TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BAGI BULAN MEI TAHUN 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN

YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BAGI BULAN MEI TAHUN 2024

 

7 MEI 2024 (SELASA)

 

KEMENTERIAN KEWANGAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillah rabbil alamin

wassalatu wassalamu Ala asyrafil anbiya iwal mursalin

waala alihi wasabi ajmain.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,

Menteri Kewangan II;

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Sebenarnya ada persidangan antarabangsa (International Conference of Religious Leaders 2024) yang dianjurkan oleh Rabitah al-Alam al-Islami dan World Muslim League yang berpusat di Mekah al-Mukarramah, yang mengundang ulama-ulama Asia untuk berbincang soal keperluan hidup bermasyarakat dan bekerjasama antara agama. Esok mereka anjurkan pertemuan ulama-ulama dengan wakil-wakil agama-agama lain, Hindu, Buddha, Kristian rantau Asia. Ada orang tegur kata pasal apa ini pluralisme dan sebagainya. Tapi Rabitah al-Alam al-Islami memikirkan untuk kita perkuatkan, iktikat, keimanan, akhlak, kefahaman dan roh perjuangan kita harus juga hidup dalam keadaan yang damai, dan damai itu dengan kefahaman.
  1. Saya pernah ingat umpamanya Saidina Ali bin Abu Talib R.A. pernah ditanya, rumusannya walaupun kadang matannya itu berbeda sedikit tapi ditanya tentang apa bezanya antara Muslim dengan Muslim. Dia kata di antara Muslim itu, mereka itu bersaudara. ‘Akhukum fil Islam’, iaitu mereka itu saudara kamu dalam Islam. Tapi bagaimana pula hubungan orang Islam dengan bukan Islam? Saidina Ali R.A. guna istilah yang sama, ‘Akhukum fil insaniah’, iaitu ‘saudara kamu sesama manusia’. Ini yang disebut dalam prinsip insan, kemanusiaan. Jadi dalam Islam itu baik kawan-kawan yang beragama Islam dan bukan Islam harus faham. Ini yang dianjurkan oleh Islam. Yang ditafsirkan oleh pelbagai kalangan itu soal lain, seperti mana agama-agama lain juga.
  1. Penafsiran itu kadang-kadang dia jadi melampau. Tapi dalam Islam itu ditegakkan begitu. Dia tidak sedikit pun mengikis keimanan kita, cara kita solat, cara kita puasa, bayar zakat. Itu soal yang tetap, yang soal usul dalam agama. Tetapi ikhtilaf, perbezaan pendapat itu dibolehkan. Apa lagi di kalangan umat Islam pun ada. Sebab itu saya mula-mula dulu tahun lalu saya anjurkan JAKIM menerbitkan semula kitab seorang ulama, ustaz usul fiqh dari Jamiah Imam Muhammad bin Saud dulu. Maknanya ustaz dalam bidang usul fiqh kemudian jadi ketua dalam International Institute of Islamic Thought yang saya menyertainya dari awal. Kitabnya bernama ‘Adabul Ikhtilaf Fil Islam’, adab atau etika berbeda pendapat dalam Islam. Maknanya dalam Islam itu dibezakan ada ikhtilaf, ada perbedaan.
  2. Apa yang boleh berbeda? Solat semua kena solat tapi kadang-kadang ada yang lurus, ada yang angkat tangan, ada yang kuatkan Bismillah, ada yang tidak dan hujah-hujah itu kuat. Berbeda pendapat boleh, ikhtilaf ulama pun boleh, tetapi bukan untuk menanam bibit perpecahan dan permusuhan. Sebab itu dia kata adab, menyantuni, menghormati dan memuliakan. Saya masih ingat Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang saya anggap seorang yang banyak membantu saya secara peribadi, tetapi seorang ulama terkenal dunia ketika itu. Kalau solat dengan dia di Doha, ‘Bismillahi rahmani rahim’ tak kuat seperti mananya di Mekah. Tapi bila datang ke sini, kita tak suruh pun (bacaan) ‘Bismillahi rahmani rahim’ (itu kuat) tapi saya dengar kerana dia menyantuni kerana dia tahu pertamanya, itu tidak melanggar hukum. Ini yang dikatakan adab ikhtilaf Islam.
  1. Sebab itu orang tanya mengapa saya hadir ke perkampungan sunnah di Perlis? Kerana saya menyantuni dan menghormati usaha mereka, dakwah mereka. Saya faham ada perbezaan pendapat dengan ada ulama-ulama lain, tapi saya tidak mengambil sikap memusuhi sesiapa. Yang saya mahu ada usaha kita menyantuni dan saya anggap usaha itu usaha baik seperti mana juga kadang-kadang ada perhimpunan-perhimpunan dengan habib dan sebagainya yang juga kalau kita hadir tidak semuanya kita setuju. Tapi yang kita bukan tolak dari segi fundamental, tolak dari segi furuk. Furuk ini maknanya sampingan. Sebab itu saya gesa kita baca, dalam sibuk-sibuk merangka belanjawan dan cukai orang, bacalah ‘Adabul Ikhtilaf Fil Islam’, etika perbezaan pendapat dalam Islam. Kerana kupasan Sheikh Dr. Taha itu dia berdasarkan banyak dari teks-teks asal, teks-teks klasikal untuk berhujah. Saya nanti minta apa ni Datuk Johan pimpin halaqah untuk bincang buku ini. Itu mukadimahnya.
  1. Tapi Alhamdulillah dalam 1-2 minggu ini kita dapat berita yang baik dan saya nak penjawat awam di Kementerian Kewangan, Perbendaharaan tumpu dalam bidang ini. Kita dalam dunia, politik, masyarakat, media sosial tak boleh elak semua pandangan-pandangan. Tetapi saya minta kita tumpu kerana sudah sampai ketika di mana gesaan kita dan harapan kita bahawa Malaysia ini terangkat dari segi keyakinan pelabur, dari segi keupayaan menjadi satu negara maju dengan penguasaan teknologi baru, digital dan juga AI itu nampak mendapat sambutan yang baik. Kita sebut dulu Infineon, dan baru-baru ini Microsoft dan keputusan Microsoft itu besar dan implikasinya besar dan dalam rundingan dengan mereka itu, bukan sahaja yang diumumkan, tapi yang yang runding secara terperinci, soal latihan, soal pendedahan, soal kerjasama dengan universiti, soal research, centre of excellence, expansion, training yang meluas itu semua diadakan.
  1. Kemudian semalam saya dengan Google, walaupun online tetapi ada komitmen mereka dalam semangat yang sama. Sebab itu kita sebarkan langsung perbualan saya dengan Ruth Porat yang jadi Presiden Google. Kemudian saya berada di Arab Saudi beberapa hari yang lalu selain daripada mana Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Pembangunan Islam meningkatkan dari segi kerjasama dalam bidang digital dan pendidikan kewangan Islam, ada juga tentang kerjasama industri halal.
  1. Tetapi saya singgung hal ini beberapa hari yang lalu, ACWA Power. ACWA ini syarikat besar energy yang pelbagai yang kuat di Arab Saudi dan juga di dunia. Saya berbincang panjang tentunya melakukan perbincangan dengan pegawai-pegawai daripada MIDA, MATRADE, daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Tetapi kemudian dia mahu beberapa kepastian dari saya tentang third party access, soal macam Microsoft cloud computing. Semua hal itu bila dapat, jadi saya bagi penjelasan. Kemudian kalau kemungkinan perubahan dari segi digital dan AI dalam Kerajaan. Saya kata itu komitmen kita. Kita dah setuju pada dasar, esok dalam kabinet saya akan perkukuhkan. Masih ada kadang-kadang keengganan ataupun kegusaran Jabatan-jabatan kerana nak control server masing-masing. Tapi itu pemikiran tahun 80-an lah, kita mesti menjelaskan kepada mereka dan saya jelaskan juga kepada Microsoft, Google, kita akan perluaskan, melainkan isu-isu keselamatan khusus national security. Itu dikecualikan, yang lain itu mesti.
  1. Bila bagi perakuan begitu, ACWA terus lapor kepada Perdana Menteri dan Putera Mahkota Mohammad bin Salman. Saya tidak tahu, cuma pertemuan saya dengan beliau pada jam 8 malam. Saya selesai rundingan dengan ACWA itu jam 9.30 pagi. Selain berbincang, saya bangkitkan dan dia sebut done. Dia dah dapat laporan dan dasar, dia setuju kerana ACWA ini juga seperti Khazanah, kena ada keputusan Kerajaan kerana dianggap syarikat Kerajaan. Jadi saya begitu kagum sebab cepat (prosesnya). Walaupun ada persiapan awal, ianya tidak bermula dengan perbincangan dengan pegawai-pegawai dari pelbagai Kementerian. Ini saya boleh sebut bahawa bila pegawai-pegawai itu cekap dan lunaskan isu-isu dan sebaik nak berbincang dengan saya, terus berikan maklumat, ‘ini yang mereka kehendaki’, ‘ini yang diminta’, ‘ini tak boleh’, ‘ini boleh’. Jadi itu membantu dalam rundingan terakhir saya dengan mereka. Tetapi 9.30 pagi selesai (perbincangan bersama ACWA), 8.00 malam Perdana Menteri putuskan lulus projek itu dijalankan RM10 bilion di Malaysia.
  1. Jadi saudara-saudara ada 2 pengajaran. Pertama, keyakinan orang. Kerana bukan sahaja sistem politik itu stabil tetapi kerana tahap penjawat awam dan mereka kagum. Kalau berbincang di Bank Pembangunan Islam, penghargaan mereka kepada rakan-rakan dalam keluarga Kementerian Kewangan itu sangat tinggi. Sebab itu dia bagi penghormatan kepada saya. Dia tak beri penghormatan kepada saudara di ketua bahagian kewangan. Tetapi kerana jasa itu dia berikan pengiktirafan kepada negara. Jadi penjawat awam yang cekap, pelaksanaan yang sangat pantas membantu menambah keyakinan dan kelulusan mudah. Sebelum itu Aramco. Puluhan bilion juga untuk di Pengerang dan akan mengembangkan dan ada satu lagi aspek saya akan bincang dengan Petronas 1-2 hari ini. Kerana tiga perkara pokok, dua selesai, satu ada masalah sedikit yang kita harus putuskan di peringkat Kerajaan.
  1. Jadi saudara-saudara, tumpu ini dan saudara lihat peta ekonomi kita, landskap ekonomi kita itu akan berubah dan saya yakin. Ini yang penjawat awam harus tumpu ke arah itu. Yang lain itu, yang simpang siur, sepak terajang, yang lain di luar itu serah pada saya dan kawan-kawan (Jemaah Menteri). Saudara-saudari kena tumpu ini kerana Malaysia ada keupayaan sekarang. Bukan sahaja dari segi pertimbangan antarabangsa tapi harapan orang dari segi pelaburan. Tengok macam pameran keselamatan semalam (DSA NATSEC 2024), tarikan minat itu mencecah 1,000 reruai daripada lebih kurang 63 negara begitu yang jarang berlaku kalau dianjur oleh negara-negara berkembang atau negara membangun seperti Malaysia. Jadi kita dapat perhatian begitu.
  1. Sebab itu saya agak keras kadang-kadang dengan segelintir kecil penjawat awam yang agak menyimpang daripada semangat ini. Tapi saya selalu gesa supaya masyarakat dan media berlaku adil. Jangan umpamanya sikap dan salah laku kecil itu menggambarkan disiplin dan semangat penjawat awam. Sebab kita memilih dan khususnya Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan II dan KSP banyak jasa dalam hal ini kerana memikirkan bagaimana bersama JPA, kita merangka satu keupayaan kewangan untuk memberi ganjaran yang adil kepada penjawat awam. Itu insya-Allah kita laksanakan 1 Disember 2024. Jadi kita tidak menghalang kadang-kadang orang yang menegur “dari mana nak cari wang?”, kemudian “mana tahu Kerajaan dan parlimen akan luluskan?”. Dan saya tidak berhasrat jawab itu semua kerana kita buat itu bila kita umum, itu setelah kerja dasar telah dilakukan. Kita tahu dari mana kewangan, kita tahu hasilnya bertambah dan kita dapat lihat umpamanya dan sepertimanya Microsoft. Bila dimulakan? Tahun ini. Bila Amazon mulakan? Tahun ini. Bila ACWA datang? Dalam 2 minggu akan datang.

  1. Jadi bukan maknanya ini rencana untuk 3-4 tahun. Kalau ada usaha seperti ini, kita yakin. Kita yakin pendapatan negara akan bertambah, mutu khidmat penjawat awam akan lebih baik dan hasil kita akan bertambah. Dengan itu, pandangan kita tentang bagaimana mengurangkan pergantungan kepada hutang dan mengurangkan defisit itu tidak berganjak. Ada orang kata ini “It’s not a rational economic policy. I said “Why?” Then they said “How can you spend more for your civil servants and then you want to reduce debt?”. I think it’s how we manage our economy and the expertise are here. Yang pandainya saudara, saya hanya jurucakap. Kalau mereka nak tahu ada sesi. Biar Menteri Kewangan II atau KSP bagi kuliah sedikit kepada beberapa pemimpin pembangkang tentang ekonomi, bagaimana kita uruskan. Kalau tidak dia nanti bingung, bila dia bingung dia cerca di khalayak dan orang-orang keliru. Padahal kena ingat kalaupun dia cerca kita di Kuala Kubu Bharu, hampir setiap keluarga itu ada penjawat awam yang bertugas. Kalau tidak anak dia, adik dia, adik dia, anak saudara dia ataupun menantu dia adalah penjawat awam.
  1. Jadi jangan perlekehkan usaha kita kerana saya tahu sukar dan saya menunggu berbulan-bulan begitu. Mesyuarat berpuluh kali untuk pastikan saya yakin dan saya nak kalau kenaikan itu adalah kenaikan yang bermakna. Boleh naik 5% dan saudara pun happy tapi saya fikir adakah ada keadilan atau tidak. Orang bandingkan pemimpin-pemimpin, masa mereka memerintah potong elaun, suruh ikat perut. Bila sekarang kita nak bagi dia marah lagi. Jadi saya nak bagitahu kalau saya harap saudara kerja lebih dedikasi dan kita lebih strict terhadap yang malas, yang rasuah, saya harus bagi ganjaran dan pengiktirafan yang lebih. Insya- Allah kita akan lakukan sebelum akhir tahun.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.