
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN MODUL LATIHAN KENEGARAAN MALAYSIA MADANI
6 JUN 2024 (RABU)
MITEC,
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Alhamdullihilladzi Anzala ‘Ala’abdihil Kitaaba
Wa Lam Yaj’al Lahuu’iwajaa
Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem
Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri;
Rakan-rakan Menteri-menteri;
Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali
Ketua Setiausaha Negara;
Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
Datuk TPj. Kehormat (PA) Hj. Mohd Haswandi Hj. Ahmad
Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan;
Pegawai-Pegawai Kanan; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya ucap penghargaan, begitu ramai yang hadir menunjukkan sokongan mereka kepada usaha Akademi Kenegaraan. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini kita berjaya meluncurkan Modul Latihan Kenegaraan. Satu kerangka awal yang dibicarakan oleh akademi bersama dengan rakan-rakan pimpinan di semua peringkat dan saya percaya seperti mana modul lain kita akan ubah suai, tingkatkan setelah menimba pengalaman dan mendapat maklumat tambahan dari rakan-rakan.
Saudara-saudari,
- Negara kita seperti mana yang pernah saya tegaskan, harus melakukan anjakan. Mana-mana negara sekalipun, mana-mana masyarakat sekalipun. Ada ketika detik penting dalam sejarah yang memungkinkan kita melakukan anjakan, perubahan dengan semangat yang tertera dalam Al-Quran Al-Karim, doa Nabi Allah Syu’aib A.S. “in uridu illal islahal mastata’tu” iaitu kita berusaha sedaya upaya kita melakukan perubahan. Masyarakat itu dia dinamik, masyarakat itu tidak beku, tidak jumud. Masyarakat yang beku dan jumud itu dikaitkan dengan kerangka pemikiran lapuk yang lama. Masyarakat dinamik itu harus sentiasa memikir, meneroka alam pemikiran baru, memperbaiki kelemahan-kelemahan mereka, bersyukur atas nikmat Allah SWT. Kerana kalau tidak bersyukur ada masalah.
- Sebab itu dalam modul ini kita hargai sumbangan pemimpin-pemimpin, pejuang kemerdekaan terdahulu, dari semua negeri-negeri di Semenanjung, Sabah, Sarawak kerana mereka punya jasa. Tetapi menghargai sumbangan yang lama itu tidak semestinya mengikat kita kepada keadaan yang beku. Hanya menimba kekuatan mereka tetapi secara dinamik positif, memperbaiki, mengangkat lagi martabat kita. Seperti mana yang disebut oleh pemikir dan filasuf Perancis, Roger Garaudy yang menyatakan bahawa untuk menilai sumbangan pejuang, pemikir lalu bukan semata-mata menyatakan penghargaan ataupun melupakan mereka, tetapi menyemarakkan semangat yang mereka tanam. Ini tugas anak-anak muda yang ramai pada hari ini.
- Anak-anak muda harus tahu sejarah kita. Bangga dengan sejarah kita. Menyemarakkan semangat yang ditanam. Negara ini merdeka. Merdeka untuk berdaulat, merdeka untuk membela nasib rakyat, merdeka untuk meletakkan dasar tatakelola pemerintahan dan kenegaraan yang baik, yang menentang kecurangan, yang menentang rasuah. Maknanya menyemarakkan semangat baru. Ini yang disebut oleh Roger Garaudy yang saya singgung tadi yang menyebut “not to bury the ashes of the dead but to rekindle its flame,” bukan untuk menanamkan debu yang sudah meninggalkan kita, tetapi untuk menyinar dan menyemarakkan semula cahaya api yang menerangi.
- Tugas kita di Akademi dan modul ini mengambil kira kenyataan ini. Mengenang jasa pejuang-pejuang besar negara kita. Pejuang-pejuang itu tidak semestinya pemimpin-pemimpin. Tanpa rakyat tidak ada pemimpin. Pemimpin tidak akan berwibawa tanpa dukungan semangat rakyat dan kita hargai ini adalah sumbangan pimpinan-pimpinan dan rakyat yang silam. Kerana sekalipun kita bicara soal kemerdekaan, kemerdekaan tercapai kerana kepintaran, kewibawaan, semangat ditunjukkan pimpinan, daya juang dan pengorbanan rakyat. Bayangkan ibu bapa yang miskin sanggup menyerahkan cincin dan gelang dan rantai sebagai bekalan dan biaya untuk pemimpin-pemimpin terbang biaya ke London, berbincang dengan Inggeris menuntut kemerdekaan. Semangat ini kadang-kadang pudar kerana kita sibuk dengan kepentingan-kepentingan diri tanpa memikirkan soal kesejahteraan rakyat.
- Sebab itu kita dalam modul ini harus tegak untuk kenal sejarah negara kita. Bahawa negara ini merdeka dan berdaulat kerana sumbangan semua pihak. Melayu sebagai tunjangnya, tentu, semangat kebangsaan dan kemerdekaan dan penyertaan semua kaum Cina, India, Dayak, Iban, Melanau dan semua suku, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bugis, masing masing telah memberikan sumbangan. Dari awal kita harus bina kekuatan satu negara. Kekuatan yang menyebabkan kita ini istimewa dan kita boleh buat pilihan, anak-anak muda boleh buat pilihan.
- Mahu jadikan negara ini hebat atau negara ini seperti mana beberapa negara lain sejarah penuh dengan hiruk pikuk, benci, saling tomah-menomah dan bermusuhan di antara satu sama lain kerana beda warna kulit, beda keturunan, beda darjat dan beda agama. Kita boleh pilih untuk melemahkan dengan memperkotak-katikkan atau kita pilih yang waras, yang bijak, yang menerima kekuatan dengan mempersatu semua kekuatan yang ada. Tentunya yang waras yang bijak akan memilih untuk membina kekuatan yang ada.
- Ini mesej dan mesej ini tidak dalam lompongan, bukan satu vakum. Kerana masih ada suara-suara yang akan mengheret kita bicara soal yang lebih menyempitkan dari segi kaum untuk membenci yang lain, atau menakutkan kaum kerana akan ditelan oleh kaum lain, ataupun membawa faham agama bukan ke arah penyatuan, bukan ke arah rahmah bukan ke arah ihsan, tetapi ke arah kebencian. Saya yakin anak-anak muda akan memilih untuk membina kekuatan. Inilah modul yang berteraskan prinsip perlembagaan. Sebab itu perlembagaan harus diketahui kerana perlembagaan itu tidak hanya dilemparkan kepada kita. Bukan dilontarkan oleh penjajah tetapi dirangka oleh pemimpin-pemimpin kita, mengambil kira sejarah kita dan kekuatan kita dan kemudian diperbaiki, diperkemas mengikut peredaran masa. Maka harus kita faham. Sebab itu ada kaitan dengan prinsip-prinsip perlembagaan.
Saudara,
- Modul ini mengambil kira juga tentang tuntutan zaman yang disebut ‘seitgeist’ (the spirit of the times). Iya kita belajar sejarah, iya kita belajar kekuatan, tetapi kita hadapi masalah-masalah yang berbeda. Apa yang kita hadapi tahun 2024 tidak sama dengan 1974, masa saya muda remaja. Ataupun 1954 sebelum kita capai kemerdekaan atau 1924 semasa nenek moyang kita bertapak di negeri-negeri yang berpecah, baik di Semenanjung, Singapura ketika itu, Sabah dan Sarawak. Tuntutan sekarang ini ada yang berakar kepada permasalahan lama. Sebab itu saya sentuh tadi sejarah dan kekuatan pelbagai kaum, pelbagai agama. Kita pilih untuk menjadikan perbezaan ini satu kekuatan.
- Kalau Islam tidak pernah menganggap perbezaan kaum dan kelainan agama itu sebagai tapak ruang untuk permusuhan. Sama ada ayat menyinggung soal lita’aarafu untuk kenal, hormat satu sama lain ataupun mengangkat darjat semua manusia walaqad karramna Bani Adam ataupun meletakkan perbedaan itu dari segi nilai. Sama ada kita mahu angkat darjat kita menjadi yang paling baik fii ahsani taqwim, pilihan kita atau kita turunkan darjat kita kerana kecurangan kita, biar kebiadapan kita, kerana rasuah dan kezaliman kita, tamak haloba dan mengaut kekayaan yang bukan hak kita, jadilah serendah-rendah kejadian asfalasaa filiin. Kita ada pilihan, Allah angkat kita sebagai manusia atau makhluk yang seindah-indah dan semulia mungkin atau menjadi makhluk yang sehina, sekeji the lowest of the low (asfalasaa filiin).
- Maka dalam tradisi latihan dan modul ini, dia harus mencabar, mengasak, supaya kita berfikir berdasarkan nilai. Di antara yang baik dan yang buruk, di antara yang makruf dan yang mungkar, di antara yang haq dan yang batil. Maka penerapan nilai ilmu dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa dalam dunia digital, dunia artificial intelligence dengan pelbagai kerenah dan cabaran baru. Maka jurulatih dan penggerak akademi berbeda daripada cabaran awal. Menuntut kelayakan mereka, kefasihan mereka dari segi sejarah, dari segi perlembagaan dan daya juang, dari segi cabaran masa depan yang semua berteraskan nilai, etika dan akhlak.
Saudara-saudara,
- Akademi Kenegaraan ini diasaskan untuk membina kekuatan baru di kalangan anak-anak muda. Peribadi unggul, membina kekuatan, menanam bibit kecintaan kepada negara kita. Syukur Alhamdulillah, seperti mana saya singgung peringkat awal, dalam mana-mana sejarah masyarakat dan negara ada pasang surutnya. Ada ketika di mana negara itu terangkat menjadi hebat, ada cabaran-cabaran yang menyebabkan negara itu runtuh ke darjat yang rendah. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana jasa yang terdahulu, yang memberikan kekuatan dan kita harus pelajari kelemahan-kelemahan yang menyebabkan kita terpaksa menghadapi cabaran. Jadi masa sekarang ini kita dengan sumbangan rakan-rakan, TPM ada, Menteri, rakan-rakan Pegawai, KSN dan seluruh jentera yang membantu memberi keyakinan baharu, the new sense of confidence di kalangan kita.
- Berkat kesatuan, perpaduan dan kestabilan politiknya ada. Kita kemudian merangka dasar-dasar yang jelas dan kita belajar daripada pengalaman kelemahan-kelemahan yang lalu, ada kekuatan saya sebut tadi, landasan yang baik, tapi kita juga secara ikhlas, secara jujur menerima kelemahan-kelemahan dan ini harus pertama difaham dan dirungkai kemudian diperbaiki. Sebab itu, saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan. Mahu angkat negara mesti dengan keyakinan. Mesti dengan semangat perpaduan. Mesti dengan kecintaan kepada negara. Mesti keyakinan bahawa negara ini mampu diangkat sebagai negara hebat, Malaysia di seantero dunia. Keyakinan ini dengan dasar yang kita cerakin secara jelas.
- Malaysia adalah negara dagang, a trading nation. Negara dagang memerlukan kekuatan induk tetapi memerlukan keyakinan luar, pelaburan. Kalau dulu kita dikenali dengan industri-industri pembuatan, sekarang dengan tenaga, energy baru termasuk green hydrogen, ammonia dengan teknologi maklumat, digital dan AI, data centres dan Seperti saudara tahu syukur Alhamdulillah, Malaysia telah diiktiraf sebagai pusat semikonduktor ulung di rantau ini. Semua syarikat-syarikat utama dalam bidang digital, new technology, AI masuk ke Malaysia. Microsoft RM10 bilion, Google RM10 bilion, syarikat di antara utama dalam AI, NVIDIA masuk dengan gagah di Johor. Syarikat semikonduktor terulung di Jerman dan di Eropah, Infineon masuk dengan RM25 bilion.
Saudara-saudara,
- Anak muda harus rebut peluang. Kita hadapi sekarang kenyataan baru new realities, new challenges which demand that we take new measures with new spirit dan akademi ini berperanan untuk memberi lonjakan itu. Maklumlah kita sibuk, kita dengan media sosial, dengan pelajaran, profesion, maka perlu ada akademi yang bantu untuk mengheret saudara, menarik saudara, kembali kepada landasan dan ini tugas besar yang di amanahkan kepada Akademi. Saya percaya rakan-rakan Menteri akan bantu memberi input dari semasa ke semasa, rakan-rakan pegawai Kerajaan begitu juga. Kerana agenda untuk menyelamatkan negara ini lebih penting daripada hiruk pikuk, perebutan-perebutan dan caci maki.
- Dalam Akademi ini kita harus tegas, tidak mahu terlanjur untuk menjadikannya medan atau gelanggang untuk memecah-belah, untuk menanam kebencian. Akademi ini gelanggang untuk menanam rasa kasih sayang, semangat perpaduan, semangat cintakan negara. Tapi bermula dalam rumusan yang nak saya sampaikan, mulanya seperti mana yang pernah ditegaskan, diungkapkan dalam ayat-ayat dan surah-surah awal dalam Al-Quran; Al-Mudathir dan Al-Muzzammil. Kita sebagai manusia ada kelemahan kita, ada kealpaan kita, ada kecuaian kita. Maka ‘kum fa’anzir’ (Al-Mudathir, Ayat 2), bangunlah, celik daripada kealpaan, lemah longlai dan lesu, ‘kum fa’anzir’. Bangun!. Untuk apa bangun? ‘Warabbaka fakabbir’ dan tunduk kepada Tuhan Yang Maha Besar. Kita lakukan ini dengan niat yang ikhlas sebagai hamba Tuhan. ‘Warabbaka fakabbir’ (Al-Mudathir, Ayat 3) untuk melakukan perubahan mesti ada pencerahan, bangun!.
- Kita kadang-kadang banyak sangat membazir waktu, banyak turut pada nafsu serakah, banyak sangat tamak haloba, banyak sangat masa membazir, banyak sangat keangkuhan, bangun! Kum fa’anzir! Tinggalkan sikap yang cuai dan lemah itu. Untuk apa? Untuk akui bahawa kita ini hamba yang hina dan tunduk kepada Tuhan Yang Maha Besar. Bukan penguasa, bukan wang ringgit, bukan kekayaan dan bukan takhta. Warabbaka fakabbir tapi syaratnya kita harus ‘wasiyaabaka fatohhir’ (Al-Mudathir, Ayat 4), mestilah bersihkan diri kita, meninggalkan yang jelik, yang bobrok, segala kepincangan lalu dan bersihkan supaya dengan bila bersih baru kita boleh bangkit. Bukan dengan slogan, bukan dengan ungkapan. Bersih ini zahir dan batin. Mudah-mudahan dengan semangat itu, kum fa’anzir, warabbaka fakabbir, wasiyaabaka fatohhir, kita boleh mulakan suatu tradisi baru untuk membawa negara ini sebagai negara yang hebat.
Saudara-saudara,
- Marilah kita lakukannya bersama, ini tugas kita bersama. Dan lebih daripada saudara-saudara, anak-anak di belakang, anak-anak di dewan luar, anak-anak di foyer dan di lobi, marilah sama-sama dengan bapa-bapa kita. Tanya saya, saya yakin, apa pun yang diungkapkan tidak mengganggu saya sama sekali. Teman-teman saya dalam Jemaah Menteri tahu. Mula mesyuarat kita bicara apa yang sebaik mungkin untuk negara dan rakyat kita. Dunia ini bebas, negara demokratik, media sosial itu digunakan sepenuhnya untuk baik dan yang buruk, tetapi tidak harus mengganggu kita. Saudara, masa untuk kita bertindak. Masa anak-anak muda bangkit dan selamatkan negara kita. Saya percaya Akademi Kenegaraan bersama-sama dengan rakan-rakan pimpinan dan rakan-rakan penjawat awam serta swasta akan dapat dimanfaatkan untuk menebus maruah dan mengangkat martabat negara tercinta.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- PM ANWAR GESA ASEAN LAKSANAKAN USAHA KOHEREN DAN BERSEPADU
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG