TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
PROGRAM SENTUHAN MADANI
PERINGKAT NEGERI KEDAH
15 JULAI 2023 (SABTU)
IBU PEJABAT MADA, AMPANG JAJAR,
ALOR SETAR, KEDAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri I;
YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu,
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan;
Ahli-ahli Jemaah Menteri;
YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Keluarga MADA dan rakan-rakan yang mewakili petani, penternak, dan nelayan negeri Kedah.
- Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita sempurnakan majlis ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua, khususnya keluarga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Wilayah dan Desa, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan persatuan-persatuan penduduk yang telah berusaha bertungkus lumus menjayakan program ini bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
- Seperti mana yang kita tahu, petani, nelayan, dan pekebun kecil getah di antara kategori yang agak susah. Maka, mana-mana kerajaan harus tumpu, bukan cakap sahaja, slogan sahaja atau janji dan serang menyerang tetapi menumpukan kepada apakah langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki nasib mereka.
- Baru-baru ini saya selesaikan masalah FELDA. Mereka serang kata saya bohong kerana memang rancangan itu sudah ada, sudah diumumkan sekian lama dan betul, lulus sebanyak RM8.3 bilion itu pun sudah lama. Tetapi hanya pada 27 Jun yang lalu, saya menandatangani cek dan menyerahkan kepada peneroka-peneroka FELDA untuk hapuskan hutang mereka. Cek yang pertama saya tandatangan adalah pada 27 Jun 2023 sebanyak RM990 juta. Saya tidak tahu sama ada orang terdahulu tidak buat kerja.
- Dalam Belanjawan Negara 2021 dan 2022, tidak ada peruntukan daripada Kementerian. Yang akan melupuskan hutang itu siapa? Kerajaan Persekutuan. Dari mana peruntukan? Belanjawan Negara. Sebab itu, hanya untuk tahun ini, di dalam Belanjawan 2023, baru kita luluskan dan saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga FELDA yang telah mengurus dan menyelesaikan pelupusan hutang yang saya tandatangani pada 27 Jun 2023.
- Mengapa saya pilih untuk menyebut perkara ini? kerana hal-hal ini senang untuk orang mengeluarkan fitnah, berbohong dengan senang-senang sahaja. Hang siapa yang boleh tuduh orang dengan tidak ketahuan ini? Ini yang saya nak sebut supaya kita boleh fikir, dengar boleh tetapi tidak semua yang didengar boleh dipakai.
- Umpamanya, hari ini adalah hari sabtu. Saya memberi tumpuan ke kawasan-kawasan desa di negeri-negeri, daerah-daerah, esok saya di Pulau Pinang. Pada hari isnin jam 8.00 pagi, saya pulang semula ke pejabat sehingga khamis dan jumaat pagi kerana ada acara-acara. Ada ruang, kita jumpa anak-anak di universiti, mendengar pandangan mereka.
- Anak-anak muda ini kadang-kadang pandangan mereka bernas dan baik. Anak-anak muda dari Universiti Utara bersama wakil-wakil belia, ada anak dari tingkatan 6 dan politeknik, ini anak-anak kita jadi dengarlah mereka. Apa ruginya? Mereka hanya cadang umpamanya bagaimana nasib mereka selepas keluar universiti atau kolej, pekerjaan mereka yang kerja sementara yang dipanggil intern atau latihan indusrti itu, mengapa tidak dibayar?
- Setelah mendengar pandangan mereka, saya balik dan berbincang dengan Kementerian dan syarikat-syarikat. Oleh itu, semalam saya umumkan, walaupun kerja mereka itu dalam bentuk latihan, setelah memperolehi diploma atau universiti, semua syarikat kerajaan diarah memberi bayaran sekurang-kurangnya RM800 sebulan. Sebelum ini tidak ada dan sebab apa RM800? kerana ini hanya elaun sebelum kerja atau elaun semasa latihan. Kita dengar daripada siapa? pelajar tingkatan 6 kerana mereka melalui perkara ini. Inilah manfaat apabila kita mendengar dalam dialog, tidak hanya pakai serang sahaja.
- Kemudian terdapat cadangan lain tentang TVET, kemudahan-kemudahan, dan terdapat satu cadangan mengatakan bahawa tidak ada internet, connectivity di universiti. Jika ada pun, pelajar di universiti itu ramai jadi internet slow. Hendak belajar bagaimana? Maka alhamdulillah semalam, Elon Musk iaitu orang paling kaya di dunia, memiliki Tesla iaitu kereta elektrik yang memakai bateri. Beliau ada Starlink, alat kecil yang boleh terus disambungkan ke satelit untuk mendapatkan Internet. Saya bercakap dengan beliau sendiri semalam, dan saya mengucap terima kasih kerana sebaik saya kata kita memerlukan Starlink ini, terus beliau beri maklum balas bahawa setakat ini stok ada 40, jadi kita beli 40 supaya kita dapat berikan kepada kolej dan universiti bagi membantu keperluan anak-anak.
- Selain itu, sebanyak tiga (3) syarikat Malaysia yang memberikan beberapa keperluan dalam bidang kepakaran masing-masing yang sebenarnya bersama dengan syarikat Space X di bawah Elon Musk ini. Saudara, ramai orang sedang cuba untuk bercakap dengan beliau, pujuk beliau datang ke negara, dan itu begitu sukar. Saya berasa syukur alhamdulillah kerana semalam, beliau memutuskan untuk membuka satu (1) ibu pejabat di Cyberjaya. Kedua, mempermudahkan penyampaian Starlink iaitu internet ke Malaysia. Ketiga, Space X yang mempunyai kepakaran anak-anak tempatan. Saya kata Menteri Komunikasi dan Digital, YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil dan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, saudara YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz akan membantu mereka supaya lebih banyak syarikat masuk dalam arena perdagangan dan teknologi antarabangsa.
- Beliau turut bersetuju untuk melabur lagi ke Malaysia dan menganggap Malaysia sebagai negara penting untuk kita tingkatkan pelaburan dan insya-Allah dalam masa terdekat beliau akan datang ke Malaysia. Saudara, ini bukan mudah. Oleh itu, kita harus kerja betul-betul untuk beri keyakinan, politik negara stabil, pemimpin-pemimpin menumpukan usaha untuk membangunkan negara dan jangan hanya kira hendak mencuri dan sakau. Apabila membuat projek, ambil komisyen banyak-banyak akhirnya negara miskin. Hasil kita banyak, negara ini negara kaya tetapi rakyat miskin.
- Oleh hal yang demikian, saya mulakan perkara ini supaya saudara-saudara faham kerana antara perkara yang dibangkitkan adalah sebab saya bekerjasama dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi. Saya cakap apa masalahnya tidak boleh kerjasama dengan beliau? Beliau mendapat mandat daripada parti beliau, beliau ada ahli parlimen yang ramai, beliau ikut syarat-syarat yang kita persetujui bersama.
- Apa syaratnya yang dipersetujui oleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan ini? Pertama, tatakelola yang baik, menghentikan politik fitnah dan sakau. Apa masalah sekiranya saya kerjasama dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi? Saya hendak beritahu, selagi rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Golongan Parti Sarawak (GPS) Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sabah, patuh kepada prinsip ini, semangat perlembagaan kita akan tetap memperkuatkan Kerajaan Perpaduan ini. Untuk apa saudara-saudara kita memperkuat perkara ini? Adakah untuk jerit maki orang hari-hari? Adakah untuk memfitnah orang hari-hari daripada raja sampai rakyat? Ataupun kita tumpukan kepada masalah-masalah utama untuk diselesaikan?
- Saya bawa masalah MADA pada hari ini. Siapa tidak tahu pesawah padi ini termasuk dalam kategori miskin? Semua tahu. Ya, kita baru perintah selama tujuh (7) bulan. Pengalaman baru-baru ini tiga (3) tahun termasuk kes harga siling getah. Adakah harga naik pada tiga (3) tahun lalu? Tidak. Siapa naikkan harga? kita Kerajaan Perpaduan naikkan kepada RM2.70. Adakah cukup? Tidak cukup lagi, mesti mengambil beberapa langkah.
- Saya baru duduk beberapa minit, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi terus maklumkan bahawa pekebun kecil getah ini susah. Sebab itu saya boleh kerja dengan beliau. Duduk lima (5) minit, beliau tidak katakan ada kontrak baru atau ada saham baru yang nak diberi kepada saya, tidak, ada kereta baru? tidak, ada modal yang baru nak maki orang? tidak, beliau tanya mengenai perkara ini, kita baru naikkan sebanyak RM2.70 tetapi pekebun kecil getah ini masih menghadapi masalah. Sebab itu saya kata, kita harus memberi tumpuan menyelesaikan apa yang mampu untuk membantu rakyat.
- Saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, kita tahu bahawa beliau seorang penceramah dan pemidato yang handal tetapi beliau memegang portfolio Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, maka beliau terpaksa tumpu bagaimana untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi, sayur, dan membantu nelayan.
- Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, setiap minggu kita bangkitkan perkara ini. Saudara, saya bercakap ini betul-betul, tidak main-main, tetapi bersungguh-sungguh. Saya tidak kata kita saja kerja, orang lain pun kerja tetapi kita nak cari penyelesaian, bukan nak bergaduh atau nak tunjuk hero, tidak. Kita nak bawa perubahan. Apa yang kita buat? Kita tahu masalah, sudah cuba dan Lembaga Zakat di Kedah ini pun sudah tolong, seberang Perak pun buat, di sini di sekitar Pendang pun ada membuat percubaan untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
- Maka kita berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MARDI dari segi penyelidikan dan MADA, satu agensi yang sangat penting. Bukan sahaja bagi negeri Kedah tapi untuk seluruh negara. Mereka memberi pandangan, mengatakan kalau hendak menjayakan projek tanaman dua (2) tahun lima (5) kali pengeluaran ini, harus ada beberapa infrastruktur seperti tali air, jalan dan pelbagai yang perlu ditambah.
- Saya kata berapa peruntukan yang diperlukan? Beliau jawab, bukan untuk tahun ini tetapi kita mesti mula untuk dua tiga tahun akan datang, projek dalam tiga empat tahun ini, tiga tahun paling kurang, mesti ada peruntukan RM3 bilion. Itu masalah saya dan bukan kita duduk sahaja tetapi RM3 bilion itu sikit ke banyak? Banyak. tetapi jika negeri ini selamat daripada sakau, tidak pernah boleh kita kata tidak ada, kalau negeri ini kita urus, jangan rasuah, jangan curi duit, jangan curi balak dan jangan curi rare-earth, kita boleh selamatkan negara dan RM3 bilion kita boleh selesaikan. Ini kita membiarkan hasil kita yang beratus-ratus juta lingkup. Sebab itu kena ada orang bukan sahaja yang mampu tetapi dengan pasukannya, jadi saya luluskan hari ini sebanyak RM3 bilion, jumlah yang banyak tetapi saya tidak ada pilihan.
- Kalau betul Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan nak tolong, kena buat lah tetapi larat ke orang tunggu sampai tiga (3) tahun baru nak dapat hasil? sementara itu buat apa? Itulah yang sebabnya sementara menunggu ini semua, saya ambil alih saja dalam berapa bulan. Saya cakap kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail yang juga orang Kedah, mereka kata kena buatlah apa-apa dahulu untuk sementara.
- Itu sebabnya apabila kita ambil alih sahaja dan cermat belanja mereka perli. Tidak ambil gaji pun dihina, tidak pakai kereta Mercedes pun dihina, ini apa dia? Saya tidak ambil sebab apa? Sebab saya malu kepada rakyat, rakyat tengah susah, susah-susah saya, kereta ada nak pergi mana-mana kapal terbang ada, pengawal ada tetapi susah rakyat ini, makanan pun tidak cukup. Kalau saya cakap garang ini kerana saya cakap dari hati. Kita kena guna kuasa ini bantu dan di antaranya kita kata RM3 bilion untuk tanaman padi dengan meningkatkan produktiviti tetapi sementara tu macam mana? tahun ini pun, sementara hendak dapatkan hasil sama ada dua (2) kali setahun ke, sekali setahun tu tunggu nak buat apa?
- Sebab itu tahun ini saya beri RM200 sebulan untuk tiga (3) bulan sementara nak ambil tuaian bagi 300,000 pesawah padi dengan belanja sebanyak RM228 juta. Orang lain boleh peleceh tetapi saya nak tanya, kenapa tahun sebelum ini tidak buat? Kenapa dua tahun lalu tidak buat? Kenapa apabila bercakap tentang pesawah, kenapa tidak ditolong bab ini? Ini yang saya katakan kena tumpu kepada kerja untuk bantu.
- Kemudian, bercakap mengenai Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, beliau adalah sahabat saya yang panggil saya abang. Beliau bercerita bagaimana hendak menolong lagi pesawah padi ini lalu saya bertanya, boleh atau tidak, kerana hasil BERNAS itu ada, boleh ke bagi sedikit kepada pesawah-pesawah miskin. Tahun lalu beliau beri RM10 juta dan tahun ini RM50 juta, beri terus kepada pesawah padi hasil daripada keuntungan.
- Saya nak tanya, kenapa dahulu tidak bagi, tidak minta? Saya minta kepada beliau tidak susah pun, beliau kata ‘okay’. Jadi saya fikir kalau boleh dapat RM50 juta baiklah tetapi kalau tidak boleh lepas tu saya bincang balik namun dia kata boleh bagi. Sebaliknya, mereka serang saya, dikatakan saya ini tekan orang-orang Melayu yang kaya, saya tidak sakau duitnya sebab itu saya berani bercakap dengan beliau. Kalau saya kata bagi kepada saya RM10 juta masuk akaun sendiri, bagi RM200 juta masuk akaun parti, bila yang saya nak tolong petani? Macam mana saya boleh tolong pesawah kalau ada RM200 juta tetapi masuk akaun parti saya? Itu kerja hangpa. Kerja saya adalah mengambil duit siapa yang boleh bagi dan beri balik kepada rakyat terutama pesawah-pesawah padi.
- Selepas itu saya bercakap lagi dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, saya mengatakan bahawa BERNAS itu penting, kalau boleh bersama-samalah dengan MADA bantu dalam pengurusan ini, kita dapat tingkatkan hasil. Beliau kata boleh. Maka, untuk diselaraskan semua ini, saya minta YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Kementerian membuat kerja. Mengenai isu pesawah padi ini, bukan sahaja Perdana Menteri dan Menteri, KSN sendiri mempengerusikan jawatankuasa yang hendak menyelesaikan masalah ini. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk KSN dan Menteri yang membantu dalam hal ini.
- Tetapi sebelum itu saya kata kepada BERNAS kerana banyak perkara yang kita nak urus bersama BERNAS, boleh atau tidak bagi keuntungan BERNAS? 30% balik kepada pesawah padi. Beliau kata boleh. Itulah saudara, saya katakan kalau ketua itu tegas, tahu ekonomi, ketua itu akan selesaikan masalah rakyat. Dia tidak akan ada sentimen bahawa jika itu orang Melayu tidak boleh dikacau. Itu satu kekeliruan dan satu pandangan yang dangkal, yang tidak faham masalah.
- Jadi saya harap saudara faham, apa salah orang seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary itu hendak maju? Biarlah beliau maju, beliau maju dan untung tetapi apabila beliau untung janganlah ambil duit beliau. Ambil duit beliau untuk diberi kepada rakyat. Jangan pergi ambil duit itu untuk diri sendiri.
- Saya sebut tadi mengenai pekebun kecil getah, dahulu ada diberikan RM600 tetapi sudah lama. Jadi saya berbincang dengan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, untuk pekebun kecil getah kita akan bagi sumbangan musim tengkujuh yang dahulunya RM600 untuk mungkin dalam empat (4) bulan. Baru-baru ini saya tambah menjadi RM800. Adakah mencukupi? Tidak mencukupi tetapi boleh menampung sedikit sementara tidak menoreh pada musim hujan.
- Seterusnya, bantuan kepada nelayan, kita tambah RM300 sebulan kemudian sebelum Aidilfitri tahun lalu pertama kali dalam sejarah, dalam keadaan hutang Kerajaan yang banyak dan kita hendak betulkan negara ini daripada kontrak-kontrak yang disakau begitu banyak, terdapat 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan yang kita beri sagu hati sebanyak RM200 untuk menyambut Hari Raya.
- Ini semua kita lakukan, jadi kalau nak kata kita tidak membuat apa-apa itu macam mana? Kita mewarisi satu Kerajaan dengan banyak masalah. Saya sebut tadi adalah hutang. Kalau kita berniaga di rumah, berniaga dan untung dalam RM2,000 sebulan tetapi hutang ada dalam RM50,000. Masalah kan? negara pun macam itu juga, hutang negara sebanyak RM1.5 trilion. Makna lebih daripada 1,000 juta ringgit. Nak kena bayar? kena bayar, hutang itu kalau untuk projek baik tidak mengapa tetapi kadang-kadang jalan itu berharga RM60 juta jadi RM80 juta.
- Sebab itu apabila ada memorandum, tadi Menteri YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu pun sebut tentang baja dan racun. Saya bersetuju tetapi dengan syarat, kita teliti balik bagaimana proses pembeliannya. Kita mesti beli yang terbaik dan kita mesti pastikan proses itu betul supaya jangan hilang dan tiris dan orang sakau di tengah jalan. Berapa banyak minyak yang hilang? Berapa banyak projek-projek yang tergendala tetapi keuntungan diambil oleh orang tengah? Ini mesti kita betulkan.
- Baik, yang akhir sekali yang saya nak sebut disini adalah tentang Dasar Agro Makanan Negara dan penanaman padi yang disentuh oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebentar tadi. Selama ini, di kawasan MADA sekitar 201,000 hektar adalah kawasan jelapang padi terbesar, ia bukanlah masalah menanam padi. Ada orang bercakap, oh ini masalah tanaman padi, kenapa di Kedah ini menanam padi, buatlah industri. Industri ada di Kedah, kita ada Kulim Hi-Tech yang Kerajaan Persekutuan bantu sehingga sekarang.
- Projek Kerajaan Persekutuan di Kedah itu industri jadi tidak ada masalah, tetapi jelapang padi ini miskin. Kalau sudah tahu miskin, kita harus cari jalan untuk bantu bagi menaikkan pendapatan mereka. Ya, terdapat dasar bagi sawah padi kerana kalau orang tidak menanam padi, kesannya adalah kepada negara dan negara tidak boleh import keseluruhannya. Sebagai kesiapsiagaan, kita mesti ada keperluan yang disebut self-sufficiency rate dengan sasaran daripada 50% kepada 65%.
- Bagaimana? Hendak membuka kawasan sawah lagi? tetapi ini tidak boleh lagi di Kedah. Kalau tidak boleh buka, walaupun memang ada yang buka di Sarawak, ada kawasan sawah padi yang baru yang besar, di Sabah kita cadangkan tambah tetapi di Kedah, tidak boleh lagi dibuka kerana soal pembangunan industri, soal rumah, sekolah dan sebagainya.
- Jadi oleh itu, ada rencana yang telah diuji selama ini iaitu program lima (5) musim dua (2) tahun. Jadi, hari ini saya tekankan tentang soal lima (5) musim dua (2) tahun dan minta kerjasama semua pesawah untuk memberikan kerjasama penuh kepada MADA atau BERNAS yang akan selaraskan, bagi peluang untuk kita memperkenalkan satu cara dan kaedah yang boleh meningkatkan hasil kita. Jika sekarang ini, kerja pulunlah teruk macam mana pun, hasilnya memang terhad. Jadi dengan cara ini kita harap boleh meningkatkan pendapatan dengan kerjasama Jabatan Pertanian, MADA dan BERNAS untuk menjayakan program ini kerana program awal rintis telah pun berhasil.
- Saya mengucapkan tahniah kepada Menteri dan seluruh pasukan kerana membuktikan hasil tetapi lepas itu apa jadi? Kita hendak buat satu lagi peringkat kecil-kecilan tetapi tidak boleh. Jadi kita kena buat skala yang besar dan saya minta kerjasama kawan-kawan dan keluarga di MADA ini kerana kalau tanya apa niat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, saya kata saya nak pastikan dengan kerjasama rakan-rakan saya bahawa nasib pesawah padi ini di bawah pentadbiran kita yang tegas dan cuba bersihkan daripada kerja sakau ini, kita mahu tentukan pendapatan ini betul-betul tinggi, daripada RM1200 naik kepada RM1800 sebulan. Dengan cara sedemikian, kita selesaikan juga masalah negara dari segi keterjaminan makanan atau sekuriti makanan. Fokus utama adalah di Kedah, walaupun program ini akan diselenggarakan oleh Jabatan Pertanian, MADA, BERNAS di Muda, tentunya pada agensi-agensi kerajaan yang lain di tempat lain yang boleh membantu.
- Jadi saya harap dengan beberapa program termasuk Program SMART Sawah Berskala Besar ini, kita dapat memperluaskan, tidak boleh lagi 10,000 hektar atau 5,000 hektar, kita kena perluaskan lagi. Yang saya panggil ramai-ramai ini terutama pesawah padi selain daripada nelayan dan pekebun kecil getah ialah hendak merayu dan memberitahu kita sudah jalankan secara besar-besaran mulai sekarang. Kita akan siapkan. Kerja saya adalah cari RM3 bilion itu, jadi jalankan dan luluskan apa yang diperlukan seperti keperluan infrastruktur. Saya mahu saudara-saudara di MADA ini menjadi contoh dan teladan untuk memberi kerjasama dan menjayakan program ini.
- Jadi inilah sahaja yang saya nak sampaikan. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Saya berasa senang apabila saya boleh bercakap di Kedah ini bukan sebab apa, sebab saya boleh bercakap dalam loghat Kedah.
- Terima kasih juga kerana saya dapat berjumpa kawan-kawan lama yang memberi sokongan kepada program ini tetapi saya hendak saudara-saudara juga faham, orang yang berjasa ini termasuklah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu dan pegawai-pegawai kita daripada semua agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terutamanya MADA dan penjawat awam yang memberikan fokus dalam bidang ini yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, KSN. Jadi mudah-mudahan Allah SWT merestui usaha kita.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- ISU MONOPOLI IMPORT BERAS TIDAK HARUS DIPOLITIKKAN, USAHA BERNIAT BANTU PESAWAH MISKIN – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR