TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN RAKAN MUDA (NAFAS BAHARU)

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN

RAKAN MUDA (NAFAS BAHARU)

 

25 JUN 2023 | 3.00 PETANG

 

 

DEWAN CANSELOR TUN ABD RAZAK (DECTAR), UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA, BANGI

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera

 

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari,

Menteri Besar Selangor;

 

YB Hannah Yeoh,

Menteri Belia dan Sukan;

 

YB Adam Adli Abd Halim,

Timbalan Menteri Belia dan Sukan;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman,

Mantan Menteri Belia dan Sukan;

 

Pengerusi dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan;

 

Pegawai, tetamu, ikon; dan

 

Anak-anak yang saya kasihi sekalian.

 

 

  1. Saya ucap pertamanya syukur kepada Allah SWT kerana Majlis pada hari ini agak istimewa dengan memberi tumpuan, harapan dan menyusun program untuk anak muda. Saudari YB Hannah Yeoh dan pasukannya telah memikirkan semula bagaimana hendak menyuntik semangat dan nafas baharu maka diteruskan sebagai acara kesinambungan Rakan Muda tetapi dengan suntikan nafas baharu.
  1. Dalam mendepani masalah anak muda ini, bukan sekadar memberi nasihat atau teguran kerana anak-anak muda ini pun akan menjadi lemas dengan leteran orang tua. Mereka mahu supaya Kementerian dan Kerajaan memberi ruang kepada mereka.
  1. Program apa yang kita hendak adakan? Nafas baharu apa yang hendak kita perkenalkan? Biar anak muda sendiri putuskan dan kita berbincang. Ini Pendekatan Malaysia MADANI, kita tidak mahu pemikiran lapuk dan lama, kita tidak mahu pemikiran yang terkongkong dan jumud, kita tidak mahu ada unsur-unsur yang memecahbelahkan kita. Kita adalah saudara, baik keturunan Melayu, Cina, India, Dayak atau Kadazan. Hari ini, Malaysia sudah menjangkau 6 dasawarsa atau 6 dekad.
  2. Siapa yang akan menentukan sama ada Malaysia kekal sebagai status negara hebat di dunia? Yang akan menentukan bukan orang-orang tua yang lapuk pemikiran, yang ingin memecahbelahkan rakyat tetapi yang akan tentukan masa depan ini aman dan semua kita bersaudara, bekerja untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita adalah anak-anak muda sendiri.
  1. Ingat, sebagai bapa, ini saranan saya secara serius, who will determine the future of this country? can you decide and affirm that you want a united and strong Malaysia? Kini, saya lega kerana saya mendengar sendiri suara dan semangat serta idealisme anak-anak muda.
  1. Rakan muda adalah satu program untuk memberi ruang kepada saudara-saudara dan anak-anak memilih tetapi kerangka besarnya apa? Kerangka besarnya adalah mempersiapkan satu generasi yang mempunyai cita-cita murni. Persiapan generasi yang mempunyai nilai kemanusiaan, nilai insan yang hormat di antara satu sama lain, senang dengan kebaikan, persaudaraan, kemajuan, teknologi baharu, senang dengan muzik dan hip hop, benci dengan rasuah, hipokrasi dan salah guna kuasa, benci dengan orang yang menghina kaum-kaum yang lain. Ini gesaan Pak Cik Anwar pada petang ini.
  2. Saya seperti YB Hannah Yeoh dan saya percaya juga saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman yang mempelopori program ini suatu masa dahulu berasa lega apabila kita melihat semangat anak-anak muda dari pelbagai kaum, agama dan daerah datang dengan satu cita-cita iaitu untuk menyelamatkan generasi ini, memupuk nilai-nilai yang luhur dan seterusnya untuk menyelamatkan negara kita.
  1. Saudara pilih, kita ada pasukan di Kementerian, Menteri dan Timbalan Menteri yang saya percaya boleh menjadi juru bicara kepada anak-anak muda. Saya lihat program dan keprihatinan mereka bersama-sama penjawat awam yang terlibat nampak menjurus ke arah itu. Bagi pihak Kerajaan Perpaduan, dengan falsafah Malaysia MADANI percayalah, Insya-Allah saya akan memberi apa juga sokongan yang perlu kepada anak-anak muda ini.
  1. Satu yang saya minta adalah saudara peka dalam dunia yang mencabar, dalam dunia media sosial yang menggugat. Saudara dan anak-anak harus membuat pilihan yang baik kerana satu kesilapan dari satu generasi akan menghukum negara kita ke lembah kehinaan.
  1. Akan tetapi, satu kekuatan yang bangkit dari generasi baharu ini, kalau mampu saudara-saudara bangkit percayalah, Malaysia akan muncul sebagai negara yang paling hebat di rantau ini.
  1. Satu berita baik bagi belia terutama yang berumur sekitar 18 dan 20 tahun yang hadir pada hari ini. Mulai jam 8 pagi esok, saudara dan anak-anak seperti mana yang saya janjikan apabila Wawa bertanya kepada saya di Langkawi, Kedah, saya menjawab jam 8 pagi esok, iaitu 26 Jun 2023 akan dimasukkan dana sebanyak RM 200 setiap orang. Gunakanlah dengan sebaik mungkin untuk kebaikan.
  1. Anak-anak, saya ada satu permintaan, pertama, sebaik keluar dari dewan, jangan lupa teks kepada ibu bapa, ulang semangat kasih sayang kepada mereka. Kedua, teks kepada guru-guru, kenangkan jasa dan sumbangan mereka. Boleh begitu?
  1. Ini barulah jadi anak muda, rakan muda yang hebat di Malaysia. Bersatu sebagai satu pasukan, semangat yang jitu dengan cita-cita yang murni. Bak kata dalam bahasa Dayak, Iban, “Segulai Sejalai”. Ada orang Sarawak disini?
  1. Jadi sekali lagi saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih. Pada hemat saya YB Hannah Yeoh telah memberikan satu tradisi yang baik dengan memberikan penghormatan kepada saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman, sahabat saya yang juga individu yang mula-mula menerokai program ini, terima kasih saudara YBhg. Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Othman.
  1. Jadi, saya sudahi dengan penghargaan setingginya dan doa kepada Allah SWT kerana apa pun yang kita ikhtiarkan, kita ada rakan muda, kita ada strategi, kita ikhtiar. Jangan lupa apa pun usaha kita, jangan tinggalkan fatawakkal ‘alallah – serah kepada Allah SWT untuk memberikan kesihatan, nikmat dan keberkatan kepada kita kerana sesungguhnya Innallaha yuhibbul mutawakkilin – Allah SWT kasih kepada orang-orang yang menyerah dan tawakal kepadanya.

Terima kasih, Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.