TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JPM BAGI BULAN JUN 2024

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JPM BAGI BULAN JUN 2024

 

 

10 JUN 2024 (ISNIN)

 

DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri I;

 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri II;

 

Menteri-menteri, Timbalan Menteri, Tan Sri KSN,Tan Sri KPPA, dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Oleh kerana musim ini musim rakan-rakan dan keluarga kita menyempurnakan ibadah Haji, kita doakan mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur,

 

Allahummaj’alhu Hajjan Mabrura wa Sa’yan Masykura wa Dhanban Maghfura wa ‘Amalan Shalihan Maqbula wa Tijaratan lan Tabur.

 

(Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang dihargai, dosa yang diampuni, amalan shalih yang diterima dan perniagaan yang tidak akan merugi).

 

  1. Betul ya?. Tanya Jakim. Haji dan Saie tentu, tetapi dalam konteks Islam, penekanan tentang amal soleh. Kemudian, saya juga agak terkesan kerana ditambah pula Tijaratan lan Tabur. Maknanya dalam ibadat Islam ini sementara ibadah Haji sebagai fardu yang wajib, ditekankan tentang amalan dan ditekankan juga tentang tijarah, maknanya perniagaan, perdagangan yang digalakkan dalam Islam. Itu yang penting.

 

  1. Dan saya pernah sebut bahawa di antara berapa karya yang menarik ialah pengalaman Malcolm X atau Haji Abdul Malik el-Shabbaz, aktivis hak asasi kulit hitam Amerika. Malcom X kita tahu seorang pemimpin black Muslim Amerika Syarikat, di bawah nabi mereka pada ketika itu Elijah Muhammad yang turun wahyu dari Chicago. Kemudian, dia jadi seorang pejuang. Dia sebenarnya dipenjarakan semasa muda kerana kes merompak dan sebagainya. Tapi dipenjara diketemui beberapa pendakwah Black Muslim yang memberikan didikan, buku-buku di telaah dengan mendalam dan menjadi seorang intelektual yang pintar.

 

  1. Jadi, kalau sudah baca “The Autobiography of Malcolm X” oleh Alex Haley yang menulis juga ‘Roots: The Saga of an American Family’, tentang ramai daripada hamba abdi yang diambil dari Afrika itu berasal Islam, tapi kemudian dipaksa tukar agama mereka. Itu Alex Haley yang menulis tentang “The Autobiography of Malcolm X“. Dia akhirnya jadi seorang yang pintar, orang kanan kepada Elijah Muhammad yang dikatakan Ketua Black Muslim dan nabi.

 

  1. Tetapi oleh kerana dia banyak membaca dan menelaah dia mencari kebenaran. Dia telah pergi ke Baitul Maqdis, Jerusalem, pada masa itu, dia berjumpa dengan Amin Husaini, seorang mufti yang sangat arif, pintar dan bijaksana. Apabila berjumpa, dia cakap soal Islam dan Amin Husaini tidak pernah bagi gambaran bahawa dia ini bukan Islam dan terus menyantuni dia sebagai seorang muslim yang baik sehinggalah ketika dia berhasrat hendak menunaikan fardu Haji. Setelah diberikan penjelasan tentang Haji, Amin Husaini telah menjelaskan bahawa kalau hendak pergi Haji kamu kena Islam yang benar kerana ikrarkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, bukan Elijah Muhammad bin Muhammad SAW. Jadi dia pun syahadah diberi nama Abdul Malik el-Shabbaz, dulunya Malcom X kerana dulu Black Muslim semua ada X, tak ada kena mengena PMX (nada seloroh). Jadi kalau James, James X, Ronald jadi Ronald S, kalau Malcom jadi Malcom X, kemudian bila masuk Islam tukar jadi Abdul Malik el-Shabbaz.

 

  1. Jadi dia pergi Haji, dia tulis surat kepada adik perempuannya, setelah dia ihram, haa tengok sebab itu saya kata ikhlas fii amanillah. Baru masuk Islam yang sebenar, menunaikan fardu Haji tapi kesan transformasi itu luar biasa. Dia menulis mengatakan dia pakai ihram, belum pernah dalam sejarah hidup dia yang dia merasakan semangat persamaan dalam Islam itu. Kerana yang pakai ihram itu termasuk Putera Raja, orang kaya, orang putih dan pelbagai warna. Orang tidak fikir tentang warna dan darjat. Yang saya nak tekankan ini ialah tentang kesan ibadah Haji.

 

  1. Kemudian Labbaik Allah humma labbaik Labbaik la sharika laka labbaik Innal hamda Wan-ni’mata Laka walmulk Laa sharika lak, jadi dia kata menuju ke Kaabah itu tidak ada yang difikir lain, melainkan kebesaran Allah SWT. Jadi dia kata, “I never experience this my whole life. There is actually no differentiation of color.” Jadi asas perkauman, warna kulit itu terbenam dengan satu pengalaman dia menunaikan fardu Haji. Dia balik singgah di London, semasa itu, kemudian ke New York, setelah menerangkan, ditembak dan syahid, assyahid Abdul Malik el-Shabbaz.
  2. Yang saya nak tekankan ini kerana hubungan dengan Haji. Satu ibadah, kalau memberikan satu ruh yang hidup, ada semangat perubahan yang menyeluruh. Berbeda dengan kadang-kadang kecenderungan ambil Haji sudah berbelas tahun, tetapi balik dalam keadaan yang sama. Sebab itu yang disebut di sini Haji mabrur. Mudah-mudahan kita doakan sama ada kita, dan keluarga kita menyempurnakan ibadah Haji itu mabrur.

 

  1. Ini berbeda dengan pengalaman lain, seorang sarjana Belanda yang terkemuka, yang belajar tentang Islam di Universiti Leiden, menjadi profesor Islamic Studies, pemikir Islam yang terkemuka, nama dia Snouck Hurgronje. Yang kemudian mempengaruhi ‘the Dutch Ethical Policy’, 1901 begitu di Indonesia. Snouck Hurgronje menamakan perubahan di Indonesia pada ketika itu di bawah Belanda ke arah mendukung semangat barat dan budaya barat tidak mungkin tercapai kalau dibiarkan roh Islam itu menebal di kalangan penganut-penganutnya, dan di antara yang paling mengesankan ialah budaya ibadah Haji, kerana pada masa itu ramai orang Indonesia menyempurnakan ibadah Haji dan gunakan peluang berbulan-bulan itu menelaah, membaca, dan hadir ke majlis-majlis ilmu. Dia beribadah tapi hadir majlis ilmu, apbila dia balik terus buka di sana Pesantren, di sini kita panggil Pondok. Pondok akhirnya menjadi benteng pertahanan akidah dan perjuangan umat. Itulah antara kesan daripada ibadah Haji.

 

  1. Snouck Hurgronje kemudian pergi ke Mekah, seorang bukan Islam ditukar nama jadi Abdul Ghaffar, kahwin dengan seorang wanita Jawa, dan tulis sebuah buku yang sangat mendalam, mengupas budaya, ilmu dan budaya masyarakat Jawi, iaitu kebanyakan di Indonesia dan Melayu lah yang ditulis di dalam bukunya, “Mekka in the Latter Part of the 19th Century”. Dan satu kupasan tentang orang Aceh, kerana katanya di kalangan orang Indonesia orang Aceh paling tebal semangat Islamnya. Maka, dia tulis dua (2) volume dalam bahasa Belanda “The Acheh Us”. Ini semua kebanyakannya dilakukan di Mekah setelah beberapa lama baru dikesan oleh Mukhabaratatau intelligence – Polis rahsia ataupun Special Branch Arab barulah he diusir keluar dari Mekah. Dan ini mempengaruhi the Dutch Colonial Policy yang disebut ‘the Dutch Ethical Policy’ – be nice to them, but make sure that they will not observe Islamic rules and spirit.

 

  1. Dan di antaranya ialah mengekang pengalaman Haji dan mengawal mereka semasa mereka menunaikan ibadah Haji. Jadi apa kesan dari segi ibadah Haji ini? iaitu menanam roh perjuangan, kesedaran, cinta kepada ilmu, balik membuka pondok-pondok untuk memberikan pencerahan kepada masyarakat Islam tentang ilmu dan yakin dengan Islam dan menolak penjajahan, itu kesan daripada ibadah Haji. “Mekka in the Latter Part of the 19th Century” oleh Snouck Hurgronje. Kadang-kadang di antara pengkaji sampai sekarang buku itu menjadi rujukan.

 

  1. Jadi, apa yang saya nak sampaikan? iaitu kadang-kadang dalam ritual kita itu, dia mesti memberikan makna. Sebab itu kalau solat itu sendiri pun, Inna sola tatanha anil fahsya iwal munkar, solah atau sembahyang itu dengan sendirinya menjadi benteng, kalau belum menjadi benteng maknanya belum ada penghayatannya. Begitu juga Haji, Haji itu memberikan semangat perubahan yang begitu ketara dalam perjuangan umat.

 

  1. Jadi mesej yang saya nak sampaikan di sini ialah bahawa kita dan amalan serta kerja kita mesti ditanam roh itu. Dan di antara di kalangan penjawat awam itu umpamanya ya, yang penting, semua kita majoriti besar adalah umat Islam, tapi roh, kesedaran itu mesti kita pupuk, ada yang sudah ada, ada yang sedikit, ada yang banyak, saya pun tak tahu. Tapi dalam penjawat awam, kerangka budaya dia mestilah ke arah penyempurnaan tugas dengan baik, dengan amanah dan menghentikan segala kecurangan. Saya tidak jemu mengulang kerana walaupun ada perubahannya, dan saya ucap tahniah kepada SPRM, LHDN dan mana-mana badan penguatkuasa dan akhirnya tindakan Jabatan Peguam Negara untuk tidak bertolak ansur terhadap kecurangan rasuah ini. Kerana mana mungkin orang yang beribadah, beramal, bicara tentang Islam tetapi masih mempertahankan amalan kecurian dan rompakan.

 

  1. Saya selalu bandingkan kalau ada anak cucu kita curi pensel kawan, itu kita marah. Tapi kita curi juta-juta dan bilion-bilion itu kita izinkan. Mengapa saya tekankan ini kerana masih berlaku disesetengah peringkat, jadi apa tindakannya? Saya fikir badan-badan penguatkuasa sudah hampir maksimum usaha mereka dan saya telah maklumkan kepada Pesuruhjaya SPRM, saya akan tingkatkan peruntukan tambahan. Pegawai dan Peguam Negara telah dimaklum untuk bertindak sebaik sahaja ada bukti tidak peduli siapa supaya dalam tempoh terdekat ini kita dapat kawal dengan berkesan.

 

  1. Tetapi mengapa dalam jabatan-jabatan umpamanya, kita ada Menteri, ada Timbalan Menteri, ada KSU, ada Ketua Pengarah, ada Ketua-ketua Jabatan, jadi tidak mungkin dari atas tahu semua yang di bawah. Tapi kalau ada Jabatan itu nampak terang salah laku, mengapa Ketua Jabatan tidak lapor? mengapa Ketua-ketua Unitnya dia tidak tahu? Saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak diketahui, maka saya akan syorkan kepada KSN, mengadakan mesyuarat dalam tempoh 1-2 hari ini dan dalam keputusan kita tentang pelarasan gaji, kita tetapkan bahawa seorang Ketua Jabatan atau Ketua Unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat sekiranya diketahui di bawahnya itu, sistemnya itu bobrok dan di tidak dilaporkan diizinkan terus.

 

  1. Jadi sekarang ini tanggungjawab itu bukan kepada SPRM sahaja. Ketua Jabatan atau Ketua Unit berkenaan. Kerana kalau ikut pandangan umum mustahil tidak tahu, mustahil perkara ini berlaku sejak bertahun-tahun dan ada kelompok-kelompok tertentu. Tak semesti kita tunggu sehingga ada badan penyiasat, jadi kaedahnya tentu diputuskan oleh KSN dan KPPA. Tetapi saya mahu satu keputusan tetap, maknanya dalam minggu depan saya nak bahawa ada ketetapan ketua Jabatan mesti lapor.

 

  1. Saudara kena selamatkan, bukan soal selamatkan imej dan integriti penjawat awam, tetapi selamatkan negara ini. Kita terpaksa ambil beberapa tindakan yang tidak popular, tetapi untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kita kena tahu juga apa pun kita lakukan, kita akan dihantam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

 

  1. Saya tak boleh setengah pakai songkok, pakai Serban, pakai jubah, tapi tipu terus menerus. Padahal kita beritahu bahawa subsidi ini semua Perdana Menteri sebelum itu telah setuju, cuma tidak ada tekad politik melaksanakan. Risikonya ada. Tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan. Samalah dengan Ketua- ketua Jabatan. Jadi saya nak gesa, kerana amaran sudah lama diberikan, maka pertanggungjawab itu sudah turun dari atas sampai ke peringkat jabatan.

 

  1. Saya lihat umpamanya laporan terkini Ketua Audit Negara, itu masih ya. Mungkin secara relatifnya lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu, tapi kita tidak boleh sedikit lebih baik, kita mesti melakukan perubahan yang mendadak yang boleh menyelamatkan negara kita. Saya mahu Malaysia ini terkenal sebagai negara yang bersih, ataupun yang paling minima rasuahnya dan tidak seperti mana yang ada sekarang. Jadi saya harap saudara faham, kalau tidak, sudah boleh pilih tidak mahu jadi Ketua Jabatan kerana tanggungjawabnya lebih. Jadi sila maklum kepada KPPA, “saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi Ketua Unit atau Ketua Jabatan.”

 

  1. Tapi kalau kena ada seperti saya sudah pilih jadi maka bertanggungjawabnya ada. Kamu maki lah berbakul- bakul pun kerja mesti dijalankan. Kalau kerja, setelah kita runding, Faidza ‘azamta fatawakkal ‘alallah. Innallaha yuhibbul mutawakkilin.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.