TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM BAGI BULAN DISEMBER 2023

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

BAGI BULAN DISEMBER 2023

 

 

12 DISEMBER 2023 (SELASA)

 

 

KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa, Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem, Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Saudara YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan,

Timbalan Menteri Kewangan I;

YB Tuan Sim Chee Keong,

Timbalan Menteri Kewangan II;

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Alhamdulillah kita dapat berkumpul dalam perhimpunan bulanan sekali lagi, ini kebetulan yang terakhir untuk tahun Masihi sebelum melabuhkan tirai. Mudah-mudahan dapat membuka lembaran baharu dengan lebih yakin dan dengan semangat waja.

Saudara-saudara,

  1. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana setahun kita mengemudi bahtera Malaysia ini, dengan peringkat awalnya ada sedikit gelombang. Dunia kalau tidak ada gelombang, ia tidak mencabar. Alhamdulillah, keadaan politik lebih stabil dan lebih tenang tetapi harus kita manfaatkan untuk menjuruskan, memusatkan perhatian ke arah pengurusan ekonomi dan negara.
  1. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan dan sepertimana yang kita lazim tahu Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan keseluruhannya itu adalah tunggak kekuatan negara dan pemerintah dari sudut apa jua sekalipun. Contohnya dari sudut cermat, berhemah, kepintaran, mengemukakan pemerkasaan ekonomi yang boleh memacu pertumbuhan yang meyakinkan dan juga dari segi memantau pelaksanaan yang lebih baik.
  2. Dengan pengalaman saya setahun di sini, saya sangat hargai sumbangan dan khidmat, malah dalam beberapa kes pengorbanan rakan-rakan yang menyebabkan keadaan ekonomi kita lebih mantap dan keyakinan kepada Malaysia itu bertambah. Terima kasih banyak.

Saudara-saudara,

  1. Saya sebut di antara soalan yang ditanya semasa pertemuan MADANI di Bukit Jalil baru-baru ini, ada yang mengatakan bahawa, ini hanya peranan seorang Perdana Menteri. Jadi saya jelaskan dan saudara-saudari di kementerian tentu tahu bahawa kerja ini adalah kerja satu pasukan. Dari segi hasil, saya umumkan hasil tetapi Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam serta badan penguatkuasaan yang menjalankan tugas dengan baik sehingga boleh kita mencatat jumlah yang begitu menyakinkan. Jadi terima kasih kepada semua kerana catatan tahun ini baik.
  1. Dari segi pelaksanaan projek, tentunya bahagian pembangunan atau bahagian tertentu yang melaksanakan dari semua segi. Itu dari sudut Kementerian Kewangan sahaja.
  1. Dari segi pelaburan, saya ke Amerika Syarikat dan minggu hadapan ke Jepun bagi Persidangan ASEAN, 2 hingga 3 hari di Tokyo, Jepun dan kita akan berjumpa juga dengan potensi pelabur-pelabur. Ini kerana MIDA, MATRADE, kemudian MITI dan menterinya yang telah menjalankan tugas awal yang membolehkan mereka menambah keyakinan. Jadi macam saya, kita harus terutamanya lebih tawaduk untuk mengingatkan diri saya dan rakan-rakan bahawa ini kerja pasukan. Pasukan ini harus tahu dan faham serta menghadam mengapa anjakan itu perlu untuk menyelamatkan negara.
  1. Saya sering menyebut bahawa potensi Malaysia ini luar biasa. Ya, sekejap sahaja kita berikan, gilap semula harapan iaitu pengiktirafan dunia dan itu luar biasa. Maknanya kita mewarisi satu sistem yang secara biasa sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga kini, negara dihormati dan disegani tetapi seperti biasa dalam mana-mana sejarah, ia ada waktu pasang surutnya dan sebab itu tugas generasi kini ialah terus mengangkat martabat supaya jangan terus surut.
  1. Saya pernah imbau kupasan yang sangat menarik di antara penganalisis ekonomi apabila Boston Consulting Group (BCG) mengemukakan dasar prinsip bagi Sustainable Economic Development Assessment (SEDA) di mana perlunya pemantauan dari semua aspek ekonomi, pelaburan, kesihatan, pendidikan, keselesaan hidup, prasarana dan dari semua sudut. Malaysia di tahap imbang yang tinggi tetapi mendatar selama 20 tahun. Selama dua (2) dekad kita agak mendatar, tidak merosot tetapi tidak mengembang.
  1. Dilihat sendiri dari SEDA, ketimbang dengan negara lain yang dari landasan dan asas yang lebih rendah seperti Vietnam dan Indonesia, tetapi dapat memacu dengan lebih pantas sebahagiannya dalam beberapa aspek dan akhirnya dapat mengejar kita. Dalam aspek tertentu dilihat sudah bersaing dan mengatasi prestasi kita. Jadi kalau kita lihat secara objektif, ia menuntut kita membuat beberapa perkara bukan sahaja penyesuaian.
  1. Saya menggunakan istilah anjakkan dan berulang kali saya sebut anjakan ini kadang-kadang disalah tafsir. Anjakan yang dianggap sebagai satu penyesuaian kecil itu tidak, itu bukan anjakan. Anjakan paradigma ini bermakna more systemic change. Kalau siapa yang agak lazim dan arif mengenai teori tahu, iaitu Thomas Kuhn, dia mula mengenalkan prinsip anjakan “paradigm shift” sama seperti yang saya selalu kupas tentang apabila kita hadapi masalah, apabila ekonomi itu gawat, kalau sebut penyair William Butler Yeats (WB Yeats), beliau berkata things fall apart; the centre cannot hold di mana kalau parah betul. Apa yang kita lakukan?
  1. Joseph Alois Schumpeter menyebut, apabila ada kemusnahan ekonomi, beliau melihat pengalaman di Amerika Syarikat itu diambil kesempatan yang disebut The Gale of Creative Destruction. Maknanya dalam keadaan kerosakan, kemusnahan walaupun tidak sampai ke tahap tetapi yang kelembaban itu, maka digunakan daya cipta, mengakui kelemahan-kelemahan itu dan memperbaikinya dengan mencari ikhtiar baru yang lebih kreatif. Itu yang disebut The Gale of Creative Destruction.
  1. Jangan kita kekalkan amalan lama, baik tatakelola, systemic corruption, cara kemalasan, menggunakan kuasa untuk menggondol kekayaan untuk kepentingan diri, itu semua ciri-ciri bibit yang merosakkan dan sebab itu kita beri penekanan yang kuat mengenai hal ini.
  1. Pengalaman saya setahun di Kementerian Kewangan ini, saya lihat sambutannya Alhamdulillah. Saudara tidak merasa sangat tersinggung tetapi bekerja sebagai satu pasukan. Bukan sahaja semasa belanjawan tetapi sebelumnya. Apabila kadang-kadang menerima teguran dengan lebih positif, itu untuk membawa kebaikan bersama.
  1. Saya harap insya-Allah dengan prestasi yang baik, Alhamdulillah kita tidak boleh nafikan ini bukan kenyataan hambar di arena politik di Parlimen atau Negeri, tetapi menurut angka dan data, Alhamdulillah baik pertumbuhan, pelaburan, pengangguran, hasil atau inflasi, semua angka-angka yang meyakinkan.
  1. Kita masih berdepan dengan masalah ringgit, tetapi kita lihat umpamanya nilai wang itu selalu jatuh bersama dengan inflasi yang meningkat atau bersama dengan ekonomi yang malap tetapi kita jatuh dalam keadaan semua faktor lain itu lebih positif. Mudah-mudahan insya-Allah dapat ditangani dengan lebih baik dan meyakinkan.

  1. Dengan prestasi yang lebih, Alhamdulillah lebih baik ini harus mendorong kita membuktikan bahawa sebenarnya ingenuity manusia, Allah menciptakan kita dengan maksud menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang yang disebut Itqan Fil AmanStriving for Excellence itu boleh catat dengan yang lebih baik. Mudah-mudahan tahun hadapan kita mulakan dengan suatu tradisi yang lebih mantap, dengan lebih teratur untuk membawa perubahan-perubahan yang lebih baik dan lebih cekap.
  1. Minggu lalu saya ada perbincangan santai dengan rakan-rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa badan penguatkuasaan. Tentunya semua menuntut peruntukan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan kita ini agak terbiar sekian lama dan sistem perolehan pun agak lemah kerana nama sahaja sistem perolehan tetapi tidak diperolehi. Banyak ketirisan, tetapi faktanya apa? Sistem ini harus dirobah lebih telus dan biar golongan profesional memberikan pandangan dan kita nilai dari segi pendirian Kementerian Kewangan.

  1. Namun yang demikian, yang dibangkitkan oleh mereka pada hari itu ialah tentang keperluan menyegerakan kelulusan kerana satu kelulusan dibuat bulan Disember tahun ini hanya untuk beli katalah pesawat akan sampai tiga empat tahun kemudian, kerana proses yang begitu rupa. Sebab itu saya beritahu kepada bahagian perolehan, perlu disegerakan. Kalau tidak disiapkan dalam tempoh ini, tidak ada cuti Krismas dan tahun baru. Saya bergurau. Saya tahu dia orang kerja tu cukup baik. Tapi saya bergurau. Kalau tidak bergurau dengan sahabat siapa lagi? Takkan saya nak bergurau pembangkang nanti mereka marah (nada seloroh).
  1. Oleh itu, saya harap akan ada satu pasukan khas ya Datuk Johan Mahmood Merican untuk memastikan semua kelulusan itu kita percepatkan walaupun ini akhir tahun, does make a difference. Maknanya supaya kita memberikan keputusan dan mereka teruskan kerja-kerja. Ini yang saya dengar dari feedback, dari perbincangan yang agak santai dengan pimpinan Angkatan Tentera, Polis Diraja dan beberapa badan penguatkuasaan lainnya.
  1. Baik, saya harap kalau yang ambil cuti akhir tahun itu, sederhana sahaja lah. Ambil waktu untuk bersama keluarga penting ya, kita selalu tahu hadis Nabi Muhammad SAW iaitu “Baiti Jannati” – keluarga itu syurga. Keluargaku adalah syurgaku. Itu maknanya tumpuan kepada keluarga itu harus diberikan.
  1. Selain itu, saya harap kita dapat hidupkan budaya membaca. Budaya membaca ini saya lihat walaupun kadang-kadang dia dah ada Sarjana atau PhD, selepas tu dia pencen dari membaca. Dah ada PHD sudah lah. Saya tanya dia lulusan mana, jawabnya UKM dan UITM.  Saya tanya lulusan apa? Jawabnya Bahagian IT. Saya tanya 2019 hingga 2023 berapa buku sudah dibaca? Jawabnya belum ada satu pun yang habis.
  1. Jadi saya harap walaupun kita menumpukan soal kewangan tetapi harus sentiasa menghidupkan budaya membaca. Budaya membaca dan budaya ilmu ini ada disebut dalam Quran itu sebagai budaya iqra. Jadi kerana kebetulan cuti, bacalah buku. Berbeza dalam tradisi Islam, kalau Saidina Ali bin Abi Thalib  beliau berkata ladzatul ma’rifah, maknanya menimba ilmu itu sebagai satu kelazatan tapi lazat, ma’rifah itu kearifan kerana ilmu yang tinggi dan yang baik.
  2. Mengapa saya nak anda sebut begitu? kerana kalau kupasan T.S. Eliot, penyair Amerika terkenal, dia membezakan di antara information, knowledge dan wisdom – maklumat, ilmu dan hikmah. Bukan semua information atau maklumat itu ilmu. Percambahan maklumat dengan sosial media, fitnah pornografi semua ada, itu adalah information tetapi berbeza kategorinya di antara information dengan Beliau berkata, what lost in knowledge, maknanya hilang kerana percambahan maklumat, tidak dilatih anak kita dari segi nilai MADANI sebab itu MADANI menekankan nilai, jadi beliau tidak dapat tapis di antara maklumat yang bercambah itu sama ada maklumat penting atau benar atau palsu dengan ilmu, tetapi ada tahap yang lebih tinggi.
  1. Terdapat perbezaan di antara ilmu dengan hikmah. Ada beza di antara knowledge and wisdom. Mudah-mudahan apabila kita membaca, menilai dan beramal kepada Allah SWT, kita dapat menikmati seperti mana yang disebut oleh Saidina Ali bin Abi Thalib  sebagai ladzatul ma’rifah. Ini pesanan sampingan kepada Kementerian Kewangan. Kementerian Kewangan ini dia kira itu sahaja sama ada projek atau berapa dapat hasil dahulu, jadi sesekali saya kena bagi juga pandangan yang agak luas sedikit.
  1. Dahulu di Kementerian Kewangan ini, saya ingat lagi saya memanggil penyair terkenal; WS Rendra dari Indonesia, Taufiq Ismail kemudian A. Samad Said dan Usman Awang datang ke Perbendaharaan dan saya memanggil semua bankers, Gabenor Bank Negara serta semua pengurus bank.
  1. Sebelum saya sampai tadi, ada orang bisik ini “Menteri Kewangan nak suruh kita buat apa”. Padahal dalam hidup ini, dalam hal ini ya tentunya kewangan itu penting. Perbankan penting dan pengurusan ekonomi itu sangat fundamental tetapi dalam itu semua, yang kita angkat ini siapa? Manusia. Sebab itu nilai manusiawi itu harus ada yang disebut di dalam al-Quran sebagai “Karamah Insaniyah” Wa Laqad Karramna Bani Adam – Allah mengangkat darjat kemanusiaan.
  1. Tentunya kemampanan ekonomi dari transformasi digital dan peralihan tenaga itu semuanya penting tetapi yang mendasari itu semua adalah nilai manusiawi dan nilai insaniah yang kita pupuk dalam waktu yang ada supaya dengan fahaman ini baru kita lebih prihatin.
  1. Sebab apa dalam ekonomi kita tekankan soal yang miskin terbiar tersisih? sebab apa kita harus juga bicara soal orang kurang upaya (OKU)? Mengapa kita mahu memastikan anak yang miskin itu diberikan pendedahan dan dikirim ke Sekolah Menengah Sains dan asrama penuh dan sebagainya? Kerana kita bukan saja berbicara soal pertumbuhan ekonomi tetapi juga faktor manusiawi dan keinsanan.

Sekian tazkirah pagi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.