BERITA TERKINI
ALOR SETAR, 8 Julai — Sesi Dialog Temu Anwar hari ini dilihat dapat menjadi platform kepada mahasiswa untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi dan perkembangan negara secara terus dari pemimpin nombor satu negara.
Bagi mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), sesi dialog lebih sejam bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga dapat membantu membentuk mahasiswa yang lebih holistik dan mampan pada masa hadapan.
Bagi Muhammad Iqmal Qamil Mawar, 22, pelajar Sarjana Muda Perakaunan Sistem Maklumat UUM, perjumpaan bersama Perdana Menteri itu bukan semata-mata memfokuskan kepada soal akademik dan kebajikan mahasiswa.
“Perjumpaan bersama Perdana Menteri ini membuka mata kepada mahasiswa tentang peluang-peluang lain yang ditawarkan kepada anak muda, dan kami dapat perspektif yang lebih luas lagi,” katanya kepada Bernama di UUM, Sintok, kira-kira 40km dari sini, hari ini.
Nurul Shafinah Ain Uttohjama, 23, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) UUM berkata melalui sesi dialog itu, Perdana Menteri dapat melihat dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa.
“Selain itu, Perdana Menteri turut memberi pelbagai pesanan yang berguna dan mahasiswa perlu cakna supaya dapat menjadi seorang pelajar yang lebih berketerampilan dan bertanggungjawab pada masa hadapan.
“Antara pesanannya ialah jangan sesekali menyentuh mengenai isu agama dan perkauman kerana ia perkara yang sangat sensitif,” katanya.
Sementara itu, Nor Namisah Nor Ezan, 24, pelajar Sarjana Muda Kaunseling UUM berkata walaupun input yang diperolehi dalam sesi dialog berkenaan tidak terperinci berikutan kekangan masa, tetapi jawapan-jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri memuaskan hati semua pihak terutamanya mahasiswa UUM.
“Maklumat yang diberikan oleh Perdana Menteri berdasarkan fakta dan semua soalan yang ditujukan kepada dia dijawab dengan penuh berhemah.. selain itu dia turut berjenaka semasa menjawab soalan dan itu yang dapat rapatkan hubungan bersama rakyat,” katanya.
— BERNAMA
Similar Posts:
- MAHASISWA, PELAJAR BEBAS BERI PANDANGAN, TEGUR KERAJAAN – PM ANWAR
- KEHADIRAN PM ANWAR DI MASJID DATO’ KLANA PETRA LELA MOHD YUSOF, SIKAMAT DISAMBUT MERIAH
- KERAJAAN AKAN PASTIKAN REFORMASI STRUKTUR EKONOMI YANG TERATUR — PM ANWAR
- PERUNTUKAN GERAN KHAS KEPADA SABAH SARAWAK HARUS DIKAJI, PASTIKAN KENAIKAN MUNASABAH – PM ANWAR
- PM ANWAR HARAP RUNDINGAN TAHUNAN MALAYSIA-BRUNEI MUKTAMADKAN BEBERAPA PERKARA