TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS AMANAT PERDANA HARI KEBANGSAAN 202

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

MAJLIS AMANAT PERDANA HARI KEBANGSAAN 2023

 

30 OGOS 2023 (RABU) | 2.00 PETANG

 

DEWAN PLENARI

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi. Wa kafa billahi syahida. Wa Ussolli muala rasulihil karim wa ala alihi wa sohbihi ajmain.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri I;

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri II;

Yang Berhormat Tan Sri Datuk Johari Abdul

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat;

Rakan-rakan Menteri;

Tan Sri Ketua Setiausaha Negara;

Pimpinan penjawat awam; dan

Rakan-rakan mewakili seluruh masyarakat Malaysia tercinta.

  1. Hari ini di ambang kemerdekaan, harus kita mulai dengan merenung, menyingkap lembaran sejarah tentang semangat jitu di kalangan rakyat. Kita imbau jasa generasi bapa-bapa, ibu-ibu kita yang telah bertekad untuk memerdekakan negara, mengangkat martabat, mengembalikan maruah Negara, Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia sebagai Negara merdeka.
  1. Jadi wajar kita mulakan dengan mengiktiraf peranan mereka. Ini bukan soal kecil. Apa erti penjajahan atau imperialisme. Ramai generasi muda tiada pengalaman sama sekali dengan alam dunia penjajahan, selain dari membaca lembaran sejarah. Kurang mengerti bahawa penjajahan itu satu idea dan falsafah untuk menguasai negara dan rantau lain. Bukan dari segi fizikal semata-mata tetapi menguasai dengan menetapkan kaedah pengertian hidup, budaya, ekonomi mengikut acuan mereka.
  1. Maka penjajahan itu tidak berlaku tanpa pemerasan dan penindasan. Penjajahan itu tidak berlaku tanpa pemerasan yang disebut l’oppression de l’homme par l’homme dalam ungkapan Perancisnya yang bermaksud penindasan oleh manusia ke atas manusia, dengan memperhambakan rakyat. Seluruh khazanah negara itu dimiliki oleh penguasa penjajah, diangkat dan membesarkan, memegahkan negara baharu mereka. Negara mereka semasa itu adalah Great Britain, kalau dikira angka kekayaan mengikut nilai sekarang jumlahnya puluh billion ringgit.
  1. Shashi Tharor tatkala mengkaji kesan penjajahan di India mengandaikan ratusan bilion dolar yang dipindah ke United Kingdom hasil titik peluh khazanah bumi India. Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi mangsa sistem itu. Ini harus dimengerti, pulangan bagi negara sangat kecil. Sebab tu kemudahan-kemudahan asas seperti hospital dan sekolah terbatas di kawasan-kawasan kota, cara pendidikan bukan sahaja dari segi ilmu tetapi menguasai minda rakyat.
  1. Sebab itu Stamford Raffles tatkala merangka sistem pendidikan Tanah Melayu yang disebut notes untuk mengasaskan Sistem Pendidikan Melayu yang ditulis di Singapura pada ketika itu menyatakan, anak-anak Melayu yang baru ini kekal dengan warna sawo matang tetapi bicara dan memikir harus cara Inggeris. Ini juga pandangan Snouck Hurgronje di Indonesia, Lord Cromer di Mesir, McAuley di India. Mereka tidak mampu merubah rupa dan warna, tetapi mereka mampu merubah jiwa rakyat yang dijajah.
  1. Saya sengaja menyingkap pengalaman ini supaya kita tahu bahawa merdeka ertinya membebaskan rakyat daripada cengkaman kuasa asing dan pemikiran yang ditaja dan dijajah oleh kuasa asing. Begitu juga ungkapan oleh seorang pemikir Islam, Muhammad al Ghazali yang menyebut “Penjajahan Roh (jiwa) dan Pemikiran” adalah lebih sukar daripada memerdekakan negara dari penguasaan asing.
  1. Mengapa kita tolak penjajahan dan imperialisme? Kerana penjajahan dan imperialisme itu memperhambakan rakyat, memunggah kekayaan khazanah negara kita dan dipulangkan ke negara mereka. Maka bangkit bapa-bapa pejuang.
  1. Kita tentunya kenal dengan sosok seperti Almarhum Dato Onn Jaafar, yang mengingatkan kita bahawa kemerdekaan itu satu kemestian tetapi memberi amaran. Saya pinjam ungkapan kata-kata keramat peringatan Almarhum Dato Onn Jaafar “bercakap tentang kemerdekaan selalu sahaja mudah tetapi hendak kemerdekaan itu kekal di tangan kita adalah perkara yang berat dan susah” – (1946). Kemudiannya seorang lagi yang begitu terkenal dengan Pidato Almarhum Dr. Burhanuddin Al Helmi “kena ditambah ungkapan merdeka itu dengan istilah jiwa merdeka di atas robohan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka. Bersatu padulah segenap baka, membela hak keadilan pusaka” – (1940). Dan yang menarik dari ungkapan bicara Burhanuddin Al Helmi ini ialah kerana beliau menyebut tentang jiwa merdeka. Inilah yang kita lalui dan terpaksa hadapi sekarang. Kita bukan lagi merdeka dalam erti kata Negara merdeka.
  1. Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah Taala, kalau di Tanah Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dengan kekuatan asas perjuangan kebangsaan Melayu sama penyertaan rakan-rakan kita masyarakat Cina dan India kita mendapat kemerdekaan dan dapat pertahankan kemerdekaan. Tetapi cabaran bagi kita ialah bagaimana kita harus mengekalkan keamanan dan kemerdekaan kerana tentunya belum terjamin tanpa kekuatan pertahanan, tentera dan polis. Seperti mana pengalaman kita menghadapi gerombolan pengganas di Lahad Datu. Sebelumnya cabaran konfrontasi Indonesia dan sebelumnya lagi, iaitu ancaman gerombolan komunis dari parti komunis Malaya. Alhamdulillah, kita dapat tanganinya dengan baik.
  1. Walaupun bibit-bibit kecil seperti yang berlaku di Lahad Datu baru-baru ini masih berlaku dan perbatasan terutama kawasan lautan masih ada pertindihan tuntutan dan insya-Allah kita akan pertahankan setiap inci Bumi Malaysia tercinta ini. Kalau kita terima bahawa merdeka itu bererti membebaskan diri, minda dan jiwa. Ini cabarannya sekarang. Mengapa kita tolak penguasaan oleh Governor General, residen dan pegawai-pegawai Inggeris. Bukan kerana sikap mereka sahaja tapi kerana mereka memunggah kekayaan Negara kita. Tapi benar kita telah berjaya menggantikan elit, politik, ekonomi dan sosial Inggeris ini dengan elit politik dan sosial di kalangan Pribumi dan rakyat tempatan. Tapi kita juga diperingatkan banyak kajian-kajian dibuat, karya-karya besar termasuk Frantz Fanon tatkala mengupas The Wretched of the Earth tentang kesan penjajahan. Masalah lebih besar ialah jiwa yang terjajah. Negara merdeka jiwa masih terjajah. Elit yang baru mengambil alih warna kulitnya lain, bangsa dan agamanya lain tetapi sikap keangkuhan dan memunggah kekayaan itu diteruskan. Sebab itu kita kena tekankan dan memaknai merdeka. Memaknai merdeka maknanya dari pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus tahu bahawa negara ini adalah satu amanah dan segala kuasa yang ada dari peringkat kecil di kampung atau penghulu atau di Pejabat Daerah sehinggalah di Jabatan Perdana Menteri mesti melahirkan manusia yang jiwanya juga merdeka, yang tidak sanggup negara ini dijadikan perkakas untuk memperoleh habuan untuk golongan elit.
  1. Kajian ini menunjukkan bahawa usaha memastikan jiwa merdeka itu adalah daya usaha yang berterusan. Memaknai merdeka maknanya segala khazanah, segala kekuatan dan usaha adalah untuk mengembalikan hak kepada rakyat, mengangkat martabat negara ini dan saya yakin kalau semangat ini ada dalam kalangan rakyat Malaysia, Malaysia akan muncul sebagai Negara hebat dan gagah di Asia Tenggara ini.
  1. Syaratnya ialah semangat yang telah diperkukuh oleh bapa-bapa kita, persatuan, perpaduan menerima kenyataan bahawa kita merdeka dengan suku kaum induk Melayu dan bumiputera dengan penyertaan rakan-rakan lain Cina, India, Orang Asli. Dengan aspirasi Malaysia negara tercinta, penyertaan rakan-rakan Melanau, Dayak, Dusun, Kadazan, Bajau, Suluk semuanya masuk dalam satu keluarga dan kita mesti pertahankan semangat bahawa Negara ini adalah Negara milik semua rakyat Malaysia.
  1. Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depannya melalui dasar dan pelaksanaan sekarang. Sebab itu saya kata dalam menyongsong hari muka, isu yang kadang-kadang sangat tidak disenangi oleh sebahagian kecil kita, tentang pengurusan, tatakelola, gunakan kuasa untuk memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga dan kroni itu mesti dan wajib dipertahankan. Masalah ini Negara kita, bukan masalah kaum, bukan masalah perbedaan kaum, budaya dan agama. Allah jadikan perbezaan itu untuk litaarrafu kenal dan hormat di antara satu sama lain, kita mesti terima kenyataan itu. Tidak siapa yang harus mempertikai?
  1. Peruntukan-peruntukan mutlak, kukuh dalam perlembagaan negara kita, berbahasa Melayu, soal Islam agama Persekutuan, soal hak keistimewaan Melayu bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negara ini tegak dulunya, tegak sekarang dan insya-Allah akan terus tegak, hebat dengan memperakui kontrak sosial di antara semua kaum dan jaminan semua bahawa hak setiap warganegara mengamalkan agama mereka, memuliakan budaya mereka termasuk suku kaum mereka tetap dipertahankan dan insya-Allah kerajaan perpaduan dengan negara MADANI akan pertahankan hak setiap rakyat di bumi bertuah ini. Sebab itu kita harus tumpu perhatian kita ke arah mengelak daripada apa sahaja usaha yang mungkin melemahkan semangat, kecintaan dan perpaduan di kalangan kita. Jangan remehkan hal ini, ada negara yang hebat, muncul sebagai negara gagah dengan tamadun hebat tapi hancur bukan sahaja kerana tatakelola dan rasuah tapi kerana dia bermain dengan api perkauman dan kefanatikan agama.
  1. Lihat sahaja di kalangan negara-negara lain, malah negara-negara maju bahawa perbedaan itu boleh menjadi kekuatan, dan perbezaan juga boleh merosakkan sendi masyarakat dan kekuatan negara. Pilihan-pilihan kita, pilihan pimpinan, dan pilihan rakyat. Namanya pilihan tetapi tentunya bagi yang berfikir dan waras, ini bukan pilihan, ini satu imperative atau kemestian seperti mana apabila Allah memberikan pilihan kepada kita:

“Laqad khalaqna al-insana fee ahsani taqweem, Thumma radadnahu asfala safileen” (Surah At-Tin, 4-5)

  1. Allah boleh angkat darjat manusia itu sebagai sebaik-baik kejadian, tetapi kita boleh memilih untuk menurunkan darjat kita sebagai sehina-hina makhluk, tentunya itu bukan pilihan. Kita mahu negara kita ini dijadikan negara MADANI yang boleh mengangkat martabat semua rakyat dan matlamat rakyat itu boleh diangkat sekiranya dasar kita, hukum negara kita dan keterlanjuran yang pernah berlaku itu boleh dihindari dan sekiranya wacana kita dan kebebasan kita itu digunakan dengan waras dan bijak bukan kebebasan untuk adu domba, kebebasan untuk mencerca dan menghina, tetapi kebebasan untuk mengangkat martabat manusia ini dengan prasyarat itu dan dengan dasar yang jelas. Lihat penilaian kita 20 tahun kebelakangan ini memang kita di tahap yang sangat mendatar, tidak melonjak. Kita yang dulunya punyai keupayaan untuk terangkat martabat kita, namun ekonomi kita telah menghadapi masalah-masalah dan kekal mendatar selama 20 tahun. Kita boleh buat pilihan untuk terus dengan adu domba, syak wasangka, permusuhan politik dan kaum atau kita memilih untuk menyatakan “sudahlah mari kita gunakan manfaatkan waktu kita ini untuk merangka strategi dan bekerja sedaya upaya kita untuk mengangkat martabat Negara ini”.
  1. Bagi pihak pimpinan Kerajaan dengan rakan-rakan penjawat awam dan swasta, kita telah merangka beberapa rencana penting di akhir tahun 2023 ini. Kita kemukakan kerangka transisi tenaga (energy transition) yang mahu meletakkan Malaysia ke depan. Menggunakan hasil mahsul bumi ini dengan cara sangat berhemah. Mengelak apa bentuk ketirisan, menerima kenyataan bahawa soal persekitaran dan perubahan iklim suatu kemestian dan ketentuan.
  1. Maka, dua (2) hari lagi kita akan luncurkan Pelan Perindustrian Negara bukan seperti mana biasa, pelan perindustrian tetapi melakukan anjakan supaya tidak memutuskan ke arah sektor ke sektor, tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, dan transformasi digital serta dapat memberi ruang bagi ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu.
  2. Sejurus selepas itu, kita akan lakukan apa yang disebut sebagai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12. Sekali lagi anjakan berlaku, tidak hanya kajian menilai perencanaan awal tapi membuat apa sahaja yang memerlukan pengubahsuaian dan anjakan supaya menentukan pembangunan kita itu betul-betul mampan memaknai kemerdekaan rakyat.
  1. Apa erti merdeka rakyat? Kesempatan dan peluang prasarana asas bagi rakyat itu mesti terjamin. Malaysia tidak boleh dikenali dengan mercu tanda gagah, sama ada bangunan tertinggi atau jambatan terpanjang atau gedung raksasa. Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat termasuk yang tersisih dan terpinggir. Ini disebutkan kemerdekaan dan jiwa merdeka. Jiwa yang merdeka itu tidak kagum hanya dengan gedung raksasa, jiwa merdeka itu dengan memberi pengertian apa erti keadilan bagi semua rakyat bukan kepada beberapa kalangan elit terpilih.
  1. Sebab itu kita bangga, Alhamdulillah kerana tahun ini 2023, sebelum akhir tahun, secara spesifiknya bulan Oktober, semua sekolah di Negara kita, sekolah Kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, skolah Arab, semua tanpa kecuali kita jamin punyai prasarana asas yang munasabah dengan bumbungnya, dengan tandasnya. Bagi saya ini jauh lebih bermakna bagi jutaan ibu bapa dan anak murid daripada mercu tanda dan Gedung-gedung hebat dan besar.
  1. Dalam kajian separuh penggal, prasarana asas harus dipelihara dan menghargai sumbangan generasi terdahulu. Bila saya bersama dengan Kementerian Kerja Raya di Gerik, saya terkesan kerana dipaparkan semula kisah derita dan pengorbanan Tentera dan Polis serta pegawai-pegawai atau pekerja Jabatan Kerja Raya yang terkorban kerana serangan pengganas komunis di lebuh raya. Mereka tidak bersetuju Malaya pada ketika itu dibangunkan dan menguasai daerah yang dianggap oleh parti komunis Malaya kubu mereka. Lebuh raya timur barat, Kelantan, Kedah, Perak. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan di kementerian hari ini yang mampu mengenang jasa dan khidmat bapa-bapa kita 40 tahun yang lalu. Tatkala menggali, bekerja dan mengawasi membangunkan lebuhraya timur barat inilah semangat yang harus ada di negara merdeka.
  1. Dan saudara jika prasarana sedemikian ada, sepertinya juga Lebuh raya Pan Borneo yang kita bicarakan sekarang, kita boleh tumpu ke satu tahap yang lebih tinggi. Yang saya singgung tadi berkenaan transformasi digital, yang mana meberusi industri transformasi digital, kita akan dapat menjadi bukan sahaja mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul, tetapi meningkat keupayaan kita dalam beberapa bulan ini. Alhamdulillah, Malaysia kembali mendapat perhatian beberapa syarikat besar. Seperti saudara tahu, Elon Musk, di Amerika atau Geely dari Negara China dan Infineon dari Jerman, bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pelaburan penting. Dan saudara-saudara, bagi kita ini sangat penting kerana kalau usaha ini dapat diteruskan, Malaysia boleh memaknai kemerdekaan itu. Setiap anak muda dijamin kerja dan tidak menganggur dan setiap pekerja mendapat upah yang munasabah.
  1. Sebab itu saya telah memberi jaminan dalam keadaan kekangan ekonomi kita sekarang pun, kita sedang merangka perubahan sistem upah dan pelarasan gaji yang dapat memberi jaminan kepada penjawat awam di negara kita. Bagi kalangan sektor swasta pula, kita perkenalkan dari inisiasi kementerian ekonomi, satu kadar upah yang lebih progresif supaya jangan kekal dengan gaji lama dan bicara soal gaji minima dalam keadaan industri itu melonjak naik. Kita bawa pelaburan ratusan billion gaji pekerja masih ditahap tahun 80-an dan 90-an dan ini tidak munasabah dan tidak mungkin dipertahankan.
  1. Demikianlah saudara-saudara di antara cita dan harapan kita. Justeru, negara kini harus bersatu, negara ini harus merangka ekonomi MADANI yang mampan dan negara ini harus menjamin keselesaan dan keadilan bagi semua rakyat. Negara yang pelbagai kaum, pelbagai agama tidak mudah diurus, kerana setiap hal boleh menimbulkan kesangsian dan sensitiviti. Setiap kenyataan diolah mengikut acuan budaya, kaum dan agama masing-masing, tetapi percayalah sekiranya kita ada kecerdasan, Merdeka ini maknanya menimbulkan semangat jiwa merdeka kerana cerdas dan berilmu. Merdeka ini merdeka daripada penguasaan dan kongkongan fahaman asing yang menindas kita. Merdeka ini juga harus merdeka jiwa daripada fahaman tempatan yang kolot dan jumud, yang dilawan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan, yang dilawan oleh ulama-ulama silam bukan sahaja kuasa barat atau kuasa penjajah tetapi juga kuasa dan pemikiran yang jumud, yang mengongkong kita atas nama kaum dan agama yang sempit dan ini harus ditolak kerana ia akan mendapatkan satu suasana yang terkongkong dan terjajah.
  1. Apa makna Negara merdeka? Jiwanya masih kolot dan jumud. Apa makna negara yang punyai potensi hebat tetapi masih terperangkap dalam kaptif main pemikiran yang terperangkap kerana mahu hidup tanpa ilmu, mahu hidup tanpa kefahaman dan mahu hidup atas aturan orang yang mempunyai kepentingan sama ada korup atau jumud dan ada kepentingan-kepentingan yang sempit.

Saudara-saudari,

  1. Mari kita bangkitkan semangat baru, mari kita gilap idealisme Malaysia ini sebagai negara hebat di rantau kita. Mari kita manfaatkan waktu yang ada dan sisa-sisa hidup kita ini untuk berbuat bakti, kepada diri, keluarga, masyarakat dan Negara kita. Dan yakinlah bahawa negara ini bukan biasa, negara ini punyai hasil mahsul yang hebat melimpah ranah. Golongan pekerja dan profesional yang mampu diangkat, diasak menjadi tenaga, teknologis dan profesional yang boleh bersaing dengan mana-mana negara di dunia. Syaratnya saudara-saudara, kita angkat martabat ini hindari dari pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran yang jumud, yang memperbodohkan rakyat dan menghina kita sebagai manusia. Allah berikan akal dan kecerdasan, mari kita gilap supaya jangan kita diperkotak-katikkan, dihina dan dipermainkan, atas nama apa pun.
  2. Merdeka maknanya merdeka rakyat, negara sudah merdeka berdekad-dekad, yang belum merdeka ialah jiwa dan pemikiran kita. Sebab itu, saya akhiri dengan mengingatkan balik apa yang disebut oleh Burhanuddin Al-helmi maksud dan memaknai jiwa merdeka ataupun Mohamad Ghazali supaya kita betul-betul terlepas daripada Istithmar Ruhi Wa fikri, “Penjajahan Roh (Jiwa) dan Pemikiran”.
  1. Merdeka pada tahun 2023, Merdeka di Negara keramat, Persekutuan Tanah Melayu dan bersama Hari Malaysia 16 September bersama Sabah dan Sarawak, maknanya satu babak baru bagi negara kita. Bila kita bicara bukan saja merdeka negara tetapi merdeka rakyat, bukan sahaja fizikal tetapi merdeka jiwa dan pemikiran rakyat, semoga Allah SWT memberikan kekuatan.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.