KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Belanjawan 2024 Malaysia MADANI adalah manifestasi komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan peluang pekerjaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata belanjawan yang bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” itu juga menterjemahkan usaha Kerajaan Perpaduan bagi menyokong iklim pelaburan yang kondusif dalam suasana global yang kian berubah.
Perdana Menteri berkata belanjawan Kerajaan Persekutuan bagi 2024 itu juga memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pro-rakyat, seiring hala tuju ekonomi baharu.
“Belanjawan ini merupakan suatu pernyataan iltizam Kerajaan Perpaduan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada (dunia masa kini) yang serba mencabar.
Inilah masanya kita perbetul keadaan dan memastikan setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia dan hidup aman di negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan,” kata Anwar.
Dalam hantaran sama Perdana Menteri turut berkongsi beberapa infografik ringkasan intipati Belanjawan 2024.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 Di Dewan Rakyat semalam Anwar mengumumkan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan yang menggariskan tiga tumpuan iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.
Beliau berkata Belanjawan 2024 menyaksikan hasil negara bertambah berikutan penstrukturan semula ekonomi dan fiskal serta pelaksanaan reformasi percukaian dan subsidi bersasar akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengangkat darjat hidup rakyat.
— BERNAMA
Similar Posts:
- BELANJAWAN 2023 MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN DIDEPANI KERAJAAN – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI KEUTAMAAN TANGANI ISU KOS SARA HIDUP
- PM ANWAR SEMBAH MAKLUM KEPADA AGONG BELANJAWAN 2023
- MALAYSIA-AUSTRALIA KOMITED PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA – PM ANWAR
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR