TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN BOOST BANK

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN BOOST BANK

 

6 JUN 2024 (KHAMIS)

 

MITEC, KUALA LUMPUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.

YB Tuan Gobind Singh Deo Karpal Singh

Menteri Digital;

YBhg Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan

Pengerusi Axiata Group Berhad;

YBhg Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir

Pengerusi RHB Banking Group;

YBrs Tuan David Lau Nai Pek

Pengerusi Boost Bank;

YBrs Tuan Vivek Sood

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group Berhad;

YBrs Puan Fozia Amanulla

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank;

YBrs Tuan Mohd Rashid Mohamad

Pengarah Urusan RHB Banking Group; dan

Semua tetamu dan rakan-rakan terutama penggerak-penggerak bank yang sangat enthusiastic.

Terima kasih.

  1. Hari ini kita sebenarnya melakukan suatu penemuan penerokaan baharu dalam apa yang dibicarakan dalam negara kita sebagai transformasi digital. Apa kebimbangan kita? Kebimbangan kita selama ini ialah bila kita bicara hal-hal yang besar. Soal memacu pertumbuhan ataupun transformasi digital, kebimbangan terbesar termasuk dalam artificial intelligence ialah ia akan melebarkan lagi jurang di kalangan rakyat terbanyak. Yang miskin sama ada di bandar, desa atau pedalaman, dia akan menambah melebarkan jurang, itu kebimbangan kita.
  1. Sebab itu saya alu-alukan langkah dan ikhtiar Boost Bank kerana pendekatan ini memberi kefahaman, pencerahan kepada rakyat, apa erti digital dan kemudian secara langsung melalui Boost Bank ini memberi manfaat langsung kepada rakyat terbanyak yang tidak memikirkan bank itu hanya untuk kepentingan golongan menengah dan atasan. Jadi saya salute dan terima kasih atas inisiatif ini dan memberikan satu manfaat kepada rakyat terbanyak.
  1. Tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluncurkan apa yang disebut Rangka Kerja Rangkuman Kewangan 2023 – 2026. Iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan seluruh rakyat Malaysia. Ini satu usul atau cadangan atau ikhtiar yang menarik, tetapi agak tercabar kerana banyak memikirkan bagaimana mungkin kita perkenalkan suatu pendekatan yang canggih. Kerana kadang-kadang di kalangan masyarakat kita dengar digital itu menggerunkan, Artificial Intelligence lagi menakjubkan. Jadi bunyinya pun dah menakutkan, apa lagi nak mengamalkan. Jadi sebab itu ada kerangka bagaimana untuk menarik minat dan penyertaan, ini yang paling penting. Boost Bank itu satu ikhtiar.
  1. Sebab tu bagi saya mengapa saya pilih untuk hadir secara peribadi, pertama ia satu penerokaan baru. Satu lonjakan dari segi digital. Yang keduanya, satu ikhtiar yang akan memberi kesempatan kepada rakyat memahami apa dia transformasi digital dan keperluan bersama-sama memanfaatkan ikhtiar baru yang sangat penting bagi negara kita. Dan ketiga, yang juga penting terutama dalam pandangan peribadi saya, kuat dengan hati nurani saya, iaitu ia akan membantu memberikan peluang dan kesempatan bagi rakyat terbanyak yang tidak punyai modal besar atau syarat-syarat yang ketat untuk buka akaun bank dan sebagainya, dan melalui Boost Bank ini dia akan terus dapat manfaat daripada kemudahan yang ada melalui digital.
  1. Jadi sebab itu bagi saya soal pembayaran tanpa tunai satu hal, digital, tetapi dia memberikan apa yang dikatakan penyertaan yang disebut inclusive. Maknanya memberikan ruang penyertaan yang ramai. Dalam apa-apa perubahan ini kadang-kadang kita selalu ada masalah. Dia memberi manfaat kepada orang elit, orang atasan, kadang-kadang pandangan yang dibawa oleh Kerajaan ke mana-mana itu dibimbangi ia memberi manfaat kepada kelas tertentu. Maka sebab itu Boost Bank ini ada faedah dan kelainannya.
  1. Jadi memang ada peningkatan sejak 2011, kita tengok ada peningkatan transaksi per kapita sudah naik tetapi masih rendah. Sebab itu tanggungjawab kita bersama dan saya ucap tahniah kepada Axiata dan RHB yang yang turut membantu kerana sasaran yang telah ditetapkan ialah 400 transaksi per kapita pada tahun 2026. Ini bukan sasaran yang terlalu tinggi, sukar untuk dicapai. Malah saya jangka kalau kita ada asakan lebih kuat untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita, kita harus capai lebih awal daripada itu.
  1. Maknanya daripada sekarang harus ada suatu gerakan yang bersungguh-sungguh dan saya harap keluarga dalam Boost Bank ini, Axiata, RHB sebagai tunggaknya harus turun dan menyebarkan, supaya kemudahan ini akan dimanfaatkan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) keutamaan kita, tetapi juga kepada rakyat terbanyak. Ini baru kita ada makna. Kalau tidak bunyi inclusive, makna inclusive penyertaan yang ramai. Inclusive bukan untuk kelompok kecil, inclusive ini maknanya penyertaan ramai supaya apa sahaja kemudahan yang kita berikan itu akan dinikmati oleh ramai. Ini maksud Ekonomi MADANI. Ekonomi MADANI ini di antara tunggaknya tentunya transformasi digital. Tetapi kelainannya dengan program ekonomi biasa, bukan sahaja kemampanan. Negara tidak boleh maju kalau kita tidak pacu pertumbuhan. Kita tidak mungkin pacu pertumbuhan kalau tidak ada pelaburan dan keyakinan dan semua ini nampaknya datang dalam setahun ini, Alhamdulillah.
  1. Berapa minggu yang lalu saudara bayangkan, Microsoft lebih RM10 bilion, Google 3-4 hari lalu RM10 bilion. Dalam 3-4 hari yang lalu, Mubadala Investment Company, satu syarikat besar UAE. MASDAR, itu semua besar pelaburan mereka. Jadi mudah-mudahan insya-Allah memberikan peluang pekerjaan kepada yang lebih ramai dan memacu pertumbuhan. Tetapi kemampanan dalam Ekonomi MADANI ini bermakna juga ia akan harus mengurangkan jurang di antara yang maha kaya dengan yang miskin. Dia akan memberikan ruang dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat terbanyak, itu cabaran kita. Apa yang disebut di situ soal kemanusiaan, soal ihsan supaya pendidikan mereka lebih baik, peluang pekerjaan mereka lebih bermutu, upah dan gaji mereka meningkat daripada kadar sekarang melalui latihan-latihan.
  1. Sebab itu saya cadangkan Boost Bank dengan Axiata dan RHB, selain daripada ikhtiar yang diperkenalkan itu, harus juga meneruskan dengan usaha peningkatan latihan supaya tahap kecekapan, keterampilan di kalangan anak muda itu lebih baik. Kerana saudara faham dalam apa yang disebut era postnormal sekarang ini, dia bukan biasa, bukan normal, tetapi disebut postnormal times. Saudara jangan terlepas di Berjaya Times Square tingkat 10 ada pameran postnormal times yang sangat menarik. Yang akan memberi penjelasan lebih teliti dalam apa yang saya nak bicarakan. Ya betul saya bicara hari ini di Boost Bank, tapi we are dealing with postnormal times. What you mean by postnormal times?

 

  1. It is more complex, is full of contradictions and is also chaotic. Not only in terms of civil wars or Russia-Ukraine, or the uncivilized attack by Israel on Gaza, but also you have instability many parts of the world. It is full of contradictions. You talk about humanity and justice, and in Ukraine, you are a bit muted when it comes to Gaza. That means you not talking about humanity, you are talking about race, you are talking about religion, you are talking about class, you are talking about colour, not talking about humanity and human beings. That’s why it is chaotic, it is complex, it’s full of contradictions and of course, quite hypocritical. What is the relevance to the issue of the digitalisation and this transformation we are talking about? Changes are taking place at and unprecedented pace. Never before in history from agricultural revolution to industrial revolution to technological revolution, do you have this change. In matter of month you can see new apps that astounding and require a lot of effort to understand and improvise training and all these things are happening simultaneously. Therefore, they popularise this term simultaneity.
  1. Dia berlaku dalam waktu yang sama, semua masalah. Kalau bicara soal digital transformation, transformasi itu sangat pantas. Sebab itu saya usulkan tadi Axiata, RHB dan Boost Bank jangan terlepas usaha untuk terus melancarkan atau mengadakan program-program latihan kepada anak-anak. Tenaga baru, sebenarnya mereka itu bukan sekadar jalan kerja profession seperti biasa, tetapi sentiasa pantas mengikuti perkembangan-perkembangan semasa, penemuan semasa, agar mereka itu selayaknya menjadi pengurusan dan staf bank tetapi yang lebih canggih kerana ini Boost Bank. Ini bukan bank konvensional. Ini bank yang disebut sebagai bank digital.
  1. Jadi saya tidak mahu umpamanya tenaga profesional bank digital, fahaman digital itu sama dengan orang-orang lain. Dia harus lebih mampu mengikuti perkembangan semasa dan saya percaya hal-hal ini dapat diberikan perhatian kerana seperti mana saya sebut, Kerajaan MADANI ini komited. Sebab tu saya katakan kerjasama ini strategik. Agensi-agensi yang terlibat dan sekarang kita ada Kementerian Digital. Di antara Kementerian yang mengepalai dan ditugaskan untuk memberi makna dalam erti kata pelaksanaan bukan sahaja oleh Kerajaan tetapi jaringan sinergi di antara sektor awam dan swasta. Tugas Kementerian tentunya menyediakan persekitaran supaya dapat membantu bukan sahaja usahawan PKMS tetapi rakyat terbanyak untuk mencapai matlamat ekonomi yang kita sebutkan. Jadi peranan penting Boost Bank itu tidak boleh dipertikai atau dimungkiri.
  1. Melalui inisiatif atau ikhtiar Boost Bank ini, ia harus menjalar kepada penggunanya, kefahamannya. Jadi saya usulkan, saya bukan banker fortunately (nada seloroh). Mohon maaflah kalau saya cuba bagi pandangan tambahan. Kalau bank-bank lain banyak berikan maklumat biasa tentang perbankan kepada pengguna, bank-bank harus juga melalui hubungan digital ini memaklumkan kepada pengguna tentang apa dia penemuan-penemuan baru, apa dia keistimewaan digital ini. Maknanya program pendidikan, apa yang disebut kecelikan. Dulu kalau disebut umpamanya kecelikan budaya, kecelikan kewangan, ini maknanya kecelikan digital. Jadi apakah boleh kita terima tugas ini yang saya percaya tidak akan membebankan dari segi kewangan Boost Bank, tetapi dianggap menerima tugas. Saya percaya Saudara Gobind Singh Deo akan bantu melalui Kementerian beliau untuk memberikan beberapa idea, saranan supaya pelancaran Boost Bank ini bermakna.
  1. Selain daripada penemuan baru, suatu yang agak canggih tetapi ia bermakna juga era baru dalam dunia perbankan yang disebut perbankan digital dan kemudian boleh menjalar dengan lingkaran kepada rakyat terbanyak. Sebab saudara harus faham juga ya, kita bicara soal digital, AI ini, tetapi jangan kita anggap semua orang faham. Mereka lebih faham melalui cara praktik, mereka tidak faham dari segi teori banyak-banyak. Dia guna kemudahan ini dan kita mula juga perkenalkan dan beri kecelikan tambahan. Saya ingat kalau boleh saya kongsi sedikit sebelum saya akhiri kuliah ini (nada seloroh).
  1. Bila mula-mula kita perkenalkan komputer, orang-orang di kampung-kampung itu lahirkan kebimbangan. Mereka kata, “Dengar komputer pornografi banyak, ini adegan seks banyak, macam mana anak-anak kita hendak gunakan?”. Masa tu saya Ahli Parlimen Permatang Pauh. Saya bawa komputer, saya panggil semua imam-imam jawatankuasa masjid, saya bagi ucapan ringkas sebelum saya kata, “Tok imam, ayat Quran nak baca surah apa? Nak tengok pasal surah apa?” Dia kata “Ali Imran.” “Ali Imran ayat yang mana?” Dia baca. “Okay itu ayat berapa?” “Ayat 23.” Okey saya (membuat carian di internet). “Haa ini dia ayat dia.” Dia terus terpegun. Jadi kita ajar dia pendedahan itu secara praktik.
  1. Kemudian masa itu ada aplikasi Hadith Sahih Bukhari. Saya kebetulan pergi makam Bukhari di Samarkand, Uzbekistan baru-baru ini beberapa minggu yang lalu. Tetapi saya kata nak meneliti Sahih Bukhari tajuk apa? Dia kata tajuk ‘Al Adl’ (keadilan). Okay saya (membuat carian di internet), wah menangis Tok Imam itu. “Oh kalau saya di rumah ni cari, jenuh berjam-jam nak cari daripada kitab.” Jadi saya kata ini dia, kita boleh cari yang positif, boleh juga yang negatif. Nak pergi cari yang pelik-pelik tu pasal apa? Takut tak kawal anak-anak. Baik, bagaimanapun kita letak undang-undang dan peraturan, kita tak boleh kawal. Melainkan kita latih mereka dengan kasih sayang, didik mereka. Ini yang dikatakan membangun firewalls di peringkat keluarga. Keluarga itu bangunkan firewalls mereka untuk menentukan, melatih dengan nilai dan akhlak dan ini juga kelainan dalam Ekonomi MADANI.
  1. Sebab dalam program ekonomi orang biasanya tidak menyentuh soal nilai, soal budaya, soal akhlak. Dalam MADANI di Malaysia ini kita tekankan soal nilai, budaya dan akhlak, kerana ini keistimewaan kita rakyat Malaysia pelbagai kaum dan pelbagai agama. Jadi untuk itu umpamanya kalau di masjid itu mereka terpesona, kagum. Dia kata “Anwar ini you bagilah tajuk apa pun, dia tup-tup-tup boleh jawab.” Saya kata “Bukan Anwar, ini komputer.” Sebab itu saya katakan pendedahan itu penting. Bahayanya ialah bila disalahgunakan. Apa pun, baca buku pun, ada buku yang baik, ada buku yang tidak baik. Jadi bukan masalah buku, masalah diri kita.
  1. Sebab itu transformasi digital itu mendesak dan tugas saudara-saudara ialah memberikan mereka supaya dia lebih sibuk untuk melihat perkembangan baru dan dunia baru. Kalau ada media sosial pun dia gunakan itu untuk memberi penambahan sebagaimana apa yang disebut tadi kecelikan digital. Dulu kita sebutkan economy literacy, cultural literacy, now digital literacy. Ini tanggungjawab Boost Bank. Jadi cukup enam (6) bulan, saya nak tengok laporan. Kalau tidak, buat apa Perdana Menteri datang rasmi susah-susah? Balik-balik sama saja. Jadi enam (6) bulan Menteri Digital akan membentangkan laporan tentang ikhtiar yang istimewa yang dilakukan oleh Boost Bank dan laporan itu dibentangkan di kabinet.
  1. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan dan meluncurkan Boost Bank Malaysia.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.