TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS ANUGERAH BUKU NEGARA 2023 DAN SESI TEMU ANWAR

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS ANUGERAH BUKU NEGARA 2023

DAN SESI TEMU ANWAR

 

13 JULAI 2023 (KHAMIS)

 

 

DEWAN TUANKU CANSELOR,

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI),

TANJONG MALIM, PERAK

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad,

Menteri Besar Perak;

YAB Datuk Seri Amirudin Shari,

Menteri Besar Selangor;

YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,

Menteri Pendidikan Tinggi;

YB Adam Adli bin Abd Halim,

Timbalan Menteri Belia dan Sukan;

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

YBhg. Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah,

Pengerusi Lembaga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI);

YBhg. Professor Dato’ Dr. Md Amin Bin Md Taff,

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI);

YBhg. Prof. Tan Sri Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara;

Rektor dan Kaunselor;

Pemimpin mahasiswa dan mahasiswsi UPSI; dan

Rakan-rakan sekalian.

  1. Terima kasih, ini merupakan satu penghormatan kerana kita dapat mengundang beberapa tokoh-tokoh besar yang berjasa dalam perjuangan kebangsaan, perjuangan penerbitan, perjuangan meningkatkan mutu ilmu di negara kita termasuk sahabat dan profesor saya iaitu, Profesor Syed Husin Ali dan rakan-rakan lain.
  1. Saya minta persetujuan untuk menggabungkan ucapan sempena Anugerah Buku Negara sekali dengan Dialog Mahasiswa. Jadi, tidak perlu ada dua (2) acara, ada bangkangan? ada ke? ini macam Parlimen kena tanya dulu. Kalau namanya pembangkang, perkara baik pun dia kena bangkang, kalau setuju pun dia kena bangkang kerana namanya pembangkang (nada seloroh).
  2. Pertama, kita bicara soal Majlis Anugerah Buku Negara, mana-mana negara yang hendak mengangkat tamadun, harus berlandaskan kepada kekuatan ilmu. Kita biasa dengan lontaran idea Ibnu Khaldun menerusi karya besar beliau iaitu ‘Mukaddimah’, yang menjelaskan bagaimana satu negara mundur yang disebut Emral El-Badawi sebagai ‘Normadic Culture’, boleh terangkat bangkit sebagai kekuatan baru. Negara yang kemudiannya punyai tamadun dan budaya kerana kekuatan baru, apa dia kekuatan baru? Pertamanya, kekuatan yang disebut assabiyyah bukan assabiyyah perkauman sempit, tapi assabiyyah yang disebut semangat esprit de corps – semangat kekitaan. Suatu kelompok negara dengan idealismenya generasi baru bawa perubahan, mengangkat martabat hidup rakyat dan negara dan tentunya berlandaskan ilmu. Berbeza di antara Emral El-Badawi, Nomadic Culture dan peradaban baru atau tamadun baru. Ini kerana tunggak kekuatan itu adalah ilmu dan cita-cita murni, ilmu dan idealisme.
  1. Sebab itu, bila kita bicara soal buku, kalau dalam Islam atau tradisi Islam disebut budaya iqra’ berkaitan dengan membaca. Ini amat relevan dengan keadaan semasa kerana generasi kini senang terpukau dengan media sosial. Tidak ada salahnya, ini perkembangan semasa dan tuntutan zaman. Tidak boleh menolak untuk menangkis perubahan. Tetapi ada kelemahan-kelemahan dalam merumuskan satu idea yang kompleks, merumuskan soal cita-cita bangsa, masa depan negara, idealisme perjuangan hanya dengan kupasan beberapa minit di media sosial. Malah membicara soal ekonomi, politik, masa depan, dasar pendidikan, atau dasar ekonomi semuanya itu hanya dengan kupasan beberapa minit. Ini bahaya, sebab dasarnya bukan dasar ilmu secara menyeluruh.
  1. Mengapa kita di universiti? dan mengapa ada kuliah-kuliah? Prinsip kuliah itu menguasai ilmu sedalamnya dan seluasnya dan tidak menghukum atau memutuskan dengan satu tazkirah atau satu ceramah atau satu kupasan dalam tiktok selama satu minit. Ini peringatan yang sangat penting, bagi rakan-rakan terutama di kalangan pensyarah yang biasa dengan kupasan saya semasa saya Menteri Pendidikan dulu saya banyak mengupas karya Allan Bloom “The Closing of the American Mind”. Dia menulis sekitar tahun 80an dan telah memberi amaran kepada rakyat Amerika. Bukunya, “The Closing of the American Mind”, mengenai pemikiran tertutup. Sebabnya budaya membaca sudah kian hilang, minat membaca di kalangan orang muda sudah jauh berkurangan dari dulu. Itu berlaku di Amerika Syarikat, tetapi saya percaya tentunya lebih parah jika berlaku di negara-negara berkembang. Inilah cabaran kepada anak muda.
  1. Kalau kita mahu negara ini terangkat sebagai negara hebat, kalau kita mahu disiplin dalam pelbagai bidang teknologi AI, budaya, dan ekonomi, mesti ada minat penguasaan ilmu yang lebih serius dan mendalam. Dan tidak sekali-kali menganggap cebisan idea dan fikiran yang dilontarkan dalam beberapa saat atau beberapa minit itu mencukupi.
  1. Di dalam beberapa siri Temu Anwar yang diadakan di kampus-kampus di Malaysia, saya seringkali mengingatkan tentang buku dan saya percaya sebahagian daripada Profesor nanti berikan sedikit ruang sebelum kuliah, kupas buku Harry Lewis yang mengupas mengenai ‘excellence without a soul’. Beliau merupakan mantan dekan di Universiti Harvard yang terkenal, tetapi menegur Universiti Harvard yang juga centre of excellence in terms of the academia, education and scholarship. Katanya ia excellence, karya hebat, meneroka alam pemikiran baru, mencungkil bakat terbaik di dunia, tetapi kelemahannya, without a soul.

  1. Pintar tapi tidak terdidik dengan nilai, jiwa dan hati nurani untuk memberikan sesuatu yang baik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negaranya. Gedung hebat, maha perkasa tetapi di luar dengan pelbagai permasalahan kemiskinan, penderitaan rakyat, diskriminasi kaum, penghinaan terhadap kulit hitam, tetapi itu tidak mengesankan mahasiswa. Kerana mahasiswa tidak dilatih tentang nilai, tentang cita-cita murni dalam kehidupan dan tidak mengetuk hati nurani dan mencungkil bakat mereka. Ini cabaran menurut Harry Lewis dalam ‘Excellence Without a Soul’.
  1. Saya lontarkan idea tentang buku ini kerana apa? kerana kita harus memberi jawapan, sementara generasi muda dengan semangat kental yang baru ini harus mampu bangkit menguasai ilmu, mencabar pemikiran kolot, lapuk dan jumud. Mencabar penguasa yang guna kuasa bila ada kuasa, diukur dengan wang, sombong, angkuh, rompak kekayaan rakyat. Hendak jadi Perdana Menteri sebab apa? supaya anak menantu, keluarga, kaum kerabat jadi kaya, bukan memikirkan masalah rakyat. Oleh itu, bangkit anak muda menentang pemikiran lapuk dan merosakkan itu.

  1. Inikah makna excellence in education, but with soul, the love of scholarship? What do you mean love of scholarship, you love knowledge? there’s always any interest in aspiration to continue master and gain information knowlegde for what purpose to serve the community and the nation to know what is right to fight for justice in order and to reject hypocrisy corruption. Ini yang kita hendak tekankan.
  1. Apa kaitan dengan buku yang kita bicarakan kerana pemikir-pemikir seperti Raja Ali Haji tahun 30-an, kemudiannya tahun 1940, pendeta Za’ba. Za’ba itu pemikir, pencabar pemikir jumud dan lapuk. Apabila bicara soal kemiskinan umpamanya apa yang disebut oleh Za’ba, miskin harta, tapi juga ada miskin ilmu, miskin akal budi, maknanya miskin akhlak, inilah kupasan seorang pemikir besar bangsa kita.
  1. Bila dibicara dan dikupas tentang kemiskinan, katanya miskin bangsa, miskin harta tetapi diperluaskan, miskin budaya, miskin ilmu, miskin akhlak, miskin nilai, kerana bagi Za’ba pendidikan itu bermatlamat memperkaya dari segi pendapatan, tetapi dari segi nilai, dari segi ilmu, ini yang harus kita renungkan bersama dengan minat dan kesungguhan kita untuk membaca.
  2. Profesor Syed Hussein Ali yang turut berada di sini menulis awal lagi tentang tingkat lapis susun lapis masyarakat, iaitu sosial stratification dalam masyarakat, kalau tidak salah saya di Kerdau, Pahang, satu kawasan di Batu Pahat dan satu lagi di Kedah. Beliau membandingkan bagaimana masyarakat itu dalam strata berbeda dan apa erti kemiskinan dengan kebergantungan kepada kelompok yang lebih berkuasa. Peranan orang tengah dan lintah darat, peranan pemilik tanah dengan sewa tanah yang tinggi, itu dikupas.
  1. Saya juga ingat Prof Syed dengan Ungku Aziz dalam rencana kemiskinan, bahawa kemiskinan itu bukan kerana sikap seperti yang dikupas oleh banyak pemikir dan pejuang-pejuang Melayu. Masalahnya mereka jadi pejuang kebangsaan tetapi tidak baca buku Za’ba, tidak baca perkara yang dirungkai oleh Ungku Aziz, tidak baca kupasan Husin Ali, mahupun Jose Rizal yang bicara soal kemiskinan orang Filipina, yang juga merupakan di antara pemuka – precursor of the Asian renainsance. Dia dalam ‘The Indolence of the Filipino’, Jose Rizal mengupas tentang kemalasan orang Filipina. Apakah mungkin malas sesuatu bangsa dan negara yang melahirkan tamadun-tamadun sistem kesultanan, perdagangan di antara negara-negara? Adakah kemungkinan sikap dan malas menyebabkan bangkitnya empayar Melaka yang megah dan terkenal di dunia? tentunya tidak. Tetapi kesan daripada sistem penjajahan, penindasan dan pemerasan.
  1. Dari mana kita dapat tahu semua ini, dari membaca. Saya sebut 2, 3 tokoh khususnya Jose Rizal dan juga Syed Hussein Alatas, dengan ‘mitos pribumi malas’. Begitu juga karya besar, Edward Said, seorang pejuang Palestin, Kristian Arab. Belum baca satu pun, belum habis satu. Jadi saya tanya universiti mana? saya tidak boleh sebut universiti mana, sensitif. Profesor kamu siapa? kamu belajar apa?, maknanya tidak diasah minat untuk membaca.
  1. Perkembangan ilmu itu sangat dinamik dan perubahan itu pantas. Dan ini kaitan dengan apa yang disebut sebagai post normal. Post normal times era, ini untuk tajuk kedua. Apa dia era pasca normal? Kita bicara soal tiga (3) ciri pasca normal, iaitu ‘Chaos’, ‘Complexity’ and ‘Contradiction’. Mengapa kita kata ‘chaos’, the world is in chaos? tidak ada nilai yang membentuk masyarakat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak mengesankan, sistem nilai robak rabik. Kalau Rusia takluk Ukraine dianggap zalim dan ganas, kalau Israel takluk Gaza diizinkan kerana mempertahankan keselamatan Israel. 1000 anak-anak kecil dan wanita terbunuh di Ukraine itu dianggap genocide. 7000-8000 anak-anak kecil, bayi dan wanita terbunuh di Gaza dianggap self defense.
  1. Sebab itu bila kita kupas kekacauan, kegalauan, dalam sistem nilai dan pemikiran orang tidak lagi tersentuh hati nuraninya. Anak mana pun, sama ada anak Melayu, bayi Cina atau India, kadazan atau Dayak, itu anak manusia, anak kita. Kalau dia terdera, dia terseksa, sudah pasti menyentuh hati nurani kita. Kalau tidak apa guna bicara soal agama, bicara soal bangsa, kalau tidak ada nilai dan prinsip kemanusiaan. Padahal Allah SWT angkat darjat kita, karamah insaniah, wa laqad karamna bani Adam, post normal times era, pasca normal ini, kerana ia becomes chaostic in the world in the country sekiranya kita tidak jaga.
  1. Sebab itu jangan kita terbawa-bawa fahaman perkauman, jadilah Islam yang baik, jadilah muslimun hakiki, jadilah akhlak yang sebaik dan nilai yang baik tetapi tidak perlu benci kepada orang, tidak perlu mengkafirkan orang, tidak perlu memunafikan orang sewenang-wenang, dan tidak menghina rakan-rakan kita yang bukan Islam. Ajaran Islam mana yang mengajar kita menghina sesama manusia.
  1. Justeru, jangan kita izinkan pengaruh jumud merosakkan di tempat kita apa lagi di kampus. Kampus ini harus menjadi mercu tanda hebat, pemikiran toleransi kemanusiaan. Saudara-saudara UPSI mesti bangkit sebagai contoh terbaik, sejarah gemilang di universiti ini.
  1. Selain ‘Chaos’, faktor kedua apa? ‘Complex’. Ia rencam masalahnya, tidak seperti mana kita fikir dahulu. Apa masalahnya? ekonomi, pendidikan, kesihatan, atau kemiskinan? Kita bicara sekarang digital transformation, transformasi digital. Oleh yang demikian, kita perlu bincang soal AI, soal ekonomi, juga soal nilai, kerana ia kompleks. Tidak ditinggalkan soal mutu pendidikan dan disiplin ilmu baharu yang berubah dengan begitu pesat. Kepesatan dan kecepatan yang terkadang tidak dapat dikejar kalau kita lambat kejar kita akan ketinggalan.
  1. Sebab itu Saudara Zambery meneruskan usaha Datuk Seri Khalid Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang mana beliau harus cepat melihat apa disiplin-disiplin baharu yang harus dikuasai dalam suasana yang dikatakan kompleks ini. Maknanya kita cari supaya kita tidak ketinggalan. Selalu saya popularkan istilah atau frasa ‘menggapai ke langit’. Ini idea baharu, teknologi baharu yang disebut transformasi digital dan peralihan tenaga (energy transition) atau transisi tenaga.
  1. Semua ini memerlukan persiapan pendidikan yang baru maknanya ‘menggapai ke langit’. Tetapi kalau kita asyik gapai langit kita tinggalkan landasan. Oleh itu kita perlu ‘mengakar ke bumi’, maka soal bahasa Kebangsaan itu harus diutamakan. Jadi baru-baru ini saya tekankan tanpa tolak ansur, siapa sahaja tanpa terkecuali termasuk syarikat-syarikat tempatan, syarikat antarabangsa jika mahu menulis pada mana-mana jabatan Kerajaan mesti menggunakan bahasa kebangsaan. Sudah enam (6) dekad merdeka masih merangkak-rangkak masalah bahasa. Ini masalah kamu, jangan bebankan negara, syarikat untung ratusan juta ringgit tidak bolehkah ambil 1-2 guru untuk mengajar supaya staf dan eksekutif menguasai bahasa dengan baik. Saya tidak mahu tolak ansur lagi. Kita juga tahu ‘mengakar ke bumi’ itu meliputi bahasanya, nilai, akhlak, dan pengajian Islamnya bagi anak-anak Islam. Oleh itu, mengakar ke bumi supaya jangan kita menggapai ke langit terus, jadi harus ada tingkat itu.
  1. Kita tahu kalau ‘menggapai ke langit’, penguasaan bahasa tidak lagi satu, tidak ada negara maju dan di dunia ini yang hanya menekankan satu bahasa. Malah dalam tradisi Islam kita lihat juga Rasulullah SAW itu mengizinkan Salman Al-Farisi menterjemahkan al-Quran dalam bahasa Parsi. Bukan sesuatu yang aneh kerana tuntutan pada masa itu adalah untuk dia bawa pulang ke Parsi selain daripada al-Quran dalam bahasa Arab, 200 al-Quran terjemahan dalam bahasa Parsi.
  1. Kalau baca hikayat Hang Tuah, Hang Tuah itu dianggap laksamana ulung Melayu. Hang Tuah juga mempunyai penguasaan bahasa yang baik, bahasa Jawa, bahasa Siam, juga bahasa Keling, yang mana pada masa itu di dalam kitab ada disebut sekitar 11 bahasa. Tetapi yang saya hendak tekankan di sini dalah penguasaan bahasa, maknanya dengan syarat semua rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Maka ada keperluan bagi negara ini untuk meningkat mutu penguasaan bahasa Inggeris terutama di universiti, supaya anak anak mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
  1. Kita juga menggalakkan sekiranya anak-anak mahu belajar dan menguasai bahasa Cina dengan baik kerana bahasa Cina bukan lagi bahasa suku kaum Cina atau etnik Cina. Bahasa Cina sudah menjadi bahasa ekonomi dan perdagangan penting di Asia terutamanya. Saya lihat upaya tokoh-tokoh politik, ekonomi dan bisnes baik di Amerika atau Australia fasih berbahasa Cina juga meningkat. Jadi bagi saya tidak ada salah, yang saya tidak mahu tolak ansur ialah semua mesti menguasai bahasa Melayu yang baik, kemudian kuasailah bahasa-bahasa lain. Ini akan meningkat keupayaan dan martabat kita, jadi dalam post normal times, perkara kedua adalah ‘Complexity’. Dan ketiganya, ‘Contradictions’, ia bertentangan satu idea dengan idea yang lain. Penyelesaian di Malaysia berbeda dengan penyelesaian di Jerman.
  1. Yang saya hendak lakukan selain daripada bicara soal anugerah buku ialah membaca. Ini penting dan saya amat bimbang kerana minat membaca itu kian menurun. Padahal kalau sudah kata kita mahu hidupkan tamadun Islam, tentunya tamadun Islam itu tamadun ilmu. Ada salah seorang khalifah di Baghdad, minta salah seorang sarjana dan alim dari kawasan Samarkhan, Bukhara untuk menjadi penguasa menteri atau Perdana Menteri. Adakah anda tahu apa syaratnya yang diberikan oleh Perdana Menteri itu?, dia tidak kata saya hendak Mercedes baru, atau saya hendak rumah baik, atau saya hendak elaun tinggi, tidak minta kesemua itu. Itu Perdana Menteri zaman sekarang. Zaman dulu dia kata saya perlukan 10 ekor unta untuk mengangkat buku-buku saya dari Samarkhan ke Baghdad kerana saya tidak boleh menjadi pemimpin tanpa gedung ilmu yang sebegini, yang telah saya kumpulkan. Saudara, lihatlah bahawa itu adalah budaya Islam.
  1. Sebaliknya yang kita dengar tentang Islam itu macam ini, asyik munafikan orang, kafirkan orang, ilmu tidak ada juga. Padahal dalam dasar dan budaya Islam, untuk mengembangkan Islam itu tentunya akhlak, moral, dan kesabarannya, kebijaksanaannya, hikmahnya dan ilmunya bukan kumpul buku. Saudara, bicara soal unta, unta itu bawa buku ribuan iring bakal menteri ini pergi ke Baghdad, tetapi unta itu tidak ada ilmu, yang berilmu itu si alim ini, unta itu dia bawa buku banyak tapi tidak ada ilmu. Jadi jangan kita di universiti ini ibarat unta, buku bercambah di perpustakaan tapi kita tidak pernah menjenguk dan membaca.
  1. Di antara ukuran kejayaan seseorang mahasiswa ialah kebiasaannya menggunakan kemudahan perpustakaan dan berapa banyak buku yang dipinjam dan dibaca. Mengikut pengalaman saya tatkala saya mengajar di yayasan dan akademik di Kampung Baru dahulu dan selepas itu sebagai profesor di Georgetown University, Washington DC, di antara hal yang saya lakukan di setiap kuliah 2 jam, saya akan manfaatkan kuliah 2 jam itu dengan hanya mengajar 1 jam pertama kuliah, 1 jam keduanya itu menanyakan graduan atau mahasiswa program postgraduate tentang buku yang dibaca minggu sebelumnya, dan minta dia ulas. Bukan tanya sudah baca atau belum, tidak, kita tanya buku yang sudah bacanya. Saya sebut tentang governance di bicara soal ini. Sila ulas apa maksud public accountability. Jadi saya ingat itu sahaja cara profesor boleh pujuk anak mahasiswa ini membaca lebih daripada biasa dan kalau boleh pembacaan yang lebih luas.
  1. Saya baru diberikan buku daripada seorang bernama Mitch Kapor dan juga isterinya, Freada Kapor Klein. Beliau merupakan pengasas Lotus bersama Steve Jobs dan sekarang buat foundation sendiri untuk startup. Walaupun saya kata saya baca banyak sikit, dan lebih banyak saya baca semasa banyak bercuti di Sungai Buluh, dan sebelum tu di Kemunting, jadi bila Sharani kata macam mana Anwar hendak bertanding di Perak dia bukan orang Perak. Dia tidak katalah orang lain yang kata (nada seloroh). Saya jawab saya 7 tahun di Kolej Melayu Kuala Kangsar, 2 tahun di kem tahanan, Kemunting, jadi saya 9 tahun di Perak, saya layak jadi anak Perak.

  1. Sementara itu, 6 tahun di Sungai Buloh di istana hinggap saya banyak membaca. Tetapi dalam banyak membaca pun saya terpaksa akui ada bidang baru yang saya belum terokai. Saya terpaksa baca tentang AI dan sekarang saya sedang habiskan buku mengenai startup yang ditulis oleh Mitch Kapor, foundation atau yayasan paling terkemuka dalam memulakan program startup di Silicon Valley. Kerana bagi dia dalam sistem ekonomi baru ini, kalau kita tidak galakkan anak muda, orang baru mencebur dalam bidang teknologi baharu, kekuasaannya hanya di kelompok-kelompok besar syarikat-syarikat terkenal, jadi mereka akan kuasai semuanya. Jadi, dia mulakan startup itu untuk apa yang dia sebut dalam bukunya, ‘to reduce inequality to provide opportunities for the young. in the new technological exercise and exploration’, jadi pengalaman dia itu sangat membantu.
  1. Oleh kerana ilmu saya dalam bidang itu agak lemah. Saya terpaksa baca ada kebetulan minggu lalu dia kirim buku baru dia Mitch Kapor dan Freada Kapor Klein tentang pengalaman dan startup. Jadi kalau saya dengan umur sekarang ini terpaksa baca untuk dapat ikuti perkembangan semasa dan baru, apa lagi anak muda. Jadi baliklah dengan pesanan ini bahawa budaya kita budaya Melayu dan tamadun Melayu itu berkembang hanya dengan kekuatan ilmu. Tradisi budaya masyarakat antarabangsa sedemikian, sekiranya mahu menjadi seorang penguasa, pemikir, intelektual dan elit di barat, mereka ada corpus buku-buku di barat. China ada karya besar, India ada karya besar. Begitu juga kita orang Melayu dan Islam ada.
  1. Jadi jangan ketinggalan kerana kejahilan, kalau tidak jahil pun dangkal, kedangkalan ilmu ini akan memungkinkan orang-orang menghasut kita dengan mudah. Ilmu kita sedikit kemudian orang kata kalau tidak buat ini masuk neraka, kalau tidak sokong ini masuk neraka. Jadi kita pun kena betullah kerana ilmu kita terlalu dangkal, mahu berhujah enggak bisa, menyoal tambah tidak berani jadi akhirnya terperangkap dengan pemikiran kolot dan jumud, menghukum semberono kerana kejahilan dan kedangkalan kita.
  1. Jika mahu maju, mahu jadikan negara ini negara MADANI, maka tingkatkan ilmu, kuasai ilmu dan kita bersaing dengan negara lain dan insya-Allah dengan semangat generasi baru ini, dengan semangat membaca dan menambah ilmu, saya yakin insya-Allah Malaysia akan berubah wajah sebagai negara hebat di rantau ini. Insya-Allah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.