TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KEBANGSAAN PENERBITAN BUKU BERBAHASA MELAYU ‘MEMPERKASAKAN PENERBITAN BUKU BERBAHASA MELAYU’

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

SEMINAR KEBANGSAAN PENERBITAN BUKU BERBAHASA MELAYU

‘MEMPERKASAKAN PENERBITAN BUKU BERBAHASA MELAYU’

 

 

26 MAC 2024 (SELASA) | 12.00 TENGAH HARI

 

BALAI BUDAYA TUN SYED NASIR,

WISMA DBP, KUALA LUMPUR

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh,

 

Alhamdulillah thumma alhamdulillah wama tawfiqi illa billah;

Alhamdulillahil qail  shahru ramadaanallazeee unzila feehil Qur’aanu hudal linnaasi wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan;

Wasallallah hu ala saidina Muhammad, wa’ala a’lihi wasabihi ajma’in.

YB Puan Fadhlina Binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan,

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka;

Dr. Hazami bin Jahari,

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka;

Rakan-rakan yang saya muliakan sasterawan negara;

Kawan-kawan lama dan anak-anak baharu.

  1. Alhamdullilah, kita dapat bersama-sama, apabila saya dengar kata sambutan saudara Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan dan kembali ke gedung ini, Dewan Tun Syed Nasir, saya rasa macam lebih selesa di sini daripada di Parlimen Malaysia. Kadang-kadang dalam bicara saya dan Wan Azizah saya kata, mungkin saya salah ambil profesion itu ya?
  1. Ini sebabnya saya lakukan. YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan, dan Dr. Hazami bin Jahari jangan bimbang saya tidak mahu guna teks. Pertama, kita luncurkan dua (2) buku iaitu Kitab atau Hikayat Hang Tuah yang dicerakin dan diteliti oleh Muhammad Haji Salleh dan Tafsir Maudhu’iy oleh Syaikh Muhammad Al-Ghazali, seorang ulama besar. Kedua-dua buku ini adalah di antara teks penting saya semasa di penjara Sungai Buloh. Saya tidak dimaklumkan awal mengenai buku ini, kalau tidak saya bawa nota-nota saya yang telah saya teliti semula kupasan ataupun penyuntingan oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan Tafsir Maudhu’iy.
  1. Tafsir Maudhu’iy ini, terdapat catatan yang saya lakukan di penjara. Kalau saya tahu awal, saya akan bawa dan saya boleh menggunakan teks itu untuk merasa bahagia untuk mengkritik Profesor Muhammad Haji Salleh di hdapan beliau.
  1. Profesor Muhammad Haji Salleh memberikan satu kupasan yang lebih menyeluruh, satu versi yang agak berbeda daripada versi biasa yang kita ikuti sekarang dan dalam pengantar itu dengan beberapa pandangan yang lebih kritis terhadap beberapa tafsiran sama ada yang mahu terlalu mendewakan ataupun sebaliknya mengkritik tetapi tidak dalam konteks. Saya ingat persis pandangan Profesor Muhammad Haji Salleh yang mengkritik karya klasik tidak dari sudut kaca mata kini, kerana konteks itu berbeda dan ini juga memberi jawapan tentang beberapa kupasan terdahulu mengenai Hikayat Hang Tuah.
  1. Tafsir Maudhu’iy oleh Syaikh Muhammad Al-Ghazali ini ialah tafsir Al-Quran mengikut tajuk. Tajuk-tajuk itu dikupas dari pemahaman mufassir tradisional dan pandangan semasa yang kontekstual yang muasir dan memberikan kita kefahaman yang lebih mendalam membaca, memahami, menjiwai dan menghayati semangat Al-Quran. Itu bagi saya kekuatan Tafsir Maudhu’iy yang kemudian di sini disambut oleh sahabat saya, Dr. Siddiq Fadhil dalam beberapa karya beliau yang terkini tetapi dalam tafsir Tafsir Maudhu’iy umpamanya, Syaikh Muhammad Al-Ghazali mengupas Al-Quran dan memberikan apa yang saya katakan makna relevan kepada keadaan semasa dan supaya kita menjiwainya.
  1. Oleh sebab itu dalam ayat Al-Quran yang mula saya bacakan tadi, shahru ramadaanallazeee– bulan ramadhan, unzila feehil Qur’aanu – turunnya al Quran, tetapi tidak berakhir di situ. Hudal linnaasi – ia memberi petunjuk kepada manusia.
  1. Apa makna petunjuk kepada manusia? wa baiyinaatim minal hudaa wal furqaan – kerana dengan fahaman Al-Quran mampu diberikan petunjuk hanya sekiranya kita ada tahap kefahaman kerana boleh menilai berdasarkan apa yang berlaku. Persekitaran kita yang kita saksikan, kita lihat, tambah petunjuk dan Kita boleh nilai di antara yang makruf dan yang mungkar, yang hak dan yang batil kerana kefahaman dan Tafsir Maudhu’iy itu cuba menghayati semangat yang sedemikian – istajeeboo lillahi walilrrasooli itha daAAakum lima yuhyeekum, ia penghayatannya.
  1. Baik demikian tazkirah awal. Kemudian, Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Haji Rethwan sengaja memprovokasi saya tadi dengan menyebut karya Gabriel Garcia Marquez – Until August. Kebetulan saya di setiap perjalanan jikalau jauh, tentulah saya tidak akan memberitahu saya ini baca dan hafal Al-Quran kan? Saya seling dan terbacalah kebetulan Gabriel Garcia Marquez, itu Pak Samad lebih arif, itu yang saya minati dan hampir saya tidak boleh katakan semua tetapi hampir semua novel dalam bahasa Inggeris itu saya sudah baca termasuk One Hundred Years of Solitude dan tentunya lebih berat dengan magical realism dan di antara novel yang lebih kecil yang saya minati, The General in His Labyrinth yang mengupas kisah perjuangan Simon Bolivar, pejuang kebangsaan yang menentang penjajahan imperialisme Sepanyol di beberapa negara.
  1. Beliau terus berjuang tetapi akhirnya yang sangat mengesankan, menyentuh sanubari saya, saya betul-betul ingat dan novel itu saya beli beberapa naskah semasa di London puluhan tahun yang lalu, dan saya sampaikan kepada beberapa teman, di atas bukit itu beliau merenung. Simon Bolivar dan beberapa perkara yang saya tidak ingat tetapi beliau memikirkan perjuangan beliau yang awal dengan idealisme mencapai kemerdekaan, kebebasan dengan maksud menegakkan keadilan dan membela nasib rakyat tetapi merenung pe’el (sikap) pimpinan yang mengambil alih itu dengan kerakusan mereka dengan tamak haloba mereka.
  1. Jadi, itu seolah-olah ada rasa kesedihan yang amat bagi seorang pejuang kebangsaan ulung di Latin Amerika, Simon Bolivar. Jadi kerana latar belakang itulah maka apabila saya dengar buku terbaru beliau mungkin lepas 10 tahun setelah beliau meninggal dunia, di izinkan oleh anak-anaknya untuk diterbitkan Until August. Beliau tidak setuju buku itu diterbitkan. Anak-anaknya memikirkan ini satu sumbangan pada dunia sastera yang besar, maka saya baca.
  1. Ada kritikan daripada wartawan senior, katanya buku ini erotik. Ini yang William Shakespeare sebut – there is nothing either good or bad but thinking makes it so. Kalau otak ke situ, baca apa pun akan sampai ke situ. Kalau tidak baca pun akan fikir begitu. Seperti mana juga kadang pengkritik-pengkritik, perasuah-perasuah yang ada. Kalau apa pun dia fikir, mesti mustahil tidak ada rasuah, mustahil tidak ada kepentingan, maka timbullah fitnah-fitnah begitu rupa.
  1. Jadi ini masalah pandangan yang saya katakan politik picisan. Lupakah kita tentang Salina, Pak Samad? Salina tu kisah apa? Kisah Salina tentunya seorang pelacur tetapi adakah maksud itu menceritakan tentang hidup yang durjana ataupun mencuit perasaan kita tentang derita seorang yang terpaksa harungi hidup yang begitu sukar, menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah manusia. Itu terpulang kepada kita. Kalau saya baca dan kebetulan Pak Samad di penjara, saya baca semula kerana saya ingat lagi bila mula-mula diterbitkan, itu disergah dan dikritik juga. Apakah itu tidak Islam? Apakah itu bertentangan dengan semangat Islam dan sebagainya? Tetapi karya sastera itu curahan, cerminan hati nurani seorang pengarang dengan cita-citanya. Ia bukan buku dakwah khusus.
  1. Saya tidak ingat sama ada saya dapat seludup surat kepada Pak Samad masa saya di penjara. Pak Samad itu rajin menulis kepada saya. Semua surat-surat di seludup, jadi beliau juga terlibat dalam penyeludupan. Jadi salah satu surat itu saya ingat kerana saya baca dari Maulana Jalaluddin al-Rumi dan ada kisah yang menyebut tentang seorang pelacur yang dikupas dan diolah tentunya dengan bahasa yang sangat indah tetapi jiwa murni yang kemudian terselamat dan terangkat. Jadi jangan kita pantas menghukum.
  1. Semalam di Perak saya jelaskan juga, masalah manusia ini, dia berbicara soal agama, soal kaum tetapi cepat menghukum. Dia lupa bahawa dalam kehidupan ini kita beri pandangan. Kalau ada masalah ataupun kecurangan berlaku atau jenayah, maka yang harus wajar siasat secara profesional itu polis atau badan penguatkuasaan. Yang memutuskan sama ada kes untuk didakwa itu adalah Jabatan Peguam Negara. Yang akan menghukum itu adalah Hakim. Kalau kita ambil keputusan, ada saja kes, terus kita yang siasat, kita yang dakwa, kita yang hukum, itu maknanya bukan negara hukum, ertinya sudah menjadi hukum rimba.
  1. Oleh sebab tu saya kupas pandangan Hassan al-Hudaybi. Dalam keadaan kemelut politik di Mesir yang sangat sengit. Kafir mengkafir dan soal sikap yang melampau, beliau menulis satu rencana yang sangat bernilai – Du’ah la Qudah’. Kita ini dua’ah, pendakwa bukan penghukum atau qadi. Jadi saya bagi pandangan begini kalau di kalangan sasterawan dan budayawan tentunya tidak ada masalah tetapi saya nak sampaikan melalui corong ini ke luar iaitu pantas menghukum. Jadi yang saya nak tekankan ini kadang-kadang curahan sasterawan atau seniman tidak boleh diukur dari sudut yang sangat terbatas. Kalau tidak ada sedikit ruang sama ada kritikan politiknya, budayanya, masyarakatnya atau sejarah sendirinya, itu keupayaannya mencurahkan pemikiran cara bebas terasa terkongkong.
  1. Oleh sebab itu kalau dilihat umpamanya karya Eropah Timur sebelum kebebasan. Karya-karya seperti Milan Kundera dipanggil subaltern, ia lari daripada ruang terbuka kerana dengan cara sembunyi sahaja beliau boleh mencurahkan pandangan. Kita sebuah negara merdeka bukan negara terjajah, jadi mesti berikan ruang sedikit untuk kita berkarya dengan bebas.
  1. Saya beritahu berulang kali kepada saudari YB Puan Fadhlina binti Sidek dan juga Menteri Pendidikan. Sekolah dan universiti patut diberi ruang. Menimba ilmu ini maknanya juga melatih mereka supaya agak lebih kritis dan ada juga critical thinking yang harus ada tetapi bagi sang penguasa, saya kebetulan termasuk dalam keadaan itu, kadang-kadang kurang senang tetapi ini harus ada kebijaksanaan dan kesabaran kerana kalau dunia itu terlalu mengongkong, karya akan terbantut.
  1. Berilah apa pun sagu hati dan hadiah sastera seperti mana pengalaman saya, boria Pulau Pinang. Kalau saya dibesarkan dahulu Boria Pulau Pinang itu mesti muziknya yang hidup, yang segar tetapi mesejnya sangat kritis sama ada kepada masyarakat atau budaya atau pimpinan politiknya. Akan tetapi, sebaik sahaja dijanjikan umpamanya corong-corong budaya yang terbatas sebagai alat propaganda, maka ia jadi membosankan dan tidak lagi mendapat menghasilkan boria tradisional yang sangat indah dan semula jadi dengan pendengar sama ada penguasa, masyarakat dan rakyat menerima dengan baik. Namun, harus diberi perhatian, baik Dewan Bahasa dan Pustaka dalam hal ini dan juga masyarakat umpamanya iaitu supaya ruang berfikir, ruang berkarya menuntut satu suasana kebebasan yang lebih luas.
  1. Akhirul kalam ini adalah soal membaca, jadi sesuai dengan seminar penerbitan buku. Ini kebimbangan yang disuarakan lama dahulu. Sejak saya ingat semasa saya Menteri Pendidikan, mengulas Buku dari Allen Bloom, The Closing of the American Mind dan beberapa pengkritik-pengkritik pemikir di kalangan pemikir masyarakat yang mulai runsing dan bimbang dengan kemunculan budaya sosial baharu dan dengan singkatan-singkatan serta tidak ada keupayaan untuk berfikir lebih daripada tiga minit, ini bahaya saudara-saudara.
  1. Kita nak lahirkan insan dan manusia – walaqad karramna banee adam, karamah insaniah itu dengan keyakinan, ilmu, nilai dan akhlak yang tidak selesai dalam tiga minit ilmunya. Jadi harus ada usaha yang lebih dan seperti mana saya telah menggesa awal dahulu di Dewan Bahasa dan Pustaka supaya majlis-majlis menggalakkan anak-anak membaca. Caranya bukan sahaja memberikan buku. Kalau ikut pengalaman saya, diberikan buku itu tidak cukup dan kita harus kembali kepada cara yang lebih klasik. Balik kepada seperti mana prinsip idea Yunani. Maknanya memberi buku, buka halaman 20, baca satu para, kupas sedikit halaman 25, begitu sehingga anak itu betul-betul rasa minat seperti mana yang diolah oleh Sayyidina Ali bin Abi Thalib, Lazatul Marifahthe crave and love for scholarship (kecintaan kepada ilmu yang sangat mendalam).
  1. Terima kasih sekali lagi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sebenarnya ada acara tadi di Parlimen dan selepas ini sebenarnya ada acara lain tetapi oleh kerana undangan Dewan Bahasa dan Pustaka, sukar untuk saya menolak. Ada dua sebab, satu memang saya minat, satu lagi nanti semua teman-teman saya budayawan-budayawan kata Anwar Ibrahim ini sejak pegang Jabatan, beliau sudah lupa pangkalannya, jadi saya takut itu.

Terima kasih.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.