
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL MAIWP 2024
“50 TAHUN MEMACU KEGEMILANGAN”
18 FEBRUARI 2024 (AHAD) | 10.30 PAGI
TAMAN TASIK TITIWANGSA,
KUALA LUMPUR
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar,
Menteri Agama;
YB Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad,
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam;
Pengurusan dan Keluarga MAIWP;
Pengerusi dan rakan-rakan yang saya muliakan
- Alhamdullilah, kita dapat bersama-sama bukan sahaja bagi meraikan Karnival ini tetapi mendengar sebahagian daripada catatan kejayaan yang dicapai oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) termasuk pengurusan dan tentunya kita diperingatkan dengan tema ayat Al-Quran yang menjadi teras dalam kegiatan MAIWP, “Wa Al-Ladhina Jahadu Fina Lanahdiyannahum Subulana Wa `Inna Allaha Lama`a Al-Muhsinina” (Surat Al-‘Ankabut: 69). Jadi untuk kita terus melangkah dalam perjuangan ini bukan hanya duduk biasa tetapi melangkah secara aktif, dinamik dan menyempurnakan tanggungjawab mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
- Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan yang muhsinin. Ini ada kaitannya kerana pada hari Jumaat yang lalu, ada Persidangan Zakat yang dianjur oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Universiti Sains Malaysia. Ramai juga rakan-rakan ke sana dan saya tegaskan bahawa kita mahu pengurusan zakat itu pada tahap yang baik dan cemerlang selaras dengan prinsip Itqan Fil Amal.
- Memang kita harus berasa puas hati dengan pencapaian sekarang tetapi sikap orang Islam itu sentiasa mahu mencari kaedah pelaksanaan yang lebih murni Itqan Fil Amal – Striving for Excellence. Sebab itu dalam seluruh kegiatan MAIWP termasuk pengurusan zakat, saya mohon saudara pengerusi dan pengurusannya, dalam tempoh sebulan ini, untuk memberi laporan terperinci apa yang dilakukan setahun sebelumnya dan langkah-langkah baharu yang boleh meningkatkan lagi prestasi MAIWP sebagai contoh dan teladan untuk negeri-negeri lain.
- Jadi saudara YBrs. Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer serta rakan-rakan mempunyai satu bulan dari tarikh ini untuk mengeluarkan laporan yang lengkap dengan hala tuju, kaedah-kaedah baharu, dan seterusnya memperbaiki apa juga kelemahan.
- Zakat ini seperti yang saya tegaskan sebelumnya di Pulau Pinang, institusi yang sangat unggul, teras dalam pembangunan umat. Kita tahu dalam pengalaman kita, dalam sejarah Khulafa al-Rasyidin Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A pernah mengisytiharkan perang terhadap kelompok yang enggan membayar zakat walaupun mereka mengaku mereka itu seorang Muslim.
- Almarhum Sheikh Yusuf Al Qaradawi menjelaskan bahawa harb (berperang) untuk membela orang miskin ini julung kali berlaku hanya dalam sejarah Islam. Sebelum itu, maharaja-maharaja yang isytihar perang hanya untuk menakluk kawasan, meminang puteri mayang mengurai, bolot kekayaan emas, perak dan sebagainya ataupun untuk imej supaya jadi maharaja yang lebih besar tetapi buat pertama kali dalam sejarah manusia di bawah pimpinan Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A, perang diisytiharkan semata-mata untuk mempertahankan institusi zakat dan membela golongan miskin.
- Ini istimewanya dan kalau begitulah pengalaman kita dalam Islam ini, tanggungjawab kita, generasi penerus adalah memastikan urusan zakat ini dikendalikan dengan cermat. Saya telah katakan semasa saya di Pulau Pinang, bagaimana mungkin kita terima kenyataan, kita telah mengutip begitu banyak wang zakat tetapi masih ada kelompok-kelompok termiskin yang tidak cukup makan, yang tidak dapat sediakan urusan anak-anak di sekolah.
- Ini cabarannya. Saya mengucapkan terima kasih kepada MAIWP dan Datuk Bandar kerana membantu dalam proses pelaksanaan yang sangat berkesan bersama agensi-agensi Kerajaan yang lain yang tentunya bukan sahaja MAIWP, bandar raya tetapi seluruh agensi-agensi pusat seperti pusat penyelarasan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Semua ini bertanggungjawab dan selaras.
- Oleh itu, di antara tugas MAIWP ialah memastikan ada penyelarasan bersama agensi-agensi lain. Kalau tidak, sebuah keluarga mendapat empat kali, satu lagi keluarga tidak mendapat langsung. Saya dimaklumkan tahun lalu, pejabat saya telah membantu untuk memastikan penyelarasan ini berlaku.
Saudara-saudara,
- Saya tidak mahu pandang ringan soal ini kerana di antara pengumuman penting saya sebagai Perdana Menteri, pertama ialah menoktahkan kemiskinan tegar dan Alhamdulillah di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, empat negeri ini telah memberi laporan bahawa isu tersebut telah dapat diselesaikan. Tetapi itu untuk tahun 2023, 2024 masih ada. Jadi harus disusuli dan ditingkatkan kegiatan kita kerana kadang-kadang orang itu sudah meningkat tetapi dia belum mahu mengaku dia terlepas daripada kategori itu. Tanggungjawab kita memastikan dan begitu juga soal dana pendidikan, kesihatan yang dikendalikan oleh MAIWP dan Pusat Zakat. Saya sambut baik dan berharap perkara ini dapat diurus dengan baik.
Saudara-saudara,
- Soal tata kelola yang kita ulas, soal penyelewengan dana, penggunaan dana zakat dan dana Kerajaan untuk kepentingan peribadi atau memperkayakan sanak saudara telah menjadi budaya dan amalan kita sekian lama. Menoktahkan kemiskinan, memperbaiki tatakelola juga penting dan kita mesti memastikan bahawa kita mampu sebagai umat Islam membawa contoh yang terbaik.
- Jangan kita kekalkan amalan begini. Bukan sahaja setakat jabatan-jabatan Kerajaan dan orang politik, kadang-kadang dana zakat pun ada kisah-kisah diselewengkan. Jadi sebab itu kita harus ambil sikap yang sangat tegas dan kalau dalam negara ini kita mula dengan peringkat orang-orang atas yang telah menggondol kekayaan yang berbilion ringgit, biar kita ingat di peringkat bawah. Kalau ia bermula di peringkat atas pun kita berani kerana melalui SPRM, melalui LHDN, melalui PDRM dan agensi-agensi lain melaksanakan dengan tegas, saya ingin ingatkan tidak ada yang boleh terlepas.
- Saya mahu MAIWP ini mengemukakan cadangan bagaimana boleh menjadi Majlis Agama Islam yang terbaik, pengurusan yang terbaik, tata kelola yang terbaik dan menghentikan apa sahaja perbelanjaan yang tidak perlu. Kerja Menteri, kerja Timbalan Menteri, dan kerja Pengerusi bukan sekadar meneruskan kegiatan-kegiatan tetapi memastikan setiap dana, setiap sen dan wang rakyat itu dikembalikan kepada rakyat dan tidak boleh diperalatkan untuk kesenangan, peribadi dan sebagainya.
- Saya berharap saudara ingat, saya menegaskan hal ini terutama di MAIWP kerana saya mahu MAIWP itu menjadi mercu tanda kebanggaan umat dengan tata kelola terbaik, dengan semangat roh perjuangan yang bermakna. Dakwah itu mesti dikembangkan. Dakwah dalam erti kata menyatu, mendorong, meningkatkan akhlak dan nilai serta menyempurnakan ibadah. Bukan dakwah yang memilih menggunakan majlis-majlis di surau untuk memecah belah, menghina orang, mencerca orang dan mengikut kehendak dan kepentingan masing-masing.
- Rakan-rakan dan keluarga MAIWP mesti ada keberanian untuk membetulkan kesilapan-kesilapan ini kerana sebelum ini ada juga rakan-rakan keluarga MAIWP yang juga terheret dengan aliran-aliran sedemikian. Kita tidak akan izinkan, saudara boleh tegur saya Perdana Menteri tidak ada masalah tetapi fitnah, mencerca, mengkafirkan dan mensyirikkan orang ini tidak boleh diizinkan dalam negara kita.
- Saya bagi contoh baru-baru ini keputusan Mahkamah Persekutuan, memang ia menuntut kita berbuat sesuatu. Mahkamah Persekutuan buat keputusan yang pertama pada tahun 2021, saudara perlu ingat bahawa tahun 2021 bukan Kerajaan MADANI, dalam urusan kes Selangor menolak keputusan Dewan Undangan Negeri Selangor. Ada bantahan? tidak ada. Ada tunjuk perasaan? tidak ada. Ada kecaman? tidak ada kerana mereka dalam Kerajaan. Kemudian timbul kes Kelantan, bila dikemukakan? tahun 2021 dan 2022. Masa itu saya belum menjadi Perdana Menteri. Ada bantahan? ada jawatankuasa kaji? tidak ada, tetapi sebaik kita perintah dan keputusan dibuat, kita diserang dan dicerca begitu rupa termasuk hakim-hakim.
Saudara-saudari,
- Hakim itu mengikut undang-undang. Perlembagaan kata ini kuasa Persekutuan dan ini senarai Negeri. Ada kuasa Negeri dan kawasan Negeri tidak boleh mengatasi kuasa Persekutuan. Kalau masing-masing Negeri boleh buat undang-undang mengikut Negeri, kita ada ada 13 undang-undang dalam negara kita. Oleh yang demikian, ada penyelarasan dan perbincangan. Bila kita tubuhkan jawatankuasa? Jemaah Menteri berbincang pada bulan Ogos 2022 tetapi sebelum itu tidak ada jawatankuasa, malah tidak ada sebarang kajian. Saya beri ini fakta. Boleh kritik? nak cadang? Ya.
- YAA Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi sekarang adalah Pengerusi Jawatankuasa Khas yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu dengan jawatankuasanya. Beliau akan mengemukakan cadangan untuk memperkasa Mahkamah Syariah, itu kena ingat ya bukan cadangan untuk melemahkan Mahkamah Syariah. Jangan salahkan Hakim sekarang Hakim itu harus mengikut undang-undang, bukan ikut sentimen peribadi dia. Dia sudah maklumkan kepada kita ini bukan kuasa Mahkamah Syariah Negeri. Jadi kita kata boleh jika kita kaji bagaimana nak perkasa Mahkamah Syariah. Itu adalah tugas tanpa menyinggung kedudukan bukan Islam dalam negara kita. Jadi ini yang dipersetujui.
- Selepas jawatankuasa ini memberi pandangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), perkara ini dipersembah kepada Raja-Raja tetapi sebelum itu, boleh berbincang. Saya sudah meminta dalam majlis itu yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, saya mahujawatankuasa ini berbincang dengan setiap Negeri. Saya mahu jawatankuasa ini berbincang dengan ulama-ulama dan para Mufti serta mendengar pandangan para akademik dan siapa yang akan kemukakan dan kita tidak menghalang. Kita akan mendengar semua dan putuskan serta kemukakan pandangan. Kita akan teliti dari segi perlembagaannya, Jabatan Peguam Negara dan kemudian Majlis Raja-Raja, bawa balik ke Jemaah Menteri kerana Jemaah Menteri yang mesti memutuskan dan membawa ke Parlimen dan ahli Parlimen harus bersetuju. Kalau pinda perlembagaan, perlu dua pertiga daripada ahli Parlimen.
- Itu prosesnya dan ada mereka buat dahulu? tidak buat. Saudara boleh semak sama ada dibuat dahulu untuk kaji perkara ini? tidak ada. Jadi sebab apa digunakan ini? untuk memecahbelahkan kita. Kita mahu cari penyelesaian. Semasa saya menjadi Menteri dahulu dan anggota badan perunding Islam pada masa itu, termasuk Tan Sri Dato’ Prof. Ahmad bin Mohamed Ibrahim yang merupakan pakar undang-undang dan juga undang-undang Islam. Jadi beliau beritahu saya, pada masa itu Mahkamah Sivil banyak membatalkan keputusan Mahkamah Syariah. Ini tahun 80-an dan awal 90-an. Jadi saya kata apa kita nak buat? Beliau kata kita kena pinda perlembagaan. Jadi dibincangkan dalam jawatankuasa bawa kepada saya dan kita bersetuju untuk bawa pindaan Perkara 121(1A) iaitu memperkasa Mahkamah Syariah dan keputusan Mahkamah Syariah undang-undang tidak boleh dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Kita buat dahulu dan itulah caranya.
- Sekarang tidak cukup, kita nak tambah lagi bidang kuasa termasuk dalam urusan jenayah oleh Mahkamah Syariah. Baik, tubuh jawatankuasa dan kaji aspek perlembagaan. Negara ini negara hukum yang mengikut undang-undang bukan ikut ceramah politik. Jadi ini yang dilakukan dan mudah-mudahan saudara-saudara faham, saya di beberapa tempat saya terangkan kerana saya melihat perkara ini sudah jadi seperti “ini kena jihad”, “Ini salah satu pelanggaran menghakis Mahkamah Syariah di negara kita”. “Orang boleh minum arak dan zina sesuka hati”. Mana pula ini? Orang itu mendengar kerana dia kata tidak tahu hukum dan apa lagi kalau ustaz bercakap. Ustaz bercakap pun dia tidak pakai baju macam saya, dia pakai jubah jadi orang terus terkeliru.
- Jadi saya nak beritahu perkara ini tidak boleh diteruskan bacalah dahulu, kerana ada yang belum baca pun keputusan Hakim dan saya simpati kepada Ketua Hakim, kata tidak ada langsung menyinggung kedudukan Mahkamah Syariah. Kita tidak bahas soal syariah, kita bahas bidang kuasa Negeri dengan Persekutuan. Boleh atau tidak pinda dalam undang-undang yang sedia ada? tidak boleh katanya. Jadi kalau nak pinda, Parlimen pinda jadi Hakim akan ikut. Hakim tidak boleh meminda undang-undang. Undang-undang itu dibuat oleh Parlimen. Kadang-kadang saya tidak faham kerana yang bercakap itu kadang-kadang yang belajar undang-undang. Tapi jelas dia nak buat itu hanya untuk kemarahan bagi politik tetapi silap besar apatah lagi dengan Raja-raja Melayu seperti mana yang diucapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor baru-baru ini, baginda tidak bersetuju perkara ini dipolitikkan dan kita ada cara untuk melaksanakan. Ini berkaitan dengan pelaksanaan Syariah.
- Berbalik kepada soal zakat, ingat, soal zakat ini institusi yang mesti hidup. Saya beri contoh pengalaman Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz yang disebut orang yang zuhud tetapi hebatnya beliau dari segi pemerintahan ialah tata kelola yang baik. Sebab itu beliau memerintah dua tahun tiga bulan, dalam tempoh itu, zakat diurus baik, wang negara tidak diambil untuk beliau sendiri.
- Hari pertama sebagai Khalifah, beliau memandang Perdana Menterinya dan Datuk Bendaharanya yang menunjukkan gedung emas, perak, gandum dan berlian yang disimpan dan bertanya apa yang diperlukan oleh khalifah dan boleh digunakan. Khalifah menjawab “ini bukan harta saya tetapi ini harta negara. Saya hanya pikul amanah dan saya ambil hak saya sahaja, elaun saya dan yang lain saya tidak boleh sentuh”.
- Jadi itulah kali pertama dalam tradisi Islam dilakukan yang disebut inventori. Apa yang ada di tiap jabatan itu yang disimpan. Saya mahu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, dalam tempoh sebulan, saya nak tahu inventori mereka, berapakah buku yang belum diedarkan, di pejabat apa yang ada, semua itu yang disebut inventori mengikut tradisi Islam yang betul.
- Berapa lamakah beliau menjadi khalifah? dua tahun tiga bulan. Dalam masa dua tahun selesai masalah kemiskinan tegar. Dari Jazirah Arab, Syria, Iraq, Mesir sampai Azerbaijan itu pemerintahan Islam dan selesai masalah kemiskinan tegar sebab urusannya itu baik tidak disalahgunakan oleh khalifah dan Menteri-menterinya serta pengurus-pengurusnya, dibantu rakyat keseluruhannya. Harta yang banyak berlian dan emas itu bukan diambil bawa balik rumah simpan tetapi sebahagiannya itu dijual dan wang itu digunakan untuk tadbir negara.
Saudara-saudari,
- Saya mahu MAIWP memulakan tugas ini, lihat dari segi soal governance dan tradisi governance in Islam, lihat bagaimana tatakelola yang baik dan dalam tempoh sebulan kemukakan laporan kejayaan yang lalu dan hala tuju yang baharu. Terima kasih. Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- KERAJAAN TELITI PERKETAT UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM