TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM BAGI BULAN JUN 2023
13 JUN 2023 (SELASA) | 8.00 PAGI
DEWAN UTAMA, KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,
Wasallallah hu ala saidina Muhammad,
wa’ala a’lihi wasabihi wassalim.
Saudara YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Haji Maslan,
Timbalan Menteri Kewangan;
Saudara Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
Dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Terdapat dua perkara kecil, tetapi tidak boleh hendak bercakap panjang kerana ada Jawapan Parlimen pada pagi ini. Kecil saranannya tetapi agak besar maknanya. Pertama, tentang prinsip perbincangan musyawarah dan input di kalangan penjawat awam. Semalam dalam mandat bersama Jabatan Perdana Menteri, saya sarankan supaya diberi perhatian seperti mana kita adakan pasca kabinet untuk menyampaikan beberapa keterangan dan maklumat.
- Maka setiap Jabatan harus mengadakan dan memastikan ada pertemuan sebegitu. Setiap lembaga, agensi, jabatan dan ketua harus adakan dan mesyuarat itu tidak harus hanya berupa satu formaliti tetapi perlu mempunyai ruang untuk semua memberikan pandangan sama ada junior atau senior.
- Ini kerana saya dapat maklumat bahawa kadang-kadang tidak sampai pengarahan bagi sesuatu dasar itu dan tidak diberi ruang untuk memberikan input dari peringkat bawah. Jadi saya harap ini dapat dibetulkan seperti mana prinsip di dalam al-Quran, perundingan itu satu tuntutan “wa shaawirhum fil-‘amr. Fa-‘izaa ‘azamta fata-wakkal ‘alallaah”, kita berunding sesama kita kemudian kita ambil keputusan.
- Keputusan itu harus diterima baik setelah berunding. Kemudian barulah tawakal, bukankah elok dia punya Runding di kalangan kamu, setelah itu ambil keputusan. Sesudah ada keputusan, mesti ada azam untuk melaksanakan dengan ikhlas, “Fa-‘izaa ‘azamta ”, sudah ada azam untuk bertindak, “fata-wakkal ‘alallaah” tawakal kepada Allah SWT.
- ‘Innallaaha yuhibbul-Mutawakkiliin”, kerana sesungguhnya Allah itu kasih kepada orang yang bertawakal. Janganlah ingat kita ini serba pintar, serba hebat, serba pandai merancang strategi, tetapi kita harus ingat bahawa tawakal kepada Allah SWT.
- Jadi untuk memastikan hal ini dapat dipantau, untuk perjumpaan atau mesyuarat minggu ini atau minggu depan, semua jabatan dan agensi harus memberikan minit. Saya nak lihat contoh dan minit mesyuarat itu diberikan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan saya nak KSP sampaikan kepada saya. Boleh ya?
- Ini maknanya saya nak pastikan di Kementerian Kewangan sebagai contoh par excellence, bahawa bukan sahaja kerja tetapi kita pastikan ada input yang baik atau rundingan yang baik dan tidak hanya pengarahan dari Menteri ke bawah ataupun dari KSP ke bawah atau daripada Ketua Jabatan ke bawah. Jadi harus ada input dari semua.
- Yang kedua, kita sudah pantau kemajuan suku tahun pertama. Pelaksanaannya Alhamdulillah ketimbang suku tahun pertama tahun lalu lebih baik tetapi tidak cemerlang kerana kita ini punyai tekad, mesti semangat “Striving for Excellence” dan kita harus jawab tentunya bertanggungjawab kepada Allah SWT. Orang boleh nilai terbaik dan macam saya kadang-kadang pergi ke kalangan penyokong, pujian-pujian hebat semuanya, Perdana Menteri terbaik, Menteri Kewangan terbaik tetapi kalau ditimpa perasan, ada masalah (nada seloroh).
- Jadi kita patut menilai dengan mendengar sendiri apakah cukup atau harus ada anjakan lagi. Rasa cukup ataupun harus ada sikap yang lebih terbuka untuk memperbaiki. Kalau kita lihat pelaksanaan, tidak begitu memuaskan. Di peringkat bawah, macam kita umumkan pada November tahun lalu, semua sekolah dan klinik daif harus diperbaiki segera supaya diselesaikan tahun ini.
- Saya nak pastikan peruntukan itu disalurkan segera, yang pertama. Kedua, ada kekangan kerana katanya Jabatan Kerja Raya (JKR), masa itu kerana dengan spontan dibebankan dengan ribuan projek tambahan. Jadi saya sudah bincang dengan Menteri Kerja Raya untuk kecualikan perkara ini dari tugas JKR, serah kepada Jabatan dan Kementerian yang berkaitan, terutamanya di peringkat Pegawai Daerah untuk dipercepatkan.
- Input ini harus sampai kepada kita kalau tidak, kita umum dan prosesnya itu panjang dan membebankan. Satu Jabatan dengan kerja-kerja tambahan, itu menyukarkan. Jadi ini sebagai contoh yang kita mahukan. Tentukan ada perubahan kerana bagi sekolah yang tidak ada tandas, tidak boleh tunggu dua tahun atau sekolah bumbung bocor pun tidak boleh tunggu. Jadi perlu ada beberapa langkah segera.
- Betul kita ada beberapa peraturan, kaedah kewangan yang mesti dipatuhi. Itu bena,r tetapi kalau kita percepatkan, asalkan jangan tipu, jangan curi wang, jangan ambil komisen, saya tidak ada masalah. Ia bukanlah masalah orang yang melanggar beberapa peraturan itu, kita akan pertahankan. Yang kita keras sekarang ini ialah tentang penyelewengan dan tidak boleh kita nafikan ini menjadi satu daya, pastikan ada ketelusan, ada pertanggungjawaban, dipercepatkan, boleh. Ini bukan sahaja soal kementerian kewangan tetapi juga terkait kementerian-kementerian pelaksana yang lain.
- Jadi saya harap ada usaha untuk memantau kerana peruntukan diluluskan dan saya minta disegerakan tetapi kadang-kadang pelaksanaan itu sangat lambat. Nak baiki tandas buat apa nak panjang-panjang. Pada 17 hari bulan ini, saya sudah undang semua pegawai daerah Kelantan berhimpun di Sungai Petani untuk saya sampaikan, kuasa pihak-pihak kecil ini harus terus dipindahkan ke Pejabat Daerah supaya perlaksanaan itu boleh dipantau dan dapat disegerakan.
- Sekian, jangan lupa dua perkara itu. Minggu ini mesti ada mesyuarat, paling lambat minggu depan dan tolong kirim minit dalam bahasa yang baik.
Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- ISU MONOPOLI IMPORT BERAS TIDAK HARUS DIPOLITIKKAN, USAHA BERNIAT BANTU PESAWAH MISKIN – PM
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG