TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL USAHAWAN DESA (KUD) @PUTRAJAYA TAHUN 2023

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL USAHAWAN DESA (KUD) @PUTRAJAYA TAHUN 2023

25 NOVEMBER 2023 (SABTU)

 

ANJUNG FLORIA

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi. Wa kafa billahi syahida. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem. Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

YB Datuk Hajah Rubiah Binti Wang,

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah;

Ketua Setiausaha;

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA);

Rakan-rakan pegawai di persekutuan dan negeri; dan

Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

  1. Alhamdullilah, terima kasih kerana sudi hadir menjayakan KUD di Putrajaya ini dan saya beritahu YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang bahawa sambutan ini sangat menggalakkan kerana selalunya acara-acara di Putrajaya ini sambutannya itu luar biasa. Alhamdulillah.
  1. Ini kesempatan kita untuk menguar-uar usaha yang dilakukan oleh Kementerian serta agensi dan jabatan yang berkaitan serta meraikan usahawan supaya diberikan dorongan dan sokongan baik daripada jentera kerajaan mahupun rakyat terbanyak.
  1. Sebelum itu saya ingin menyampaikan salam seperti mana juga Timbalan Menteri beritahu tadi, saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang sekarang alhamdulillah telah bertambah sihat dan afiyah.
  1. Saya sempat bersama beliau sejam tadi di rumahnya dan insya-Allah beliau akan memulakan tugas dalam sedikit masa lagi. Kalau ikutkan dia nak datang tetapi saya memberi arahan supaya tidak perlu hadir sebab beliau perlu rehat yang banyak.
  1. Saya mengucap tahniah kepada beliau selaku Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) dan seluruh jentera di kementerian. Seperti mana yang saya bisikkan kepada KSU sebentar tadi, kementerian ini penting dan kritikal untuk menjamin bukan sahaja penyertaan tetapi kejayaan terutamanya usahawan desa. Jika dengan usaha-usaha kita ini dapat mengangkat, dan memperbaiki kedudukan ekonomi mereka maka ini yang disebutkan sebagai merakyatkan ekonomi. Justeru, saya beritahu kepada YBhg. Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun, harus dipantau seluruh agensi dan jabatan di bawah kementerian ini dengan lebih tuntas.
  1. Kita sudah setahun dalam Kerajaan Perpaduan ini. Alhamdulillah, stabil dan kukuh sebagai satu kerajaan dengan dukungan lebih dari 2/3 ahli Parlimen. Soalnya untuk apa? Jawab saya, adalah untuk meneruskan agenda perubahan dan reformasi.
  1. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana keyakinan pelabur asing itu bertambah. Dua (2) hari yang lalu, saya pulang dari San Francisco. Mesyuarat APEC atas undangan Presiden Joe Biden, Amerika Syarikat dan dihadapan beliau, saya menggunakan ruang itu untuk menjelaskan sikap rakyat Malaysia tentang kemelut politik dan bencana dahsyat yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
  1. Orang bertanya saya, dari mana datangnya kekuatan untuk menyampaikan dan berdepan dengan Presiden Joe Biden? Ini jarang berlaku. Saya jawab, pertamanya saya terpaksa menyatakan yang haq, “Qulil haq walau kana murran” – Katakan KEBENARAN.. walaupun (kebenaran) itu PAHIT rasanya. Nyawa terkorban, harta dirampas, dan pemilikan tanah yang disebut Maknanya seluruh harta, tanah milik mereka, nyawa dan maruah mereka digadai kerana jenayah yang dilakukan oleh pemerintah Zionis Israel.
  1. Tidak mungkin sukar untuk kita bercakap dan menyampaikan pandangan supaya dihentikan serangan. Sebab itu saya gunakan peluang tersebut berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat, kuasa besar dunia untuk menyampaikan.
  1. Jadi apabila ditanya dari mana datangnya keberanian? Saya sebut kerana saya faham denyut nadi, kegelisahan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mahu pemimpin mereka menyuarakan pandangan mereka dan ini yang saya lakukan bagi pihak saudara-saudara di hadapan Presiden Amerika Syarikat. Kita harus menghentikan segala keganasan terhadap rakyat. Kita harus memberi ruang segera supaya bantuan kemanusiaan, perubatan terutamanya makanan dapat disalurkan dan alhamdulillah bantuan dari Malaysia diberi keutamaan oleh Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi.
  1. Apabila saya berjumpa dengan beliau pada bulan lalu, saya memberitahu dan meminta kerjasama daripada beliau. Dua (2) minggu yang lalu, apabila bertemu beliau di Riyadh, beliau menyatakan bahawa beliau telah menunaikan janji. Alhamdulillah, Malaysia diberi keutamaan di antara negara yang paling singkat menunggu untuk menyampaikan bantuan perubatan dan makanan ke Gaza.
  1. Inilah umpamanya kebijaksanaan kita dalam hubungan diplomatik. Terkadang ada yang mengecam, mereka kata Perdana Menteri ini banyak di luar. Saudara-saudara, mesyuarat yang saya hadir di luar itu adalah mesyuarat yang mewajibkan saya hadir, yang sunat saya tidak pergi.
  1. Umpamanya persidangan di Riyadh, iaitu Persidangan Negara-negara Islam, Ketua-ketua negara Islam dan Ketua-ketua negara Arab. Semua hadir dan kita hadir untuk menyampaikan dan bertemu dengan pemimpin dunia Arab untuk menyatakan pendirian dan itu lebih berkesan kerana mereka adalah jiran dan tetangga kepada Palestin.
  1. Saya ke San Francisco bagi menghadiri mesyuarat APEC, seluruh Asia dan Pasifik, semua Ketua-ketua negara hadir tetapi seperti mana saya sebut, selain hadir menyampaikan pandangan kita dari sudut ekonomi, perniagaan dan pelaburan, kita sampaikan pandangan tentang masalah yang berlaku, malapetaka yang menimpa umat Islam dan umat Kristian di Gaza dan Palestin.
  1. Apabila saya sebut ini, ada juga yang dari kalangan luar parti politik menyerang. Sebab apa? Sebab Anwar sebut ini bukan soal umat Islam sahaja, tetapi perkara ini memang betul,  hal ini bukan semata isu umat Islam tetapi ini juga isu rakyat Palestin yang bukan beragama Islam. Ratusan masjid dimusnahkan dan tujuh (7) gereja turut dimusnahkan.
  1. Jadi apalah salahnya kita menyuarakan simpati kita atas nama kemanusiaan dengan mengajak rakyat dan umat Islam bersama kita serta umat Kristian yang juga menerima bencana ini. Kita menyatakan simpati dan pertolongan kepada mereka. Mengikut kefahaman Islam, ia disebut sebagai rahmatan lil alamin. Malangnya kita di caci maki kerana seolah-olah meremehkan peranan Islam. Itu yang pertama.
  1. Yang kedua, kita juga fikir tentang masalah ekonomi. Jika ekonomi kita tidak berkembang, usaha untuk membantu usahawan desa juga terbatas, ada kekangan. Oleh itu, selain daripada mesyuarat biasa, urusan diplomatik, urusan Palestin, kita gunakan peluang ini untuk berbincang dengan syarikat-syarikat besar di Amerika Syarikat, Google, Facebook, Syarikat TPG dari bidang kesihatan yang besar, dan Tiktok supaya mereka dapat melabur, mengadakan operasi di Malaysia dan memberi ribuan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kita.
  1. Jadi ibu bapa yang menjadi usahawan desa, anak-anaknya dilatih melalui kursus di universiti, institut latihan atau TVET untuk memenuhi keperluan pekerjaan dan bidang yang lebih canggih termasuk bidang digital.
  1. Dengan kerjasama MITI, sepanjang 3-4 hari saya di San Francisco selain mesyuarat APEC, ada sahaja ruang dan masa untuk mencelah, kita berjumpa dengan tokoh-tokoh ini dan mereka bersetuju untuk melabur RM60 bilion di Malaysia.
  1. Sebelum itu, sepertimana yang saya sebut beberapa bulan yang lalu, syarikat pengeluar cip mikro komputer terbesar di Eropah iaitu Infineon dari Jerman bersetuju untuk menambah pelaburan ke Malaysia.
  1. Terdapat dua (2) aspek yang kita harus ingat. Kepada ibu bapa, harus memastikan anak-anak itu diberi ruang. Kalau dia mahu masuk universiti bagi galakan, mahu masuk TVET silakan, Giat Mara silakan dan kita harus pastikan jenis kursus dan latihan itu diperbaiki.
  1. Saya telah meminta YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi mempengerusikan jawatankuasa kabinet untuk menyelaraskan dan meningkatkan keupayaan kerana apabila Infineon, satu syarikat Jerman memutuskan Malaysia sebagai negara pelaburan terbesar luar daripada Jerman berjumlah RM25 bilion. Apa yang kurang? Mereka kata jurutera lulusan TVET semuanya baik namun harus ditingkatkan lagi kemahiran dan keterampilan dalam bidang-bidang tertentu. Maka kita usahakan.
  1. Kita juga mendapat dukungan dari negara China, yang memberikan perhatian baik kepada Malaysia sekarang ini. China semalam mengumumkan, selain daripada 3 negara Eropah, mereka turut menyebut negara ASEAN, yang mana Malaysia diberikan keistimewaan untuk membolehkan rakyat Malaysia ke negara China selama dua (2) minggu tanpa visa.

Saudara-saudara,

  1. Ini tidak berlaku tanpa usaha Kementerian Luar Negeri dan rakan-rakan kita yang menyampaikan pandangan kerana Malaysia akan kekal bebas dan merdeka. Kita baik dengan Amerika, kita baik dengan Eropah, kita baik dengan negara China. Jangan ada mana-mana negara nak atur dasar luar kita. Ada orang Amerika kata, baik dengan Amerika, jangan baik dengan China atau sebaliknya. Kita tidak peduli semua itu kerana kita bertanggungjawab menentukan dasar yang akan memberikan faedah kepada negara Malaysia.
  1. Jadi pelaburan dari negara China juga besar. Geely-Proton di Tanjung Malim itu telah menetapkan kawasan atau kota automotif terbesar selain daripada negara China dengan pengeluaran awal 500,000 kenderaan Geely-Proton setahun. Apa faedahnya kepada kita? Faedahnya ialah peluang pekerjaan kepada anak muda sebab itu saya nak pastikan TVET, Institut Latihan, Giat Mara terutama di sekitar Perak, Selangor dan berdekatan diubahsuai untuk memenuhi keperluan Geely-Proton dari segi automotif.
  1. Hal-hal ini dilakukan untuk menjamin masa depan yang lebih baik bagi negara kita. Sebab itu saya katakan, setelah satu tahun Kerajaan Perpaduan, sudah sampai ketikanya kita mengajak rakyat menumpukan soal pertumbuhan ekonomi dan negara kita.
  1. Ada orang berbicara masalah orang Melayu tertekan atau Islam tercabar, itu hanya retorik dan politik kosong kerana kenyataannya di sini adalah pendirian kita. Kementerian ini sebagai buktinya, 70% atau 80% kegiatan memberi manfaat langsung kepada orang Melayu dan bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak dan program tahun ini, di bawah Kerajaan Perpaduan jauh lebih baik ketimbang tahun-tahun sebelumnya.
  1. Bukan itu sahaja, peruntukan kewangan bagi negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan, jauh lebih tinggi daripada peruntukan diberikan oleh kerajaan dalam tahun yang sebelumnya tetapi yang diuar-uarkan dan difitnah adalah negeri-negeri ini di anak tirikan.
  1. Islam tercabar katanya. Siapa yang mencabar Islam? Apa program kita yang dikatakan mencemar Islam? Saya hendak bertanya di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ini dan di Program KUD ini, yang mana yang bercanggah dengan Islam? Tetapi inilah yang menjadi naratif politik yang tidak berkesudahan.
  1. Saya katakan kita akan jawab dengan tegas tetapi tidak mengalih pandangan kita. Kita akan tingkatkan usaha membangunkan baik orang Melayu, bumiputera atau kedudukan Islam dan menjamin keselesaan serta keadilan bagi semua kaum di negara Malaysia ini.

Saudara-saudara,

  1. Saya sebut tadi kepada Timbalan Menteri dan YBhg. Dato’ Sri Ramlan Bin Dato’ Harun dan sebelum ini kepada Menteri iaitu beberapa keutamaan kita. Bagi tahun 2024, ini adalah masa kita untuk melaksanakan beberapa program yang tertangguh selama puluhan tahun termasuk penyasaran subsidi. Orang akan mainkan naratif apabila kita katakan kita tarik subsidi untuk ayam, riuh rendah akan naik. Namun, apabila kita tarik subsidi rupanya harga ayam lebih terkawal daripada dulu.
  1. Walaubagaimanapun andai kata naik harga, kita tidak akan tukar dasar penyasaran subsidi tetapi kita boleh berikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), suntikan dana langsung kepada keluarga. Kalau dia kata dia rugi RM30 atau RM50 sebulan dari segi ayam, kita beri suntikan tambahan, itu pendekatan kita, tetapi alhamdulillah sekarang ini harga ayam tidak naik.
  1. Katalah untuk gula, Laporan Asia, Malaysia mencatat penyakit kencing manis atau diabetes paling tinggi di Asia. Kita tidak boleh biarkan begini. Ini bukan urusan Kementerian Kesihatan sahaja saya nak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga Timbalan Menterinya ada sini serta KSU supaya kempen kurangkan pengambilan gula kerana perkara ini telah menjadi masalah besar kepada kita, kita patut jadi negara sihat.
  1. Islam itu menekankan keperluan menjaga kesihatan tetapi Malaysia adalah nombor satu dari segi penyakit kerana menelan dan menghirup gula berlebihan termasuk teh tarik saya sebentar tadi. Beritahu saya siapa yang buat tu, kurangkan gula, ini nak jaga Perdana Menteri takkan nak bagi dia kencing manis hari ini. Jadi saya tidak boleh habis satu cawan, saya nak minum terlalu manis, tidak boleh (nada seloroh).
  1. Oleh itu, semua program dan jamuan kementerian, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ada disini, arahan kurangkan gula. Kalau tidak, saya rasa kesal betul kerana Malaysia ini dengan kesedaran Islam, dengan dakwah dan tazkirah tetapi penyakit diabetes paling tinggi. Maknanya kesedaran tentang kepentingan kesihatan tidak dikawal. Jadi usahawan-usahawan yang jual, kejap lagi kalau saya jalan, saya nak rasa gula kurang atau gula lebih.
  1. Betul juga, kadang-kadang kalau gula kurang, dia kata kita kedekut, kita tipu, bukanlah kurang sangat sampai tidak ada rasa manisnya. Tetapi kena ingat lagu lama dahulu – ‘manis manis manis bukannya gula sayang, manislah lagi senyummu puan’.
  1. Jadi kita nak hargai manis senyuman itu lebih baik daripada manis gula. Orang Melayu dulu pandai buat lagu-lagu lama ni, dia punya senikata, yang manis manis bukan gula, manis manis manis senyum senyum senyum ya puan. Nasib baik Azizah tidak ada (nada seloroh).
  1. Untuk kementerian ini, saya sebut tadi kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, dalam belanjawan yang saya umumkan, setiap kampung, desa, rumah panjang, kawasan perumahan PPR, kita akan tetapkan sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM100,000 atau paling kurang RM50,000 mengikut keadaan.
  1. Maknanya kita pergi satu kampung, contohnya Cherok Tok Kun atau kampung Charok Kudung di Kedah atau di mana-mana kampung di Kapit, rumah panjang, bukan pegawai kementerian yang luluskan projeknya. Kita bagi wang, sementara penghulu, penggawa, ketua kampung atau tuai rumah akan mengadakan perjumpaan dan memutuskan apa projek ekonomi untuk kampung itu.
  1. Ini kali pertama kita cuba di kampung, masyarakat dan jawatankuasa yang putuskan. Ini bukan untuk membaiki jambatan atau pagar masjid, itu peruntukan lain tetapi ini adalah projek ekonomi. Mereka nak buat tanaman sayur, hidroponik, atau kraf tangan, itu keputusan mereka. Asalkan mengikut peraturan. Saya nak tunjukkan bahawa kalau kampung-kampung ini ada kesedaran, dia boleh urus dan tidak akan ada kecurian dana. Kalau ada, kita minta SPRM dan bawa dia ke tempat yang sesuai.
  1. Tetapi saya percaya insya-Allah dengan program ini yang kita akan luncurkan awal tahun depan secara berperingkat, setiap kampung, desa, rumah panjang atau di bandar khususnya rumah kos rendah atau sederhana itu diberi dana sebanyak RM100,000 dan minima RM50,000, sementara jawatankuasa kampung itu sendiri akan menentukan apa projek ekonomi yang hendak mereka jalankan.
  1. Ini adalah suatu kejutan yang belum pernah dilakukan di negara kita. Kalau berjaya alhamdulillah, kalau tidak berjaya salah mereka. Kita beri wang kepada mereka dan mereka jalankan. Kalau mereka kata nak bekerjasama dengan Jabatan pertanian, mereka hubungi terus Jabatan pertanian. Semua jabatan baik Kementerian Pertanian, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan semua agensi MARA dan semua mesti mengambil perhatian bahawa dalam kes ini, apa yang diminta oleh kampung itu mesti dibantu oleh jabatan-jabatan berkenaan untuk diperincikan.

Saudara-saudara,

  1. Di antara kementerian yang saya tugaskan untuk memantau selain daripada ICU adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, untuk membantu dan memantau supaya projek-projek ini dijalankan. Ini satu perubahan besar. Saya nak lihat, apakah mampu orang kampung sendiri memutuskan dan menjalankan dengan kos yang lebih rendah. Dia menguruskan maknanya apa yang boleh dilakukan dengan RM100,000 itu walaupun projek kecil.
  1. Kalau dinyatakan nampak ada kejayaannya, maka untuk tahun berikut kita akan beri perhatian. Katalah dia ada projek yang menunjukkan keupayaan yang lebih baik, maka jabatan-jabatan atau agensi yang berkenaan boleh bantu dan ini saya ingat satu pendekatan baharu yang akan melibatkan puluhan juta rakyat di semua kawasan.
  1. Bermakna setiap rakyat dewasa, 18 tahun ke atas ataupun kalau boleh di kampung dia nak dapatkan input daripada anak muda 16 tahun atau 17 tahun itu terserah pada orang kampung, tidak ada syarat. Syaratnya belanja dengan berhemah mengikut peraturan yang ditetapkan. dan kalau ini direalisasikan bermakna Malaysia mungkin negara pertama yang melibatkan puluhan juta rakyat menentukan projek mereka sendiri dan menjalankan kegiatan atas semangat musyawarah di desa.
  1. Ini kita panggil Dana Komuniti MADANI. Perbelanjaan peruntukan awal adalah RM1 bilion dan saya percaya tidak akan cukup dan kemungkinan akan ada tambahan RM2 bilion sebelum akhir tahun sekiranya perjalanan ini lancar.
  1. Jadi saya harap semua jabatan dan pegawai-pegawai memberi kerjasama yang baik dan mengelakkan pertindihan. Yang tadi juga saya sebut kepada KSU, semua kementerian terutama melibatkan soal begini, elakkan pertindihan. Semua jabatan yang terlibat harus diselaraskan.
  1. Baru-baru ini kita bincang umpamanya Cyber Security, terdapat lima hingga enam jabatan yang terlibat dalam Cyber Security. Jadi kita putuskan hanya satu yang menyelaraskan.
  1. Yang kedua, beberapa hari yang lalu, saya mengumumkan Digital Network atau IDN yang sekarang diselenggarakan oleh MIMOS, ditetapkan oleh MAMPU sebagai pengawasan dasarnya. Jadi semua kegiatan yang melibatkan usaha memperkenalkan digitalization di jabatan dan kementerian, semuanya wajib dihentikan dan diselaras dengan MAMPU dan MIMOS supaya tidak ada pertindihan. Jabatan-jabatan mempunyai peranan untuk membuat aplikasi tetapi teras prinsip itu ada. Kalau tidak sekarang ini, nak pinjam dari TEKUN ada sistem yang lain, nak pergi ke MARA ada sistem yang lain, nak pergi JPJ sistem yang lain. Ini bukan cara transformasi digital namanya.
  1. Jadi dalam pendekatan baharu, kita hanya akan ada IDN dengan satu password sahaja, masuk aplikasi IDN sendiri dan di situ keluar. Dia nak pergi ke MARA, RISDA, JPJ, atau Jabatan Pendaftaran hanya dengan satu password. Hal-hal ini yang harus kita perbaiki kerana terlalu banyak belanja untuk jabatan, agensi dan kementerian masing-masing tetapi membuat kerja yang sama dan membazir wang rakyat dan wang Negara.
  1. Saya kata ini harus dihentikan dan mungkin pada hari Isnin, MAMPU akan mengeluarkan arahan baharu tentang isu transformasi digital atau teknologi digital kepada setiap Jabatan. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua usahawan yang bersama memberikan kerjasama, terima kasih kepada rakan-rakan pegawai yang membantu dan seluruh jentera yang bersama. Dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya meluncurkan KUD Putrajaya.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.