BERITA TERKINI
KAJANG, 28 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai majlis takbir raya sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok.
Bacaan takbir raya itu dipimpin Imam Masjid Taman Rakan Sungai Long Mohd Zamzuri Abu Othman dengan disertai ahli jawatankuasa, jemaah masjid dan penduduk setempat.
Laungan takbir itu turut disiarkan secara langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 serta di laman sosial rasmi Perdana Menteri, RTM dan Kementerian Komunikasi dan Digital pada pukul 8.20 malam tadi.
Terdahulu PM Anwar yang lengkap berbaju Melayu, tiba di masjid berkenaan pada pukul 7.19 malam disambut ahli jawatankuasa masjid dan jemaah.
PM Anwar dan para jemaah kemudiannya berbuka puasa sebelum bersama-sama menunaikan solat maghrib dan seterusnya bersedia untuk melaungkan takbir raya.
Selesai takbir, Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama para jemaah dan kanak-kanak sebelum meninggalkan masjid pada pukul 8.30 malam.
Esok, Perdana Menteri dijadual menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya.
— BERNAMA
Similar Posts:
- ANWAR HADIR PROGRAM MUNAJAT AMBANG TAHUN BAHARU 2023
- ORANG RAMAI DIJEMPUT MERIAHKAN MUNAJAT AMBANG TAHUN BAHARU 2023 DI MASJID PUTRA ESOK
- KEHADIRAN PM ANWAR DI MASJID DATO’ KLANA PETRA LELA MOHD YUSOF, SIKAMAT DISAMBUT MERIAH
- PM ANWAR SERTAI SOLAT HAJAT MOHON KESEJAHTERAAN MANGSA BANJIR DAN NEGARA
- PM MAKAN MALAM BERSAMA KEPIMPINAN NEGERI SABAH