anak India, anak Iban itu semua anak saya. Anak di Kuala Lumpur anak saya, anak di Tambunan anak saya. Barulah boleh selamatkan negara ini dan adil kepada semua.
- Jadi bagaimana tentang perumahan tentera? Baru-baru ini, saya pergi melawat sahabat-sahabat saya yang jaga saya di Sungai Buloh dahulu dan saya lihat perumahan mereka teruk betul. Perumahan Kerajaan ini tidak terkendali begitu lama. Oleh itu, strategi kita, saya ada beritahu kepada Kementerian Pertahanan, untuk tahun depan Belanjawan yang akan kita umumkan pada tahun ini, keutamaan kita ialah perumahan tentera, perumahan polis dan perumahan pegawai Kerajaan.
- Tetapi oleh kerana Kem di Lok Kawi ini banyak masalah. Saya lalu sebentar tadi, saya tengok ada macam-macam tengah diperbaiki tetapi saya ingat sengaja mereka tunjuk, biar apabila Anwar Ibrahim lalu, beliau akan nampak. Ini memang mereka rancang dan baru semalam mereka buat baik, agak saya lah (nada seloroh).
- Dalam hidup ini, perjalanan saya banyak derita. Saya muda lagi masuk Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kem Tahanan kerana saya memperjuangkan nasib petani-petani miskin, pekebun kecil di Baling, Kedah. Jadi umur 20-an dah kena tetapi bagi saya, hendak berdendam buat apa? nak marah buat apa? ada atau tidak pengajaran? Ada. Apakan pengajarannya? Masa saya muda lagi, saya didera kerana memperjuangkan nasib petani dan pekebun kecil miskin.
- Sekarang saya sudah jadi Perdana Menteri, maka buatlah sebaiknya. Allah SWT uji, Allah SWT bagi latihan, Allah SWT bagi pendedahan dan ini harus mendewasakan kita, memberikan kesedaran. Anwar Ibrahim harus lalui ini, tidak ramai orang macam ini, pergi balik, masuk keluar penjara dekat 10 setengah tahun, 11 tahun. Buatlah yang sebaiknya untuk rakyat terutama yang memerlukan pembelaan yang jauh daripada kami. Bukan Tan Sri, Tun atau Dato tetapi rakyat biasa yang memerlukan pembelaan. Jadi itu yang menyebabkan mempengaruhi saya keras dalam perkara ini. Saya tidak ada tolak ansur. Saya tidak peduli kamu Tun atau Tan Sri, jika kamu langgar hukum, kamu curi wang rakyat, aku serang kamu.
- Baiklah, untuk Kem Lok Kawi, sebelum saya datang di antara sebab yang saya nak bangkitkan, umumkan supaya saudara faham, sepatutnya semua pelaksanaan tahun depan tetapi oleh kerana beberapa kem tentera itu keadaannya tenat, maka kita akan laksanakan segera, tahun ini juga. Apabila saya kata segera, saya minta Kementerian Kewangan tentunya, KPPA wakil akan tolong ingatkan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pun ada, Setiausaha Persekutuan pun ada, supaya pelaksanaan itu dimulakan segera. Kita akan wujudkan Sekolah Menengah Kebangsaan yang baru di Lok Kawi kerana sekolah sekarang tidak dapat menampung keperluan yang ada dengan peruntukan kos sebanyak RM23 juta akan bermula sekarang. Apabila saya umumkan ini, maka harus terus diambil tindakan.
- Selain itu, menaik taraf Jalan Raya Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sungai Kinarut Papar dengan kos sebanyak RM67 juta, kerana kemudahan ini banyak saudara gunakan. Membaik pulih dan menaik taraf Aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Putatan dengan kos projek sebanyak RM4.8 juta. Pembinaan Kem RKAT dengan tambahan pelbagai kelas, menjadikan kos pembinaan Kem Lok Kawi RM213 juta.
- Kemudian ada juga unit-unit perumahan yang mendesak. Saya minta Panglima beritahu saya, oleh kerana saya hadir, perumahan yang mendesak, sementara nak tunggu projek untuk tahun depan. Kita akan laksanakan yang tidak lebih dari RM5 juta dahulu, khas untuk Kem Lok kawi.
- Maka ini semua untuk tentera dan kegunaan saudara tetapi oleh kerana ada juga unit rumah terbiar, terdapat 47 unit rumah terbiar dan kita akan ubah suai sebagai unit kuarters awam untuk rakan-rakan yang bukan tentera tapi bekerja di sini. Jadi untuk perumahan, 47 unit kuarters awam dan sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok kawi, dengan peruntukan sebanyak RM25 juta. Maknanya YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan tidak boleh pergi selalu ke kem ini. Kalau asyik pergi ke kem ini, habis wang untuk tempat lain nanti tidak ada (nada seloroh).
- Baik, saya nak umumkan juga selama ini, pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima bayaran insentif Sabah Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung. Namun kadar ini rendah berbanding dengan kadar yang diberi kepada pegawai perkhidmatan awam yang lain. Jadi maknanya perkhidmatan awam dapat kadar lebih tinggi daripada tentera padahal kos itu sama, harga barang sama, sewa sama dan harga pakaian sama. Jadi oleh demikian saya tidak fikir ini wajar kita pertahankan. Maka, Kerajaan bersetuju memanjangkan bayaran insentif wilayah menggantikan BISS dan BISM untuk memanfaatkan pegawai dan anggota ATM berkuat kuasa 1 Julai tahun ini juga. Kelulusan ini, untuk Bayaran Insentif Wilayah (BIW) akan memanfaatkan 33,586 anggota ATM. Ini bukan jumlah kecil dan implikasi kewangan tambahan setahun berdasarkan jawatan 2022 Ialah RM87.8 juta.
- Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih, jangan lupa saya mulakan dengan apa? dengan sejarah Penubuhan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sejarah Penubuhan Malaysia. Kedua-duanya dalam keadaan tegang dan ada pertempuran. Pertama, dengan Parti Komunis Malaya. Keduanya, dengan pandangan Indonesia ketika itu tetapi sekarang Indonesia adalah negara sahabat karib kita tetapi ketika itu Perang Ganyang Malaysia, jadi jangan kita lupa.
- Jadi kalau saudara tanya mengapa saya umumkan perkara-perkara ini, pertama, saya mengambil kira juga pengorbanan yang telah dilakukan. Kedua, peranan saudara terutama di perbatasan kawasan perairan itu harus kita tingkatkan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih setinggi tingginya dan mendoakan, jangan lupa, apa pun kita harus berdoa, kita harus ikhtiar.
- Kita berunding, berikhtiar dan kita ambil keputusan – “wa shaawirhum fil-‘amr”, kita bersama berunding kemudian kita buat keputusan, “Fa-‘izaa ‘azamta”, kita ambil keputusan dan jangan lupa, “fata-wakkal ‘alallaah” serah kepada Allah SWT.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- MA63: PERJANJIAN HARUS DIPEGANG, MESTI DITUNAIKAN – PM ANWAR
- USAHA DAMAI DI MINDANAO HARUS CAPAI KEJAYAAN – PM ANWAR